~ NyaH iSraeL ~ ::_LaUtaN MaNuSia BaNtaH Di KuaLa LuMpuR
Satu demo anti Zionis telah diadakan di hadapan kedutaan Amerika di ibukota menyatakan bantahan sekeras-kerasnya rakyat Malaysia akan kebiadapan rejim Zionis denga sekutu kuat mereka, US menyerang dan membantai rakyat awam di Palestin dan Lubnan. Pelbagai lapisan masyarakat telah sama-sama turun padang menyatakan pendirian jelas rakyat Malaysia akan isu ini. Walaupun keadaan cuaca di ibukota tidak mengizinkan dengan hujan yang begitu lebat, namun itu tidak sama sekali mematahkan ribuan warga kota untuk membajiri kedutaan Amerika.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ mY meMoRy ~ ::_KeMbaRa SaiFi Ke MaTroH SiWa...MenYinGkaP RaHsiA aLaM & KeKuAsaAn ALLah
Marsi Matruh & Qaisis Siwa
Qaisis Amoun siwa di kelilingi padang pasir yang luas dan terletak dibahagian barat Qattara di tengah-tengah padang pasir Libya dalam Negara Mesir. Jaraknya ke tenggara Matroh lebih kurang 30 km. Marsi Matroh merupakan sebuah pecan pantai di mana Cleopatra dan mark Anthony suatu ketika dahulu mempunyai sebuah istana. Di sekitar 700 sebelum abad, Qaisis Siwa merupakan salah satu pusat kebudayaan yang aktif di mesir. Sebuah tokong telah di bina seperti apa yang di percayai untuk menghormati matahari yang di kenali sebagai amon ra. Dalam tahun 524 sebelum masihi, Raja Cambyses dari Parsi iaitu anak kepada Cyrus, menakluki Negara Mesir telah menghantar 50,000 bala tentera dari Luxor untuk memusnahkan ahli nujum tetapi di katakan mereka lenyap begitu sahaja terkambus dalam pasir padang pasir sehinga tiada kesan yang di jumpai sehingga kini.
Pada kurun ke-5 sebelum masihi Herodatus mengakui pada Wadi Siwa mempunyai seorang ahli nujum yang terkenal . Alexander The Great merupakan antara orang yang terpenting melawat Qaisis Siwa. Dalam tahun 331 sebelum masihi, beliau mendakwa dirinya sebagai seorang Firaun Mesir. Beliau berjaya menguasai Mesir tanpa sebarang pertumpahan darah dan seterusnya mengasaskan bandar Iskandariah. Beliau ingin juga menguasai kuasa suci seperti yang diperolehi oleh Raja-Raja Mesir.
Dalam tahun 331 sebelum masihi beliau menggunakan satu perjalanan jauh ke Siwa mengambil masa 2 minggu. Callisthenes penulis biografi Alexander menyatakan perjalanan tersebut amat merbahaya sehinggakan ahli rombongan ini hampir mati kebuluran apabila bekalan air minuman yang di bawa kekurangan seperti dongengan yang diceritakan ahli nujum ini. Kemudian membantunya dengan berjaya menurunkan hujan. Apabila rombongan tersebut sesat dalam ribut pasir, ahli nujum ini juga diceritakan mengirimkan 2 ekor burung hitam besar yang menunjukkan arah ke Qaisis dan Siwa.
Paderi, penari, ahli muzik dan ahli-ahli ibadat mengalukan kedatangan Alexander ke Wadi tersebut. Majlis sambutan ini diadakan dihadapan tokong Amoun Ra tempat penginapan kepada Alexander The Great sehingga beliau mengarahkan apabila baliau meninggal dunia agar di kebumikan disitu.
Pada abad ke-5 sebelum dekad ini, Herodatus menyatakan bahawa Qaisis Siwa ini di duduki oleh seorang ahli nujum purba kala yang amat terkenal. Kini Qaisis ini didiami oleh 1700 keluarga iaitu sebanyak 11,000 bilangan penduduk. Ia mempunyai 16 buah sekolah dan 10 pusat kraftangan tempatan. Siwa terletak lebih kurang 19 km di bawah paras laut. Kurma dan zaitun merupakan hasil pengeluaran tempatan kedua terbesar di dunia
.
Memori Ringkas Pengembaraan Ke Matruh & Siwa
Rehlah ke Matroh & Siwa adalah antara program tahunan musim panas Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta sejak zaman-berzaman lagi. Kembara Saifi ke Matruh Siwa di adakan selama 4 hari iaitu bermula hari Isnin 24 Julai 2006 sehingga Khamis 27 Julai 2006.
Hari Pertama ( 24 Julai 2006 )
Memori bermula jam 10 malam apabila peserta Imarah Melayu berkumpul di rumah Kamal, sempat lagi minum Shai ( Teh ) he2. Pada pukul 11 malam aku dan geng-geng Imarah Melayu bergegas menuju ke Dewan Mahmut Syaltut Bait Izzah untuk pendaftaran dan taklimat ringkas perjalanan. Pukol 12 tengah malam bas pun tiba dan semua peserta cepat-cepat mengemaskan barang untuk di angkut ke bas yang lama sakan menuggu. Tiba saje kat bas, hati aku bernyanyi sendirian terpegun melihat bas yang agak besar dan cantik molek pulak tu. Bukan aku je yang perperasaan begitu tapi boleh di katakan miah bi miah berperasaan macam aku.
Detik 12.30 tengah malam kami bertolak menuju Matroh & Siwa. Keriangan peserta terpancar di wajah masing-masing walaupun adab manusia akan mengantuk bila masuk tengah malam tapi aksi peserta tidak menampakkan keletihan dan rasa mengantuk langsung. 15 minit perjalan kami terkejut kerana bas terpaksa berhenti secara mengejut. Kecoh sementara di sebalik pemandu bas bermandi peluh membaiki engin bas yang bermasalah itu. Setelah hampir sejam kami terpaksa menunggu pemandu membaiki, akhirnya pengarah kembara mengarahkan semua peserta balik semula ke Bait Izzah dengan menaiki van syarikat bas ( Rabah ) tersebut secara berperingkat-peringkat.
Ramai lah yang berselora nak duit balik, tak mahu pergi dan rungutan lain. Tapi sat gelabah sebab semua tu mainan jenaka peserta saje, nak buat adhoc risau huhu. Semua peserta pun tido nyenyak di Dewan Bait Izzah, antara catitan sejarah aku kali pertama tido kat Bait Izzah he2. Apabila azan subuh berkumandang semua peserta bersegera solat subuh jamaah tapi aku masih pening-pening unta lagi, sebabnya aku tido sebelahan dengan Hadi dan bila bangun tengok dok sebelah Syahid. Nak kata aku tido buas tak logik juga sebab jaraknya terlalu jauh dan arah yang bertentangan. Yang masalahnya bukan empunya diri sahaja yang pergi tapi siap dengan beg. Aku tanya Syahid bila masa aku tido sebelah mu, dia cakap tak tau, siap dia suruh aku selimut dengan saratoga lagi. Tak mahu mengzalimi kepala fikir bab ni, aku buat bodoh je he2.
Hari Kedua ( 25 Julai 2006 )
Selepas solat subuh berjamah aku & geng Imarah melayu pun balikke rumah sekejap, sempat tido oiiii, nikmat juga dapat tido lena huhu. Tepat jam 9 pagi aku & the geng Imarah Melayu menuju ke Bait Izzah. Setelah sampai sana bas yang baru pun tiba yang di import dari Iskandariah. Badan tak lah cantik langsung tapi dalam power tau, tak pernah rosak dalam 3 hari perjalan walaupun berbadan tak sesegak bas yang pertama tu. Pukol 10 pagi kami bertolak menuju ke Matroh & Siwa dan pada pukol 2 tengah hari kami semua tiba di perhentian rehat, semua turun untuk solat jama’ dan qada’ hajat. Arab, bila tengok kami berpusu-pusu ke tandas, dengan pantas nak ambil kesempatan untuk minta caj kos guna tandas, tapi tak ada sorang pun yang bagi, buat bodoh saje dia minta kecuali Kamal yang bagi. Banyak juga Kamal bagi, 10 sen oiiiii tapi sombong ye arab tu siap buang dalam tong sampah duit Kamal tu. Padam muka, nak ambil kesempatan sangat, nak kenakan orang sebaliknya dia yang kena huhu. Lebih kurang jam 5 petang kami tiba di hotel tempat penginapan kami selama dua malam tapi kami tak turun kerana akan ke Pantai Agiba, adhok program saje yang turun untuk menyiapkan makan petang. Sedikit info ringkas tentang Pantai Agiba Matroh. Ianya lebih kurang 10 km dari pecan Marsi Matroh. Keadaan dan suasana sekeliling oleh Pantai yang amat mengajaibkan. Lebih-lebih lagi apabila terbenam matahari yang menghasilkan perubahan kepada 7 warna, macam pelangi la. Begitu juga keadaan Pantai yang dikelilingi oleh batu batan yang begitu cantik. Ia tidak bersesuain untuk mandi manda kerana merbahaya disebabkan oleh batu karang yang terlalu banyak. Bersesuaian lah dengan namanya Pantai Agiba ( Pantai Ajaib ) kerana permukaan airnya yang biru segar cantik menawan dan batu karang yang banyak serta batu yang indah kesan tiupan angin. Jam 6.30 petang kami semua bergegas ke hotel penginapan kami serta menjamu sarapan petang. Selepas solat jama’ kami bertolak ke Pasar Libya.
Di sana tersohor dengan pasar yang menjual barangan pakaian yang boleh dikatakan murah serta minyak-minyak. Kami pulang ke tempat penginapan pada pukol 11 malam. Sampai je di tempat penginapan, kami semua bersiar-siar di tepi pantai Matroh yang di banjiri lautan manusia, makin malam makin ramai yang keluar.
Kebanyakkan antara kami menyewa basikal, awalannya tuan kedai cakap 3 jam 2 Genih tapi bila bayar cakap 1 jam 2 genih pula, geram juga sikap arab yang suka ambil peluang tapi kami semua dapat 3 jam 5 genih saje. Aku, Kamal, Husaimi, Hambali, Azam,Wan, Pijo dan Man sempat masuk melihat aksi silap mata secara live. Terpegun juga kami melihat aksi mereka tapi ketika aksi menutup mata dan meneka barang yang ada pada peserta, ramai arab yang mengeluarkan i/c dan kad-kad lain.
Aku mengeluarkan passport, Kamal dan Husaimi juga mengeluarkannya untuk di berikan kepada pengerusi majlis tapi sampai tempat kami, dia tak mahu ambil, bising bak pasar siti khadijah kami membuat celaru tanda tak puas hati, mungkin jin pesilap mata tak pandai baca melayu kot he2. sekali lagi kami buat kecoh ketika aksi kepala budak tanpa badan bercakap, penonton di benarkan naik untuk melihat adakah ia tipu atau tidak dan menyoal budak itu. Bila tiba je wakil kami, berwakilkan kepada Husaimi, pengerusi majlis pun cakap cukup, tak boleh naik. Semua penonton arab tengok aksi tak puas hati kami he2. Pukol 2 pagi kami pun balik ke tempat penginapan dan tido dengan lena.
Hari Ketiga ( 26 Julai 2006 )
Kami solat subuh berjamah di masjid dan ada juga yang solat berjamaah di bilik penginapan kerana ada yang tak tau lagi kawasan sini serta jarak masjid jauh sikit. Selepas sarapan pagi kami bergegas menaiki bas dan bertolak ke Siwa. Kami tiba di hala tuju pertama pada pukol 1 tengah hari iaitu di Jabal Mauta. Jabal Mauta adalah kubu tempat persembunyian penduduk sewaktu peperangan dan tempat jenazah dikebumikan. Di Jabal Mauta juga terdapat kubur Sa’amoun dab Qaisis. Kesan-kesan tulang dan rangka dahulu masih boleh dilihat. Terdapat juga tempat untuk dijadikan tempat simpanan meriam Jerman sewaktu perang dunia ke-2. Selepas itu kami ke Siwa Qadim, disana lah kamisolat jama’. Kota Lama Siwa merupakan kota terawal penduduk Siwa. Di sinilah kami membeli minyak zaitun, minyak jerjil, minyak-minyak lain, kurma coklat, kurma kacang dan lain-lain. Di sini dikatakan tempat pengeluaran minyak-minyakyang asli dan murah berbanding ditempat lain.
Selepas itu kami ke Istana Iskandar Zulkarnaim. Kubu Iskandar dan tempat ibadat Iskandar dibina lebih kurang 300 tahun yang dahulu. Pintunya juga dibina sejak dahulu lagi dan sehingga kini masih wujud. Tempat persembunyian penduduk dahulu sewaktu berlaku peperangan dan terdapat sebuah menara kubu. Ia digunakan untuk membuat pengumuman.
Di situ juga terdapat telaga yang digunakan untuk memandikan jenazah. Di situ juga ( bersebelahan ma’bad Iskandar ) terdapat lubang tempat simpanan emas dan barang, akan tetapi telah diambil oleh penjajah sewaktu peperangan berlaku. Ada yang berpendapat Iskandar di kebumikan di Iskandariah atau Siwa dan ada pelbagai pendapat lagi.
Penat kami bergambar dan memanjat bukit Istana Zulkarnain, kami meneruskan perjalanan menuju ke Kolam Cleopatra. Di namakan demikian bersempena kedatangan Permaisuri Cleopatra. Setiap pengantin akan mandi disitu, ini adalah salah satu adat yang dilakukan oleh penduduk Siwa dahulu dan ada pendapat yang menyatakan ia masih di amalkan lagi sampai sekarang. Ada juga yang menyatakan setiap pasangan yang bertunang akan mandi disana untuk mengukuhkan ikatan selama-lamanya.
Kami tak dapat mandi kerana apabila di kolam pertama kami semua ingin mandi dikolam kedua kerana kolamnya tidak terlalu dalam tapi pemandu koya sehingga terlepas lorong ke kolam kedua he2. Kemudian kami melawat Bahru Malah ( Laut Garam ), kami terpegun melihat kekuasaan Allah yang menjadikan laut itu sebagai Laut Garam. Air laut menjadi garam, itulah kekuasaan Allah Taala. Kami sempat mengziarahi kubur Allahyarham Ustaz Jafni, pelajar kuliah Quran di Tanta yang meninggal dunia lemas ketika mandi di kolam Cleopatra beberapa bulan yang lepas. Selepas itu kami bertolak ke tempat penginapan di Matroh.
Kami tiba jam 10 malam, dan selepas sarapan kami semua keluar mengambil udara pantai lagi. Aku, Pijo, Azam, Zahran, dan Fairuz menaiki kereta Keldai untuk ke tempat ekspo dimana Kamal dan kawan-kawan yang lain berkumpul.
Selepas itu aku,Pijo,Kamal,Azam dan Man pergi ke pusat Bowling. Sape menang ye…malu la nak cite takut riyak pula he2. ada juga yang baik hati belanja aiskrim,sape ye he2, bukan aku tau huhu. Dalam pukol 4 pagi dalam perjalanan nak pulang ke tempat penginapan, arab panggil untuk main snuker dan ping-pong dan di sana juga kami bertemu dengan pengarah yang mengambil angina pantai, jadi join jalan dengan kami pula la he2.
Ni kali pertama aku dan kawan-kawan lain main snuker.15 minit main satu je masuk he2, perlawanan sengit kan he2. 30 minit sebelum azan kami pulang ke tempat penginapan. Jalan yang sepatutnya mengambil masa 5 minit je menjadi 20 angkara tersesat. Ni semua idea pengarah la he2. sampai rumah azan subuh berkumandang dan kami solat subuh berjamaah.
Hari Keempat ( 27 Julai 2006 )
Ini adalah hari terakhir kembara kami ke Matroh & Siwa. Selepas solat subuh berjamah dan sarapan pagi, kami semua bersiap dan bertolak ke Hamam Cleopatra ( Tandas Cleopatra ). Selepas itu kami bertolak ke Pantai Qubaid dan mandi manda di sana. Sebelum mandi kami sempat lagi adakan acara sukan antaranya bolasepak pantai, lari ketam, dukung anak, lari berganti-ganti, coh ( galah panjang ) bukit manusia dalam laut dan banyak lagi. Selepas 4 jam mandi manda kami solat jama’ dan makan petang. Selepas semuanya siap, kami pun bertolak balik ke Tanta pada pukul 5 petang dan tiba di Tanta lebih kurang pukol 10 malam.
Kesimpulannya, program kembara saifi matruh & Siwa berjaya dengan selamat di samping dapat menghayati kesan kekuasaan Allah serta masyarakat terdahulu di samping meningkatkan tautan ukhuwwah kami pelajar Al-Azhar & Medic di Tanta. Semoga kita dapat mengambil pengajaran daripada penghayatan kita dan menguatkan lagi keimanan, serta ketakwaan kepada Allah Taala.
Ila liQa MaAl SaLaMah
Kekaizenan Minda Keizzahan Bersama

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtiKaL ~ ::_KeNaLi HiZbuLLah_::
Jika umat Islam sedunia hanya mampu bersedih semenjak rakyat Palestin sekeluarga dibunuh dengan kejam oleh tentera rejim Zionis di Pantai Gaza, kini mereka boleh berasa bersemangat kembali. Serangan-serangan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat pasca kemenangan HAMAS di dalam pilihanraya Majlis Legaslatif yang lalu kini agak terubat. Pertamanya, operasi "al-Wahm al-Mubaddad" (prasangka yang dihapuskan) yang dilancarkan bersama oleh Briged al-Qassam (HAMAS), Alwiyat al-Nasir (Mantan Fatah) dan al-Jaysh al-Islami ke atas pos tentera Zionis di Kufr Abu Salim di dalam Palestin 1948.
Operasi yang telah menyaksikan bagaimana pos kawalan tentera itu telah berjaya ditembusi dari bawah tanah dan menyebabkan tiga orang tentera mereka terkorban, tawanan seorang tentera mereka , kecedaraan ramai yang lain serta kemusnahan dua kereta kebal tercanggih rejim Zionis. Operasi tersebut benar-benar telah mengejutkan rejim Zionis yang selama ini menyangkakan bahawa rakyat Palestin lemah dan tidak berupaya menyerang balas.
Malangnya dengan alasan untuk membebaskan tenteranya yang ditawan itu, rejim Zionis telah mengorbankan (sehingga 18 Julai 2006) lebih 85 nyawa warga awam Palestin, mencederakan ratusan yang lain, merobohkan puluhan rumah dengan bedilan roket dan kereta kebal, menyerang universiti Islam Gaza, membedil pejabat-pejabat kerajaan, menculik 24 ahli parlimen HAMAS, menangkap 40 pegawai-pegawai kerajaan dan Dato' Bandar serta memenjarakan lima orang menteri kabinet kerajaan Palestin.
Setiap hari semenjak 25 Jun 2006 (hari operasi tersebut dilaksanakan), bandar-bandar di Gaza dan Tebing Barat menjadi mangsa serangan tentera rejim Zionis. Malang sekali lagi, seperti yang diungkapkan oleh Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyyeh, kemanakah dunia?, kemanakah masyarakat antarabangsa?, mengapakah sepi dan sunyi tanpa mengutuk kekejaman rejim Zionis tersebut.Akhirnya kesunyian masyarakat antarabangsa ini telah dipecahkan oleh tindakan berani Hizbullah yang berpusat di selatan Lubnan. Kejayaan mereka menyerang konvoi tentera Zionis serta membunuh lapan orang tentera dan menawan dua yang lain adalah tindakan yang paling nekad dilakukan oleh Hizbullah.
Sekali lagi rejim Zionis ditekan apabila Hizbullah memberikan syarat pemulangan dua tentera tersebut dengan pertukaran tahanan warga Lubnan, Syria dan Arab yang lain di penjara Zionis. Tindakan mereka juga seolah-olah menunjukkan kepada para pemimpin Arab yang bacul bagaimanakah caranya untuk mengajar rejim Zionis. Persoalan yang berlegar di dalam masyarakat masa kini adalah, "Siapakah Hizbullah?"
Pejuang Hizbullah sedang bersiap sedia menggempur rejim Zionis
Artikel ini akan cuba menjawabnya...
Syiah di Lubnan
Di dalam membicarakan tentang Hizbullah kita tidak dapat lari daripada membincangkan perihal komuniti Syiah di Lubnan. Lubnan merupakan sebuah negara Arab yang unik. Lubnan merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat dari pelbagai latar belakag agama dan mazhab. Kristian dari pelbagai gerejanya, seperti Maronites (yang dominan), Ortodoks, Katolik, Muslim Sunni dan Muslim Syiah, Druze dan lain-lain lagi merupakan di antara pluralisme masyarakat Lubnan.
Keunikan ini telah menyebabkan mereka terpaksa bersatu di bawah sistem demokrasi versi kepuakan (taifiyyah). Sistem ini juga telah menjadi sebahagian daripada perlembagaan mereka. Kononnya sistem tersebut bertujuan untuk menjaga keharmonian. Pada hakikatnya bukanlah keharmonian yang ingin dijaga, tetapi kepentingan kaum Kristian Maronites yang merasakan ketuanan mereka di bumi tersebut. Bayangkan bilangan mereka yang kurang dari 30% dan dikelilingi oleh majoriti umat Islam, tetapi mereka mempunyai kuasa yang lebih dan berpengaruh di negara tersebut.
Di kalangan kesemua kelompok itu, Syiah merupakan golongan yang paling minoriti dan lemah pada asalnya. Awal kurun ke-20 sehingga tahun 60'an telah menyaksikan bagaimana kelompok Syiah merupakan golongan yang terkebelakang dalam bidang ekonomi, pelajaran dan juga sosial. Mereka lebih dikenali sebagai kelompok yang mengasingkan diri dan sering dilayan sebagai warga kelas kedua di Lubnan. Walau bagaimanapun hal ini telah mula berubah pada tahun-tahun 70'an. AMAL, sebuah pertubuhan yang menjadi payung kepada masyarakat Syiah, terutamanya di kawasan selatan Lubnan telah berusaha memperjuangkan nasib dan hak mereka sebagai rakyat Lubnan. AMAL adalah singkatan kepada "Afwaj al-Muqawimah al-Lubnaniyah" (Batalion Penentangan Lubnan) dan AMAL di dalam bahasa Arab membawa maksud "Harapan". .
Perubahan ini disebabkan oleh kehadiran Musa Sadr, seorang ulama berketurunan Syiah Najaf yang tinggal di Iran telah berhijrah ke selatan Lubnan. Sebagai anak murid kepada Khomeini dan seorang ulama Syiah yang disegani beliau telah berjaya menyatukan kelompok Syiah di Lubnan yang sebelum itu bepecah belah. Beliau seorang pemimpin yang amat karismatik. Ucapan-ucapan beliau telah dapat menarik ramai pemuda-pemuda Syiah untuk bangkit dan memperbaiki kehidupan mereka. AMAL yang diasaskan oleh beliau telah berjaya menyatukan para pemuda Syiah untuk melakukan perubahan terhadap kehidupan masyarakat syiah di sana. Anak-anak muda yang sebelum itu kebanyakannya terpengaruh dengan fahaman kiri dan sosialis kini telah kembali ke jalan agama dan ke jalan Syiah yang dibawa oleh Sadr.
Hassan Nasrallah berjaya menggerakkan tentera-tenteranya menyerang rejim Zionis di selatan Lubnan.
Beliau telah berjaya meniupkan semangat revolusi di dalam hati para pemuda Syiah dengan membawa ideologi "Jihad Karbala" yang berinspirasikan kematian Hussein, cucu Rasualullah SAW yang telah dibunuh oleh Yazid bin Muawiyah. Pada thaun 1975, ketika meletusnya peperangan saudara di Lubnan, Sadr telah menubuhkan sayap ketenteraan AMAL. Keadaan sosio ekonomi golongan Syiah yang teruk itu telah mendorong ramai pemuda Syiah untuk menyertai sayap ketenteraan tersebut. Sikap tidak puas hati terhadap golongan Kristian Maronites yang berkuasa di Lubnan dan juga ahli Sunnah yang dominan juga telah mendorong AMAL untuk bersikap radikal.
Pada tahun 1978, ketika berkunjung ke Tripoli, Libya, Musa Sadr telah diculik dan hilang sehingga hari ini. Kehilangan beliau telah menimbulkan rasa marah para pengikutnya yang telah diterjemahkan kepada sikap radikalisme dan kesungguhan untuk berjuang demi Syiah. Walaupun beliau telah hilang, namun semangat revolusi beliau dan juga karismatik beliau sentiasa berada di dalam hati-hati para penganut mazhab Syiah di Lubnan sehingga ke hari ini. Setiausaha Agung Hizbullah, Syed Hassan Nasrallah sehingga kini sentiasa menyebut nama Sadr di dalam ucapan-ucapannya. Bagi Nasrallah, Sadr merupakan ikon kepada perjuangan Syiah di Lubnan.
AMAL dan AMAL Islamiyyah
Kehilangan Sadr telah membawa perubahan di dalam AMAL. Perkembangan AMAL yang drastik dan juga kemajuan mereka telah membawa pertubuhan tersebut menceburkan diri ke dalam bidang politik. AMAL, pasca Sadr telah dipimpin oleh golongan professional Syiah dari kalangan pemuda mereka. Nabih Berri, seorang peguam dan wakil golongan profesional Syiah telah diberikan amanah untuk memimpin AMAL. Di bawah pimpinan Berri, AMAL telah bertukar menjadi sebuah pertubuhan nasionalis Syiah.
Beliau lebih memperjuangkan nasib Syiah sebagai rakyat Lubnan dan memastikan golongan Syiah mendapat peranan yang lebih di dalam sistem politik Lubnan. Hal ini telah membuatkan golongan agama dan pemuda-pemuda pro-Iran tidak puas hati dengan Berri. Bagi mereka, tujuan asal penubuhan AMAL menurut inspirasi Sadr adalah untuk menubuhkan sebuah negara Islam seperti Iran.
Pada tahun 1982, satu peristiwa besar telah berlaku dan telah menyebabkan AMAL terus berpecah. Penjajahan rejim Zionis ke atas Lubnan dan juga operasi "Peace in Galilee" yang dilancarkan oleh Sharon pada ketika itu telah merubah lanskap AMAL. Rejim Zionis yang telah menerima kekalahan besar pada awalnya. Ini dapat dilihat pada angka kematian 500 tentera mereka akibat operasi tersebut, sepertimana yang telah disebutkan oleh Robert Fisk di dalam bukunya Pity the poor nation. (Lihat: Fisk (1992), Pity, London: Oxford Univ. Press, hal. 270). Kerugian yang amat besar di pihak Zionis ini telah memaksa pati Likud yang memerintah pada waktu itu untuk menerima usul AS demi menyelesaikan isu penjajahan tersebut. Likud terpaksa akur dengan keputusan tersebut kerana bimbang kehilangan sokongan rakyat terhadap mereka akibat kerugian besar di alami oleh pihak tentera rejim lewat peperangan itu.
Ronald reagen, Presiden AS pada waktu tersebut telah menghantar Philip Habib sebagai wakil mereka untuk menyelesaikan peperangan tersebut. Philip telah menjadi orang tengah di antara rejim Zionis dengan kumpulan-kumpulan di Lubnan. Presiden Lubnan pada waktu itu, Ilyas Sikis telah membentuk Jawatankuasa Penyelamat Nasional yang terdiri daripada lima orang wakil kelompok-kelompok di Lubnan. Berri merupakan salah seorang daripada mereka.
Melalui perbincangan dengan Philip, beberapa keputusan telah dicapai. Antaranya, Kedua-dua belah pihak bersetuju untuk gencatan senjata dan juga mengahalau para pejuang PLO yang berpusat di Lubnan keluar daripada negara tersebut. Perkara ini telah mendapat bantahan umat Islam secara majoriti di Lubnan. Presiden Lubnan yang baru naik menggantikan Sirkis, Rached Karami sendiri telah membantah keputusan tersebut. Menurutnya, ia adalah pengkhianatan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan perjuangan menentang penjajahan Zionis. Keputusan tersebut juga dianggap bertentangan dengan inspirasi rakyat Lubnan yang ingin menghalau tentera Zionis keluar daripada negara mereka.
Walaupun sepanjang tempoh penjajahan Zionis, sayap ketenteraan AMAL telah mendapatkan momentum mereka. Malangnya, apabila Nabih Berri menyertai Jawatankuasa Penyelamat Nasional tersebut, pendokong AMAL, terutamanya golongan agama, para pemuda dan mujahidin telah menentang beliau. Perkara tersebut telah memaksa Hussain Musawi, orang nombor dua di dalam AMAL untuk membuat bantahan terbuka. Krisis tersebut telah cuba diselesaikan oleh Iran yang ingin menjadi orang tengah. Malangnya Berri enggan tunduk kepada keputusan Iran yang dilihat menyebelahi Musawi.
Natijahnya, Musawi dan ramai dari kalangan anggota AMAL meninggalkan AMAL secara beramai-ramai dan berpusat di Baalbak, di Lembah Bika. Di sana, pada 12 Julai 1982, dia telah menubuhkan AMAL al-Islamiyyah. AMAL al-Islamiyyah ini menurut beliau adalah usaha untuk mengekalkan keaslian ajaran Khomeini dan juga Sadr di kalangan pengikut Syiah Lubnan. Kemunculan AMAL al-Islamiyyah ini merupakan titik awal tertubuhnya Hizbullah.
Pengawal Revolusi
Peperangan di antara Zionis dan rakyat Lubnan telah mengundang campurtangan Iran. Pada waktu yang sama penubuhan AMAL al-Islamiyyah, Iran telah menghantarkan lebih 1500 pengawal revolusi mereka ke sana melalui Syria. Pada asalnya, tujuan para pengawal yang merupakan para komando revolusi Iran itu adalah untuk menyertai peperangan membantu rakyat Lubnan melawan rejim Zionis. Keadaan pejuang Syiah Lubnan yang serba kekurangan dan juga tidak terlatih telah menukar haluan para pengawal tersebut.
Mereka telah mengambil peranan sebagai pelatih kepada para pejuang Syiah AMAL al-Islamiyyah dengan pelbagai latihan peperangan. Mereka juga telah mendidik para pemuda Syiah dengan ajaran Syiah yang sebenarnya dan juga doktrin-doktrin Khomeini. Akhlak, kesungguhan dan juga semangat para pengawal revolusi telah berjaya menawan hati penganut Syiah Lubnan. Di samping melatih para komando AMAL al-Islamiyyah dan mendidik mereka dengan ajaran agama, para pengawal tersebut juga tidak ketinggalan melakukan usaha-usaha kebajikan kepada masyarakat Syiah yang serba dhaif di Lubnan. Bermula dari saat inilah Syiah di Lubnan mula menjadi salinan karbon kepada kerajaan Syiah Iran.
Para pengawal ini pada akhirnya telah berjaya menukarkan kawasan Bika kepada kawasan yang dikuasai sepenuhnya oleh Syiah berteraskan ideologi revolusi Iran. Rakyat Syiah Lubnan yang paa asalnya telah putus asa untuk berjuang telah berjaya dipulih semangat untuk berjuang. Di bawah panji "Kehancuran bagi negara Zionis" yang dilaungkan oleh Khomeini, para pemuda Syiah Lubnan telah bangkit untuk memperjuangkan kemerdekaan Lubnan dan berusaha untuk membebaskan al-Aqsa.
Antara para pemuda Syiah Lubnan yang telah dilatih oleh para pengawal tersebut ialah Abbas Musawi, pemimpin tertinggi pertama Hizbullah. Antara fenomena baru yang berlaku pasca kedatangan pengawal revolusi juga ialah budaya cadur dan bertudung. Wanita-wanita Syiah Lubnan pra-kedatangan para pengawal tersebut adalah seperti wanita-wanita Lubnan yang lain. Budaya bertudung bukanlah sesuatu yang popular di kalangan mereka. Namun enam bulan selepas kedatangan para pengawal segalanya telah berubah selaras dengan kesedaran beragama di kalangan masyarakat Syiah Lubnan, terutamanya di kawasan Bika.
Di bawah dua slogan dan doktrin tersebut, akhirnya pada tahun 1983, penyatuan kumpulan-kumpulan Syiah tersebut telah menubuhkan Majlis Syura Lubnan.
Pengaruh revolusi ini akhirnya merebak ke selatan Lubnan yang didominasi oleh masyarakat Syiah. Suasana penjajahan Zionis dan juga peperangan yang berlaku di selatan telah mempercepatkan lagi pengaruh revolusi untuk tersebar. Para pejuang Syiah telah menunjukkan kehandalan mereka bertempur dengan tentera Zionis secara militia. Perkara ini telah menyebabkan tentera Zionis menghadapi tentangan yang hebat dan juga kerugian nyawa yang banyak. Pencapaian yang mengkagumkan ini telah berjaya menarik ramai lagi para pemuda Syiah untuk menyertai jihad menentang Zionis.
Hizbullah
Projek jihad Syiah ini semakin berkembang. Pelbagai arus dan individu yang berpengaruh telah menyertainya, namun setipa kumpulan dan setiap individu mempunyai agenda yang tersendiri. Iran telah mengambil peluang untuk menyatukan mereka di bawah dua doktrin utama, "Bersatu di bawah Wilayah al-Faqih (Khomeini)" dan "Bersatu menentang Zionis". Khomeini yang telah diziarahi oleh para pemimpin kumpulan-kumpulan Syiah Lubnan tersebut telah merestui penyatuan mereka dan menyeru mereka agar meneruskan perjuangan.
Di bawah dua slogan dan doktrin tersebut, akhirnya pada tahun 1983, penyatuan kumpulan-kumpulan Syiah tersebut telah menubuhkan Majlis Syura Lubnan. Mereka dipimpin oleh kepimpinan kolektif yang dianggotai oleh para ulama, iaitu Said Abbas Musawi, Syeikh Subhi Tafeili, Syeikh Hassan Korani, Said Hassan Nasrallah, Syeikh Muhammad Yezbek, Syeikh Afif al-Nablusi, Said Ibrahim Amin dan beberapa anggota profesional seperti Hussain Musawi, Muhammad Fineish dan Muhammad Ra'ad.
Penyatuan ini telah berjaya menarik minat Syiah di selatan Lubnan untuk menyertai mereka. Kebanyakan Syiah di Selatan Lubnan, samada bersama AMAL ataupun merupakan mantan komando PLO. Mereka telah menjadi komando PLO sewaktu zaman kegemilangan PLO di zaman 70'an menentang Zionis. Di bawah restu Khomeini dan juga Iran, para komando-komando tersebut akhirnya menyertai penyatuan Syiah yang baru ini. Mereka akhirnya telah dilantik menjadi para komando Majlis Syura Lubnan dan berjuang untuk tujuan revolusi Syiah. Usai penubuhan Majlis Syura Lubnan, pertempuran dengan tentera penjajah Zionis menjadi semakin intensif. Majlis Syura Lubnan akhirnya telah menggunakan syiar "Kami adalah Hizbullah (kumpulan Allah)" bersumberkan Surah al-Maidah (5): ayat 55-56.
Syiar atau moto ini akhirnya ditukarkan menjadi nama rasmi kepada kumpulan Syiah tersebut pada awal tahun 1984 menggantikan nama "Majlis Syura Lubnan".
"Hizbullah - Revolusi Islam Lubnan" telah dipilih oleh Majlis Syura Lubnan menjadi nama baru mereka. Walau bagaimanapun nama ini tidak dihebahkan kepada umum. Nama tersebut hanya popular di kalangan kepimpinan dan pejuang Hizbullah sahaja. Mereka lebih menonjolkan nama "Perjuangan Penentangan Lubnan" sahaja di dalam media dan di khalayak ramai. Mereka juga telah cuba menonjolkan diri mereka sebagai gerakan politik dan cuba menempatkan diri di dalam lanskap politik Lubnan.
Antara jasa Hizbullah kepada masyarakat Lubnan adalah keupayaan mereka untuk menghalau tentera rejim Zionis daripada Bairut dan selatan Beirut. Mereka juga telah berjaya membuatkan tentera-tentera Zionis berundur sehingga ke selatan Saida. Di Saida mereka telah membina pejabat rasmi Hizbullah. Di sana jugalah para pemuda Syiah yang lebih radikal telah mengambil keputusan meneruskan jihad melawan tentera Zionis tanpa memperdulikan strategi pertahapan Hizbullah di dalam peperangan. Kumpulan ini kemudiannya diketuai oleh Syeikh Ragheb Harb yang telah berjaya memimpin beberapa operasi melawan tentera Zionis. Di atas usaha para pemuda inilah akhirnya pengaruh Hizbullah telah merebak ke Selatan Lubnan.
Hizbullah dan kemerdekaan Selatan Lubnan 2000
Berdasarkan keputusan perundingan Philip Habib, para pejuang PLO terpaksa meninggalkan Lubnan secara beransur-ansur. Vakum perjuangan ini telah berjaya diisikan oleh Hizbullah. Di waktu kemunculan mereka, para pejuang ideologi lain seperti para pejuang Sosialis dan AMAL di bawah pimpinan Berri sudah lemah dan tidak berpengaruh lagi. Peluang ini telah diambil oleh Iran untuk memperhebatkan bantuan kepada Hizbullah untuk meluaskan pengaruh mereka dan memperhebatkan perjuangan menentang penjajahan rejim Zionis.
Selain daripada bantuan latihan ketenteraan, Iran juga telah menyalurkan bantuan kewangan kepada Hizbullah. Sehingga 1987, dianggarkan jumlah bantuan Iran kepada Hizbullah mencapai 10 juta dollar sebulan. Bantuan kewangan ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh Hizbullah untuk khidmat-khidmat sosial mereka.
Pelbagai sumber dari Iran telah dimanfaatkan oleh Hizbullah untuk melatih dan menerapkan fahaman jihad dan revolusi kepada generasi baru. Pada masa yang sama Hizbullah telah berjaya memenangi hati dan minda pengikut baru dan mengekalkan kesetiaan mereka melalui program bantuan sosial, hospital, klinik, pasaraya, restoran, koperasi, bantuan kewangan serta biasiswa kepada anak-anak mangsa perang.
Kebajikan mangsa perang juga sentiasa diambil berat oleh Hizbullah. J.L. esposito di dalam bukunya "The Islamic Threat: Myth or Reality" telah memetik laporan yang mengatakan bahawa Hizbullah telah menyediakan biasiswa kepada lebih kurang 40,000 orang pelajar pada tempoh tersebut. Majoriti daripada pelajar-pelajar tersebut kini telah menjadi aktivis mereka dan juga para mujahidin.
Oleh kerana kerajaan Lubnan tidak mempunyai kekuatan ketenteraan yang hebat, maka kekuatan ketenteraan Hizbullah telah menjadi pelengkapnya. Rejim Zionis, walaupun telah berundur daripada Beirut, tetapi tetap menjajah selatan Lubnan. Kawasan yang didominasi oleh puak Syiah itu telah menjadi sebahagian daripada wilayah "Israel". Pada waktu inilah Hizbullah mula menunjukkan kehebatan mereka. Sepanjang tempoh penjajahan, Hizbullah telah melancarkan peperangan gerila terhadap tentera-tentera Zionis yang menduduki wilayah selatan tersebut. Bukan sekadar serangan di dalam Lubnan, Hizbullah juga telah melancarkan serangan ke atas kedutaan-kedutaan rejim Zionis di luar.
Akhirnya, disebabkan kekelahan demi kekalahan dan juga kerugian nyawa yang semakin meningkat setiap hari, rejim Zionis terpaksa berundur dari Selatan Lubnan pada Mei tahun 2000. Pengunduran tentera rejim setelah menjajah Selatan Lubnan lebih 22 tahun tersebut telah mengharumkan nama Hizbullah dan telah meningkatkan lagi populariti mereka di mata rakyat Lubnan, terutamanya di kalangan pendudukan kawasan Selatan. Maka, tidak hairanlah sehingga kini, kawasan selatan Lubnan masih lagi menjadi kubu kuat para penyokong Hizbullah.
Hizbullah dan 1559
Kematian Rafiq Hariri, mantan Perdana Menteri Lubnan pada tahun 2005 telah merubah lanskap politik Lubnan. Syria telah dituduh terlibat di dalam komplot pembunuhan tersebut. PBB akhirnya telah mengeluarkan ketetapan 1559 yang menggesa Syria mengeluarkan tentera mereka yang berada di seluruh Lubnan demi mengawal Lubnan dari serangan Zionis. Ketetapan itu juga memaksa Hizbullah agar melucutkan senjata mereka demi keamanan di Lubnan. Syria terpaksa akur dengan tuntutan tersebut walaupun mereka tahu ianya akan membahayakan rakyat Lubnan sendiri. Malangnya agenda yang dipaksakan ke atas mereka ini telah berjaya mendapat sokongan rakyat Lubnan yang pro-AS sendiri.
Oleh kerana kerajaan Lubnan tidak mempunyai kekuatan ketenteraan yang hebat, maka kekuatan ketenteraan Hizbullah telah menjadi pelengkapnya.
Hizbullah pula, semenjak awal lagi telah menentang ketetapan tersebut. Mereka tahu bahaya yang bakal diundang jika mereka melucutkan senjata. Tindakan tersebut hanya akan menjadikan Lubnan berada di dalam keadaan yang sangat lemah dan amat terdedah kepada serangan Zionis. Inilah yang telah berlaku pada hari ini!
Kini, rejim Zionis menggunakan sepenuh kuasa lobinya dan juga media untuk memaksa UN membuatkan Hizbullah mematuhi ketetapan 1559.
Hizbullah dan HAMAS
Hizbullah mempunyai hubungan yang amat istimewa dengan HAMAS. Walaupun dari segi aqidah dan juga prinsip mereka berbeza, namun mereka sedang menghadapi situasi dan musuh yang sama. Kedua-dua pertubuhan tersebut mempunyai objektif yang sama, iaitu untuk memerdekakan al-Aqsa dan juga Palestin. Mereka sedang menghadapi musuh yang sama, iaitu penjajah Zionis. Di dalam keadaan seperti ini, kedua-dua kumpulan ini terpaksa melupakan perselisihan aqidah di antara mereka.
Berbeza dengan hubungan Syiah-Sunnah di Iraq, hubungan di antara Hizbullah -HAMAS agak berbeza. Mereka bersetuju di antara satu sama lain di dalam banyak perkara, terutamanya yang berkaitan dengan isu penentangan terhadap rejim Zionis. Hubungan ini semakin dikuatkan dengan kunjungan-kunjungan dan juga perbincangan yang berterusan di antara kedua-dua buah pertubuhan pembebasan tersebut.
Walaupun dari segi aqidah dan juga prinsip mereka berbeza, namun mereka sedang menghadapi situasi dan musuh yang sama.
Di kala HAMAS dan rakyat Palestin dihukum oleh rejim Zionis, AS dan EU, Hizbullah telah bersikap pro-aktif. Usaha jahat rejim Zionis membunuh orang awam Palestin di Gaza, menculik para pemimpin kerajaan HAMAS, menangkap rakyat yang tidak berdosa pasca operasi "al-Wahm al-Mubaddad" tidak langsung mengundang reaksi daripada kebanyakan pemimpin-pemimpin umat Islam. Bukan sekadar tidak membantu, malah mereka juga bagaikan bisu dan tuli dengan tidak membuat apa-apa usaha mengutuk ataupun menggesa rejim Zionis agar menghentikan keganasan tersebut. Di kala rakyat Palestin bagaikan yatim piatu yang terbiar disiksa dan disembelih oleh rejim Zionis, pada waktu itulah Hizbullah terpakasa menunaikan janji persahabatan mereka.
Tindakan mereka menyerang tentera Zionis di sempadan Lubnan merupakan usaha suci Hizbullah untuk melarikan tumpuan Zionis daripada terus menerus menyiksa rakyat Palestin. Walaupun Hizbullah tahu harga yang terpaksa dibayar, namun demi mengajar puak Zionis dan menyelamatkan nyawa lebih ramai rakyat Palestin di Gaza, mereka terpaksa melakukannya.
Ke mana seterusnya
Persoalan yang timbul, kemanakah seterusnya?, apakah kesudahan Hizbullah? Adakah mereka akan dapat bertahan dan menggempur tentera-tentera Zionis dan mengulangi kegemilangan mereka menghalau mereka seperti pada tahun 2000 yang lalu ? Berjayakah mereka menuntut supaya para tahanan mereka di dalam penjara-penjara Zionis sebagai pertukaran dengan dua orang tentera Zionis yang telah ditawan? Apakah mereka akan kalah dan berjaya dihapuskan terus dari bumi Lubnan seperti yang diimpikan oleh rejim Zionis ?
Jikalau soalan itu yang sedang kita fikirkan, maka ada soalan yang lebih besar lagi...kemanakah OIC ?, Ke manakah perginya para pemimpin umat Islam ?, ke mana juakah perginya semangat ukhuwwah di kalangan umat Islam ?, Apakah pemimpin-pemimpin umat Islam dan kerajaan mereka semuanya buta, tuli, pekak, pondan, pengecut, bengap, bahalol dan tiada "bola"?...hanya diktator-diktator yang korup di cooffee house yang bernama OIC sahaja yang mampu menjawabnya! "

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ NyaH IsRaEL ~ ::_HiZbuLLaH PaTaHkan SeRaNgaN IsRaEL_::
Hizbullah mengumumkan bahawa pasukannya berhasil menghancurkan lima trak Israel dan berhasil membunuh serta mencederakan mereka dalam satu pertempuran sengit di wilayah sempadan sebelah selatan Lubnan.
Sebelumnya Hizbullah juga mengumumkan bahawa pasukannya menyerang pasukan Israel dekat Mazon Rose ketika tentera Israel menuju ke arah Bint Jabail. Mereka mengaku telah membunuh tentera Israel dan mencederakan beberapa tentera lainnya. Aljazeera di Haifa menegaskan adanya berita terbunuhnya tentera Israel berdasarkan sumber Israel sendiri.
Israel mengaku, sembilan dari tenteranya mengalami cedera iaitu di Maron Rose dan Bint Jabail di Lubnan. Israel juga mengakui bahawa Hizbullah meroket trak-trak Israel di wilayah antara Maron Rose dan mengenai sasarannya. Disamping perkampungan Avivem Israel juga terkena serangan.
Aljazeera menambahkan, sejumlah trak-trak Israel hancur dalam pertempuran di Maron Rose dan Bint Jabail kerana pasukan Hizbullah menyerang dengan cara gerila.
Tentera Israel menambahkan operasi militia ke selatan Lubnan pada hari ke 13 operasinya. Mereka menyatakan bahawa dalam waktu 10 hari lagi mereka dapat menghapuskan pasukan Hizbullah dalam penyerangan roket-roketnya.
Pemimpin Hizbullah Sheik Hassan Nasrallah mengakui tentera rejim Zionis boleh dengan mudah memasuki selatan Lubnan, namun katanya jika Hizbullah dan pejuangnya boleh bertahan dan teruskan perjuangan, beliau akan muncul sebagai imej baru nasionalisme Arab.
“Saya tidak mahu memberikan harapan palsu. Saya tidak pernah kata tentera Israel tidak mampu memasuki mana-mana bahagian selatan Lubnan,” kata Nasrallah, 46, yang sebelum ini kerap menjadi sasaran bunuh Israel.“Strategi kita ialah apabila tentera Israel masuk, mereka akan membayar pencerobohan itu dengan harga yang tinggi. “Ini yang kita janjikan dan ini yang akan menimpa musuh kita, insyaAllah,” katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtiKaL ~ ::_TsUnaMi...MeSiN BaSuh KeMakSiAtan & TeLaDaN DaRi KiSaH NaBi NuH_::
Allah Maha Berkuasa. Ia tidak mengizinkan buminya terus dicemari dengan noda dan dosa. Seorang pelukis, Agus Geko berasal dari Panuragan lega kerana kini tiada lagi gerai dan warung seks di sepanjang pantai. Beliau berkata, sebelum tsunami, ada beratus-ratus kafe, gerai dan warung mempunyai pekerja seks dari pelbagai daerah.
Kafe dan warung mula beroperasi jam 7 malam sehingga menjelang subuh. Selain menyediakan minuman keras, kafe itu juga menyediakan bilik khas untuk disewa tetamu yang mahu berasmara dengan pekerja seks. "Perniagaan dijalankan memberi keuntungan besar kerana setiap pengunjung perlu mengeluarkan Rp400,000 (RM160). Mereka membayar Rp200,000 (RM80) jika mahu melanggan pekerja seks, manakala bakinya bagi membeli minuman keras," katanya.
Di Malaysia, industri seks mungkin tidak sehebat di Indonesia. Tetapi ia sedang menular dengan begitu cepat. Laman web lucah Melayu dengan tawaran-tawaran nafsu istimewa sedang berkembang-biak.Sejak kebelakangan ini kita gempar dengan isu pelajar sekolah, IPT dan pekerja kilang melacurkan diri dengan sewenang-wenangnya yang di bongkar oleh akhbar harian metro.Ini menandakan tahap kerosakkan akhlak umat islam sekarang pada situasi yang membimbangkan.
Pastinya bencana Tsunami mengingatkan kita kepada peristiwa taufan dan banjir besar di zaman Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam. Dengan jumlah kematian yang begitu besar (mencecah lebih 220,000 orang) Disember 2004 dan yang terbaru Julai 2006 sebanyak 668 orang terkorban, mungkin ia menyamai jumlah mereka yang ditenggelamkan oleh banjir di zaman Nuh Alayhi as-Salam. Ia adalah banjir yang meliputi keseluruhan muka bumi dan pengetahuan tentang pernahnya berlaku banjir besar itu, diiktiraf oleh semua tamadun manusia.
Sewajarnyalah kisah di zaman Nabi Nuh Alayhi as-Salaam itu dijadikan iktibar. Ini adalah kerana, Allah SWT mengekalkan ingatan umat manusia kepada peristiwa di zaman Nabi Nuh itu supaya ia terus menjadi peringatan, amaran dan pengajaran bagi sekalian umat manusia, mukmin dan kafir. Firman Allah SWT di dalam surah al-Haaqqah ayat 11-12:
"Sesungguhnya ketika air banjir itu melampau-lampau limpahannya, Kami telah damparkan kamu dengan selamat di dalam bahtera (Nabi Nuh) itu. Agar dengan itu Kami jadikan peristiwa tersebut sebagai teladan bagi kamu. Dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga orang-orang yang mahu menerima pengajaran"
Apabila saya meneliti beberapa potongan ayat al-Quran tentang bencana di zaman Nabi Nuh Alayhi as-Salaam, saya mendapat kefahaman bahawa ia tidak jauh berbeza dengan bencana Tsunami 26 Disember lepas. Cuma mungkin berbeza dari segi skala kerana Tsunami yang Allah SWT datangkan kepada kita hanya menelan manusia yang menghuni daratan perairan Lautan Hindi, tidak segenap pelusuk bumi.
Renungilah ayat-ayat di dalam surah Hud ayat 40 - 41 berikut:
"Dan apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (faara at-tannur), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina) dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja.
Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. "
Kemunculan banjir besar di zaman Nuh itu bermula dengan limpahan air dari apa yang diistilahkan oleh al-Quran sebagai at-Tannur. At-Tannur ini pada makna asalnya adalah ketuhar atau oven yang digunakan untuk membakar roti. Ia dinamakan sedemikian rupa kerana di dalam ketuhar tersebut api marak membakar menyala-nyala di dalamnya.
Alangkah ganjilnya apabila kita cuba berfikir, bagaimana air keluar melimpah dari ketuhar yang di dalamnya api menyala-nyala!
Sheikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi di dalam kitabnya Al-Qasas Al-Qurani: 'Ard Waqaa'ie' wa Tahlil Ahdaath [Darul Qalam 1419H / 1998M] menyatakan bahawa hikmah Allah SWT di dalam hal ini amatlah besar. Sesuatu yang diketahui umum, air berfungsi memadamkan api. Akan tetapi jika api itu menyala-nyala di tengah air, bagaimanakah ia boleh dipadamkan? Bagaimanakah api dan air boleh 'mesra' di dalam ketuhar yang membakar itu?
Sesungguhnya fenomena seperti ini menggambarkan betapa miskinnya qudrat manusia untuk memadamkan api yang menyala-nyala itu sebagaimana mereka juga tidak mampu mengekang air yang melimpah-limpah dari punca api tersebut. [mukasurat 191]
Saya melihat fenomena banjir dan ombak besar di zaman Nabi Nuh Alayhi as-Salaam dan hubungkaitnya dengan 'ketuhar' itu dari satu sudut lain yang mungkin boleh difikirkan bersama. Kita sama-sama mengetahui bahawa ombak Tsunami ini dicetuskan oleh gempa bumi yang berlaku di dasar Lautan Hindi berhampiran Sumatera. Gempa bumi ini berkait rapat dengan Lingkaran Api Pasifik. Batu batan dan api yang membara di perut bumi ini menjadikan kawasan terbabit tidak stabil sehingga mencetuskan gelinciran benua dan jenis-jenis gempa bumi yang lain. Dalam erti kata yang lain, seolah-oleh ombak besar Tsunami ini datang dari ketuhar Lingkaran Api Pasifik yang saya sebutkan sebentar tadi.
Bahkan ombak besar yang melanda bencana di zaman Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam itu juga lebih hebat dari Tsunami tempoh hari. Ia digambarkan seperti gunung oleh Surah Hud ayat 42 - 43:
"Dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir.
Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air. Nabi Nuh berkata: Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah dia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. "
Namun bagi kita hari ini, bagaimanakah sepatutnya kita mengambil pengiktibaran daripada bencana Tsunami tempoh hari? Apakah hanya dengan berfikir tentang usaha mengadakan sistem amaran awal semata-mata?
Tsunami tidak menelan Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong. Tsunami tidak mengundang rebah Flat Pekeliling di Kuala Lumpur walaupun gegarannya cukup kuat untuk mendesak penghuninya lari bertempiaran. Tsunami ini belum seperti 'Tsunami di zaman Nuh Alayhi as-Salaam'.
Kita bernasib baik kerana Tsunami itu tidak menelan semua sekali bahkan Malaysia mengalami keajaiban apabila angka kematiannya begitu kecil berbanding dengan negara jiran Acheh. Allah masih mengizinkan kita untuk bermuhasabah dan tidak membinasakan kita semua dengan suatu bencana yang tidak hanya menimpa golongan yang zalim semata-mata. Firman Allah SWT:
"Dan takutlah kamu kepada bencana yang tidak hanya menimpa golongan yang zalim semata-mata dari kalangan kamu secara khusus" (Al-Anfaal: 25)
Pertamanya, terimalah hakikat bahawa bencana ini bukan 'kejadian alam tanpa sebab'. Ia adalah amaran Allah. Ia adalah peringatan yang maha menakutkan. Tsunami menelan Acheh yang menyaksikan penindasan pemerintah yang membunuh jutaan penduduk yang mahukan Acheh berdiri bebas merdeka. Bukit bukau di Acheh menjadi gunung kubur manusia yang dibunuh kejam. Tsunami menelan Selatan Thailand yang baru sahaja bermandi darah Muslim Tak Bai, Masjid Kerisik dan sebagainya. Thailand itu juga menyajikan industri seks sebagai tarikan pelancong ke Phuket dan lain-lain. Tsunami membaham warga Pulau Pinang yang saban malam berpesta mungkar di Sungai Nibong. Tsunami juga memamah Pulau Pinang yang menjadi sarang pengedaran dadah, sarang pelacuran, sarang segala jenis kemungkaran dan sarang sampah!
Tsunami juga menelan Sri Langka dan India yang menjadi pentas tradisi menyembelih umat Islam. Tsunami juga menelan Maldives yang menjadi destinasi pelancongan pengunjung warga Barat sehinggakan nilai Islamnya langsung tenggelam tidak kelihatan. Sesungguhnya Tsunami menelan tanah air dan anak watan yang begitu peri lakunya. Amat pedih untuk menyebut hakikat ini, namun kita perlu akur.
Janganlah terlalu saintifik sehingga tidak sudi memikirkan hakikat ini. Tiada kerosakan yang berlaku di muka bumi ini kecuali dengan asbab. Firman Allah SWT di dalam surah Ar-Rum ayat 41:
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)"
Seterusnya, ingatlah kembali kepada apa yang telah saya sebutkan di awal tadi, bahawa Allah SWT mengekalkan kisah ini di dalam ingatan sekalian manusia, agar kita semua mengambil peringatan.
Qatadah telah menyebut sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari [Sahih al-Bukhari nombor 4869], "Allah SWT telah mengekalkan kapal Nuh supaya ia sampai kepada pengetahuan generasi awal umat ini".
Sebagai penutup, renungilah wasiat Nabi Nuh Alayhi as-Salaam kepada anak-anaknya yang beriman sebelum Baginda wafat pulang kepada Allah.
Imam Ahmad dan al-Bayhaqi telah meriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr bin al-'Aas Radhiyallahu 'anhuma, beliau berkata:
Suatu ketika kami sedang bersama-sama dengan Rasulullah SAW. Kemudian datang seorang lelaki dari pedalaman yang memakai jubah besar berwarna hijau (Seehan) dan dihiasi dengan sutera. Lalu Rasulullah SAW berkata:
"Sesungguhnya sahabat kamu ini telah meninggalkan setiap pahlawan berkuda anak pahlawan berkuda serta mengangkat setiap pengembala anak pengembala! (Pakaian yang melambangkan keangkuhan pemakainya)" Lalu Baginda SAW memegang jubah lelaki tersebut dan berkata kepadanya "Aku melihat engkau memakai pakaian orang yang tidak berakal!" Kemudian Rasulullah SAW berkata lagi "Sesungguhnya Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam ketika nazak menghadapi kematian, beliau berkata kepada anaknya:
"Sesungguhnya aku mahu meninggalkan wasiat kepada kamu. Aku perintahkan kepada kamu dua perkara dan aku tegah kamu daripada dua perkara. Aku perintahkan kamu dengan Laa Ilaaha IllaLlaah. Sesungguhnya jika tujuh petala langit dan bumi diletakkan di suatu timbangan dan Laa Ilaaha IllaLlaah diletakkan di suatu timbangan yang lain, nescaya Laa Ilaaha IllaLlaah itu lebih berat. Seandainya tujuh petala langit dan bumi itu suatu rangkaian yang samar dan rapuh, ia terjalin kukuh dan kemas dengan Laa Ilaaha IllaLlaah.
Aku juga memerintahkan kamu dengan Tasbih dan Takbir. Sesungguhnya dengan demikian terhasil kesejahteraan setiap sesuatu dan dengannya jua makhluk dikurniakan rezeki.
Aku tegah kamu dari Syirik dan Kibr (takabbur)"
Sahabat bertanya, Ya Rasulallah, sesungguhnya Syirik itu telah kami arif mengenainya. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan Kibr? Adakah menjadi Kibr jika seseorang itu memakai sepasang kasut yang baik dengan talinya yang baik?
Rasulullah SAW menjawab, "Tidak"
Kata Sahabat berkenaan, atau apakah dengan seseorang itu mempunyai perhiasan dan beliau memakainya (lalu dianggap Kibr)?
Rasulullah SAW menjawab, "Tidak"
Kata Sahabat berkenaan lagi, atau apakah seseorang itu mempunyai haiwan tunggangan dan beliau menunggangnya (lalu dianggap Kibr)?
Rasulullah SAW menjawab, "Tidak"
Kata Sahabat tersebut, atau adakah jika sesiapa di kalangan kami mempunyai ramai teman dan beliau duduk bersama mereka (lalu dianggap Kibr)?
Rasulullah SAW menjawab, "Tidak"
Lalu Sahabat tersebut bertanya, kalaulah begitu ya Rasulallah, maka apakah sebenarnya Kibr itu?
Nabi SAW menjawab, "Al-Kibr itu ialah meremeh-temehkan kebenaran (safah al-haq) dan menindas manusia (ghamth an-Naas)!"
[Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam al-Musnad 2: 169, 170, 225. Dan oleh al-Bayhaqi di dalam al-Asmaa' wa as-Sifaat: 79]
Inilah pesanan Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam kepada anaknya sebelum wafat. Dan kita ini semua adalah cucu cicitnya Baginda. Terimalah nasihat ini sebagai peringatan.
Sesungguhnya Tauhid dan Kalimah Tauhid adalah sebesar-besar perkara di dalam hidup ini. Menjadikan ia sebagai fokus diri, dan seterusnya disempurnakan pula dengan Takbir membesarkan Allah dan Tasbih mensucikanNya pada lisan dan perbuatan. Syirik yang muncul dengan pelbagai versi di dalam kehidupan kita hari ini bersama perbuatan angkuh, bongkak, takabbur atau Kibr itu pula hendaklah dijauhi. Sesungguhnya Syirik dan takabbur itu telah menjadi syiar dan cara hidup ramai manusia pada hari ini.
Manusia angkuh dengan Allah, orang ramai bongkak dengan hukum hakamNya, malah masih berani berpesta di Sungai Nibong walaupun bencana Tsunami hanya beberapa kilometer jaraknya. Selepas teguran dibuat oleh Mufti dan orang ramai, TV3 masih tidak segan silu meneruskan silsilah Konsert Sure Heboh yang hanya mengukuhkan lagi hedonisma sebagai rukun kehidupan masyarakat sekarang. Tidakkah sikap begini bermaksud memperlekehkan kebenaran? Bukankah sikap ini yang terpilih menjadi amaran Nabi Allah Nuh yang menyaksikan umatnya ditenggelamkan 'Tsunami'?
Apabila masyarakat kita diperingatkan oleh alim Ulama dengan kebenaran, ramai yang gembira mempersendakan kebenaran tersebut. Ramai yang memperlekehkan ayat-ayat Allah tanpa segan silu. Bahkan dengan sifat jelek seperti itu, tidak hairan jika ramai pula yang zalim, menindas sesama manusia sama ada dengan kuasa, akta, mahu pun sikap dan tanduk di peringkat individu.
Apakah kita mahu menunggu sehingga bumi Malaysia tersenak hidung dengan gelimpangan mayat seperti di Acheh, baru mahu tersentak dari kelekaan semua dan selama ini? Setiap kali menonton siaran berita di televisyen, saya tidak dapat menahan sebak di dada. Tetapi apabila mengenangkan kebiadapan manusia hari ini, mungkin Tsunami sahaja yang mampu memecahkan tempurung kepala kita hari untuk untuk faham dan menginsafi kuasa Allah SWT. Ceramah tak makan, motivasi tak jalan, nasihat tak dilayan, teguran dipinggirkan, yang menang akhirnya tetap hiburan dan keseronokan. Tidakkah kita sebenarnya sudah terlalu jauh pergi meninggalkan sifat diri sebagai hamba Tuhan? Tepuk dada tanyalah iman...
Salam takziah dari saya untuk tamadun manusia.
" Apakah penduduk negeri itu merasakan aman dari bala Allah pada waktu malam ketika mereka sedang tidur. Apakah penduduk negeri itu merasa aman dari bala Allah pada waktu pagi sedang mereka bermain atau bekerja. Apakah mereka merasa aman dari azab Allah(jadi mereka boleh hidup berseronok hingga melanggar hukum Allah). Tidaklah yang merasa aman dari azab Allah melainkan orang yang rugi." (Al-A'raaf 98-99)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ uLuL aLbaB ~ ::_QuNut naZiLah UnTuk PaLeStiN & LuBnaN
Apa yang akan terjadi di masjid jika dalam solat Zuhur, imam membaca qunut dalam bahasa Arab yang maksudnya "Ya Allah ampunilah dosa kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat. Ya Allah, jinakkan, satu padukan hati orang muslimin. Perbaikilah keadaan mereka. Tolonglah kaum muslimin khususnya pejuang Palestin dan Lubnan untuk melawan musuh-musuh-Mu, dan musuh-musuh mereka khususnya tentera Israel penceroboh. Ya Allah, laknatlah orang kafir yang mendustakan Rasul-Mu dan membunuh kekasih-Mu. Ya Allah cerai-beraikan kesatuan mereka. Hancur leburkan kekuatan mereka, Dan turunkanlah bencana-Mu yang tiada tertolak lagi untuk orang yang penuh dengan dosa, dengan menyebut nama-Mu ya Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon perlindungan-Mu"?
Sudah tentu makmum pada mulanya akan gelabah dan gempar seperti ada yang terus sujud selepas baca doa rukuk kerana dia fikir imam akan terus sujud seperti biasanya; ada yang tertanya-tanya yang akhirnya mengganggu kekhusyukan solatnya dan sebagainya jika imam tidak memaklumkan terlebih dulu bahawa dia akan membaca doa qunut nazilah pada rakaat terakhir solat Zuhur berkenaan.
Dalam amalannya, doa itu bukan hanya dalam solat Zuhur tapi juga dibaca dalam setiap solat fardu.Apakah qunut nazilah itu? Secara garis besarnya qunut nazilah adalah suatu doa di dalam solat pada tempat yang khusus dalam keadaan berdiri kerana malapetaka atau musibah yang turun menimpa kaum muslimin dalam bentuk penganiayaan, penyiksaan, gempa, banjir, dan sebagainya. Nazilah, jamak nawazil, itu sendiri bererti 'malapetaka' (al-Bahuti, Kasysyaf al-Qina', 1/421)
Dalam sejarah Islam, qunut nazilah sering dilakukan baginda Rasulullah SAW dan Khulafa Rasyidin yang empat. Pada permulaan Hijrah, baginda membaca qunut nazilah untuk keselamatan Ayyasy, al-Walid dan Salamah yang berpakat hijrah dengan melarikan diri dari Makkah ke Madinah. (Rujuk hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam kejadian lain, puak Ri'l, Zakuan, 'Ushayyah dan Bani Lahyan meminta pertolongan Nabi untuk menghantar tentera bantuan dalam memerangi musuh mereka. Baginda mengabulkan permohonan itu dan mengutuskan 70 pejuang Ansar yang dikenali sebagai penghafaz al-Quran pada masa itu. Mereka adalah pencari kayu pada siang hari dan solat tahajud pada malam hari. Ketika tiba di satu tempat bernama Perigi Ma'unah, kawasan al-Najd, puak Arab berkenaan mengkhianati Nabi dan menyembelih semua pejuang utusan baginda itu. Kejadian ini berlaku pada bulan Safar tahun 4 Hijrah. Selepas berita memilukan dan menyedihkan ini, Nabi membaca qunut nazilah untuk kebinasaan puak Ri'l, Zakuan, 'Ushayyah dan Bani Lahyan selama satu bulan. (Rujuk hadis riwayat Bukhari)
Selepas kekalahan umat Islam dalam peperangan Uhud yang berakhir pada Sabtu, 15 Syawal tahun 3 Hijrah, puak 'Adhl dan al-Qarah meminta kepada Nabi orang yang boleh mengajarkan agama kepada mereka. Nabi dengan senang hati mengabulkan permintaan mereka dan mengirimkan 10 orang ustaz di bawah pimpinan 'Ashim bin Tsabit. Malangnya, ketika tiba di kawasan puak Huzail, penipu daripada orang musyrik itu menghadang dan membunuh mereka. Tiga daripada mereka terselamat iaitu Khubaib bin Adiy, Zaid bin al-Datsnah dan Abdullah bin Tariq tetapi mereka menjadi tawanan. Bagaimanapun, mereka akhirnya terbunuh juga kerana sebab masing-masing. Kejadian ini dalam sejarah Islam terkenal dengan nama Ba'ts al-Raji' atau Utusan al-Raji' dan Rasulullah juga membaca qunut nazilah untuk kebinasaan kedua-dua puak pengkhianat berkenaan. (Rujuk Sirah Ibn Hisham)
Daripada tiga kejadian di atas, kita boleh menyimpulkan bahawa setiap bala bencana menimpa umat dan juga demi memohon keselamatan umat, Nabi selalu melakukan qunut nazilah. Ini ditegaskan lagi dalam sebuah hadis maksudnya: "Sesungguhnya bila ingin mendoakan seseorang, Nabi Muhammad SAW membacakan qunut sesudah rukuk." (HR Ahmad dan Bukhari)
Imam al-Nawawi (w. 676H) dalam kitabnya al-Majmu' menyatakan: "Pendapat yang benar dan masyhur yang ditetapkan majoriti ulama, apabila berlaku bala dan bencana ke atas orang Islam seperti ketakutan, kemarau, wabak atau serangan belalang atau seumpamanya, bolehlah dilakukan qunut nazilah pada setiap kali solat fardu. Jika tidak berlaku bala bencana, tidaklah perlu qunut nazilah itu."Qunut nazilah adalah suatu hal yang disyariatkan dan amat disunatkan ketika terjadi musibah. Sunat qunut nazilah ini pendapat ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafie, Hambali dan lain-lainnya. Imam Syafie berkata: "Apabila turun musibah kepada kaum muslimin disyariatkan membaca qunut nazilah pada seluruh solat wajib.” (Dalam al-Baghawi, al-Syarh, 2/279).
Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni menukil ucapan Imam Ahmad: “Apabila turun bencana kepada kaum muslimin, hendaknya imam melakukan qunut dan diaminkan orang yang dibelakangnya.” (1/450)
Umat Islam adalah satu tubuh jika salah satu anggota tubuhnya sakit, yang lain turut sakit. Kita berkewajipan membantu umat Islam lain yang dalam keadaan musibah khasnya peperangan di merata tempat. Ukhuwah Islamiyah adalah kewajipan. Kita boleh membantu mereka dengan harta kekayaan, dukungan moral, pemberitaan kepada umat Islam yang lain dan salah satu di antaranya dengan doa. Saudara-saudara kita di Palestin sememangnya mengharungi keperitan hidup sepanjang masa. Gaza sudah dikuasai Israel.
Serangan ke atas Lubnan adalah satu cara mengalihkan isu sebenar Palestin. Ehud Olmert, Perdana Menteri Israel Penceroboh dipetik Reuter menegaskan “Kami tidak membuat jadual khusus untuk operasi ini. Serangan akan diteruskan di merata tempat, bila-bila masa, dan dalam pelbagai ukuran untuk mencapai tujuan yang digariskan.” Malangnya, di tengah kecaman dunia yang datang bertubi-tubi, Amerika Syarikat bukan ikut meredakan suasana, sebaliknya membela negara zionis sekutunya itu. “Mari kita mengingat-ingat, siapa yang memulakan semua ini," kata Timbalan Menteri Luar Amerika Syarikat, Nicholas Burns, kepada CNN. Bahkan Kongres dan Parlimen Amerika Syarikat sudah menyiapkan satu usul resolusi yang menegaskan kesetiaan menyokong Israel, haknya untuk membela diri dan bertindak menghalang pencerobohan ke atasnya oleh kelompok atau negara penyokong keganasan seperti dikatakan salah seorang pemimpin Parlimen AS, Nancy Pelosi. (AFP)
Israel memporak-perandakan sebuah negara dengan mengetepikan semua sopan santun hubungan antarabangsa kerana dakwaan hanya dengan dua tenteranya yang ditawan. Mereka boleh melakukannya dengan selesa. Sebaliknya, ribuan orang Islam dibunuh dan diancam Israel tapi kita tidak boleh buat apa-apa. Kita hanya boleh berdoa dengan kehinaan diri, tanpa daya kuasa dan penuh khusyuk “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang engkau bebankan kepada orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kami, dan ampunkanlah kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; maka tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir." (Surah al-Baqarah: 286)
Kita sebagai umat yang hanya berstatus pengikut hanya boleh berdoa seperti dianjurkan al-Quran dan Sunnah Nabi. Dalam semua qunut nazilah yang dilakukan Nabi dan diamini sahabat di atas, dengan perkenan Allah. Ayyasy, al-Walid dan Salamah selamat tiba di Madinah; pemimpin dalam kejadian penyembelihan 70 sahabat, mati dengan pelbagai seksaan dunia, dan puak 'Adhl dan al-Qarah akhirnya direlakan kerana masuk Islam secara tulus dan ikhlas. Akankah kita melakukan qunut nazilah? Wallahu a'lam.
INTI PATI
Sunnah membaca qunut nazilah
  • Qunut nazilah adalah suatu doa di dalam solat dalam keadaan berdiri kerana malapetaka atau musibah yang turun menimpa kaum muslimin dalam bentuk penganiayaan, penyiksaan bencana alam.
  • Qunut nazilah sering dilakukan Baginda Rasulullah SAW dan Khulafa Rasyidin yang empat.
  • Kita sebagai umat yang hanya berstatus pengikut hanya boleh berdoa seperti dianjurkan al-Quran dan Sunnah Nabi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtiKaL ~ ::_The GrEat MaN_::
Ramai ahli falsafah cuba untuk mentafsirkan apakah faktor yang menyebabkan seseorang manusia biasa boleh menjadi luar biasa. Namun pada kita daie ilallah, sudah tentu kita tidak berpegang pada neraca ahli falsafah semata-mata kerana hakikat kehebatan adalah menurut Islam yang kita cintai ini. Sebuah dustur yang diturunkan untuk manusia dan aplikasinya untuk manusia, bukan untuk menjadi perangkap habuk-habuk di atas almari kaca dan juga alat pembangga manusia yang kurang mengerti di mana Al-Quran perlu diletakkan.
Ikhwah akhawat yang ana kasihi, pengertian kehebatan seseorang manusia terletak pada neraca langit, yakni neraca yang ditentukan oleh Allah swt untuk menentukan kesejagatan dan kedamaian umat manusia. Allah swt berfirman
Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.
Dalam sebuah hadith sahih Rasulullah bersabda(tafsir Ibn Kathir):
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللهَ تَعَالَى قَدْ أَذْهَبَ عَنْكُمْ عُبِّيَّةَ الْجَاهِلِيَّةِ وَتَعَظُّمَهَا بِآبَائِهَا، فَالنَّاسُ رَجُلَانِ:
رَجُلٌ بَرٌّ تَقِيٌّ كَرِيمٌ عَلَى اللهِ تَعَالَى، وَرَجُلٌ فَاجِرٌ شَقِيٌّ هَيِّنٌ عَلَى اللهِ تَعَالَى
Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah telah membuang dari kamu slogan-slogan jahiliah dan tradisi mengagungkan keturunan. Manusia itu terdiri dari dua jenis lelaki: Lelaki yg baik(solih), takut dan memuliakan Allah Taala dan juga lelaki yg fajir, teruk dan sedikit kepada Allah Taala. Dan seterusnya nabi membacakan ayat diatas….

Sesungguhnya yang dipandang oleh Allah adalah amalan anak Adam. Jika baik maka baik pandangan Allah padanya jika tidak maka sebaliknya akan berlaku.
Maka oleh itu ikhwah akhawat sekalian, kita sudah sedia maklum akan keutamaan beramal soleh untuk menggapai redha Allah swt. Namun bg kita ialah bukan kita hendak meperbaiki diri kita semata-semata, tetapi juga rakan-rakan di sekeliling kita. Rakan-rakan yang baik akan menghasilkan persekitaran yang baik.
Berhubung dengan dakwah fardhiah, ikhwah akhawat sekalian janganlah memandang enteng perkara ini. Seperti yang telah ana sebut, ia adalah satu teras dalam dakwah kita. Ia adalah powerful tool, dimana kita sendiri adalah merupakan kesan daripada dakwah fardhiah itu.
Berbalik kepada ayat di atas, menjadi manusia bertakwa adalah semulia-mulia manusia. Cuba ikhwah akhawat bayangkan semulia mana manusia yang bertaqwa dan mengajak dan mengajar orang supaya bertaqwa kepada Allah? Maka disitu tentulah darjatnya tidak sama dan pahalanya berbeza-beza. Berdasarkan itu dapat kita simpulkan dari tajuk kita, siapakah the great man?
The great man is a man who makes other great men.
Semulia dan sehebat manusia ialah Rasulullah saw. Kita lihat bagaimana baginda dapat membina sahabat yang terkenal dengan kehebatan masing-masing. Baginda hebat kerana dapat membina sahabat-sahabat yang hebat. Dan hingga akhirnya Islam mencapai ustaziatul alam dan membawa rahmat ke seluruh dunia.
Allahu akbar..Allah Maha Besar..Allah The Greatest. Itulah puncak kehebatan yang ada. Allah yang mengutuskan Nabi Muhammad yang hebat, menurunkan al-Quran yg hebat, dan menjadikan Islam yang hebat sebagai Deen manusia.
Ikhwah akhawat sekalian, janganlah berputus asa dalam dakwah. Jadilah insan yang hebat, dalam ertikata orang yang hebat ialah orang yg menjadikan orang-orang lain hebat. Kisah manusia hebat terbukti dia hanya hebat seorang semata-mata, tapi boleh membangkitkan beribu malah jutaan manusia lainnya. Seperti kata-kata Hasan al-Banna ketika ditanya mengapa beliau tidak menulis buku sedangkan dia ulamak hebat. Tapi daie ilallah ini menjawab, Aku hanya berminat menulis manusia. Juga insan lumpuh yang hebat bernama Syeikh Ahmad Yasin, ketika ditanya tidak takutkah beliau dibunuh oleh Israel. Beliau menjawab, Andai seorang Syeikh Ahmad Yasin terbunuh, akan bangkit seribu lagi syeikh Ahmad Yasin!
Ikhwah akhawat sekalian..jadilah insan yang hebat!!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ Nyah IsRaeL ~ ::_KaMi MeNyoKoNg Mu PaLeStin & LuBnaN_::
Semua Masjid Negeri di seluruh negara hari ini berhimpun untuk menyatakan sokongan kepada rakyat Pelestin dan Lubnan selepas selesai solat jumaat.Tidak ketinggalan di Medan Ilmu Kota Bharu Bandaray Islam,Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengetuai demotrasi membantah kekejaman Israel di Medan Ilmu, hadapan Pejabat Perhubungan PAS Negeri Kelantan pagi tadi, beliau mengatakan bahawa negara Israel 'anak haram' dan penceroboh. Nik Aziz juga membakar bandera negara US, England dan Israel tanda bantahan. Lautan manusia turut sama di dalam demontrasi tersebut.
Di Mesir,Jawatankuasa Perhimpuna Aman Sejuta Umat Universiti al-Azhar Kaherah menegaskan sokongan mereka terhadap perjuangan Palestin dan Lubnan serta mendokong tindakan boikot seluruh produk Israel dan Amerika. Pernyataan ini disampaikan oleh ketua Panitia tindakan damai di Kaherah kelmarin (18/7).Beberapa wakil dari jawatankuasa demonstrasi serta sejumlah aktivis politik di Mesir kelmarin mengadakan seminar masalah Lubnan dan perjuangan di pejabat persatuan wartawan di Mesir.
Mereka menegaskan bahawa dalam menghadapi zionis Israel, sudah sampai masanya kita beralih dari tahap mengecam dan mengutuk ke tahap yang lebih tinggi iaitu perlawanan dan pertempuran. Pendekatan inilah yang harus dipilih sekarang oleh bangsa Arab. Setelah sekian lama mereka dalam keadaan lemah dan tidak berdaya dalam menyelesaikan masalah-masalah bangsa Arab dan perjuangan secara khusus.Dalam pada itu, mereka memuji langkah yang diambil oleh Lubnan dengan menyerang Zionis Israel.
Mereka mampu melakukan yang sepatutnya bangsa Arab lakukan ketika negara Arab lain tidak mampu melakukan apa-apa kecuali mengecam pertempuran yang dilakukan oleh Lubnan dan Palestin.Di sisi lain, ahli politik dan masyarakat umum menyeru agar semua pihak dapat menjalin kerjasama dan koordinasi dengan pelbagai pertubuhan untuk mendokong perjuangan Lubnan, Palestin dan Iraq serta melakukan boikot terhadap produk Amerika dan Israel.
Sementara itu, pemimpin kumpulan Hizbullah di Lubnan, Dr. Rifaat Sayid Ahmad mengirimkan surat kepada dunia Arab yang disiarkan markaz filistine lil’ilam mengatakan, ketika ini pihaknya sangat percaya dan yakin akan kemenangan daripada Allah SWT dalam menghadapi Zionis Israel. Beliau meminta bangsa Arab dan umat Islam bersatu dan menyokong perjuangan mereka. Ini kerana peperangan tersebut bukan antara Israel dan Lubnan saja, tetapi pertempuran antara umat Islam dan Zionis Yahudi Israel.
Beliau juga menegaskan bahawa walaupun situasi di Lubnan selepas serangan Israel dalam keadaan kacau-bilau dan tidak stabil namun mereka belum berniat mengurangkan serang balas. Sehingga kini mereka belum mengalami sebarang kerugian dari segi ketenteraan.Semetara itu, ketua persatuan pengacara Mesir, Abdul Azim al-Magribi mengatakan, tindakan serangan balas Palestin, Lubnan dan Iraq pada satu sisi telah menyulitkan Israel.
Pada sisi pandangan lain ia merupakan isyarat bagi umat Islam dan Arab untuk tidak mudah menyerah atau tunduk kepada keangkuhan Israel. Beliau mengajak umat Islam untuk bersama dalam Himpunan Aman sejuta Umat pada hari Jumaat depan. Beliau turut mengajak pihak polis Mesir bergabung dengan rakyat mendokong perjuangan.
Sementara itu, ketua tindakan boikot produk Amerika-Israel, Abdul Aziz al-Husaini menjelaskan, pemerintahan Arab telah melalui tiga fasa dalam menghadapi Israel. Pertama menolak aksi ganas dan kejam Israel. kedua, diam membisu. Ketiga, mengecam serangan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ IsU ~ ::_PrOgRaM ReaLiTi Tv, AnTaRa JaRuM YaHuDi_::
Kebelakangan ini kita dibanjiri dengan pelbagai program realiti tv yang memualkan. Semakin hari semakin bertambah, malahan stesen-stesen tv di negara ini berlumba-lumba untuk mempromosikan rancangan realiti tv masing-masing yang ternyata bertujuan untuk mengaut keuntungan semata-mata.
Kita disajikan dengan rancangan-rancangan seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Mentor Mencari Cinta, The Most Beutiful dan yang terbaru One In a Million. Kegilaan terhadap realiti tv ini amat dasyat dan kesan atau pengaruhnya amat menakutkan sekali.
Sebagai rakyat Malaysia yang mencintai Islam, saya melihat fenomena realiti tv ini sebagai satu ancaman kepada pembangunan intelek rakyat Malaysia khususnya. Ternyata rancangan seperti ini langsung tidak memberi faedah dan menyumbang kepada pembangunan negara. Malah ianya seolah-olah menunjukkan bahawa rakyat Malaysia amnya dan umat Islam khususnya amat lemah dari segi intelek dan hanya memikirkan soal-soal picisan seperti jodoh dan mencari bakat-bakat nyanyian semata-mata.
Seperti biasa, kebanyakan rancangan realiti tv ini lebih menumpukan kepada mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang nyanyian. Kalau dahulu kita tidak mengetahui tentang ilmu vokal, kini kita lebih mengenali istilah-istilah seperti ”vibrato, falsetho” daripada mengenali istilah-istilah tajwid seperti ”izhar” atau ”idgham bila ghunnah” yang sepatutnya menjadi kewajipan untuk setiap individu muslim untuk mengetahuinya sebagai satu alat untuk memahami Al-Quran.
Persoalannya, adakah agenda mencari penyanyi lebih afdhal dari agenda memulihkan akhlak rakyat Malaysia yang mengalami keruntuhan yang amat dasyat. Firman Allah yang bermaksud :-
"Dan di antara mereka (ada) orang yang (membeli) mempergunakan perkataan yang tidak berguna (lahwal hadis) untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan." (Surah Al-Luqman: 6)
Ulama mentafsirkan perkataan lahwal hadis sebagai hiburan atau nyanyian-nyanyian yang melalaikan dan menyesatkan manusia dari mengingati Allah swt. Manakala perkataan "yashtari" atau membeli dalam ayat ini bila ditafsirkan dalam konteks semasa, ialah terdapatnya di kalangan manusia hari ini sanggup membeli hiburan seperti menghantar undi melalui sms. Undi melalui sms ini adalah satu bentuk pembelian hiburan secara tidak langsung dan sangat bertepatan dengan ayat al-quran di atas. Ternyata Al-Quran telah mendahului kita, cuma manusia pada hari ini sahaja yang tidak mahu mengambil pengajaran.

Hujah songsang menyokong realiti tv
Namun begitu, terdapat hujah-hujah songsang oleh pihak-pihak yang menyokong realiti tv ini. Mereka hanya berhujah berdasarkan logik akal semata-mata. Sebagai contohnya seorang tokoh media di negara ini dalam Malay Mail pada 2 Ogos 2005 menyatakan :-
"We should not underestimate Malaysian viewers as they know how to differentiate between Western and Malaysian values. Malaysians are empowered to select what they want to watch. Our literacy rate is high, so there is no need to be worried about reality TV programmes."
Kita sepatutnya tidak boleh memandang rendah kepada penonton tv Malaysia kerana mereka tahu membezakan antara nilai Barat dan nilai-nilai masyarakat Malaysia. Rakyat Malaysia berkuasa untuk memilih atau menentukan apa yang mereka hendak lihat dan tonton. Kesedaran kita sangat tinggi, jadi tidak perlu bimbang tentang program realiti tv. (terjemahan)
Manakala seorang lagi tokoh yang berpengaruh didalam industri hiburan pula menyatakan
"We just need to look around ourselves to know that things are changing. Malaysians are smart enough to know what’s good and bad. In the music industry too, I have to accept changes, the music revolutions and to keep in touch with the real world whether I like the changes or not."
Kita perlu melihat di sekeliling kita untuk mengetahui bahawa keadaan sudah berubah. Rakyat Malaysia sudah cukup bijak untuk menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Di dalam industri muzik, saya terpaksa menerima perubahan, revolusi muzik dan perlu mengambil tahu tentang keadaan sebenar dunia sekarang sama ada saya suka atau tidak. (terjemahan)
Agenda Yahudi melalaikan umat Islam
Sebenarnya program realiti tv ini merupakan satu bentuk penjajahan baru ke atas pemikiran umat islam atau "ghazwatul fikr". Ini merupakan agenda Yahudi dan Nasrani yang mempunyai agenda tersembunyi untuk melemahkan umat Islam melalui serangan pemikiran yang akan mematikan daya tahan, daya juang dan semangat jihad umat Islam. Umat Islam dilekakan dengan program realiti tv ini.
Mereka tidak lagi berminat untuk mengetahui nasib saudara seagama mereka yang tertindas di Palestin atau di Iraq. Mereka lebih senang menangisi penyingkiran peserta AF daripada menangisi nasib umat Islam lain yang dibunuh, disiksa oleh tentera Israel di bumi Palestin.
Dan kini kita berhadapan dengan senario peperangan yang semakin merebak antara tentera Israel dan Hizbollah. Berapa ramai antara kita yang menyuarakan bantahan terhadap penindasan terhadap umat Islam di Palestin? Di manakah semangat juang dan jihad kita untuk membantu saudara-saudara seagama kita menentang penjarahan dan kekejaman bangsa Yahudi?
Di mana suara OIC sebagai pertubuhan yang menjaga kebajikan negara-negara umat Islam? Cukupkah sekadar mengutuk tindakan regim yahudi yang menyerang dan membunuh penduduk awam di Lubnan? Tiadakah tindakan yang tegas diambil oleh semua negara umat Islam seperti menghantar tentera ke Palestin bagi memulihkan keadaan? Beginilah keadaan umat Islam di dunia amnya dan Malaysia khususnya yang telah mati hati mereka akibat pengaruh realiti tv yang melekakan.
Umat Islam Malaysia Rosak Aqidah
Masyarakat yang leka dengan budaya hedonisme yang melampau-lampau akhirnya akan menjadi masyarakat yang rosak akhlak,kosong jiwa dan hilang jati diri. Begitulah dasyatnya pengaruh program realiti tv yang merupakan agenda pihak Yahudi dan Nasrani untuk melumpuhkan umat Islam dari bangkit menjadi umat yang terkemuka seperti di zaman silam.Tidak hairanlah apabila baru-baru ini kita dikejutkan dengan kenyataan Mufti Perak bahawa umat Islam di Malaysia membelanjakan RM4 billion untuk minum arak dan berjudi sahaja.
Manakala terdapat lebih 100 ribu umat Islam di Malaysia yang telah murtad atau keluar dari agama Islam. Inilah agenda Yahudi dan Nasrani yang telah berjaya secara halus dan perlahan merosakkan aqidah umat Islam di Malaysia. Sebagai penutup renungilah Firman Allah swt dalam ayat di bawah dan sama-samalah kita berdoa semoga Allah menguatkan iman kita.
"Dan sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu (Muhammad) mengikut agama mereka" (Al-Baqarah:120)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ iSu ~ ::_KeS sErBan...KeNaPa HaKim GuNa LoGiK AkaL......_::
Isu di Mahkamah Persekutuan 12 Julai lalu adalah sama ada Peraturan-Peraturan Sekolah 1997 yang melarang pemakaian serban oleh pelajar sebagai sebahagian pakaian seragam sekolah, melanggar atau tidak Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Kes ini melibatkan rayuan tiga orang murid sekolah yang sebelum ini menuntut bahawa tindakan guru besar SK Felda Serting, Negeri Sembilan membuang mereka daripada sekolah pada tahun 1997 kerana enggan menanggalkan serban pada waktu sekolah sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dalam bab kebebasan mengamalkan agama masing-masing.
Saya dapat bersetuju bahawa Peraturan-peraturtan Sekolah 1997 itu mungkin tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan tambahan sekolah berkenaan memaklumkan bahawa murid-murid tersebut cuma dilarang berserban pada waktu sekolah tetapi dibenarkan berserban di surau dan di luar waktu sekolah.
Mungkin dalam hal ini dengan mengambil kira suasana ataupun enviromen sekolah kebangsaan, tepatlah tindakan guru besar itu.
Barangkali sebagaimana dimaklumkan mahkamah, bapa para pelajar berkenaan sepatutunya menghantar anak-anak mereka itu ke sekolah-sekolah agama atau pengajian pondok dimana suasana ataupun enviromen pendidikannya berbeza.
Bagi saya setakat ini sekolah-sekolah kebangsaan sudah pun agak terbuka dalam bab amalan Islam ini khasnya dalam pakaian seragam sekolah (lelaki berseluar panjang dan perempuan dibenarkan bertudung) berbanding awal tahun 70-an dahulu dan waktu sebelumnya di mana ia bukan merupakan sebahagian daripada pakaian seragam sekolah.
Begitu juga murid-murid sekolah kebangsaan diizinkan solat Jumaat di masjid berhampiran (khasnya bagi sesi petang) dan didirikan surau dan diberikan keizinan untuk mereka solat zohor dan asar di sekolah.
Jadi saya dapat bersetuju dalam amalan berserban ini mungkin ia tidak dapat diberikan kelonggaran oleh sekolah-sekolah kebangsaan.
Namun demikian apa yang saya kecewa terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan semalam adalah beberapa aspek hujah penghakiman yang saya kira longgar dan tidak tepat khasnya yang membabitkan permasalahan hukum dan amalannya.
Saya kecewa bagaimana hakim yang beragama Islam dapat berhujah mengikut logik akal dalam bab yang melibatkan permasalahan hukum Islam. Dan dalam hal ini saya kira hujah yang digunakan oleh hakim berkenaan kalau pun bermaksud mengukuhkan pandangannya sebenarnya telah menghina Islam dan Rasulullah s.a.w.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Dato' Abd Hamid Mohamad dalam penghakimannya yang telah dibacakan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan telah menyebut antara lain (NST):
I accept that the Prophet wore a turban. But he also rode a camel, built his house and mosque with clay walls and a roof of leaves of date palms, and brushed his teeth with the twig of a plant.
Does that make riding a camel a more pious deed than traveling in an aeroplane? Is it preferable to build houses and mosques using the same materials used by the Prophet and the same architecture adopted by him during his time.
Dan laporan dalam Utusan berbunyi: Saya tahu bahawa Rasulullah memakai serban. Tetapi baginda juga menunggang unta, membina rumahnya dan masjid daripada tanah liat dan berbumbungkan daun kurma dan menggosok gigi menggunakan sugi. Adakah itu bermakna bahawa menunggang unta itu satu amalan lebih alim daripada bergerak menaiki kapal terbang?
Wajarkah dipilih bahan dan cara serupa yang digunakan oleh Rasulullah untuk membina rumah dan masjid seperti pada zaman baginda?
Beliau berhujah lagi dalam laporan The Star:
The pagan Arabs wore turbans and kept beards. It was quite natural for the Prophet, born into the community and growing up in it, to do the same.
Dan laporan Utusan berbunyi:
Arab jahiliah, termasuk Abu Jahal, memakai serban dan berjanggut. Tidak hairanlah bagi Rasulullah yang lahir dan membesar dalam masyarakat itu, berbuat demikian.
Saya sendiri tidak memiliki Authority untuk berhujah bab ini cuma sebagai seorang Muslim saya dididik bahawa Sunnah dalam Islam bermaksud segala perkataan, perbuatan dan keizinan (Af'al, Aqwal, dan Taqrir) Rasulullah s.a.w.
Kebetulan Rasulullah s.a.w. adalah seorang berbangsa Arab dan hidup kira-kira 1,400 tahun dahulu namun itu tidak menjadikan segala Sunnahnya sebagai Archaic atau kuno ataupun ketinggalan zaman. Soal sama ada kita mampu menurutinya ataupun tidak itu soal kedua, tetapi jangan sekali-kali kita menghina, mencabar atau mempertikaikannya.
Kalau kita mahu Apply logik akal semata-mata mengapa kita tidak pertikaikan al-Quran itu sendiri yang sehingga hari ini kita yang berbangsa Melayu ini membaca dalam bahasa Arab hatta dalam solat dan doa-doa kita? Mengapa tak kita Melayu atau Inggeriskan sahaja termasuklah laungan azan?
Saya percaya hakim berkenaan bila tiba bulan Ramadan akan turut membeli buah kurma dan berbuka dimulakan dengan memakan kurma. Mengapa tidak telan rambutan atau durian sahaja?
Kita mungkin tidak bersetuju yang serban itu menjadi pakaian di sekolah-sekolah kebangsaan sebagai pebahagian daripada pakaian seragam (walaupun kita tidak mempertikaikan serban anak-anak Sikh, sama ada ia wajib ataupun sunat menurut agama mereka, kerana Karam Singh Walia tak pun gunakan serban semasa keluar TV), dan mungkin juga tidak bersetuju tentang kanak-kanak sekolah kebangsaan yang berjanggut.
Walaubagaimanapun jangan sampai kita menyatakan serban dan janggut itu sekadar kebetulan amalan Rasulullah kerana ia amalan penduduk Arab pada zamannya.
Di sinilah bahayanya apabila logik akal semata-mata digunakan untuk berhujah dalam bab agama. Bayangkan bagaimana persepsi masyarakat bukan Islam apabila membaca keputusan ini. Malah akhbar The Star dengan bangga meletakkan tajuk akhbarnya pada 13 Julai: Islam is not about turban and beard
Saya rasa hakim berkenaan perlu diberikan kaunseling oleh pihak berkuasa agama. Kalau ternyata beliau jahil berkenaan Islam sewajarnya samada JAKIM, JAWI, Pejabat Mufti atau sesiapa sahaja yang kasih dan bersedia mempertahankan Islam perlu bangun dan mengambil inisiatif memberikan penerangan dan tarbiyah kepada hakim ini dan mereka yang seumpama beliau yang duduk ditahap membuat keputusan seumpama ini.
Jangan dibiarkan dan jangan dipandang kecil perkara ini. Kemudian hari saya percaya akan banyak lagi kes-kes yang melibatkan amalan dan kepercayaan Islam dibawa untuk pengadilan. Kalau beginilah pemahaman hakim-hakim berkenaan Islam, nescaya gelaplah masa depan Islam dalam negara ini

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS