~ ArTiKaL ~ :- WaHai PeMuDa -:

Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu ada kesediaan yang mendorong mereka kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda.
Kesimpulan ini ialah kerana asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah.
Itulah sebabnya maka angkatan pemuda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-manah kebangkitan; malahan angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.
Allah berfirman;
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى
Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Kahfi:13)
Dengan kesimpulan inilah maka kamu, angkatan pemuda akan menghadapi kewajipan yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda; malah dari sinilah maka amanah yang dipikulkan ke atas bahu kamu itu akan menjadi bertambahberat.
Oleh itu sepatutnya kamu berfikir panjang, bekerja keras, bahkan mestilah kamu menentukan sikap untuk tampil ke hadapan demi menyelamatkan umat serta menunaikan hak-hak umat dengan sempurna.
Ada pemuda yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya tenang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.
Di samping itu ada pula pemuda yang lahir membesar di tengah-tengah umat yang terpaksa berjuang dan bertindak kerana mereka dijajah dan dikuasai oleh musuh; oleh itu umat tersebut terpaksa berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas, harta kekayaan yang disamun. Begitu juga segala kebebasan juga telah hilang. Pada ketika itulah kewajipan utama lagi pertama bagi pemuda tersebut supaya menumpukan segala perhatian demi untuk kepentingan umat lebih banyak dari faedah dirinya sendiri.
Ketika bertindak sedemikian itu, pemuda tersebut akan memperolehi kemenangan dan pelbagai kebaikan serta mencapai ganjaran dari Allah dalam bentuk kebajikan dan pahala di akhirat kelak.
Kita, Angkatan Pemuda Islam ini, bertuah sebab kita termasuk ke dalam golongan yang kedua hingga terbukalah mata kita melihat umat yang terus menerus berjuang serta bertungkus lumus demi kebenaran dan kebebasan. Oleh itu, bersedialah wahai angkatan kesatria, alangkah hampirnya kemenangan itu untuk orang-orang yang beriman, dan alangkah besarnya kejayaan yang akan dicapai oleh angkatan yang terus menerus bekerja dan bertindak.
Wahai angkatan pemuda!
Sudut yang paling merbahaya sekali dalam sesuatu umat yang sedang membangun-terutama di ketika masih dalam peringkat permulaan kebangkitan ialah lahirnya berbagai corak fikrah dan pegangan, pelbagai seruan, bermacam-macam program, pelbagai langkah dan cara yang bersimpang siur di samping lahirnya begitu banyak orang-orang yang berlagak penganjur dan pemimpin. Semua itu hanya memecah belahkan tenaga serta mencerai beraikan kekuatan yang sedia ada lalu mengendalakan tercapainya segala matlamat yang dituju.
Menyedari hal inilah maka suatu kajian terhadap segala fikrah tadi serta suatu analisa perbandingan di antaranya merupakan suatu persoalan yang asasi yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang benar-benar inginkan reformasi.
Memandang semua inilah saya berasa berkewajipan menerangkan dengan jelasnya kepada anda sekalian dari hal hakikat dan program dakwah Islam untuk kurun yang ke-14 hijrah ini.
Dakwah Islam Dalam Kurun Yang Keempat Belas Hijrah
Wahai angkatan pemuda !
Sebenarnya kita telah pun beriman tanpa sebarang keraguan atau prasangkaan malah kita sudah pun yakin dengan sepenuhnya sekira-kiranya keyakinan kita ini lebih kukuh dan tegap dari gunung-ganang yang memasak bumi, lebih dari segala lubuk hati sanubari bahawa tidak terdapat sebarang apa pun jua fikrah perjuangan melainkan hanya satu sahaja fikrah yang benar-benar mampu menyelamatkan dunia yang sedang terseksa, yang benar-benar mempunyai daya upaya membimbing kemanusiaan yang sedang berada di dalam keadaan tercengang-bangang, dan yang benar-benar sanggup memimpin umat manusia ke arah jalan yang sewajarnya.
Fikrah atau ideologi perjuangan yang seperti itu mustahak diberi segala pengorbanan demi meninggikan kedudukannya, demi memperkenalkannya serta mendorong umat manusia supaya menghayati dengan segala jiwa raga serta memberikan dari sekecil-kecil pengorbanan hinggalah semahal-mahalnya.
Fikrah yang tunggal ini tidak lain dan tidak bukan ialah “Islam yang maha suci” yang sekali-kali tidak terdapat di dalamnya sebarang apa pun jua penyelewengan, keburukan dan kesesatan yang akan menimpa sesiapa yang mengikutnya.
Allah berfirman(Al-Imran:18-19):
شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُوْلُوا الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ
Allah menjadi saksi, dan para malaikat dan ahli cerdik pandai bahawa tidak ada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang berlaku adil terhadap makhluknya, tidak ada Tuhan melainkan Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya ugama yang di sisi Allah itu ialah Islam.
Suatu lagi firman Allah (Al-Maidah:3):
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمْ الْإِسْلَامَ دِينًا
Hari ini Aku sempurnakan bagi kamu akan ugama kamu, dan Aku penuhkan kepada kamu nikmatKu, dan redhalah Aku Islam itu sebagai ugama bagi kamu.
Jelas bahawa fikrah perjuangan kita hendaklah fikrah yang bersifat Islam dengan setulin-tulinnya. Di atas dasar Islamlah fikrah kita berpijak, daripada sumbernyalah kita mendapat petunjuk. Kerana Islam maka kita ini berjuang dan demi kerana meninggikan kalimahnya maka kita bekerja serta bertindak. Fikrah kita tidak sekali dapat menyamakan sebarang sistem dengan sistem Islam, tidak sekali-kali redha mengikut sebarang pimpinan yang lain malah fikrah kita sekali-kali tidak akan patuh kepada apa jua hukum melainkan Islam.
Allah berfirman (Al-Imran : 85):
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ
Dan barangsiapa mencari ugama selain dari Islam maka usahanya itu tidak sekali - kali akan di terima.
Islam serta penganut-penganutnya pernah mengalami suatu zaman cubaan di mana mereka ditimpa dengan pelbagai kemalangan dan dikelubungi oleh bencana yang bertubi-tubi. Pada ketika itulah musuh-musuh Islam telah bekerja untuk memadamkan sinarannya, cuba untuk menyembunyikan keindahannya bahkan untuk menyesatkan para pemeluknya, membantutkan pelaksanaan hukum hududnya serta melemahkan bala tenteranya di samping memutar ajaran serta hukum-hukumnya. Kadang-kadang mereka lakukan dengan cara mengurangkannya dan terkadang pula dengan jalan menambah-nambahkannya dan selain dari itu, dengan mentafsirkan hakikatnya dengan cara yang tidak sewajarnya.
Dalam usaha yang jahat itu mereka mendapat peluang yang baik bila berlaku kehilangan kuasa politik dari umat Islam dan kehancuran pemerintahan sejagat mereka di samping kemerosotan semangat Muhammadiyah di kalangan bala tenteranya. Akhirnya jatuhlah seluruh umat Islam itu ke dalam genggaman umat kufur sebagai mangsa penghinaan dan penjajahan.
Oleh itu tugas utama lagi pertama bagi kita angkatan pemuda Islam ialah memberi penjelasan kepada orang ramai akan hakikat segala batas agama Islam, menjelaskan kepada mereka itu dengan seberapa terang, sempurna dan jelas tanpa sebarang tambah dan tokok atau kekurangan atau sebarang kesamaran. Tugas seperti ini merupakan sudut teori bagi hakikat fikrah kita.
Di samping itu kita mestilah mengajak mereka melaksanakan fikrah kita itu serta mendorong mereka demi menyelamatkannya serta membimbing mereka ke arah beramal dengan ajarannya. Sudut ini di namakan sudut amali bagi fikrah perjuangan kita.
Pegangan kita dalam semunya itu ialah kitab Allah yang tidak pernah diresapi oleh kepalsuan sejak dulu hingga sekarang, dan keduanya ialah sunnah yang benar serta nyata datangnya dari Rasulullah s.a.w dan juga sejarah perjalanan bersih dari angkatan salaf umat Islam ini.
Kita tidaklah menghendaki di sebalik usaha itu sebarang apa pun jua melainkan keredhaan Tuhan, menunaikan kewajipan dan memimpin umat manusia serta menunjuk jalan kepada orang ramai.
Kita akan terus berjihad demi untuk menjayakan fikrah kita itu, dan kita akan berusaha sedaya upaya demi untuk menegakkan supaya dengan itu dapatlah kita sekalian hidup mulia atau sebaliknya biarlah kita mati secara yang mulia. Cogan kata kita ialah :

Allah matlamat kami ;
Rasul itu ikutan kami ;
Al-Quran itu perlembagaan kami ;
Jihad jalan kami; dan
Mati pada jalan Allah ialah setinggi-tinggi cita-cita kami
.

Wahai angkatan pemuda !
Sesungguhnya Allah telah memuliakan kamu dengan menamakan kamu angkatanNya, dengan mengurniakan iman kepada kamu serta mendidik kamu atas dasar ugamanya, dan Allah telah meletakkan kamu di martabat tertinggi di muka dunia dan di kedudukan para da’i di kalangan orang ramai serta Allah menganugerahkan kepada kamu kemuliaan seperti yang dianugerahkannya kepada maha guru di hadapan muridnya..
Allah berfirman (Ali-Imran:110):
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ
وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.
Allah berfirman (Al-Baqarah : 143):
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ
Demikianlah pula Kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi terhadap umat manusia.
Oleh itu perkara yang pertama sekali yang Allah menyeru kamu ialah hendaklah kamu mempunyai keyakinan diri sendiri, dan hendaklah kamu menyedari martabat kamu dan yakinlah bahawa kamulah sebagai tuan di dunia walaupun musuh-musuh kamu sudah tentu ingin melihat kamu berada di dalam kehinaan. Hendaklah kamu yakin bahawa kamu adalah sebagai guru kepada umat-umat di dunia walaupun pada waktu-waktu yang tertentu orang lain pernah mengatasi kamu dalam sesuatu sudut yang tertentu; namun demikian, kemenangan terakhir adalah di tangan orang-orang yang bertaqwa jua.
Oleh itu, wahai angkatan pemuda!
Hendaklah kamu menentukan matlamat dan haluan kamu. Ketahuilah bahawa titik kekuatan ialah iman. Hasil dari iman ini lahirlah perpaduan. Dengan ini tercapailah kemenangan yang cemerlang. Maka segeralah kamu beriman, berukhuwwah dan bertindak, kemudian tunggulah kemenangan dan sampaikanlah berita baik ini kepada seluruh para mukminin.
Seluruh dunia berada di dalam keadaan cengang -bengang lagi bergejolak. Segala sistem yang ada kini telah gagal mengubatinya. Tidak ada sebarang ubat untuk menyelamatkan dunia ini melainkan dengan Islam jua. Oleh itu, tampillah ke hadapan dengan nama Allah untuk menyelamatkan dunia itu kerana seluruh umat manusia sedang bertunggu-tunggu ketibaan seorang penyelamat dan juru penyelamat ini tidak akan berlaku melainkan dengan mengamalkan risalah (perutusan) Islam, iaitu risalah yang dibawa obor-obornya oleh kamu. Bangkitlah dan siarkanlah nya ke seluruh alam.

Wahai angkatan pemuda !
Ada pun manhaj atau program induk kita angkatan pemuda Islam memanglah mempunyai tahap-tahap yang tertentu, lengkap dengan rancangan-rancangannya yang terang lagi jelas. Sebenarnya kita memang benar-benar tahu apa yang kita kehendaki dan kita juga memang tahu bagaiman wasilah dan jalan yang boleh menyampaikannya kita kepada kehendak kita itu.
(1) Mula-mula sekali kita mahu diwujudkan individu muslim; iaitu individu muslim dalam pemikirannya, muslim dalam aqidahnya, muslim dalam segala tingkah laku serta perasaannya. Muslim dalam segala tindak-tanduknya. Ini dinamakan pembentukan keperibadian kita.
(2) Selepas itu kita mahu diwujudkan rumahtangga muslim, iaitu rumahtangga yang bersifat muslim dalam fikirannya, muslim dalam aqidahnya, muslim dalam segala tingkah laku serta perasaannya, muslim dalam segala amalan serta tindak tanduk. Bagi mencapai matlamat ini kita memelihara wanita sama seperti mana kita memelihara angkatan pemuda. Ini dinamakan pembetukan keluarga kita.
(3) Selepas itu kita mahu diwujudkan umat Islamiyah, iaitu umat bersifat muslim dalam semua sudut yang tersebut tadi. Bagi mencapai maksud ini kita bekerja supaya seruan dakwah kita sampai ke setiap buah rumah. Kita berusaha supaya suara kita kedengaran hingga ke setiap tempat, supaya fikrah kita ini berpeluang meresap masuk keseluruh dusun dan desa, pekan dan bandar, kota dan negeri. Dalam hal ini kita tidak boleh kedekut tenaga seperti mana kita tidak akan membiarkan mana-mana wasilah yang mampu kita lakukan.
(4) Selepas itu kita mahu diwujudkan kerajaan Islam. Kerajaan yang memimpin umat ini menuju ke masjid, yang boleh mendorongkan orang ramai ke arah petunjuk Islam seperti mana didorongkan para sahabat Rasulullah s.a.w dahulu seperti Abu Bakar dan Umar. Untuk mencapai maksud ini kita tidak boleh menerima sebarang pemerintahan kerajaan yang tidak bertapak di atas asas Islam dan tidak mengambil ajaran dari sumbernya(Al-Quran dan As-Sunnah). Kita tidak dapat mengakui parti-parti sekular yang ada sekarang. Kita tidak dapat menerima segala bentuk dan corak yang sudah usang yang dipaksakan kepada kita oleh orang kafir dan musuh-musuh Islam supaya kita berhukum dengan undang-undang mereka. Akan tetapi sebaliknya kita akan terus bertindak untuk menghidupkan semua sistem pemerintahan Islam dalam semua bidangnya sehinggalah terbentuknya kerajaan Islam di atas asas sistem fikrah kita ini.
(5) Selepas itu kita mahu mencantumkan semula setiap bahagian tanahair Islam kita, tanahair yang telah dipecah belahkan oleh politik barat dan yang dihapuskan perpaduannya oleh sikap tamak-tamak dan haloba negeri-negeri Eropah. Bagi mencapai tujuan ini kita tidak dapat menyetujui segala pembahagian sempadan dan negara yang dilakukan dengan tujuan politik seperti yang ada sekarang. Kita juga tidak menerima segala perjanjian antarabangsa yang menyebabkan tanahair umat Islam dipecah-belahkan menjadi negeri-negeri kecil yang lemah dan dikotak katikkan supaya mudah ditelan oleh para perampas. Kita juga tidak akan berdiam membisu terhadap perbuatan menceroboh kebebasan umat-umat yang lemah ini dan segala bentuk cengkaman ke atas mereka. Mesir, Syria, Iraq, Saudi, Yaman, Libya, Tunisia, Algeria, Morocco, Malaysia dan setiap jengkal bumi yang di dalamnya terdapat insan muslim yang mengucapkan Lailaha illa Allah, semuanya itu adalah merupakan tanahair Islam yang terbesar. Kita terus menerus berusaha demi untuk memerdekakannya dan menyelamatkan serta melepaskannya dari cengkaman luar dan akhirnya mencantumkannya semula segala bahagiannya yang bercerai-berai itu.
Jika sekiranya seseorang Jerman itu meletakkan dirinya sebagai pembela kepada sesiapa sahaja orang yang berketurunan darah Jerman, maka aqidah Islam pula mewajibkan setiap orang muslim sebagai pembela kepada setiap insan yang meresap masuk ke dalam dirinya ajaran kitab Qur’an. Menurut istilah Islam, faktor-faktor keturunan darah-daging tidak boleh dianggap lebih kuat hubungannya dari faktor iman kepada Allah. Dalam persoalan ini aqidah Islam itu yang merupakan segala sesuatu kerana iman itulah yang membezakan di antara kasih sayang dengan kebencian.
(6) Selepas ini kita mahu pula panji-panji Allah itu kembali berkibaran di angkasa segala pelusuk dunia yang pada suatu masa dulu pernah menikmati kebahagiaan hidup di bawah fikrah Islam, iaitu negeri-negeri yang pernah berkumandang suara azan dengan ucapan takbir dan tahlil membesarkan Allah. Kemudian malangnya negeri-negeri tersebut menjadi malap cahayanya lalu jatuh semula ke tangan kafir setelah beriman. Sepanyol, Sicily, negeri-negeri Balkan(Bosnia, Croatia, Serbia dll) dan Itali Selatan semuanya itu adalah negeri-negeri kepunyaan umat Islam yang mesti kembali semula kepangkuan Islam. Laut Mediterranean dan Laut Merah sebagai dua tasik kepunyaan umat Islam mestilah dikembalikan seperti sediakala.
Jika sekiranya Mussolini (Diktator Italy semasa perang dunia kedua) berpendapat bahawa beliau berhak mengambil empayar Rom yang telah diwujudkan di atas asas kehalobaan dan hawa nafsu, maka kita pula berpendapat bahawa kita adalah berhak mengembalikan keagungan empayar Islam yang telah diwujudkan di atas asas keadilan dan keinsafan dengan tujuan menyebarkan cahaya serta petunjuk bagi seluruh umat manusia.
(7) Selepas itu, di samping perkara-perkara yang dicita-citakan tadi, kita mahu mencanangkan seruan dakwah kita kepada seluruh dunia dan kita mahu menyampaikannya kepada sekalian umat manusia sehingga meresap keseluruh pelusuk bumi dan sehingga tunduklah setiap makhluk yang angkuh itu kepada seruan tersebut, agar tidak lagi berlaku fitnah dan kembalilah ugama itu semuanya kepada Allah. Pada ketika itu bergembiralah orang-orang mukmin dengan pertolongan Allah. Allah pasti menolong sesiapa yang di kehendakinya kerana Dia adalah Maha Gagah lagi Maha Penyayang.
Perlu di sebut bahawa setiap tahap program induk tadi telah lengkap mempunyai perencanaannya, pecahan serta wasilah-wasilah yang boleh digunakan. Tetapi di sini kita memadai dengan serba ringkas tanpa membicarakannya dengan panjang dan perincian. Allah jualah tempat kita memohon pertolongan dan memadailah Dia sebagai tumpuan kita dan sebaik-baik pengawal.
Biarlah orang-orang yang culas serta pengecut itu berkata kononnya dakwah kita ini "hanya suatu angan-angan yang begitu jauh dan suatu dongengan yang menawan hati manusia.
Sebenarnya itulah yang dikatakan kedayusan yang kita tidak pernah kita kenali dan tidak juga diajar oleh Islam. Itulah dia yang dikatakan al-wahn atau sifat pengecut yang dilemparkan ke dalam hati umat kita ini lalu mendedahkannya kepada musuh-musuh, dan itulah yang dikatakan kemusnahan hati sanubari serta kekosongannya dari iman dan inilah yang merupakan sebab kejatuhan umat Islam.
Namun demikian, kita tetap mengistiharkan dengan jelas serta terus terang bahawa sesiapa orang muslim yang tidak percaya kepada program induk dakwah kita ini dan tidak bekerja untuk menjayakannya maka mereka tidak langsung mempunyai saham kepada Islam. Eloklah ia mencari fikrah lain untuk dipercayai dan bekerjalah dengan ideologi tersebut.

Wahai angkatan pemuda,
Sebenarnya kamu sekarang tidaklah begitu lemah berbanding dengan angkatan yang terdahulu dari kamu yang diberikan kemenangan oleh Allah hasil usaha mereka. Oleh itu janganlah kamu merasa hina, merasa lemah malah hendaklah kamu meletakkan di ruang matahati kamu akan firman Allah (Al-Imran:173):
الَّذِينَ قَالَ لَهُمْ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
Mereka berkata kepadanya: sesungguhnya orang ramai telah pun mengumpulkan tenaga terhadap kamu, hendaklah kamu merasa takut kepada mereka itu, tetapi mereka ini menjadi bertambah kuat imannya. Lalu mereka berkata memadailah Allah itu untuk kami dan Dialah sebaik-baik pengawal.
Kita akan mendidik diri kita sendiri supaya terbentuklah dari kalangan kita ini apa yang dinamakan individu muslim. Kita juga akan mengasuh rumahtangga kita supaya lahirlah daripadanya nanti apa yang kita sebutkan sebagai rumahtangga muslim. Kita juga akan membentuk umat kita supaya terbentuklah apa yang dinamakan umat Islam. Dan sudah tentu kita akan turut serta ke dalam umat Islam ini dan kita akan terus menerus bergerak menurut langkah-langkah yang sudah ditetapkan menuju hingga ke hujung jalan dan sehingga tercapai sasaran yang Allah tentukan kepada kita; bukan sasaran yang kita sendiri menentukannya. Dan dengan izin Allah serta pertolongannya kita akan tiba di matlamat yang ditujui. Allah tetap enggan melainkan mesti menyempurnakan citaNya walaupun dibenci oleh orang kafir.
Bagi menghadapi persoalan ini kita telah pun menyediakan iman yang sekali-kali tidak akan bergoyang, kerja-kerja yang tidak tersekat-sekat, kepercayaan yang tidak luntur kepada Allah, bahkan kita juga telah menyediakan jiwa raga yang merasai sebahagia-bahagia hari baginya ialah hari yang mereka gugur sebagai para syuhada' di jalan Allah.
Jadikan itu semua sebagai polisi dalaman dan luaran kita kerana kita mengambil pengertian tersebut dari hakikat Islam sendiri. Pemisahan di antara ugama dengan politik bukanlah dari ajaran Islam yang maha suci. Orang Islam yang tulin keugamaannya dan yang benar-benar memahami segala pengajarannya tidak mengerti pemisahan seperti itu. Oleh itu sesiapa jua yang cuba hendak memesongkan kita daripada hakikat manhaj ini, maka eloklah dia meninggalkan kita kerana orang seperti itu tidak terkeluar dari salah satu dari dua jenis manusia iaitu:
musuh kepada Islam atau pun jahil mengenai hakikat Islam.

Wahai angkatan pemuda !
Silaplah orang-orang yang menyangka kononnya angkatan Islam ini ialah suatu kumpulan Darwisy-Tok Lebai yang mengongkong diri di dalam ruangan sempit ibadat Islam yang hanya tertumpu kepada sembahyang, puasa, zikir dan tasbih sahaja. Sebenarnya angkatan Islam yang pertama dahulu tidaklah memahami hakikat Islam dalam bentuk yang sempit seperti itu; mereka juga tidak beriman dengan cara begitu; akan tetapi mereka itu beriman dengan Islam sebagai aqidah serta ibadat, sebagai tanahair dan kebangsaan, sebagai akhlak serta kebendaan, sebagai kebudayaan dan undang-undang serta toleransi dan kekuatan.
Mereka yakin bahawa Islam itu adalah suatu sistem yang sempurna yang sesuai dengan segala bidang kehidupan dan mampu menyusun urusan dunia seperti mana ia menyusun urusan ke akhiratnya. Mereka yakin Islam itu sebagai suatu sistem yang mempunyai kedua-dua sudut amalan dan teorinya sekali. Dengan keyakinan seperti itu maka Islam bagi mereka ialah ugama dan negara serta Qur’an dan pedang.
Namun demikian mereka tidaklah pula lalai dari menunaikan urusan peribadatan mereka dan tidak culas menunaikan segala fardhu yang diwajibkan untuk Tuhan mereka. Mereka cuba sedaya upaya untuk mengelokkan lagi tata tertib solat. Mereka juga membaca kitab Allah serta berzikir kepada Allah menurut cara yang disuruh oleh Allah dalam batas-batas yang ditentukan kepada mereka, tanpa mengada-ngada dan melampau-lampau, dengan tidak bermain-main di kulit luar dan tidak pula terlampau mendalam berlebih-lebihan. Mereka itu lebih mengetahui mengenai sabda Rasulullah s.a.w yang bererti:
ان هذا الدين متين فأوغل فيه برفق إن المنبت لا أرضا قطع ولا ظهرا أبقى
Sesungguhnya ugama Islam ini amat kukuh; oleh itu resapilah ke dalamnya perlahan-lahan. Sesungguhnya orang yang sangat keterlaluan itu akhirnya tidak ada bumi yang dijalaninya malah tidak pula ia kekal sebarang tunggangannya.
Meskipun demikian namun mereka tetap jua mengambil bahagian mereka dari keduniaan sekira-kira kadar yang tidak merosakkan akhirat mereka; mereka beramal dengan firman Allah: (surah Al - A’raf : 32)
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنْ الرِّزْقِ
Katakanlah: siapakah pula yang mengharamkan perhiasan Allah yang diberikannya kepada hamba-hambanya dan juga rezeki yang baik-baik itu ?
Angkatan Islam mengerti bahawa sebaik-baik gambaran yang diberi kepada para sahabat Rasulullah s.a.w ialah:
رهبان فى الليل وفرسان فى النهار
Ertinya :
Pendeta di malam hari dan satria yang gagah perkasa di siang hari.
Demikianlah pula angkatan Islam ini cuba membentuk diri mereka - Allah jualah tempat kita memohon pertolongan.
Silaplah juga mereka yang menyangka kononnya angkatan Islam mengabaikan tanahair dan patriotik.
Sebenarnya orang-orang Islamlah yang paling ikhlas kepada tanahair mereka. Merekalah yang paling banyak berkorban kepada tanahair. Merekalah orang yang paling menghormati sesiapa juga yang bekerja dengan ikhlas untuk tanahair. Lihatlah, saudara sendiri mengetahui sejauh mana angkatan Islam menyintai tanah air dan setinggi mana pula mereka bercita-cita untuk kebaikan umat mereka.
Tetapi perbezaan di antara orang-orang Islam dengan orang-orang lain yang mendakwa pejuang tanahair ialah asas patriotis Islam ialah aqidah Islamiyah. Oleh itu maka pejuang Islam yang bekerja untuk sesebuah tanahair -misalnya Mesir(atau Malaysia), berjuang pada jalannya dan mereka sanggup mati dalam jihad seperti itu adalah kerana negeri Mesir itu ialah termasuk ke dalam bumi Islam. Mereka kemudiannya tidak pula membataskan perasaan patriotis ini kepada negeri Mesir sahaja tetapi mereka merangkumkan juga setiap bumi Islam dan setiap tanahair orang-orang Islam.
Adapun pencinta tanahair yang tidak bersifat Islam akan membataskan kecintaannya itu kepada bangsanya sahaja. Mereka pula biasanya hanya berjuang kerana ikut-ikutan, sukakan promosi, mencari kebanggaan atau kerana kepentingan-kepentingan yang tertentu. Mereka berjuang bukan menurut kewajipan yang Allah turunkan kepada hamba-hambanya.
Memadailah untuk saudara mengetahui bahawa faham patriotisma mengikut angkatan Islam ialah mereka yakin dengan sepenuhnya bahawa kecuaian terhadap sejengkal sekalipun dari bumi yang didiami oleh orang-orang Islam adalah suatu jenayah yang tidak boleh diampuni, hinggalah mereka dapat mengembalikannya atau pun biarlah mereka mati kerana berjuang untuk mengembalikannya. Mereka yakin bahawa mereka tidak akan terselamat dari balasan Allah melainkan dengan berbuat demikian.
Silaplah lagi orang-orang yang menyangka kononnya angkatan Islam ini merupakan penyeru ke arah kemalasan atau keculasan. Sebenarnya angkatan Islam mengistiharkan saban waktu bahawa seseorang muslim itu mestilah menjadi pimpinan dalam segenap perkara. Mereka tidak berpuas hati selagi tidak dapat memimpin, bekerja, dan berjuang serta mendahului orang lain dalam setiap urusan, sama ada dalam bidang ilmu pengetahuan, kekuatan, kesihatan, dan juga kekayaan.
Perlu disebut bahawa apa jua kemunduran dalam sesuatu bidang adalah merosakkan fikrah perjuangan kita dan menyalahi pula ajaran ugama kita.
Meski pun demikian kita memanglah menolak fahaman kebendaan(materialisma) yang menimpa umat manusia, lalu membawa mereka ke arah hidup untuk diri sendiri sahaja(individualistik) dan mendorong mereka mengguna segala kemudahan semula jadi, segala masa dan tenaga ke arah kehebatan diri sendiri semata-mata. Dengan demikian maka seseorang dari mereka itu tidak akan bekerja untuk faedah orang lain walau sekecil-kecil khidmat sekalipun malah ia tidak akan mengambil tahu walau sedikit pun dari hal umatnya. Sabda Nabi saw yang bermasud:
من لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم
Sesiapa yang tidak menghiraukan urusan umat Islam maka dia bukanlah daripada mereka.
Rasulullah saw juga bersabda yang bermaksud:
إن الله كتب الإحسان على كل شئ
Allah mewajibkan kesempurnaan dan keelokkan dalam setiap perkara.
Silap juga orang-orang yang menyangka kononnya angkatan Islam itu adalah juara penyeru ke arah sentimen perkauman. Sebenarnya kita dari angkatan Islam ini memahami bahawa Islam sangat-sangat menghormati hubungan umum di kalangan umat manusia seperti mana yang tersebut di dalam firman Allah(surah Al-Hujurat:13):
يَاأَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا
Wahai sekalian manusia! sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenal - kenalan.
Kita mengetahui bahawa Islam itu datang membawa kebajikan kepada semua manusia dan sebagai suatu rahmat kepada sekalian makhluk. Mana jua ugama yang tugasnya demikian rupa adalah jauh sekali dari perbuatan yang memecah belahkan hati manusia dan hasut-menghasut sesama mereka. Qur’an sendiri menguatkan perpaduan ini dengan firman Allah (Al- Baqarah:285):
لا نفرق بين أحد من رسله
Kami tidaklah membeza-bezakan sesiapa pun dari antara para Rasulnya.
Perlu disebut bahawa Islam melarang dan mengharamkan pencerobohan hinggakan dalam keadaan kemarahan dan permusuhan sekalipun, Allah berfirman (Al-Maidah: 8):
وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى
Dan janganlah kamu dipengaruhi oleh kedudukan satu-satu pihak sehingga kamu berlaku tidak adil kerana ianya adalah lebih hampir kepada taqwa.
Dan Islam menganjurkan kebajikan dan kebaikan di kalangan warga negara sesebuah negara walaupun mereka itu berlainan aqidah dan ugama. Allah berfirman (Al-Mumtahanah:8):
لَا يَنْهَاكُمْ اللَّهُ عَنْ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ
Allah tidaklah menegah kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu pada ugama dan yang tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu.
Islam juga menganjurkan kita berlaku adil kepada orang-orang zimmi (orang tidak Islam di dalam negara Islam) dan bergaul baik dengan mereka. Ini ialah menurut dasar :
لهم ما لنا وعليهم ما علينا
Ertinya:
Mereka mendapat hak sama seperti kita dan mereka memikul tanggungjawab seumpama kita juga.
Kita mengetahui semuanya itu; oleh kita tidaklah menyeru ke arah faham apartheid dan tidak juga ke arah faham fanatik kelompok. Walaubagaimanapun, kita tidaklah pula menjual iman kita dengan harga perpaduan tersebut dan kita tidak juga bersedia untuk tawar-menawar kerana menegakkan perpaduan tadi sehingga tergadai akidah kita. Kita tidak akan sanggup berusaha untuk menegakkan perpaduan tersebut hingga mengorbankan kepentingan orang-orang Islam. Sebaliknya, cukuplah kita bersedia mengorbankan perpaduan demi kebenaran dan keadilan, tetapi lebih dari itu.
Oleh itu, barang siapa cuba membuat selain dari itu maka tentulah kita mesti menghalangi perbuatannya dan kita akan jelaskan kepadanya kesilapan fahamannya itu. Bagi Allahlah segala kebesaran dan bagi Rasulnya dan juga bagi orang-orang mukminin.
Suatu kesilapan juga orang-orang yang menyangka angkatan Islam ini bekerja untuk kepentingan badan yang tertentu atau pun mereka bergantung dagu kepada mana-mana kumpulan. Sebenarnya angkatan Islam ini bekerja untuk mencapai segala matlamat mereka sendiri menurut petunjuk dari Tuhan mereka iaitu bersama Islam dan pemeluknya di setiap masa dan tempat. Mereka membelanjakan apa yang dianugerahkan oleh Tuhan mereka demi untuk mencapai keredhaannya. Mereka merasa bangga kerana sehingga sekarang pun mereka masih belum pernah lagi menadah tangan kepada sesiapa dan mereka tidak pernah meminta pertolongan dari mana-mana orang atau badan atau pun mana-mana kumpulan.
Wahai angkatan pemuda !
Di atas dasar-dasar yang tetap dan berdasarkan ajaran-ajaran yang mulia inilah kita menyeru anda sekalian. Jika anda percaya kepada fikrah perjuangan ini dan anda menurut jejak langkahnya, memasuki bersama kita jalan Islam ini, melepaskan diri dari sebarang fikrah yang lain, menguntukkan segala tenaga untuk aqidah anda, maka itu adalah sebaik-baik pendirian untuk anda di dunia dan juga di akhirat. Insyaallah, Tuhan akan menjayakan melalui anda seperti mana yang dijayakannya melalui angkatan salaf yang terdahulu dari anda ketika zaman permulaan dulu.
Dengan itu, setiap pekerja yang ikhlas dari anda yang bekerja di jalan Islam akan mendapati balasan yang memuaskan cita-cita nuraninya dan setimpal dengan masanya, jika ia benar-benar termasuk ke dalam golongan pejuang-pejuang tulin.
Akan tetapi sebaliknya, jika anda enggan dan terus menerus berdolak-dalik dan teragak-agak, atau masih mencari-cari antara perjuangan bukan Islam sebenar yang telah ternyata gagal, maka ketahuilah bahawa batalion tentera Allah akan terus mara tanpa menghiraukan sama ada sedikit atau ramai dengan penuh yakin kepada firman Allah (Al-Imran:126):
وما النصر الا من عند الله العزيز الحكيم
Kemenangan itu hanyalah dari Allah Maha Gagah lagi Bijaksana.
:::::- Satu catatan oleh : al-Syaheed Hassan Al-Banna -:::::

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ HaRaKaH SaNa SiNi ~ :- IkHWaN MuSliMiN -:
Selepas Perang Dunia Yang Pertama, kumpulan yang berhaluan ke Barat bergerak begitu hebat sekali di Mesir. Kebangkitan nasionalisma di dunia Islam mencapai puncaknya dengan penggulingan sistem Khalifah Islam Othmaniah di Turki oleh Kamal Attarturk. Pergerakan Pembebasan Wanita Mesir menjadi bertambah kuat apabila wanita kelas atasan Mesir memberontak; enggan memakai purdah. Mereka memakai fesyen Eropah, menghadiri temasya sosial yang bercampur bebas antara lelaki dan perempuan, samada secara tertutup ataupun terbuka. Mereka juga mendesak supaya wanita mempunyai hak yang setaraf dengan lelaki di dalam soal kemasukan ke Universiti. Semuanya ini berlaku di waktu Hassan Al Banna mencatitkan rasa kebimbangan beliau serta rakannya terhadap kebimbangan ini.
"Hanya Allah yang mengetahui berapa malamkah kita berbincang tentang keadaan negara dan hubungannya dengan segala lapangan hidup rakyat. Apakah kesan dari penyakit masyarakat dan bagaimana untuk menyelesaikannya ? Kami berbincang dengan penuh perasaan sehingga menitiskan airmata. Sebelum kami membuat sebarang keputusan, kami berbincang dengan panjang lebar sekali, tetapi alangkah terkejutnya kami apabila kami bandingkan keadaan ini dengan mereka yang tidak kisah kepada apa-apa, yang asyik bersenang-senang di kedai kopi."
Dalam catitan yang sama, Sheikh Hassan Al Banna mengakui bahawa keputusan menubuhkan Jamaah Ikhwanul Muslimin adalah ekoran dari pemerhatian beliau terhadap kejahilan Ummat Islam terhadap Agama mereka. Beliau menganggap bahawa masjid dan khatib khutbah sahaja tidak cukup untuk menyelesaikan masalah ini. Ulamak-ulamak yang ada tidak terdaya untuk menahan serangan dari Puak Modernist selain dari melabelkan mereka murtad. Yang malangnya terdapat juga manusia yang digelar 'ulamak' tetapi terlalu mudah untuk bertolak ansur dengan pemerintah dari segi prinsip agama dengan tujuan untuk memuaskan hati taghut-taghut ini. Ulamak Khahirah jatuh ke lembah yang paling menghinakan apabila mereka menyetujui fatwa yang diberi oleh Rektor Universiti al Azhar bahawa Raja Farouk adalah layak untuk memerintah dan layak digelar Khalifatul Mu'min atas alasan "beliau adalah seorang Islam dan datang dari keturunan Rasulullah S.A.W."
Dengan tekad bersungguh-sungguh dan sedaya upayanya Sheikh Hassan al- Banna terus menubuhkan pergerakan Islam Ikhwanul Muslimin demi untuk menyelesaikan nasib yang malang itu. Ikhwanul Muslimin ditubuhkan dalam tahun 1928, sebaik sahaja beliau keluar dari Darul Ulum. Pemimpin-pemimpin Islam yang terkenal seperti Jamaluddin Al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh dan Sayyid Rashid Ridha' lebih mengutamakan penulisan dan dakwah dalam aktivitinya. Apa yang dilakukan oleh Hassan Al Banna bercita-cita untuk menubuhkan satu harakah Islam yang syumul yang akan membimbing seluruh generasi dengan prinsip-prinsip Islam yang menyentuh semua aspek hidup seperti politik, ekonomi dan sosial.

Al Ikhwanul Muslimin adalah satu harakah yang tersusun rapi dengan ahlinya yang dibahagikan kepada peringkat-peringkat tertentu. Terdapat ahli peringkat pertama, peringkat kedua, penyokong dan pekerja. Seseorang itu tidak dinaikkan peringkatnya, sebelum diberi ujian tertentu. Apabila ahli sudah dianggap aktif, mereka akan dipanggil dalam mesyuarat khas, dimana Sheikh Hassan al Banna sendiri yang menjadi ketuanya. Bagi mengendalikan ahli, mereka dibahagikan kepada nuklias, sel, usrah dan barisan. Apabila cawangan-cawangan bertambah, satu yunit pentadbiran ditubuhkan dengan ahlinya dipilih khas oleh Muktamar (General Assembly). Markas akan menerima tentang maklumat semua kegiatan ahli 10 hari sebelum Muktamar.
Di Muktamar, semua cawangan menghantar wakil masing-masing. Persetujuan Markas Pusat diperlukan untuk meluluskan satu-satu keputusan yang dipersetujui oleh Muktamar Cawangan. Markas Pusat juga berkuasa untuk meluluskan atau menahan penubuhan sesuatu cawangan atau Jawatankuasa Tadbir. Untuk melicinkan lagi operasi, Jawatankuasa Pusat menubuhkan Jawatankuasa Kecil bagi department-department tertentu seperti kebajikan masyarakat, hubungan dengan Dunia Islam dan lain-lain. Di Khahirahlah letaknya Markas Pusat. Jawatankuasa Pusat terdiri dari 100 orang Jawatankuasa Pengasas dan 12 orang penasihat, yang dilantik sendiri oleh Hassan al Banna dari Jawatankuasa Pengasas. Setiap ahli membuat bai'ah atau sumpah setia. Mereka bersumpah untuk melindungi saudara-saudara Ikhwan hatta dengan mengorbankan nyawa mereka sendiri, disamping menaruh kepercayaan dan ketaatan dengan lapang dada terhadap ketua mereka. Mereka sanggup menerima perintah walaupun bercanggah dengan kehendak mereka. Disetiap perjumpaan mereka akan memperbaharui sumpah mereka dan mengulangi "Sami'na wa Ata'na".
Hassan al Banna mengetahui dengan terperinci ahli-ahli yang aktif dan dipercayai. Mereka ini dikehendaki merekodkan aktiviti-aktiviti harian mereka termasuk penghafalan Qur'an serta kehadiran mereka pada sembahyang berjemaah. Mempelajari Al Qur'an, Hadith dan Syari'ah diwajibkan ke atas mereka. Mereka diajar menggunakan bermacam-macam senjata dan pertolongan cemas. Pada akhir pengajian mereka akan diperiksa apa yang telah mereka pelajari. Satu perjumpaan diadakan dua tahun sekali diperingkat cawangan apabila diarah oleh Hassan al Banna.

Di dalam tulisannya, Sheikh Hassan al Banna memegang teguh kepada beberapa prinsip. Pertamanya, beliau melarang keras ahlinya menjadi Ikhwanul Muslimin sebagai tempat medan percanggahan pendapat. Dalam soal ini, Hassan al Banna mengikut nasihat dari seorang Ketua Sufi di mana ia masih berada di bangku sekolah. Ketua Sufi itu telah menasihatkan muridnya supaya jangan berbalah dalam perkara-perkara yang kecil dan jangan menggunakan kalimah-kalimah orang-orang atheist, murtad dan missionari kristian di khalayak ramai.

"Buatlah perkara ini semasa kamu berbincang dan bermusyawarah sesama kamu. Di hadapan orang-orang kampung, gunakanlah perkataan yang berkesan yang dapat membimbing mereka kepada Islam".

Yang keduanya, Hassan al Banna, begitu kurang mempercayai kalangan orang-orang kaya terkenal yang ingin menyertai Ikhwan. Pada anggapan beliau, mereka berbuat demikian mungkin untuk kepentingan diri atau mencari kepentingan dunia. Di dalam penulisan beliau dan pengikutnya terdapat penekanan tentang kepentingan membentuk harakah secara beransur-ansur. Sesebuah harakah itu mestilah mendapat sokongan orang ramai yang kuat sebelum dapat menggantikan kerajaan yang ada. Massa mestilah diberi dengan cukup prinsip-prinsip perjuangan Islam. Al Ikhwan dapat menjalankan progremnya hasil dari kekuatan Iman dan prinsip-prinsip Islam yang tulin, perpaduan dan Ukhwah Islamiah di kalangan ahli-ahli harakah dan penyokong. Al Ikhwan berpendapat bahawa kekuatan hanya perlu digunakan apabila semua cara lain gagal. Di dalam ucapan dan tulisannya, Sheikh Hassan al Banna menafikan bahawa Ikhwan mahu mengadakan Revolusi bunuh membunuh atau Coup d'etat. Tidak juga ia mengatakan langkah tersebut sebagai berkesan.

Aktiviti asas bagi Al Ikhwan ialah soal pendidikan dan pembukaan sekolah-sekolah yang bermacam jenis. Berulang kali Al Ikhwan menyeru kepada Kerajaan Mesir supaya mengambil berat tentang pengajaran agama dan prinsip-prinsip akhlak yang mulia kepada generasi muda yang sedang meningkat umur di sekolah-sekolah umum. Progrem persekolahan yang dilaksanakan sepatutnya mempunyai empat matlamat :
1. Menyebarkan prinsip Agama Islam.
2. Menaikkan taraf moral yang tinggi.
3. Kemegahan terhadap tamaddun Islam.
4. Menyediakan pakar-pakar di dalam semua bidang sains untuk membantu kebangkitan Islam di Mesir.

Di dalam Kurikulum sekolah, al-Ikhwan menyeru supaya pemerintah memberi perhatian yang istimewa kepada sejarah Islam, dan Tamaddun Islam. Mereka juga medesak supaya mata pelajaran Islam diwajibkan di universiti-universiti. Guru-guru yang tidak berakhlak, tidak mnegambil berat tentang Islam serta tidak jujur dalam usaha-usaha untuk memperbaiki negara hendaklah dipecat. Sekolah-sekolah yang bercampur antara lelaki dan perempuan hendaklah diharamkan. Inilah antara contoh dan peranan aktif yang dimainkan oleh Al Ikhwan.
Di Markas Pusat, sebuah Jawatankuasa Khas mengenai penubuhan sekolah-sekolah diadakan. Sekolah-sekolah rendah, menengah, teknik yang ditubuhkan adalah lain dari sekolah-sekolah swasta serta lain dari segi penekanan prinsip Islam terhadap murid-murid. Untuk menghapuskan buta huruf, Ikhwan menubuhkan beberapa sekolah percuma untuk pekerja-pekerja dan orang-orang kampung. Pada siang hari terdapat kelas menghafal Quran sementara di malam harinya terdapat kursus-kursus untuk pemuda yang tidak berpeluang belajar pada siang hari. Kelas bimbingan bagi membantu mereka yang gagal dalam peperiksaan juga diadakan di sebelah malam. Guru-guru yang mengajar terdiri dari pelajar-pelajar universiti yang telah dilatih khas. Mereka juga membuka sekolah "Ummul Mu'minin" bagi Muslimat Ikhwan. Itulah contoh-contoh betapa beratnya perhatian yang diberikan oleh Ikhwanul Muslimin terhadap pendidikan sehingga boleh dikatakan tiada satu pun cawangan Ikhwan yang tidak mempunyai sekolah sendiri.

Dari segi kebajikan masyarakat, Ikhwan memberi bermacam-macam perkhidmatan. Mereka menubuhkan persatuan untuk meningkatkan taraf kehidupan serta memajukan kampung-kampung di Mesir. Salah seorang ahli Ikhwan al Muslimin mendirikan sebuah ladang contoh di atas tanahnya. Di kampung yang lain Ikhwan membina 4 buah kubur untuk digunakan oleh mereka yang miskin. Di tempat lain pula, Ikhwan menjamu 200 orang miskin tiap-tiap hari sepanjang bulan Ramadhan. Cawangan-cawangan Ikhwan berlumba-lumba dalam memberi sedekah kepada orang-orang miskin, mengadakan bekalan letrik ke kampung-kampung dan memungut derma di bulan Ramadhan. Cawangan-cawangan Ikhwan berlumba-lumba dalam memberi sedekah di bulan Ramadhan. Setengah dari ahli Ikhwan menjadi Hakim bagi menyelesaikan perselisihan-perselisihan yang berlaku di kampung-kampung. Mereka membuat bancian bagi mereka yang tidak berumah dan anak-anak yatim supaya pekerjaan yang sesuai dapat disediakan kepada mereka sejajar dengan umur mereka. Orang-orang cacat dan orang-orang sakit juga mendapat pertolongan dari segi sara hidup.

Masjid-masjid dibina di seluruh negara. Setengah kalangan mewakafkan tanah, sementara yang lain membiayai pembinaannya. Boleh dikatakan semua cawangan Ikhwan mempunyai masjidnya sendiri. Ikhwan juga mengambil berat tentang kesihatan masyarakat. Untuk mencapai matlamat tersebut untuk mendirikan hospital serta gedung-gedung ubat dikebanyakan tempat untuk merawat pesakit-pesakit. Kemuncak kejayaan Ikhwan ialah dengan terdirinya sebuah Klinik Ikhwan di Tanta di mana beribu-ribu pesakit dirawat dalam setahun.
Untuk menyebarkan prinsip perjuangan Islam, Ikhwan sangat aktif dalam bidang penerangan. Mereka menerbitkan akhbar harian dan lebih dari sedozen majallah. Di antaranya ialah majallah bulanan, Al Manar, Mingguan Al-Taaruf, Al-Shu'a, Al Nadhir, Ash-Shihah, Al Mabahith, Al Da'awah dan Al Muslimun. Akhbar Harian mereka mendapat langganan yang paling laris dari semua keluaran. Ini adalah kerana matlamat-matlamatnya :
1. Menerangkan Islam sebagai agenda dan sistem hidup yang paling bagus, disampaikan dengan cara yang paling sesuai untuk zaman moden.
2. Mematahkan serangan-serangan yang dihalakan kepada Agama Islam.
3. mendamaikan perselisihan pendapat di antara mazhab-mazhab Islam demi untuk perpaduan Ummat Islam.
Tulisan Sheikh Hassan al Banna dikeluarkan tiap-tiap hari dalam akhbar Ikhwan. Tulisannya amat bernas dengan ayat-ayat Qur'an, Hadith Rasulullah SAW dan syair-syair Arab Klasik. Antara tajuknya termasuk :
1. Progrem Ikhwan;
2. Perkembangan dan matlamat perjuangan Islam;
3. Bagaimana kita menarik manusia ke jalan Allah;
4. Menuju ke cahaya;
5. Matlamat dan prinsip kita;
6. Ke mana kita ajak manusia;
7. Harakah Kita;
8. Antara Hari ini dan Hari Esok;
9. Risalah Jihad;
10. Untuk mu Pemuda;
11. Ikhwan Muslimin di bawah Panji-panji Qur'an;
12. Tanggungjawab Muslimat; dan
13. Progrem Rohani.
Buku-buku yang ditulis oleh Ikhwan yang lain termasuk :
1. Ikhwanul Muslimin di mata dunia;
2. Palestin dan Afrika Utara;
3. Keruntuhan Tamaddun Barat Moden; dan
4. Islam terus melangkah ke hadapan.

Ikhwan juga mengeluarkan risalah-risalah dan riwayat hidup Hassan al Banna. Penerbitan ini bukan sahaja popular di Mesir malah ianya terkenal diseluruh negara-negara yang berbahasa Arab. Tidak terdapat satu pun pergerakan Islam di negara Arab di zaman moden ini yang dapat menghasilkan minat orang yang begitu kuat terhadap perjuangan Islam serta mendidik mereka dengan semangat Islam. Ini semua adalah kesan dari tulisan-tulisan yang gagah yang ditulis oleh penulis-penulis Muslimin dan Muslimat Ikhwanul Muslimin.
Daripada awal lagi, Ikhwan menerima Muslimat menyertai harakahnya. Sayap Muslimat Ikhwanul Muslimin mempunyai dasar perjuangan yang sama dengan Muslimin walaupun terdapat sedikit ubah suai untuk memenuhi sifat kewanitaan Muslimat. Penekanan yang berat diberi untuk menghasilkan individu-individu Muslimat yang mulia, berakhlak dan suci. Aktiviti Muslimat berkisar pada pendidikan dan kebajikan masyarakat berdasarkan Islam.
Di antara ciri yang menonjol bagi Harakah Ikhwanul Muslimin ialah penekanannya yang berterusan terhadap kepentingan JIHAD. Jihad yang diajar oleh Ikhwan ialah Jihad yang difahami oleh semua orang Islam iaitu Jihad yang tidak mempunyai sebarang unsur tolak ansur. Bukannya konsep JIHAD yang direka-reka oleh Puak Modernist. Ikhwan menganggap bahawa ibadat dan amal soleh seseorang Islam itu sia-sia jika ia tidak bersedia untuk mengorbankan nyawanya demi untuk mempertahankan Agama Islamnya. Bersedia untuk mati tanpa mengharapkan sebarang balasan dunia melainkan semata-mata cintakan Allah dan hari Akhirat. Al Ikhwanul Muslimin menaikkan semangat jihad dengan cara menggalakkan pemuda Islam melakukan latihan menguatkan tubuh badan untuk persediaan perang. Akhirnya mereka menubuhkan Unit tentera mereka sendiri untuk mempertahankan harakah apabila diperlukan.

Sheikh Hassan al Banna berkali-kali mengajak orang kampung supaya berjihad menumpas penjajah British dan menghalau mereka selama-lamanya dari Mesir. Beliau tidak bertolak ansur langsung dalam masalah ini dan beliau tidak mempercayai langsung pendapat dan fikiran bahawa masalah ini dapat diselesaikan melalui perbincangan dan mesyuarat yang tidak membawa ke mana-mana. Di dalam peperangan Palestin pada tahun 1948, pasukan sukarelawan Ikhwan Muslimin adalah pasukan yang paling berani berperang di pihak Arab. Apabila Bangsa-Bangsa Bersatu mengiktiraf penubuhan negara Yahudi di Palestin, Sheikh Hassan al Banna menyeru semua negara Islam meninggalkan Bangsa-Bangsa Bersatu dan berjihad menentang Yahudi.
Sheikh Hassan al Banna dan penyokongnya dengan terang-terang dan berani melaungkan bahawa Islam sajalah agama yang terbaik dan penyelesai kepada semua masalah yang dihadapi oleh Mesir. Matlamat Ikhwanul Muslimin ialah untuk mendirikan masyarakat dan negara Islam di mana Syariah Islam menjadi undang-undang negara. Hassan al Banna berkata :
"Kita tidak akan berdiam diri dan bersenang hati atau berhenti selagi Qur'an benar-benar menjadi perlembagaan negara. Kita akan hidup untuk mencapai matlamat ini atau mati dalam usaha melaksanakannya".
Al Ikhwanul Muslimin tidak berpuas hati dengan undang-undang negara yang hanya meletakkan Islam sebagai Agama Negara. Mereka mendesak supaya undang-undang Islam dijalankan sepenuhnya di mana kerajaan dan rakyat tunduk kepada undang-undang Allah.
Sheikh Hasan al Banna berkata dalam satu ucapannya :
"Al Ikhwanul Muslimin memegang sikap bahwa Islam mempunyai implikasi yang luas dan menyeluruh. Islam mengawal semua tingkah laku individu dan masyarakat. Setiap sesuatu mestilah tunduk di bawah undang-undangNya dan mengikut ajaranNya. Sesiapa yang menurut Islam dari segi Ibadat saja tetap meniru orang kafir dalam semua hal lain boleh dianggap sama taraf dengan orang kafir".
Di dalam jawapan kepada salah seorang pemimpin politik di zamannya, beliau berkata :
"Kami mengajak kamu kepada Islam, ajaran Islam, undang-undang Islam dan petunjuk Islam. Kalau ini dianggap politik oleh kamu maka inilah politik yang kami perjuangkan".Oleh kerana Demokrasi tulin tidak wujud di Mesir, Hassan al Banna memerintah supaya semua parti politik dibubarkan termasuk Sistem Parlimen kerana ini semua tidak menghasilkan apa-apa melainkan keruntuhan moral dan perebutan kuasa. Hassan al Banna dan pengikutnya berkeyakinan bahawa tidak ada satu pun parti politik Mesir yang wujud di zaman Raja Farouk benar-benar ingin melaksanakan undang-undang Islam atau cinta kepada Islam. Ikhwanul Muslimin bercita-cita untuk menubuhkan sebuah negara Islam Mesir yang kuat dan memansuhkan semua parti-parti yang ada. Begitulah tegasnya sikap al Ikhwanul Muslimin sehinggakan menjadi syarat bagi sesiapa yang ingin menjadi ahli harakahnya berhenti dari menjadi ahli sebarang parti politik yang ada di Mesir pada zaman Raja Farouk.
Walaupun al Ikhwanul Muslimin menyokong Nasionalis Arab Sekular dalam soal membebaskan Mesir dari belenggu Penjajah, dan kesatuan Arab, ini bukanlah menjadi matlamat tetapi cara saja. Menyatukan bangsa Arab adalah langkah pertama kepada penyatuan Ummat Islam di negara Arab. Bebas dari penjajahan bermakna Ummat Islam mempunyai kesempatan untuk menubuhkan sebuah negara Islam.
Malangnya apabila tergulingnya Raja Farouk dalam Revolusi 23hb. Julai 1952, negara Mesir ditukar kepada sebuah Negara Nasionalis Sekular tulin serta terus melanjutkan polisi membaratkan Mesir seperti yang dibuat oleh pemerintah dahulu. Masa telah membuktikan bahawa pemerintah yang baru adalah sama ganasnya terhadap pergerakan Islam seperti pemerintah yang dulu juga malah mereka lebih tamak, zalim dan gila kuasa.

Al Ikhwanul Muslimin bukan mahukan kuasa untuk kepentingan diri sendiri, malah mereka berjanji berkali-kali untuk menyokong sesiapa yang memerintah asalkan undang-undang Islam dijalankan. Semua ini ditolak mentah oleh diktator Tentera yang baru berkuasa itu. Presiden Gamal Abdul Nasser pernah berkata :
"Saya telah bertemu dengan Ketua Penasihat Ikhwanul Muslimin yang telah membuat beberapa tuntutan kepada saya. Perkara pertama yang dia mahu ialah semua wanita diwajibkan menutup aurat. Dia juga mendesak supaya ditutup semua panggung wayang dan tempat pementasan. Dengan lain perkataan dia mahu supaya hidup kita gelap dan mendung. Sudah tentulah menjadi perkara mustahil untuk kita melaksanakannya".

Percubaan untuk menbunuh Presiden Gamal Abdul Nasser pada December 1954, menjadi alasan yang baik yang ditunggu-tunggu oleh kerajaan untuk menghancurkan Ikhwan al Muslimin. Ikhwan telah dituduh melakukan penembakan itu walaupun Ikhwan berkali-kali menafikannya. Beribu-ribu anggota Ikhwan telah ditangkap, dipenjara dan 6 orang telah digantung hingga mati. Protes dari dunia Islam tidak dilayan langsung. 12 tahun selepas peristiwa itu, iaitu pada tahun 1961, al Ikhwanul Muslimin telah difitnah sekali lagi sebagai penyebab kepada kegagalan dan kemunduran negara. Akhirnya Presiden Nasser telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas yang penting untuk 'menghapuskan pengaruh gerakan apa yang dipanggil reaksionari Ikhwanul Muslimin'.

Beliau (Gamal Abdul Nasser) telah mencadangkan supaya kuasa ketenteraan dan undang-undang digunakan untuk menghancurkan Harakah Islam ini. Sebahagian dari cadangan yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Khas itu telah disiarkan dalam An-Nadwa, Mekah seperti berikut :
1. Mata Pelajaran Deeniyah (agama) mestilah dibuang terus dari sukatan pelajaran di Institusi Pengajian di seluruh negara. Semuanya itu akan digantikan dengan kurikulum baru berdasarkan prinsip sosialisma.
2. Komunis mestilah dibantu dan diberi peluang yang luas untuk menghancurkan agama supaya martabat mereka yang berugamaa di Mesir hancur. Tanggungjawab ini diberikan kepada kerajaan yang akan mengizinkan komunis menjalankan aktiviti anti agamanya dengan selantang-lantangnya. Sementara itu agama akan ditindas dari sebarang peluang untuk bergerak.
3. Selepas kita mengkaji dengan dengan mendalam tentang mereka yang tidak terikat dengan Ikhwan tetapi memainkan peranan yang sama dengan Ikhwan, kita merumuskan bahawa kedua-dua kumpulan pendakyah-pendakyah ini bersatu dari segi fikrah dan amalannya. Oleh itu kedua kumpulan ini mestilah dipisahkan dan pertalian mereka diputuskan. Kalau tidak, harinya tidak akan lama di mana mereka akan berganding bahu untuk memberontak menentang kerajaan secara terbuka. Pada masa itu kita akan susah untuk membezakan antara satu dengan yang lain. Adalah wajar kalau kita elakkan bahaya ini dengan menganggap bahawa kedua kumpulan itu adalah sama. Semua ruang untuk perkembangan mereka serta peluang bagi aktiviti intelektual dan praktikal mereka mestilah dihalang. Penyiasatan yang rapi hendaklah dijalankan bagi mengetahui berkenaan dengan perjumpaan dan hubungan mereka antara satu sama lain. Semua ahli ibadat dari sebarang agama mestilah diharamkan dari menjadi ahli sebarang organisasi. Mereka hendaklah juga diharamkan dari tempat-tempat awam, propaganda kebangsaan dan keramaian-keramaian negara.
4. Ikhwan dan simpati-simpatinya mestilah ditindas berterusan serta dipenjarakan. Semua usaha untuk menjaga keselamatan harta benda mereka hendaklah ditarik balik dan diumumkan bahawa keselamatan mereka pun tidak akan dijamin. Berbagai-bagai penyiksaan, penghinaan dan penindasan mestilah dilakukan ke atas mereka supaya mereka tidak akan merasa senang walaupun sesaat.

Akibat dari polisi ini, beribu-ribu Ikhwan termasuk Muslimat ditangkap dengan tidak ada peluang membela diri dan mereka diazab dengan penyiksaan yang tidak ada tolok bandingnya. Hassan Ismail Hudaybi, seorang hakim dan ulamak terkenal yang menggantikan Hassan al Banna debagai Ketua Penasihat Ikhwan telah disiksa walaupun umurnya sudah tua dan uzur. Pada 29hb. Ogos, 1966 tiga orang pemimpin Ikhwan telah dihukum bunuh. Yang paling terkenal di antara tiga itu ialah Ash-Shaheed Sayyid Qutb yang juga seorang ulamak dan penulis terkenal di dunia Arab. Adiknya Muhammad Qutb yang juga seorang penulis yang terkenal. Dua orang adik perempuannya, Aminah dan Hamidah Qutb pun turut dikurung dalam penjara bertahun-tahun lamanya. Beberapa tahun dahulu. Sheikh Hassan al Banna telah meramalkan mala petaka ini dan memberi amaran kepada pengikut-pengikutnya bahawa Ikhwanul Muslimin akan dihina, ditentang, ditahan, dianiaya, disiksa dan akan dikenakan kesusahan yang amat pahit. Sementara itu beliau berjanji bahawa kemenangan di dunia dan di akhirat akan tetap bersama Ikhwan akhirnya.

Walaupun Ikhwan al Muslimin ditindas di negaranya sendiri, Ikhwan di Syria, Jordan, Lebanon dan Sudan terus bergiat dengan aktivitinya. Di Geneva, Dr. Said Ramadhan mengahwini anak perempuan Hassan al Banna dan menyibarkan prinsip perjuangan Islam di Barat dengan hebat. Beliau keluar dari Mesir apabila beliau dijatuhkan hukuman bunuh oleh kerajaan Mesir.

"Adalah salah kalau kita menganggap prinsip perjuangan Ikhwanul Muslimin telah mati. Penulis rencana ini telah pergi ke Mesir dan Syria serta melihat dengan mata kepalanya sendiri kesan dari harakah ini di sana. Kehilangan sementara harakah dari masyarakat kerana situasi tertentu, tidak bermakna ianya telah mati. Pergerakan berideologi tidak mati dengan cara ini. Mesejnya masih terus berkembang di semua lapangan hidup termasuk intelektual, sosial dan kebudayaan. Malah prinsip perjuangan Ikhwan subur dan menjelajahi tanah-tanah baru. Apabila sekatan yang dikenakan oleh penzalim diturunkan, Ikhwan InsyaAllah akan muncul dengan lebih gagah dan bersemangat. Inilah keadaan Ikhwan yang sebenarnya. Tetapi, apakah yang telah berlaku kepada Parti Sekular di Mesir ? Di manakah perginya Wafd Party sekarang ? Ke manakah juga perginya Sa'adist Party ? Saya harap cerdik pandai dapat pergi ke Mesir dan mengkaji sendiri keadaan di sana. Apabila berlakunya penindasan dari regim pemerintah, pergerakan manakah yang lebih gigih menghadapinya ?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ ArTiKaL ~ :- NiLaI SeJaRah BeRdAsArkaN Al-QuRan -:

Apabila disebut tentang sejarah, lazimnya kebanyakan kita akan menggambarkan ia sebagai suatu topik yang membosankan. Sejarah secara stereotaip, dilabel sebagai penghikayatan sesuatu yang telah berlalu dan sukar untuk dilihat kena-mengenanya ia dengan semasa, atau apa pentingnya untuk terus diberikan perhatian. Apatah lagi di dalam sistem pendidikan kita yang banyak dipengaruhi oleh orientasi peperiksaan, sejarah diolah dan dianalisa dengan cara yang amat sepi dari unsur-unsur yang boleh mencelikkan mata.

Apakah benar sejarah itu demikian sifatnya? Jika benar sejarah itu membosankan, maka lebih satu pertiga al-Quran, adalah topik yang membosankan. Al-Quran yang progresif, berdaya maju serta menjadi pendorong kejayaan, mengemukakan aspek sejarah sebagai tubuh badannya yang utama. Selain ayat-ayat yang berkaitan dengan aqidah kepercayaan, hukum amali dan akhlak diri, Al-Quran juga membentangkan persoalan sejarah di sebahagian besar lembarannya.

Sesungguhnya Al-Quran telah memberikan suatu definisi yang istimewa kepada Sejarah. Al-Quran memberikan kedudukan yang tinggi kepada Sejarah kerana ia adalah wasilah untuk manusia mendengar bicara Allah tentang Sunnatullah. Sunnatullah yang dimaksudkan ini adalah peraturan atau hukum Allah yang terlaksana ke atas setiap kejadian dan kehidupan di alam ini (Sunnatullah fee al-Kaun wa al-Hayah). Kerana itulah Ibn Khaldun (1332 – 1406M / 732 – 808H) memulakan bicara di dalam Muqaddimahnya yang masyhur itu dengan menghuraikan tentang keutamaan ilmu sejarah. Beliau menegaskan betapa melalui sejarah, kita akan dapat mempelajar tentang Sunnatullah fee al-Kaun wa al-Hayah tersebut. Melalui pengamatan terhadap Sunnatullah inilah, sejarah beroleh nilai dan dengan nilai tersebut, ia menghubung jalinkan sejarah dengan zaman-zaman yang menyusul. Dalam erti kata yang lain, walaupun generasi dan zaman silih berganti, manusia dan sekalian alam tetap tersusun atur mengikut ketetapan Allah yang sama. Beruntunglah mereka yang meneladani sunnah yang baik serta binasalah mereka yang memilih untuk mengulangi sejarah yang hitam! [Muqaddimah Ibn Khaldun, mukasurat 8, Dar al-Kutb al-Ilmiyyah, Beirut 1993 /1413]

Bahkan Al-Imam Shamsuddin Muhammad bin Abd al-Rahman al-Sakhawi (1427 - 1497M / 831 - 902H ) telah menulis sebuah kitab yang membela Sejarah dan ahli Sejarah yang sering dikesampingkan oleh masyarakat dan dipandang serong dengan pelbagai persepsi negatif. Kitab Al-I’lan bi at-Taubikh liman Dzamma Ahl at-Tarikh (‘Penyataan Terbuka Berbentuk Kutukan Kepada Sesiapa yang Mencela Ahli Tarikh’) memanifestasikan prinsip yang dipegang oleh ilmuan Islam bahawa sejarah itu adalah topik al-Quran. Oleh yang demikian, metodologi Islam bagi disiplin ilmu sejarah adalah amat kemas dan sistematik kerana asas ilmu tersebut, wasilah serta matlamat yang hendak dicapai adalah tepat dan jelas.

Maka amat malang jika umat Islam yang sinonim dengan disiplin sejarah itu mengabaikannya. Mentaliti terpilih amat jarang diperuntukkan untuk mendalami sejarah. Fakulti-fakulti sejarah di menara gading juga kurang menonjol di tengah masyarakat sebagaimana fakulti lain yang lebih segera membawa pulangan terhitung (measurable output). Benarlah kata seorang pemikir Islam dan tokoh politik yang terkenal di Turki, Profesor Necmettin Erbakan, bahawa “masyarakat yang tidak mempunyai sejarah (tidak mempedulikan sejarah) tidak mempunyai masa depan (tiada tempat baginya di masa hadapan)

AL-QURAN DAN SEJARAH
Catatan sejarah di dalam al-Quran terungkap di dalam apa yang dikenali sebagai Al-Qasas al-Qurani (Kisah-kisah Al-Quran). Ia disifatkan oleh al-Quran sebagai ahsan al-Qasas atau sebaik-baik kisah [Yusuf: 3] dan juga sebagai kisah yang benar [Ali Imran: 62]. Sifat sejarah yang berteraskan Al-Quran itu, menjadi batu asas kepada ilmuan Islam membina disiplin metodologi ilmu sejarah.

Walau bagaimana pun, Al-Quran mempunyai matlamat tersendiri terhadap penghikayatan sejarah. Al-Quran tidak berhasrat untuk melonggokkkan fakta-fakta yang maha panjang itu kerana tujuan penceritaan sejarah oleh Al-Quran itu berbeza. Sheikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi di dalam penulisannya Al-Qasas Al-Qurani: ‘Ardh Waqaa’ie wa Tahleel Ahdath [Dar al-Qalam, Damascus, 1998 / 1419] telah menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga matlamat sejarah berdasarkan al-Quran.

i.Supaya Manusia Berfikir
Allah SWT menyebut di dalam surah al-A’raaf ayat 176:
“Dan ceritakanlah kisah-kisah tersebut, mudah-mudahan mereka berfikir”
Ini adalah tujuan pertama mempelajari sejarah berdasarkan disiplin al-Quran. Manusia diseru supaya menjadikan sejarah dan pengiktibarannya sebagai bahan berfikir. Mudah-mudahan melalui pengamatan yang dibuat oleh manusia yang memanfaatkan gabungan sejarah dan akal fikirannya itu, akan terserlahlah panduan hidup bagi mereka. Berfikir ini jugalah yang boleh membantu menyelamatkan manusia daripada tuli telinga, mati hati dan buta dalam celik.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah Al-Hajj ayat 45 – 46:
“Maka bukan sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar dan istana yang tersergam (telah kosong ditinggalkan). Oleh itu bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan tersebut mereka menjadi orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami. Atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu adalah mata hati yang ada di dalam dada.”

Sesungguhnya berfikir itu adalah kewajipan umat Islam yang diperintahkan berulang kali oleh Al-Quran. Kelalaian seseorang daripada menjadi manusia yang berfikir, adalah petanda bahawa dirinya jauh dari Al-Quran, seterusnya terpinggir dari hidayah
.

ii.Ibrah (Pengajaran) Bagi Mereka Yang Sempurna Akal Fikiran
Allah SWT menyebut di dalam surah Yusuf ayat 111:
“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat ‘ibrah (pengajaran) bagi mereka yang sempurna akan fikirannya. Ia bukanlah bicara yang direka-reka bahkan suatu kenyataan yang mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab yang terdahulu daripadanya. Serta sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman”

Sesungguhnya sejarah itu penuh iktibar dan ia hanya dapat dikesan oleh mereka yang memanfaatkan akal fikiran kurniaan Allah. Ayat di atas merupakan kesimpulan yang Allah SWT letakkan selepas mengakhiri kisah Nabi Yusuf AS. Jelas sekali, kisah berkenaan bukanlah dibentangkan untuk menjadi ‘halwa telinga’ dan modal penglipurlara. Sejarah menurut Al-Quran, adalah bicara yang penuh iktibar.

Namun, di sana terdapat kehalusan Al-Quran memilih istilah. Pengajaran dari sejarah, diistilahkan oleh Al-Quran sebagai ‘IBRAH’. Ia adalah kalimah yang mempunyai seni tersendiri, berbeza dengan penggunaan kalimah Duroos atau Mau’idhah yang boleh membawa makna literal yang hampir sama.

Menurut Al-Imam Ar-Raghib di dalam kitabnya Al-Mufradaat, kalimah Ibrah ini berasal dari kata akar ‘aa-baa-raa’ yang bermaksud peralihan atau penghubung di antara sesuatu dengan sesuatu yang lain. Kerana itulah perbuatan menyeberang sungai disebut sebagai ‘aa-baa-raa kerana ia menghubungkan satu tebing dengan tebing jalan yang satu lagi. Malah jarum juga diisitilahkan oleh Al-Quran dengan kata akar ‘aa-baa-raa kerana perbuatan jarum adalah mencantumkan sehelai kain dengan sehelai kain yang lain supaya ia menjadi pakaian yang boleh diguna pakai.

Maka teladan atau Ibrah dari sejarah menurut Al-Quran bukan sebarang teladan. Ia adalah teladan yang bersifat mencantumkan sesuatu dengan sesuatu. Sesungguhnya manusia yang sempurna akal fikirannya, apabila mereka membaca kisah-kisah Al-Quran, dengan pantas kisah tersebut akan dihubungkan dengan diri mereka, suasana mereka berada dan kehidupan yang mereka alami pada masa itu.

Kisah Al-Quran bukan kisah ‘mereka’. Sebaliknya ia adalah bicara tentang diri kita semua, tetapi diperkatakan oleh Allah SWT dengan bahasa watak dan peristiwa yang silam. Dalam erti kata yang lain, sejarah itu adalah cermin. Dengan disiplin pembacaan seperti itu, barulah sempurna proses meneladani sejarah kerana matlamat kisah di dalam Al-Quran adalah untuk menjadi cermin kepada generasi manusia agar melihat diri mereka di dalam kerangka Sunnatullah.

iii. Menguatkan Hati Orang-orang Yang Beriman
Allah SWT berfirman di dalam surah Hud ayat 120:
“Dan tiap-tiap berita dari perkhabaran para Rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) untuk menguatkan hati kamu dengannya. Dan telah datang kepadamu di dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.”

Sesungguhnya ayat di atas menjelaskan kepada kita bahawa Allah SWT menghendaki daripada pembentangan kisah-kisah Al-Quran itu, kekuatan hati bagi Nabi SAW serta hati sahabat, pengikut dan sekalian umatnya di setiap tempat dan zaman.

Ayat ini terletak di penghujung Surah Hud iaitu selepas Allah SWT membentangkan himpunan kisah para Rasul seperti Nuh, Hud, Saleh, Ibrahim, Lut, Syuaib dan Musa Alayhim As-Solaah wa As-Salaam. Kisah-kisah ini mengukuhkan hati Nabi Muhammad SAW kerana ia menyedarkan Baginda bahawa dirinya tidak bersendirian di jalan dakwah yang penuh cabaran itu. Bahkan para Rasul itu telah diuji sebagaimana Baginda diuji, mereka ditentang sebagaimana Baginda ditentang, mereka bersabar sebagaimana Baginda bersabar dan mereka dibantu dan dimenangkan oleh Allah sebagaimana Allah memenangkan Nabi Muhammad SAW. Teladan ini juga menguatkan hati para sahabat dan sekalian umat Baginda SAW kerana kita semua menyusuri jalan yang sama, dengan tabiat jalan dan kesudahan yang pasti sama.

HAJAT UMAT ISLAM KEPADA SEJARAH
Demikianlah Al-Quran mengutarakan nilai sejarah berasaskan kepada manhajnya yang Rabbani. Bagi umat Islam yang peka kepada sejarah itu, mereka sentiasa berada di tahap kesedaran yang maksima tentang realiti hidup. Mereka yakin dengan petunjuk yang ada dan mereka pasti dengan kesudahan yang dijanjikan.

Bahkan dari aspek dakwah, menjadikan sejarah sebagai sandaran hujah adalah suatu keperluan yang nyata. Sejarah adalah dalil yang universal dan pembuktiannya menundukkan perbalahan. Untuk berhujah semata-mata dengan nas naqli, ada kalanya kita berhadapan dengan golongan yang menolak kepercayaan kepada Al-Quran dan Sunnah. Sudah tentu apa yang benar dan pasti pada kita, tidak ‘dibeli’ oleh golongan seperti itu. Namun, jika fakta yang sama dapat dibuktikan oleh sejarah, maka ia menjadi suatu kebenaran yang universal.

Sebagai contoh, untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat non-Muslim tentang hak-hak mereka di dalam sebuah pemerintahan Islam, gabungan dalil naqli dan sejarah mesti diusahakan. Mereka perlu melihat bagaimana nas naqli itu dipraktikkan oleh sebuah pemerintahan Islam. Oleh yang demikian, perincian terhadap polisi pemerintahan Nabi Muhammad SAW, era Khulafa’ sehinggalah membawa kepada era pemerintahan Islam terdekat iaitu pemerintahan Othmaniyyah di Turki, boleh berfungsi sebagai bukti amali tentang jaminan Islam ke atas hak-hak non-Muslim.

Inilah yang perlu kita terokai bersama. Berbekalkan manhaj Al-Quran di dalam membuat penilaian sejarah, catatan-catatan silam ini perlu dibongkar bersama. Semoga dengan akal dan hati yang celik sejarah, kita akan mampu menjana perancangan yang realistik, praktikal dan terpimpin di jalan hidayah. Sesungguhnya masyarakat yang buta sejarah, akan buta menuju masa depan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ ArTiKaL ~ :- CinTa -:
Cinta adalah satu perkataan yang tidak asing lagi di telinga kita. Apalagi dikalangan remaja, kerana sudah menjadi anggapan umum bahawa cinta sinonim dengan ungkapan rasa sepasang sejoli yang mabuk asmara. Ada yang mengatakan cinta itu suci, cinta itu agung, cinta itu indah dan terlalu indah hingga tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata, hanya dapat dirasakan dan sebagainya. Bahkan ada yang menggambarkan oleh kerana tersangat indahnya cinta, syaitan pun berubah menjadi bidadari " racun dirasa bagaikan madu? ". Yang jelas kerana cinta, ramai orang yang merasa bahagia namun sebaliknya kerana cinta ramai pula yang tersiksa dan merana. Cinta dapat membuat seseorang menjadi sangat mulia, dan cinta pula yang menjadikan seseorang menjadi sangat tercela.

Kita tahu bagaimana kecintaan Khadijah RA kepada Rasulullah SAW yang rela mengorbankan apa sahaja yang dimilikinya dengan perasaan bahagia demi perjuangan si kekasih yang menjadikannya mulia. Sebaliknya ada pemudi yang mengorbankan kehormatannya demi untuk menyenangkan si kekasih yang dia lakukan atas nama cinta. Atau ada remaja yang menghabiskan nyawanya dengan Baygon ( na’udzubillahi min zalik ) hanya kerana cinta. Cinta yang sedemikianlah yang membawanya kepada kehinaan.
Lalu, apa sebenarnya makna daripada cinta?
Benarkah cinta hanyalah sepenggal kata namun mengandung sejuta makna?Atau pendapat para filosofi bahawa makna cinta tergantung siapa yang memandang?

Rupanya tepat seperti uangkapan Ibnu Qayyim Al Jauziah tentang cinta, bahwasanya, " Tidak ada batasan tentang cinta yang lebih jelas daripada kata cinta itu sendiri. "

Ada pun kata cinta itu sendiri secara bahasa adalah kecenderungan atau keberpihakan. Bertolak dari sini cinta dapat didefinisikan sebagai sebuah gejolak jiwa dimana hati mempunyai kecenderungan yang kuat terhadap apa yang disenanginya sehingga membuat untuk tetap mengangankannya, menyebut namanya, rela berkorban atasnya dan menerima dengan segenap hati apa adanya dari yang dicintainya serasa kurang sekalipun, dan ia tumpahkan dengan kata-kata dan perbuatan
.
Pandangan Islam terhadap Cinta
Cinta dalam pandangan Islam adalah suatu perkara yang suci. Islam adalah agama fitrah, sedang cinta itu sendiri adalah fitrah kemanusiaan. Allah telah menanamkan perasaan cinta yang tumbuh di hati manusia. Islam tidak pula melarang seseorang untuk dicintai dan mencintai, bahkan Rasulullah menganjurkan agar cinta tersebut diutarakan.

" Apabila seseorang mencintai saudaranya maka hendaklah ia memberitahu bahawa ia mencintainya. " HR Abu Daud dan At-Tirmidzi

Seorang muslim dan muslimah tidak dilarang untuk saling mencintai, bahkan dianjurkan agar mendapat keutamaan-keutamaan. Islam tidak membelenggu cinta,kerana itu Islam menyediakan penyaluran untuk itu ( mithalnya lembaga pernikahan ) dimana sepasang manusia diberikan kebebasan untuk bercinta.

" Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu ( wahai kaum lelaki ), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu ( suami isteri ) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan ( yang menimbulkan kesedaran ) bagi orang-orang yang berfikir. " Q.S Ar-Ruum : Ayat 21

Ayat di atas merupakan jaminan bahawa cinta dan kasih sayang akan Allah tumbuhkan dalam hati pasangan yang bersatu kerana Allah ( setelah menikah ). Jadi tak perlu menunggu " jatuh cinta dahulu " baru berani menikah, atau pacaran dahulu baru menikah sehingga yang menyatukan adalah si syaitan durjana ( na’udzubillahi min zalik ). Jadi Islam jelas memberikan batasan-batasan, sehingga nantinya tidak timbul fenomena kerosakan pergaulan dalam masyarakat.

Dalam Islam ada peringkat-peringkat cinta, siapa yang harus didahulukan / diutamakan dan siapa / apa yang harus diakhirkan. Tidak boleh kita menyetarakan semuanya.

" ( Walaupun demikian ), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah ( untuk menjadi ) sekutu-sekutu ( Allah ), mereka mencintainya, ( memuja dan mentaatinya ) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta ( taat ) kepada Allah dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman ( syirik ) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, ( nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu ). " Q.S Al-Baqarah : Ayat 165
Menurut Syaikh Ibnul Qayyim, seorang ulama di abad ke-7, ada enam peringkat cinta ( maratibul - mahabah ), iaitu :
1. Peringkat ke 1 dan yang paling tinggi / paling agung adalah tatayyum, yang merupakan hak Allah semata-mata.
" Sesungguhnya sholatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Rabbul ‘alamiin. "
" Sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta ( taat ) kepada Allah " Q.S Al-Baqarah : Ayat 165

Jadi, ungkapan-ungkapan seperti : " Kau selalu di hatiku, bersemi di dalam kalbu "atau " Kusebutkan namamu di setiap detak jantungku, "
" Cintaku hanya untukmu, " dan sebagainya seharusnya ditujukan kepada Allah.Kerana Dialah yang memberikan kita segala nikmat / kebaikan sejak kita dilahirkan, bahkan sejak dalam rahim ibu. Jangan terbalik, baru diberi sekelumit cinta dan kenikmatan dari si " darling " kita sudah hendak menyerahkan jiwa raga kepadanya yang merupakan hak Allah. Lupa kepada Pemberi Nikmat,

" Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan ( pada ) pertukaran malam dan siang dan ( pada ) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga ( pada ) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga ( pada ) peredaran angin dan awan yang tunduk ( kepada kuasa Allah ) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya ( pada semuanya itu ) ada tanda-tanda ( yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya dan keluasan rahmatNya ) bagi kaum yang ( mahu ) menggunakan akal fikiran. " Q.S Al-Baqarah : Ayat 164

2. Peringkat ke 2; 'isyk yang hanya merupakan hak Rasulullah SAW Cinta yang melahirkan sikap hormat, patuh, ingin selalu membelanya, ingin mengikutinya, mencontohinya, dan sebagainya, namun bukan untuk menghambakan diri kepadanya.
" Katakanlah ( wahai Muhammad ) : Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan ( ingatlah ), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. " Q.S Aali Imran : Ayat 31

3. Peringkat ke 3; syauq iaitu cinta antara mukmin dengan mukmin lainnya. Antara suami isteri, antara orang tua dan anak, yang membuahkan rasa mawaddah wa rahmah.

4. Peringkat ke 4; shababah iaitu cinta sesama muslim yang melahirkan ukhuwah Islamiah.

5. Peringkat ke 5; ‘ithf ( simpati ) yang ditujukan kepada sesama manusia. Rasa simpati ini melahirkan kecenderungan untuk menyelamatkan manusia, berdakwah, dan sebagainya.

6. Peringkat ke 6 adalah cinta yang paling rendah dan sederhana, iaitu cinta / keinginan kepada selain dari manusia : harta benda. Namun keinginan ini sebatas intifa’ ( pendayagunaan / pemanfaatan ).

Hubungan Cinta dan Keimanan
Dalam Islam cinta dan keimanan adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Cinta yang berlandaskan iman akan membawa seseorang kepada kemuliaan; sebaliknya cinta yang tidak berlandaskan iman akan menjatuhkan seseorang ke jurang kehinaan. Cinta dan keimanan laksana kedua belah sayap burung. Al Ustadz Imam Hasan Al Banna mengatakan bahawa " dengan dua sayap inilah Islam diterbangkan setinggi-tingginya ke langit kemuliaan. " Bagaimana tidak, jikalau iman tanpa cinta akan pincang, dan cinta tanpa iman akan jatuh ke jurang kehinaan. Selain itu iman tidak akan terasa lazat tanpa cinta dan sebaliknya cinta pun tidak lazat tanpa iman.

Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW; " Barangsiapa ingin memperoleh kelazatan iman, hendaklah ia mencintai seseorang hanya kerana Allah SWT. " Riwayat Imam Ahmad, dari Abu Hurairah

Tidak hairanlah ketika ‘Uqbah bin Al Harits telah bercerai dengan isteri yang sangat dicintainya Ummu Yahya, atas persetujuan Rasulullah SAW hanya kerana pengakuan seorang wanita tua bahawa ia telah menyusukan pasangan suami isteri itu di saat mereka masih bayi. Allah mengharamkan pernikahan saudara sesusuan. Demikian pula kecintaan Abdullah bin Abu Bakar kepada isterinya, yang terkenal kecantikannya, keluhuran budinya dan keagungan akhlaknya. Ketika ayahnya mengamati bahawa kecintaannya tersebut telah melalaikan Abdullah dalam berjihad di jalan Allah dan memerintahkan untuk menceraikan isterinya. Pemuda Abdullah memandang perintah tersebut dengan kacamata iman, sehingga dia rela menceraikan belahan jiwanya tersebut demi mempererat kembali cintanya kepada Allah.

Subhanallah, pasangan tersebut telah bersatu kerana Allah, saling mencintai kerana Allah, bahkan telah bercinta kerana Allah, namun mereka juga rela berpisah kerana Allah. Cinta kepada Allah di atas segalanya.

Bagaimana pula halnya dengan pasangan yang terlanjur jatuh cinta, atau yang ‘berpacaran’ atau sudah bercinta sebelum menikah?

Hanya ada dua jalan; bersegeralah menikah atau berpisah kerana Allah, nescaya akan terasa lazat dan manisnya iman. Dan janganlah mencintai ‘si dia’ lebih daripada cinta kepada Allah dan RasulNya.

Dari Anas ra, dari Nabi SAW, beliau bersabda;
" Ada tiga perkara dimana orang yang memilikinya akan merasakan manisnya iman, iaitu mencintai Allah dan rasulNya melebihi segala-galanya, mencintai seseorang hanya kerana Allah, dan enggan untuk menjadi kafir setelah diselamatkan Allah daripadanya sebagaimana enggannya kalau dilempar ke dalam api. " HR. Bukhari dan Muslim

Dari Abu Hurairah RAa, Rasulullah SAW bersabda;
" Demi zat yang jiwaku ada dalam genggamanNya, kamu sekalian tidak akan masuk syurga sebelum beriman, dan kamu sekalian tidaklah beriman sebelum saling mencintai. "HR Muslim

Cinta Kepada Allah, Itulah yang Hakiki
Cinta bagaikan lautan, sungguh luas dan indah. Ketika kita tersentuh tepinya yang sejuk, ia mengundang untuk melangkah lebih jauh ke tengah, yang penuh rintangan, hempasan dan gelombang pada siapa sahaja yang ingin mengharunginya. Namun carilah cinta yang sejati, di lautan cinta berbiduk ‘takwa’ berlayarkan ‘iman’ yang dapat melawan gelombang syaitan dan hempasan nafsu, insyaAllah kita akan sampai kepada tujuannya iaitu : cinta kepada Allah, itulah yang hakiki, yang kekal selamanya. Adapun cinta kepada makhlukNya, pilihlah cinta yang hanya berlandaskan kecintaan kepada Allah dan RasulNya. Bukan kerana pujuk rayu syaitan, bukan pula kerana desakan nafsu yang menggoda.
Cintailah Allah, berusahalah untuk menggapai cintaNya. Menurut Ibnu Qayyim, ada 10 perkara yang menyebabkan orang mencintai Allah SWT :
1. Membaca Al-Quran dan memahaminya dengan baik.
2. Mendekatkan diri kepada Allah dengan sholat sunat sesudah sholat wajib.
3. Selalu menyebut dan berzikir dalam segala keadaan dengan hati, lisan dan perbuatan.
4. Mengutamakan kehendak Allah di saat berbenturan dengan kehendak hawa nafsu.
5. Menanamkan dalam hati asma’ dan sifat-sifatnya dan memahami maknanya.
6. Memperhatikan kurnia dan kebaikan Allah kepada kita.
7. Menundukkan hati dan diri ke pangkuan Allah.
8. Menyendiri bermunajat dan membaca kitab sucinya di waktu malam ketika orang sedang nyenyak tidur.
9. Bergaul dan berkumpul bersama orang-orang sholeh, mengambil hikmah dan ilmu dari mereka
10. Menjauhkan sebab-sebab yang dapat menjauhkan kita daripada Allah.

Saling mencintailah kerana Allah agar dapat mendapatkan kecintaan Allah. Dalam hadith Qudsi Allah berfirman; " CintaKu harus Kuberikan kepada orang-orang yang saling mencintai keranaKu, CintaKu harus Kuberikan kepada orang-orang yang saling berkorban keranaKu, dan CintaKu harus Kuberikan kepada orang-orang yang menyambung hubungan keranaKu. "

Hiduplah di bawah naungan cinta dan saling mencintailah kerana keagunganNya, nescaya akan mendapatkan naungan Allah, yang pada hari itu tidak ada naungan selain naunganNya.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda; " Pada hari kiamat Allah berfirman : ‘Dimanakah orang-orang yang saling mencintai kerana keagunganKu? Pada hari yang tiada naungan selain naunganKu ini, Aku menaungi mereka dengan naunganKu. " HR. Muslim

Bahkan Allah memuliakan mereka yang saling mencintai dan bersahabat kerana Allah, yang membuat para nabi dan syuhada merasa iri terhadap mereka mereka. Nasa’i meriwayatkan dengan sanad dari Abu Hurairah ra, Rasulullah bersabda; " Di sekeliling ‘Arsy, terdapat mimbar-mimbar dari cahaya yang ditempati oleh suatu kaum yang berpakaian dan berwajah cahaya pula. Mereka bukanlah para nabi atau syuhada, tetapi para nabi dan syuhada merasa iri terhadap mereka. " Para sahabat bertanya, " Wahai Rasulullah, beritahulah kami tentang mereka! " Beliau bersabda, " Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai, bersahabat,dan saling mengunjungi kerana Allah. "

" Ya Allah, kurniakanlah kepada kami Cinta terhadapMu dan Cinta kepada mereka yang mencintaiMu, dan apa sahaja yang mendekatkan kami kepada CintaMu, dan jadikanlah CintaMu itu lebih berharga bagi kami daripada air yang sejuk bagi orang yang dahaga. "
Akhirul qalam, bertanyalah pada diri kita sendiri :
1. Sudahkah aku menemukan cinta yang hakiki, cinta yang sejati dalam hidup ini?
2. Sejauh mana aku mengenalNya, asma’ ( nama )Nya, sifat-sifatNya, kehendakNya, laranganNya?
3. Seringkah aku mengingatiNya, menyebut namaNya melalui zikir-zikir yang panjang?
4. Seringkah aku mendekatkan diri kepadaNya dengan sholat serta ibadah-ibadah lainnya?
5. Seringkah aku merintih, mengadu dan mengharap kepadaNya melalui untaian doa yang keluar dari lubuk hati.
6. Sudahkah aku mengikuti kehendakNya dan menjauhi larangan-laranganNya?
7. Apakah aku mencintai seseorang keranaNya atau kerana dorongan nafsuku sendiri?
8. Sejauh mana aku berusaha untuk mengekang hawa nafsuku sendiri?
Wallahu'alam Bishshawab

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ ArTiKaL ~ :- DuHai IbU -:
Ketika berusia setahun , ibu suapkan makanan dan mandikan kita. Cara kita ucapakn terima kasih kepadanya hanyalah dengan menangis sepanjang malam.
Apabila berusia 2 tahun, ibu mengajar kita bermain..kita ucapkan terima kasih dengan lari sambil ketawa terkekeh-kekeh apabila dipanggil.
Menjelang usia kita 3 tahun, ibu menyediakan makanan dengan penuhrasa kasih sayang..kita ucapkan terima kasih dengan menumpahkan makanan ke lantai.
Ketika usia 4 tahun , ibu membelikan sekotak pensil warna, kita ucapterima kasih dengan menconteng dinding.
Berusia 5 tahun, ibu membelikan sepasang pakaian baru, kita ucapkanterima kasih dengan bergolek-golek dalam lopak kotor.
Setelah berusia 6 tahun , ibu memimpin tangan kita ke sekolah, kita ucapkan terima kasih dengan menjerit : Tak nak ! Taknak !
Apabila berusia 7 tahun, ibu belikan sebiji bola cara mengucapkan terima kasih ialah kita pecahkan tingkap jiran.
Menjelang usia 8 tahun , ibu belikan ais krim , kita ucapkan terima kasih dengan mengotorkan pakaian ibu.
Ketika usia 9 tahun, ibu menghantar ke sekolah..kita ucapkan terima kasih kepadanya dengan ponteng kelas.
Berusia 10 tahun , ibu menghabiskan masa sehari suntuk menemankan kita kemana sahaja.. kita ucapkan terima kasih dengan tidak bertegur sapa dengannya.
Apabila berusia 12 tahun, ibu menyuruh membuat kerja sekolah..kita ucapkan terima kasih dengan menonton televisyen.
Menjelang usia 13 tahun, ibu suruh pakai pakaian yang menutup aurat..kita ucapkan terima kasih kepadanya dengan memberitahu bahawa pakaian itu tidak sesuai zaman sekarang.
Ketika berusia 14 tahun, ibu terpaksa mengikat perut untuk membayar wang persekolahan dan asrama , kita ucapkan terima kasih kepadanya dengan tidak menulis sepucuk suratpun.
Berusia 15 tahun, ibu pulang daripada kerja dan rindukan pelukan dan ciuman..kita ucapkan terima kasih dengan mengunci pintu bilik.
Menjelang usia 18 tahun , ibu menangis gembira apabila mendapat tahu kita diterima masuk ke IPTA, kita ucapkan terima kasih kepadanya dengan bersuka ria bersama kawan-kawan.
Ketika berusia 19 tahun , ibu bersusah payah membayar yuran pengajian , menghantar ke kampus dan mengheret beg besar ke asrama kita hanya ucapkan selamat jalan pada ibu di luar asrama kerana malu dengan kawan-kawan.
Berusia 20 tahun , ibu bertanya sama ada kita ada teman istimewa, kita kata "Itu bukan urusan ibu".
Setelah berusia 21 tahun , ibu cuba memberikan pandangan mengenai kerjaya kita kata " saya tidak mahu jadi seperti ibu ".
Ketika berusia 22-23 tahun, ibu membelikan perabot untuk rumah bujang kita. Di belakang ibu kita katakan pada kawan-kawan "perabot pilihan ibu aku tidak cantik, tidak berkenan aku!"
Menjelang usia 24 tahun, ibu bertemu dengan bakal menantunya dan bertanyakan mengenai perancangan masa depan, kita menjeling dan merungut "ibu , tooooolongglah"
Ketika berusia 25 tahun, ibu bersusah payah menangung perbelanjaan majlis perkahwinan kita. Ibu menangis dan memeberitahu betapa dia sangat sayangkan kita tetapi kita ucapkan terima kasih kepadanya dengan berpindah jauh.
Pada usia 30 tahun, ibu menelefon memberikan nasihat dan petua mengenai penjagaan bayi..kita dengan megah berkata, "itu dulu, sekarang zaman moden.."
Ketika berusia 40 tahun, ibu menelefon mengingatkan mengenai kenduri kendara di kampung.. kita berkata "kami sibuk, tak ada masa nak datang"
Apabila usia 50 tahun, ibu jatuh sakit dan meminta kita menjaganya, kita bercerita mengenai kesibukan dan kisah-kisah ibu bapa yang menjadi beban kepada anak-anak. Dan kemudian suatu hari, kita mendapat berita ibu meninggal ! Khabar itu bagaikan petir !! dalam lelehan air mata, barulah segala perbuatan kita terhadap ibu menerpa satu persatu?
Jika ibu masih ada, sayangi dia. Jika telah tiada, ingatilah kasih dan sayangnya. Sayangilah ibu kerana kita semua hanya ada seorang ibu kandung.Ya Allah...hindari aku dari menjadi anak derhaka, ampunkan aku Ya Allah, beri aku kekuatan kelapangan dan peluang untuk menjaga ayahbondaku, sesungguhnya Ya Allah aku amat menyayangi mereka, Ya Allah jangan kau ambik merekan tatkala ingin ku layarkn sekuntum kucupan didahi mereka....jangan kau ambil mereka tatkala ikatan pelukan ku semakin erat..aku menyintai mereka Ya Allah..kekalkanlah setiap denyutan nadiku dalam keredahaan mereka Ya Allah....kerana ku tahu keredhaan mereka adalah keredhaan Mu.....
Ya Allah jangan kau ambil mereka ya Allah..aku masih memerlukan mereka ,Ya Allah, aku masih mengemis kasih dan doa mereka, Ya Allah kau layarkan lah segenap barakah mu dilangit dan dibumi untuk ibu dan ayah tercinta Ya Allah aksihani mereka Ya Allah, sesugguhnya tempatkan mereka bersama para solihin di Jannatul Firdaus Ya Allah...

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ ArtiKal ~ :- Hati YaNg SeJaHtEra -:

Allah SWT menyebut di dalam Al-Quran tentang hati yang sejahtera (قلب سليم) sebanyak dua. Sebutan yang pertama adalah berkenaan dengan hati yang sejahtera di dunia, manakala sebutan yang kedua menyentuh tentang Akhirat.
Firman Allah SWT di dalam surah As-Saafaat [37: 83-84]:
إن من شيعته لإبراهيم * إذ جاء ربه بقلب سليم
“Dan di antara golongan yang mendokong (seruannya – Nuh) itu adalah Ibrahim. Iaitu tatkala beliau mendatangi Tuhannya dengan membawa hati yang sejahtera”

Ayat ini dinyatakan oleh Allah SWT berkenaan dengan titik tolak Ibrahim Alayhi as-Salaam mencari kebenaran, melukis garis pemisah dirinya dengan syirik bapa dan kaumnya, serta asas perjuangan Baginda AS sebagai seorang Rasul.

Firman Allah SWT lagi di dalam surah Ash-Shu’araa’ [26: 88-89]:

يوم لا ينفع مال ولا بنون * إلا من أتى الله بقلب سليم

“Hari (Akhirat adalah hari) yang tidak bermanfaat lagi harta mahu pun anak pinak. Kecuali seseorang yang datang kepada Allah dengan membawa hati yang sejahtera”

Ayat kedua ini pula menyatakan tentang kemutlakan hati sebagai satu-satunya bekalan bermanfaat yang dibawa oleh seseorang semasa mengadap Allah Azza wa Jalla di hari Akhirat nanti.

HATI YANG SEJAHTERA

Ia adalah terjemahan Bahasa Melayu kepada istilah asalnya قلب سليم. Hati yang bernilai tinggi itu diistilahkan sebagai hati yang ‘Saleem’. Ia berasal daripada perkataan umbi س ل م yang menghasilkan makna linguistik:

i. Selamat
ii. Penyerahan / kepasrahan / keakuran

Oleh yang demikian, hati yang sejahtera ini terbentuk dengan asasnya yang utama iaitu penyerahan dan ketundukan yang mutlak kepada Allah SWT. Justeru itu hati yang sempurna tidak disebut sebagai “hati yang bahagia” atau(قلب سعيد), bahkan tidak juga “hati yang sihat” atau (قلب صحيح)! Ini adalah kerana, kedua-kedua karakter itu hanyalah serpihan daripada makna yang terkandung di dalam pengertian hati yang sejahtera (قلب سليم).

Memahami maksud yang terkandung di dalam makna hati yang sejahtera adalah amat penting kerana ia adalah kesimpulan kepada bekalan hidup dan bekalan akhirat. Bagi kehidupan di dunia, Allah SWT menyatakan bahawa, Ibrahim Alayhi as-Salaam, khalilNya, mencari Rububiyyah dan Uluhiyyah, menggariskan kebenaran dan menetapkan langkah di dalam perjuangan Baginda sebagai Rasul dengan berbekalkan hati yang sejahtera.

Firman Allah SWT:

إن من شيعته لإبراهيم * إذ جاء ربه بقلب سليم

“Dan di antara golongan yang mendokong (seruannya – Nuh) itu adalah Ibrahim. Iaitu tatkala beliau mendatangi Tuhannya dengan membawa hati yang sejahtera” As-Saafaat [37: 83-84]:

HATI YANG SEJAHTERA DI DUNIA

Ulama’ Tafsir telah menghuraikan tentang pengertian atau sifat-sifat yang terkandung di dalam hati yang sejahtera itu. Ia adalah hati yang menyerah kepada Allah, tunduk kepada kehendak dan kemahuan Allah SWT. Apabila hati itu menurut segala kehendak Penciptanya, maka dengan sendirinya ia terpelihara daripada segala yang mencemari pengabdiannya kepada Allah. Menurut Qatadah, ia adalah hati yang bebas merdeka dari syirik dan nifaq. [Fath al-Qadeer, Ash-Shaukani, j4 ms. 460, Dar al-Kalim at-Tayyib, 1998]

Hati yang bebas merdeka ini adalah hati yang murni dengan fitrahnya. Ia adalah hati yang suci bersih dari syirik yang mengelirukan manusia tentang ketuhanan. Ia juga adalah hati yang lepas bebas dari sifat nifaq yang melahirkan prejudis dan karakter dusta dan menipu. Menipu Alllah sedangkan yang sebenar-benarnya ditipu itu adalah dirinya sendiri.

HATI SEJAHTERA SEORANG YANG MENCARI KETUHANAN

Ibrahim Alayhi as-Salaam mendapat keupayaan untuk menemui jawapannya terhadap ketuhanan kerana Baginda membawa hati yang sejahtera, iaitu hati yang suci dari prasangka. Selepas kukuh berpegang dengan hidayah Allah, hati yang sejahtera itu juga tunduk sepenuhnya kepada ketentuan Allah yang memilih Baginda sebagai Rasul. Baginda tidak mempertikaikan pemilihan itu walaupun dengan ketentuan Allah tersebut, bererti Baginda akan berhadapan dengan musuhnya yang paling sukar iaitu bapanya sendiri, si pengukir berhala. Hati yang sejahtera tidak prejudis atau membantah-bantah ketentuan Allah.

Tegasnya, hati yang sejahtera bagi seorang yang sedang mencari ketuhanan bererti hati yang tiada prasangka atau prejudis terhadap Tuhan. Hati seperti ini adalah kunci utama untuk menemukan pemiliknya kepada kebenaran kerana ia membuka luas-luas pintu kepada segala input untuk dianalisa dengan adil dan saksama. Bagi seorang manusia yang sedang ‘mencari Tuhan’, hatinya tidak boleh prejudis. Prejudis adalah perkataan yang datang dari kalimah Bahasa Inggeris iaitu ‘prejudice’ yang terbentuk dari dua perkataan iaitu ‘pre’ dan ‘judgement’. Prejudice ini bermaksud membuat keputusan terhadap sesuatu perkara yang sedang di dalam pertimbangan, sebelum sampai kepadanya bukti-bukti dan maklumat yang lengkap. Ia telah membuat sekatan mental, lantas menyempitkan pintu dirinya untuk menganalisa.

Kerana itulah, Allah SWT memilih untuk menjadikan bangsa Arab sebagai kader umat Muhammad SAW yang pertama. Bangsa Arab Jahiliah tidak berpemikiran sebagaimana kaum Rom dan Parsi yang sudah mempunyai mind-setting berasaskan falsafah dan kepercayaan mereka yang sudah begitu tersimpul dan berakar umbi. Bangsa Arab Jahiliah mensyirikkan Allah dalam bentuk yang mudah, hati mereka senang untuk sampai kepada hati yang sejahtera kerana mereka tidak prejudis kepada ketuhanan. Tiada mulhid atau atheis di dalam masyarakat mereka bahkan semuanya percaya kepada Rububiyyah Allah. Mereka mengiyakan Allah sebagai Tuhan yang menurunkan hujan dan mencipta langit dan bumi. Namun yang masih belum selesai hanyalah Uluhiyyah dan disiplin pengabdian mereka kepada Allah.

Seorang saintis yang luhur di dalam pengkajiannya, akan dengan mudah sampai kepada ‘menemui Tuhan’. Namun bagi saintis yang sudah ada mind-setting yang prejudis, hatinya akan sentiasa dilarikan daripada akur kepada Allah. Seorang pakar kejuruteraan genetik merasakan kewujudan Tuhan sudah tidak relevan kerana menemui upaya untuk mencipta makhluk mengikut kehendak dirinya. Tetapi prasangka dan prejudis telah membutakan dirinya dari suatu hakikat bahawa manusia yang paling cerdik hanya mampu mencipta sesuatu daripada ada kepada ada. Namun Tuhan mencipta sesuatu dari tiada kepada ada. Sesuatu yang mustahil bagi manusia, walaupun sekadar sebelah kepak nyamuk!

HATI SEJAHTERA SEORANG MUKMIN

Manakala bagi seorang mukmin yang memiliki hati yang sejahtera, hatinya akur, tunduk dan patuh kepada segala ketetapan Allah SWT. Keputusan Al-Quran dan Sunnah NabiNya diterima dengan hati yang tunduk pasrah dan tidak lagi berbantah-bantah dan mempersoalkan “kenapa mesti aku?”, “kenapa mesti begitu” dan sebagainya.

Mungkin hati yang sejahtera inilah yang gagal dimiliki oleh seseorang yang terlalu gemar mempersoalkan suruhan dan larangan Allah ke atas dirinya. Hatinya bukan hati seorang hamba, kerana fitrah seorang hamba adalah akur sahaja kepada suruhan tuannya. Hamba Allah berasa gembira, sejahtera dengan segala apa yang diperuntukkan Allah kepadanya. Jika lelaki diwajibkan dan digesa solat berjemaah di masjid, hatinya dengan ghairah mahu patuh kerana penyerahan hatinya kepada Allah menjadikan dirinya terbuka untuk ‘menerima apa sahaja’ dan diperlakukan’ semahunya oleh Tuan iaitu Tuhannya.

Namun, seorang hamba yang hilang sifat kehambaan, lebih suka mencari hak-hak untuk manfaat dirinya berbanding dengan peranan dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Sering mencari ‘apa untuk aku’ dan lupa kepada ‘apa yang wajib ke atasku’.

Hati yang sejahtera, adalah hati yang tidak malas dari beribadah. Ia adalah hati yang bingkas bangun ketika mendengar seruan Allah. Ia bukan hati nifaq yang bangun mendirikan solat dengan penuh rasa malas, serta amat sedikit mahu ingat kepada Allah Tuhannya [An-Nisaa’ 4: 142]

Hati yang sejahtera ini jugalah yang melahirkan suatu keazaman yang kukuh umpama keazaman Ulul Azmi seperti Ibrahim Alayhi as-Salaam yang melaksanakan perjuangannya di Iraq, Palestin, Mesir dan Hijaz dengan penuh sabar, taaluq cinta khullah yang mutlaq kepada Allah SWT.

Sesungguhnya hati yang sejahtera ini adalah hati yang berjaya memenuhi tujuan penciptaannya iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

MENGAPA HATI?

Manusia itu memiliki pelbagai unsur di dalam dirinya. Manusia itu adalah kombinasi tubuh badan fizikal, akal, nafsu dan hati. Namun keseluruhan kerajaan diri manusia itu, rajanya adalah hati. Akal yang beroleh maklumat menghasilkan ‘tahu’. Akan tetapi manusia tidak bertindak mengikut apa yang dirinya tahu. Pengetahuan tidak menjana tindakan apatah lagi untuk tindakan itu sampai menjadi tabiat atau sikap yang konsisten. Lazimnya manusia akan bertindak berdasarkan kepada kehendak hatinya. Hati itu akan membuat keputusan atas nasihat sama ada oleh akal atau sebaliknya, nafsu.

Maka segala perlakuan manusia itu, sebenarnya adalah natijah kepada kerja hati dan bukannya kerja akal. Dengan demikian itu, amat wajarlah untuk hati menjadi fokus. Ia tempat jatuh pandangan Allah, ia tempat terbit perilaku patuh kepada Allah. Maka segala perintah Allah berupa undang-undang, hukum hakam, suruhan dan larangan, semuanya akan muncul dengan titah hati sebagai raja kepada kerajaan diri seorang insan. Jika hatinya mengikut akal yang terpimpin oleh wahyu, terbentuk dengan ‘rasa’ yang terbit dari ketundukan nafsu, maka terbitlah taat dan istiqamah di dalam melaksanakan perintah Allah. Sesungguhnya taat atau maksiat, sangat bergantung kepada tahap kesejahteraan hati seorang manusia. Manusia yang bertemu Allah dengan membawa hati yang sejahtera adalah manusia yang mempersembahkan pita rakaman kepada segala ketaatan dan kepatuhannya kepada Allah semasa menunaikan kewajipan hidup di dunia.

HATI YANG SEJAHTERA DI AKHIRAT

Firman Allah SWT:

يوم لا ينفع مال ولا بنون * إلا من أتى الله بقلب سليم

“Hari (Akhirat adalah hari) yang tidak bermanfaat lagi harta mahu pun anak pinak. Kecuali seseorang yang datang kepada Allah dengan membawa hati yang sejahtera” Ash-Shu’araa’ [26: 88-89]

Alam Mahsyar adalah alam penilaian terhadap manusia. Ia adalah hati pengisytiharan keputusan bagi ujian yang telah ditempuhi oleh manusia semasa hidupnya di dunia. Seandainya manusia hidup di dunia dengan berbekalkan hati yang sejahtera, maka hati itulah yang akan menjadi persembahannya kepada Allah di akhirat.

Prasangka manusia terhadap peri pentingnya harta dan anak-anak semasa hidup di dunia, akhirnya akan dihadapkan kepada kenyataan bahawa semuanya tidak bermanfaat lagi, kecuali bagi yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera. Hati yang sejahtera di dunia, akan menguruskan harta sebagai amanah Allah, lantas segala tuntutan dan tanggungjawab infaq ditunaikan. Hati yang sejahtera di dunia juga, akan menguruskan anak-anak sehingga terdidik dan membesar sebagai manusia soleh dan bertaqwa, memiliki hati-hati yang juga sejahtera kepada Allah.

Maka hati yang sejahtera di akhirat, adalah indikasi kepada nilai amalan seseorang. Hiduplah di dunia ini dengan hati yang sejahtera, dan temuilah Allah di alam mendatang juga dengan hati yang sejahtera, kerana di situlah letaknya kebahagian dan keselamatan yang kekal abadi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS