~ aRtiKaL ~ ::_PeRaNcAnGan KaFir LaKnaTuLLah MeNguBah SuKaTan PenDiDiKan DuNia IsLam_::
Kurikulum pendidikan merupakan salah satu sasaran interfere baru Amerika untuk mengubahsuai semula mentaliti dan keperibadian orang Islam dan Arab. Penguasaan dan pengendalian arah sukatan pendidikan ini menurut persepsi barat merupakan salah satu sarana penting dalam mengawal dan membuat perubahan di rantau dan daerah tertentu.
Ini kerana memandangkan pendidikan dengan segala sukatannya bertanggungjawab mencanai kesedaran membentuk kaedah, cara berfikir dan syakhsiah manusia. Dari itu penguasaan menyeluruh terhadap sukatan adalah pemangkin yang menjamin gerak usaha masa depan untuk mengubah perilaku, sikap, keperibadian dan pemikiran selaras dengan hala tuju sukatan yang telah digubal.
Jelas kini Amerika Syarikat sedang bekerja keras untuk mencari jalan bagaimana boleh mengawal, memantau syakhsiah orang Arab dan Islam melalui perubahan sikap dan jatidiri mereka. Oleh kerana disedari bahawa sukatan pendidikan agama (Islam), sejarah dan Bahasa Arab mempunyai peranan yang besar dalam pembentukan sahsiah orang Arab dan orang Islam, maka perumusan semula sukatan berkenaan dapat memenuhi matlamat Amerika untuk melahirkan sahsiah atau keperibadian baru umat Islam agar tidak mengancam dan mencabar ketuanan Amerika Syarikat.
Selaras dengan itu, pengubahsuaian sukatan agama Islam adalah salah satu pendekatan baru Amerika untuk menghalang kemunculan kumpulan ala Taliban atau ala Osama Bin Laden. Amerika sudah pun mengusahakan pemindaan sukatan pendidikan sekolah-sekolah yang pernah melahirkan Taliban di Pakistan dan sukatan pendidikan di universiti-universiti Islam di Saudi, bahkan di peringkat pendidikan pra-universiti di Mesir umpamanya selesai dikerjakan perubahan sukatan pendidikan Al-Azhar sebagai usaha untuk mensekularisasikan Al-Azhar. Kini sedang rancak diusahakan pengubahan sukatan pendidikan agama di sekolah-sekolah kebangsaan di samping ada cadangan agar ditiadakan pendidikan Islam dan diganti dengan mata pelajaran kebudayaan Islam yang dipelajari oleh pelajar Islam dan bukan Islam.
Selaras dengan ini akhbar mingguan bebas Mesir menerbitkan ringkasan laporan yang disediakan oleh sekumpulan pengkaji politik tersohor Amerika yang dikenali sebagai kumpulan G19. Laporan ini telah diajukan kepada pasukan Keselamatan Nasional Amerika. Tajuk laporan tersebut berjudul Aspek Psikologi Terrorisme Islam. Pakar berkenaan telah mencadangkan beberapa resolusi dan cadangan yang telahpun diserahkan kepada Presiden Amerika dan telah disetujui oleh beliau. Apakah hakikat sebenar laporan yang menggerunkan tersebut. Di bawah ini kita perincikan kandungan laporan berkenaan:
Laporan tersebut berpendirian bahawa adalah menjadi kewajiban mendesak kini untuk mewujudkan suatu bentuk kerjasama yang binding atau mengikat antara Amerika dengan negara-negara Arab untuk membuat perubahan dalam sukatan pendidikan, politik informasi dan saling akur terhadap peranan bersama kedua belah pihak. Laporan itu menganggap bahawa gambaran buruk atau imej negatif Amerika dan Israel adalah benih dan penyebab utama yang menyemarakkan tindakan keganasan. Oleh itu pindaan sukatan pendidikan yang menggalakkan perasaan benci terhadap Yahudi dan dunia barat umumnya hendaklah dibuat, lebih-lebih lagi elemen yang menggalakkan perbuatan keganasan seperti konsep jihad yang merangsang orang Islam agar membunuh diri mereka, memusnah dan mengganasi setiap orang yang non-muslim menurut anggapan laporan berkenaan.
Laporan tersebut mendedahkan bahawa tujuan kempen menyeluruh Amerika menentang keganasan ialah untuk memungkin Amerika mencorakkan generasi akan datang untuk selama sepuluh tahun. Dan ini bermakna kempen tersebut hanyalah penenang sementara. Akan tetapi usaha merubah sukatan pendidikan diperingkat rendah lagi adalah usaha yang boleh menjamin ketiadaan lahirnya generasi pengganas.
Kajian tersebut menegaskan bahawa setiap putaran masa selama 15 tahun akan melahirkan generasi yang ganas. Nampaknya generasi berikutnya lebih ganas dari generasi sebelumnya. Sebabnya menurut laporan itu ialah kitab suci (Al-Quran) orang Islam.Terdapat halangan teknikal yang jelas untuk meminta atau mendesak kerajaan (Islam) berkenaan untuk meminda Al-Quran. Namun boleh dicari pakar-pakar rujuk agama yang mampu menampilkan tafsiran baru yang berbeza dengan tafsiran sebelumnya yang boleh membantu perlaksanaan perancangan Amerika.
Kajian itu berpendapat negara seperti Mesir Saudi mempunyai pengaruh yang besar dalam hal ini. Manakala peranan negara Arab yang lain agak kurang dan bersifat pinggiran.Saudi mempunyai pengaruh keagamaan yang kuat, manakala Mesir pula kerana merupakan negara Arab yang mempunyai populasi penduduk yang lebih besar dan mempunyai institusi pendidik Al-Azhar maka ia sarat dengan berbagai polimek dan pertentangan pemikiran agama. Kajian tersebut mencadangkan agar di halang keberkesanan Al-Quran melalui cara berikut:
Memaksa golongan pakar rujuk dan pendidik agama agar memusatkan pengajaran dalam hal-hal ibadat sahaja agar agama itu berkisar sekitar hubungan individual dengan Tuhan dan tidak menyentuh soal-soal yang berkaitan dengan pembangunan umat, sahsiah atau isu mempertahankannya.
Keperluan pendekatan bertahap dalam menangani sukatan pendidikan agama di Mesir dan dunia Arab. Bermula dengan pendidikan di peringkat rendah tetapi berubah menjadi mata pelajaran budaya agama dengan menekankan keutamaan agama Yahudi, Kristian dan Islam, keperluan menjelaskan peranan semua agama dalam membangunkan tamadun manusia.
Meminda topik dan tema-tema pelajaran mutalaah dan kajian teks dalam mata pelajaran bahasa Arab kerana didapati topik-topik yang ada sekarang menggalakkan kebencian kepada orang lain. Ia juga merangsang pelajar agar mengingati sejarah perjuangan berdarah melawan atau memerangi orang lain; hal mana menyebabkan kanak-kanak berkenaan kurang berkerjasama dengan pihak yang mereka anggap sebagai musuh.
Kemestian mengubah sukatan sejarah, menitikberatkan sejarah ilmu, revolusi sains dan adat istiadat. Menghindar tajuktajuk tentang peringkat peringkat sejarah penjajahan ataupun memaparkan para pembunuh sebagai wira dan syuhada. Sebaliknya perlu ditegaskan nilainilai dan reputasi positif peradaban barat dan peranan utamanya dalam mempengaruhi bangsa Arab dan umat Islam.
Melatih dan mendidik semula para guru, para pemuka yang bertanggungjawab tentang pendidikan mengenai konsep-konsep baru ini; sehingga dapat disalurkan kepada para pelajar dengan sebaiknya dengan cara membawa mereka ke Amerika untuk dikursuskan sehingga dapat menyesuaikan diri dengan konsep dan pemikiran baru tersebut.
Menghapuskan trend menaqal dan patuh di samping menjadikan ajaran agama berasaskan rasional berpandukan daya taaqqul dan keengganan mematuhinya. Kajian itu menegaskan lagi kekuatan yang diperolehi oleh kumpulan Islam di Mesir dan di Algeria adalah kerana indoktrinasi faham naqal dan patuh kepadakitab suci (Al-Quran) dan sunnah Nabi. Kajian itu memaparkan bahawa dalam peringkat rendah atas murid-murid mengalami perubahan psikologi tertentu. Oleh itu proses ini mesti ditangani untuk dipantau sehingga dapat dielakkan golongan itu dari dieksploitasi oleh terorist. Iaitu melalui perubahan sukatan pendidikan yang dapat merenggut sikap pemusuhan dikalangan pelajar dan membentuk sikap kerjasama.
Peringkat menengah adalah peringkat di mana anak anak para pengikut semua agama mula mempelajari agama mereka secara berasingan. Dalam peringkat ini, konsep ibadat dan kisah-kisah sejarah hendaklah dititikberatkan khasnya di dalam menangani kesilapan yang lumrah dalam mendekati aspek-aspek provokatif di dalam Islam itu sendiri (seperti konsep jihad, syahid, perjuangan, al-wala dan sebagainya).
Di dalam peringkat universiti, ditiadakan kursus-kursus mengenai agama. Apa yang diperlukan ialah menyusun program kerjasama antara universiti untuk memahamkan para pelajar tentang dunia barat. Dalam peringkat ini perlu ditekankan penonjolan model budaya Amerika, khasnya dalam bidang (consumerzisme).
Manakala konsep tawil (interpretation) hendaklah dimanfaatkan untuk merumuskan terminologi agama yang baru dalam setiap prinsip dan asas-asas agama Islam, khasnya yang berkaitan dengan proses berinteraksi dengan dunia barat. Interpretasi serta tawil yang berkenaan hendaklah bersifat positif sejajar dengan kefahaman agama ala Amerika yang baru. Kajian tersebut juga menekankan bahawa perancangan ini hendaklah merupakan sebahagian daripada hubungan strategik Amerika dengan dunia Arab.
Protokol-protokol bilateral berkenaan perkara ini dengan dunia Arab hendaklah ditandatangani dalam rangka menangani terorisme di samping menangkis dakwaan bahawa perancangan seperti ini merupakan usaha masuk campur dalam urusan dalaman atau penceborohan terhadap kedaulatan nasional justeru Kempen Antarabangsa Menangani Terorisme Amerika memastikan perkara ini. Kajian itu juga menolak wujudnya sebarang negara agama atau negara yang menjadikan agama sebagai rujukan dengan alasan Negara seperti itu boleh menjadi arena berkembangnya kumpulan kumpulan Islam yang mencabar hegemoni kuasa Amerika Syarikat.
Inilah perancangan Amerika yang baru untuk membina persepsi agama yang baru dari perspektif Amerika. Pengertian agama yang baru ini akan menjadi asas dan tiket untuk masuk ke gerbang dunia moden serta ikut serta dalam kelompok dunia barat dan Amerika. Perancangan ini bukan suatu omong kosong atau angan-angan tetapi ia merupakan pola yang terhidang diatas meja persidangan para ilmuan dan diterjemahkan tuntutannya dalam realiti. Oleh itu ternyata jatidiri Islam masa kini menghadapi ancaman yang amat serius; hal mana memastikan umat Islam bersikap awas dan bersiap sedia menghadapi bencana serta konspirasi yang sedang disiapkan oleh musuh untuk memerangkap mereka.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtiKaL ~ ::_DeRa IsTeRi!!!_::
Empat mazhab tolak kejadian penderaan sebagai alasan tuntut cerai.
Kita selalu mendengar atau membaca kisah sedih isteri menjadi mangsa penderaan suami. Ada kes isteri ditampar, ditumbuk, ditendang, diletak seterika panas di tangan, ditarik rambut dan tindakan tidak wajar lain.
Soalan yang terlintas di hati kita, kenapa seseorang suami sanggup dan sampai hati mendera isterinya?Selisih faham, berbeza pendapat dan berbalah antara suami isteri adalah suatu yang lumrah dan tabii, kerana berkait dengan latar belakang berbeza di antara pasangan.
Setiap orang terbentuk hasil daripada latar belakang keluarga, ilmu pengetahuan dipelajari, kaedah dibesarkan, status dan tahap kehidupan masing-masing yang mempengaruhi cara pemikiran, pendekatan, penilaian terhadap sesuatu perkara.
Sebab itu ada perkara dianggap penting oleh isteri tetapi tidak dianggap penting oleh suami dan begitulah sebaliknya.Kadang-kadang perbezaan tidak diatasi dengan baik boleh berakhir dengan perbalahan sehingga membawa kepada pukul memukul dan sebagainya.Dalam menilai suatu perkahwinan, Islam menyarankan kita menerima pasangan seadanya dan selalu berusaha membaiki apa yang kurang.
Perbezaan jangan sampai menjadi pergaduhan besar yang boleh membawa kepada perceraian.Penderaan dalam bahasa Arab dipanggil darar. Al-Dusuqi, seorang ilmuwan silam daripada mazhab Maliki membincangkan isu penderaan dengan terperinci.
Secara asasnya, penderaan suami ke atas isteri boleh dibahagikan kepada dua iaitu pertama, penderaan secara fizikal, suami menyakitkan tubuh badan isteri dengan perbuatan kasar menggunakan tangan atau alat seperti memukul, menampar, menarik rambut, menendang sehingga luka, lebam-lebam, patah dan cedera.
Kedua, penderaan berbentuk mental dan emosi yang boleh berlaku apabila suami melayan isteri dengan buruk, memanggilnya dengan panggilan menghina, menjatuhkan maruahnya di hadapan orang seperti menyebut, "Wahai anak anjing, perempuan sial, wahai perempuan laknat, anak orang laknat atau ayat lain yang bermaksud menghina dan menjatuhkan maruah isteri atau keluarga isteri.
Begitu juga apabila suami meninggalkan isteri, enggan melakukan persetubuhan tanpa sebab, enggan bercakap sehingga isteri menjadi tidak keruan dan tertekan, atau suami berpaling daripada isterinya di atas katil dengan tujuan mendera turut dianggap sebagai darar.Ada ilmuwan yang membincangkan mengenai darar di bawah tajuk 'Pemisahan di antara suami isteri kerana berlaku pergaduhan'.
Dalam bahasa arab disebut Tafriq Li al-Syiqaq.Penderaan ke atas isteri selalunya berlaku selepas wujud pergaduhan di antara mereka. Pendapat ini boleh dilihat antaranya dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh tulisan al-Zuhayli dan kitab al-Mar'ah Baina al-Fiqh wa al-Qanun oleh Sheikh Mustafa al-Siba'i.
Sekiranya seorang isteri didera, bolehkah beliau menuntut cerai di mahkamah? Kita cuba dalami apa pendapat ulama berkenaan isu ini. Ada dua pendapat di kalangan mereka. Mazhab Hanafi, Syafii, Hambali dan Zahiri menolak penganiayaan dan hubungan buruk suami sebagai asas untuk menuntut cerai.
Mazhab Maliki pula mengambil sikap lebih terbuka dengan menerima penderaan sebagai alasan mendapatkan perceraian.Al-Kasani daripada mazhab Hanafi menyatakan isteri didera berhak membuat aduan ke mahkamah tetapi hakim tidak berhak menceraikan mereka. Selepas menerima aduan isteri, hakim mesti melarang suami daripada meneruskan penganiayaan itu.
Caranya dengan memanggil suami dan menegur, menghukum dan memerintahkan suami bergaul secara baik dengan isterinya. Isteri harus bersabar dan tidak boleh mendapat perceraian menggunakan alasan penderaan itu.Al-Syirbini daripada mazhab Syafii pula mengaitkan tanggungjawab dan kuasa suami mendidik isteri nusyuz (derhaka) dengan cara memukulnya sebagai satu bentuk didikan.
Berdasarkan ayat 4, surah al-Nisa yang memberikan tiga tahap didikan ke atas isteri nusyuz iaitu menasihati, memukul dan memisahkan tempat tidur.Oleh itu, beliau berpendapat apabila suami memukul isteri kerana enggan mendengar nasihat, tidak boleh dikatakan penderaan.Tetapi jika suami bersikap kejam, memukul tanpa sebab dan melayan isteri secara ganas, tindakan yang boleh dilakukan adalah melantik orang tengah (hakam) untuk berusaha menyelamatkan perkahwinan itu.
Al-Syirbini juga menyebut bahawa memisahkan pasangan terbabit tidak akan menyelesaikan masalah tetapi sekadar menjauhkan isteri daripada suami saja.Menyelamatkan isteri yang dianiaya perlu dilakukan dengan cara lebih efektif seperti suami dipanggil, ditegur, diberi nasihat, dihukum atau dipenjara sehingga dia bertaubat dan tidak mengulangi lagi penderaan ke atas isterinya.Mazhab Maliki membenarkan perkahwinan dipisahkan kerana berlaku darar ke atas isteri. Al-Dusuqim menyatakan, walaupun isteri dibenarkan menuntut cerai kerana darar, tetapi mereka sangat ketat dalam urusan pembuktian.
Syarat yang diperlukan ialah jika seseorang isteri membuat aduan ke mahkamah dan mendakwa didera, dia perlu disokong oleh dua saksi lelaki yang memenuhi syarat saksi.Jika yang menjadi saksi adalah perempuan, mahkamah tidak boleh meluluskan perceraian dituntut. Jika tidak ada saksi, maka jelas tuntutannya tidak akan dilayan.
Walaupun begitu, mazhab ini agak terbuka dalam menilai bilangan kekerapan penderaan dilakukan suami. Al-Dusuqi menyebut sekiranya sabit suami melakukan darar dengan niat menyakiti isterinya, maka tidak disyaratkan penganiayaan itu dilakukan berkali-kali.Perceraian boleh disabitkan walaupun darar yang dilakukan ke atas isteri hanya sekali. Itulah pendapat dominan di sisi mazhab Maliki.Mazhab Maliki membenarkan perceraian kerana didera berdasarkan hadis yang bermaksud, “Jangan melakukan kemudaratan ke atas orang lain dan jangan membiarkan kemudaratan berlaku.” Oleh itu mahkamah tidak boleh membiarkan isteri yang didera tanpa diberi keadilan. Keadilan untuknya adalah menyelamatkannya daripada suami yang zalim.
Kaedah fiqh 'Kemudaratan hendaklah dihilangkan' juga relevan iaitu sebarang perkara yang membawa bahaya dan kemudaratan hendaklah dihilangkan. Justeru, jika satu perkahwinan mengandungi unsur darar maka ikatan itu boleh difasakhkan kerana darar yang berlaku ke atas isteri perlu dihilangkan dan mangsa dera hendaklah diselamatkan daripada menanggung kemudaratan.
Bagaimana dengan peruntukan undang-undang dan amalan yang diterima pakai di Mahkamah Syariah negara kita? Apakah boleh seorang isteri yang didera mendapatkan cerai di mahkamah?Apa yang patut dilakukan oleh seseorang isteri yang didera sama ada penderaan emosi atau fizikal oleh suaminya? Perbincangan seterusnya akan disambung dalam siri akan datang.
INTI PATI
  • Persefahaman asas kebahagiaan rumah tangga. Tindakan mendera isteri perbuatan terlarang yang boleh menimbulkan pelbagai kesan buruk pada jangka panjang.
  • Isteri mangsa penderaan memerlukan bantuan kaunseling dan khidmat orang tengah untuk menyelesaikan masalah.
  • Mahkamah jalan terakhir untuk menyelesaikan masalah rumah tangga selepas tiada penyelesaian.
  • Suami memukul isteri dengan tujuan nasihat tidak salah. Bagaimanapun tindakan itu jangan sampai mendera.
  • Perbezaan latar belakang antara suami dan isteri sering menimbulkan masalah. Bagaimanapun setiap kekusutan masih ada jalan penyelesaian.
  • Mazhab Hanafi, Shafii, Zahiri dan Hambali menolak alasan cerai semata-mata kerana penderaan.
  • Mazhab Maliki lebih terbuka dengan menyatakan penderaan alasan untuk menuntut perceraian.
  • Suami dan isteri perlu bersabar dalam menyelesaikan masalah rumah tangga. Elakkan perceraian kerana bukan penyelesai masalah.
  • Perceraian menimbulkan pelbagai masalah lain yang menjejaskan keharmonian hidup individu itu sendiri.
  • Berdasarkan ayat 4, surah al-Nisa yang memberikan tiga tahap didikan ke atas isteri nusyuz iaitu menasihati, memukul dan memisahkan tempat tidur.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtiKaL ~ ::_PeRsePaKatAn MeKaH...LeMbaRaN BaRu UnTuK QuDs_::
Persepakatan Mekkah di antara Hamas dan Fatah telah memberikan nafas baru kepada masyarakat dunia. Masyarakat dunia yang telah bosan dengan pertelingkahan dalaman di antara rakyat Palestin kini sudah mampu tersenyum. Raja Arab Saudi telah mendapat kredit yang banyak melalui inisiatif beliau ini.
Walaupun agak terlambat, sehingga puluhan telah terbunuh dan ratusan telah tercedera, namun inisiatif beliau harus diberikan pujian. Sekurang-kurangnya beliau tidaklah selembap OIC dan juga liga Arab di dalam menyelesaikan masalah ini. Melalui inisiatif ini juga beliau telah berjaya membuktikan bahawa beliau tidaklah seperti pemimpin Mesir yang hanya mengeruhkan lagi keadaan dengan sikap berpihak mereka. Mekah telah menjadi saksi perdamaian di antara dua fraksi Palestin tersebut.Isu-isu utamaAntara persepakatan utama yang dicapai lewat pertemuan kedua-dua fraksi terbesar rakyat Palestin adalah isu kerajaan campuran (Hukumah al-Wehdat al-Wataniyyah).
Mahmoud Abbas yang merupakan penghalang utama kepada tertegaknya kerajaan campuran telah berjaya dijinakkan oleh Raja Saudi. Mungkin enviromen Mekah sebagai tempat suci telah berjaya melembutkan hati Abbas. Keengganan beliau sebelum ini untuk menerima ide kerajaan campuran yang dilontarkan oleh Hamas amat membinggungkan ramai pihak. Sikap beliau yang sering merujuk kepada AS di dalam membuat keputusan sebelum ini pun amat menyulitkan proses tersebut.
Kini, segalanya sudah selesai. Kesudian Hamas untuk memberikan pos-pos kementerian yang strategik kepada Fatah merupakan sesuatu yang patut diberikan pujian. Jika ada hero di dalam proses permuafakatan ini, maka Hamas merupakan heronya.
Hamas telah berjaya membuktikan kepada masyarakat dunia bahawa mereka bukanlah sekumpulan manusia yang gila kuasa. Semenjak hari pertama mereka memenangi pilihanraya majlis legaslatif lagi mereka telah mengisytiharkan penubuhan kerajaan campuran. Malangnya Fatah melalui juru cakap mereka, Saeb Erekat, telah menolak mentah-mentah ide tersebut.
Kini, mereka tiada pilihan kecuali untuk menerima cadangan tersebut apabila melihat keadaan sudah semakin tidak terkawal. Penerimaan Fatah terhadap ide ini ada kaitannya dengan suasana kekacuan di Gaza. Kewujudan kumpulan pemberontak (al-Tayyar al-Inqilaabi) di kalangan penyokong Fatah telah memburukkan nama Fatah. Kelemahan pimpinan pusat mereka telah menyemarakkan lagi api pemberoontakan yang didalangi oleh Muhammad Dahlan.
Hamas telah berjaya membuktikan kepada masyarakat dunia bahawa mereka bukanlah sekumpulan manusia yang gila kuasa.
Percubaan membunuh PM Palestin, Ismael Haneyyah oleh kumpulan pemberontak ini merupakan titik hitam di dalam sejarah Palestin. Kemuncak keganasan kumpulan pemberontak adalah peristiwa serangan ke atas Universiti Islam Gaza dan juga bangunan kementerian dalam negeri di Gaza pada 2 Februari 2007.
Peristiwa yang telah menyebabkan kematian hampir 30 nyawa dan mencederakan 200 yang lain itu akhirnya telah berjaya menggerakkan Raja Saudi dari lenanya. Persepakatan Mekah yang telah berjaya diadakan ini merupakan natijah reaksi Raja Arab Saudi kepada kes tersebut.
Reaksi pelbagai pihak
Persoalan yang timbul kini, apakah persepakatan tersebut akan berjaya meredakan kumpulan pemberontak?. Kita tahu bahawa kumpulan Fatah terlalu lemah dan tidak mempunyai kepimpinan pusat yang kuat. Segala arahan pusat tiada makna. Di dalam kem Fatah kini, siapa yang mempunyai banyak duit, merekalah yang berkuasa.
Keupayaan Muhammad Dahlan yang merupakan seorang jutawan di kalang jutaan rakyat Palestin yang miskin dan fakir memberikan beliau peluang untuk membeli penyokong-penyokong Fatah. Melalui harta beliau yang melimpah ruah, beliau telah berjaya membentuk kumpulan pemberontak yang sanggup melakukan apa sahaja yang beliau arahkan. Apakah kumpulan ini setuju untuk mengiktiraf kerajaan campuran?, apakah kumpulan ini juga bersetuju dengan tindakan Abbas untuk berdamai?, apakah kumpulan ini juga akan menghormati wakil-wakil Fatah sendiri di dalam kabinet?
Semua persoalan ini tidak mampu dijawab oleh Abbas sendiri. Beliau sendiri pun tidak berupaya untuk mengawal para penyokong Fatah. Lihat sahaja keputusannya untuk mengadakan pilihanraya awal pada bulan Disember yang lalu. Kumpulan pejuang Fatah dari pelbagai fraksi menolak. Lebih memalukan, veteran Fatah, Farouq Qadoumi sendiri telah menolak cadangan berkenaan di dalam media. Lihat sahaja persetujuan gencatan senjata yang berlaku berkali-kali di antara pimpinan HAMAS dan Fatah.
Tidak ada satu pun yang dihormati oleh para pemberontak. Jelas sekali, mereka semua tidak menghormati pimpinan Fatah kecuali Muhammad Dahlan sahaja. Hal ini membuatkan sesetengah kumpulan pejuang Fatah ada yang menggugut hendak membunuh Dahlan. Malangnya, jika ada pertempuran di antara kumpulan-kumpulan pejuang Fatah sendiri, maka HAMAS yang akan dipersalahkan. Media mempunyai peranan yang besar di dalam hal ini.
Keupayaan Muhammad Dahlan yang merupakan seorang jutawan di kalang jutaan rakyat Palestin yang miskin dan fakir memberikan beliau peluang untuk membeli penyokong-penyokong Fatah.
Walaupun Dahlan menyertai rombongan Fatah ke Mekah dan kelihatan bersetuju dengan persepakatan, namun ramai pihak yang masih berteka-teki. Apakah beliau akan menghormati persepakatan tersebut?, apakah beliau akan berpegang kepada prinsip yang dipersetujui?, apakah beliau juga bersedia untuk melucutkan senjata kumpulan pemberontak. Hanya waktu yang akan menjadi saksi apa yang akan berlaku di masa hadapan.
Bagi pihak antarabangsa pula pelbagai reaksi yang timbul. Pihak AS enggan mengiktiraf sebarang kerajaan yang disertai Hamas.
Rejim Zionis Israel pula enggan mengiktiraf mana-mana kerajaan yang tidak mengiktiraf penjajahan mereka. EU pula mengalu-alukan persepakatan Mekah sebagai lamgkah awal untuk menjayakan usaha Quartret. Hal yang sama telah disuarakan oleh Presiden Peranchis kepada Raja Saudi. Presiden Rusia pula telah mengambil inisiatif yang agak pro-aktif. Beliau melihat pencapaian di Mekah ini adalah isyarat kepada masyarakat antarabangsa untuk mengakhirkan sekatan ekonomi dan politik yang telah dikenakan ke atas rakyat Palestin semenjak Januari 2006 yang lalu.
Pengiktirafan Israel
Melalui persepakatan tersebut, Hamas kini telah menyatakan kesediaan mereka untuk menghormati perjanjian-perjanjian terdahulu di antara PLO dan pihak-pihak yang terlibat berkaitan isu Palestin. Jika Hamas telah sanggup memberikan komitmen mereka, bagaimana pulakah sikap Quartret?, bagaimana pulakah sikap rejim Zionis Israel? Bagaimana pulakah sikap AS?
Rejim Zionis hanya mahukan rakyat Palestin melepaskan hak mereka dan meninggalkan segala tuntutan ke atas hak mereka yang dijamin oleh undang-undang antarabangsa dan masyarakat dunia.
Amat malang, rejim Zionis Israel tidak menghormati lagsung persepakatan ini. Bagi mereka, yang mereka mahukan hanyalah pengikritirafan Hamas ke atas penjajahan mereka. Mereka ingin rakyat Palestin mengiktiraf bahawa rejim Zionis merupakan pemilik bumi Palestin.
Mereka hanya mahukan rakyat Palestin melepaskan hak mereka dan meninggalkan segala tuntutan ke atas hak mereka yang dijamin oleh undang-undang antarabnagsa dan masyarakat dunia. Benarlah kata Ismael Haneyya di dalam tulisannya di akhbar Guardians.
Beliau mengatakan, persoalan di sini, bukanlah persoalan rakyat Palestin mesti mengiktiraf Israel, tetapi Israel mestilah terlebih dahulu mengiktiraf rakyat Palestin.
Apakah erti pengiktirafan rakyat Palestin ke atas Israel jika rejim tersebut tidak pernha mengiktiraf hak rakyat Palestin. Bukti yang paling mudah, apakah sikap rejim Israel terhadap resolusi 181 yang hanya memperuntukkan 55% sahaja dari tanah Palestin kepada rejim Zionis?, apakah pula sikap mereka terhadap resolusi 194 berkaitan nasib pelarian Palestin?, apakah pula sikap mereka terhadap resolusi 242 ?
Bak kata Ir. Abdul Rahman Zaydan ketika berkunjung ke Malaysia pada awal bulan Februari 2007. Menurut beliau, Israel tidak perlu kepada pengiktirafan. Mereka telah lama wujud. Mereka telah lama berkuasa dan meminggirkan rakyat Palestin. Mereka juga telah lama menafikan hak rakyat Palestin. Tanpa pengiktirafan rakyat Palestin pun, negara "haram" Israel telah wujud. Persoalannya di manakah pengiktirafan rejim Israel ke atas hak rakyat Palestin?Hamas dan amanah rakyat Palestin
Apabila penasihat politik PM Palestin, Ahmad Yusuf ditanyakan oleh al-Jazeera, apakah persetujuan Hamas di Mekah untuk menghormati perjanjian-perjanjian terdahulu di antara PLO dan Israel bererti pengiktirafan Hamas ke atas rejim tersebut. Beliau menjawab, "Kami hanya menghormati sahaja, tetapi kami tidak wajib mematuhinya, dan kami tidak akan mengiktiraf Israel!".
Melalui jawapan beliau ini jelas, Hamas tidak akan mengkhianati amanah yang telah diberikan oleh rakyat Palestin kepada mereka lewat pilihanraya 2006 yang lalu. Sehingga akhir tahun lepas, angka 80% masih lagi kukuh menunjukkan pandangan umum rakyat Palestin untuk tidak mengiktiraf Israel. Jika Hamas mengiktiraf Israel, bermakna Hamas telah mengkhianati 80% daripada rakyat Palestin di dalam dan di luar negara mereka."

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS