~~~@ SaLaM iMtiHaN @~~~

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtiKaL ~ ::_BuKu KaRiBmu_::
Detik awal sinar Islam di alam maya ini bermula dengan pancaran cahaya wahyu Ilahi melalui kalimah Iqra bermaksud ‘Bacalah’ dan melambangkan ilmu yang di dalamnya terangkum makna membaca, mengkaji, menyelidik dan berfikir.
Istilah ‘ilmu’ yang menjadi teras sistem nilai dalam Islam dan menduduki tempat tinggi mempunyai hubungan rapat dengan istilah ‘buku’ yang menjadi sumber kepada ilmu dan pengetahuan.
Di dalam buku terkandung khazanah intelektual, dokumentasi pengekalan warisan dan budaya serta idea besar, yang kadang-kala menjadi pencetus bahaya mengakibatkan peperangan atau diharamkan atas sebab idea yang dilontarkan pengarangnya. Namun, buku saja tetap akan tinggal sebagai buku jika tiada proses perpindahan ilmu yang ada di dalamnya ke dalam minda manusia melalui proses dikenali sebagai pembacaan.
Pembacaan dengan kata lain seharusnya membawa kepada kesahihan ilmu yang dapat membezakan antara kebenaran dan kepalsuan. Melalui wahana inilah usaha keilmuan dapat membangunkan intelektual, membentuk budaya fikir kreatif dan dinamis yang akhirnya melahirkan masyarakat progresif.
Dalam peradaban Islam, buku adalah kekasih dan teman paling setia dalam memimpin ke arah kebenaran dan membentuk kemajuan unggul. Sikap orang Islam ketika itu yang mencintai buku jelas dilihat daripada kehidupan seharian mereka terutama ketika mereka berbicara. Membaca buku bagi mereka yang mencintai ilmu sama seperti berkomunikasi dengan teman yang begitu setia untuk mendengar.
Profesor Ahmad Shalaby dalam bukunya bertajuk Sejarah Pendidikan Islam ada menyatakan, dalam sejarah Islam pernah diriwayatkan apabila seseorang berbicara mengenai buku, maka pendengarnya akan mengira bahawa dia sedang berbicara mengenai seseorang yang amat setia dan jujur, seorang kekasih yang sudah lama tidak bertemu atau seorang pemimpin yang memimpin ke jalan kebenaran dengan satu tujuan yang suci murni.
Dalam buku itu, beliau juga telah menulis satu bahagian khusus mengenai hubung kait buku dan perpustakaan. Pada zaman Harun al-Rasyid, iaitu kemuncak perkembangan ilmu di bumi Arab terutama apabila Baitul Hikmah iaitu perpustakaan dan juga sebuah pusat penterjemahan mula beroperasi.
Di sinilah tempat berkumpul segala ilmu yang didapati daripada tamadun luar seperti kaedah mantik atau logik dari tamadun Yunani, penghasilan kertas daripada tamadun China dan ilmu nombor diambil daripada tamadun India. Ilmu yang dikumpulkan itu terus dikaji dan diselidiki dengan lebih mendalam, juga diterjemahkan ke dalam bahasa Arab dan dihasilkan semula dalam bentuk buku untuk dimanfaatkan semua.
Bagi pencinta ilmu, buku adalah pasangan paling setia. Ke mana saja mereka pergi akan tetap ditemani pasangannya ini. Al-Jahiz, seorang ulama besar Islam yang mempunyai komitmen tinggi terhadap ilmu dan pembacaan sehingga mati tertindih oleh bukunya pernah berkata ‘buku itu akan diam bila engkau menyuruhnya diam. Dia tidak akan mengganggumu jika engkau sedang bekerja. Tetapi apabila engkau diulik kesepian, dialah teman yang akan menjadi temanmu paling baik’. Dalam mencari buku yang boleh dijadikan pasangan atau teman, aspek kualiti perlu diberi perhatian sewajarnya.
Buku karya besar atau agung dalam pelbagai tradisi bangsa dan peradaban manusia penting terutama dalam memanusiakan pembaca kerana ia mewakili tradisi dan perkembangan pemikiran dan intelektualisme sesuatu bangsa.
Sejarah juga membuktikan hanya dengan ketinggian budaya ilmu, sesuatu bangsa dapat mempengaruhi negara dan bangsa lain yang lebih besar dan kuat. Kefahaman kepada idea dan gagasan besar yang dilontarkan adalah antara usaha manusia untuk memahami dan menghayati kebijaksanaan santapan mental dan rohani manusia.
Ahli sufi klasik tersohor, Muhyiddin Ibnu Arabi, pernah menceritakan mengenai penghargaan seorang ulama mengenai buku: “Belum pernah ku melihat kebun buah-buahan yang dapat diletakkan di lengan baju atau taman bunga yang dibawa dalam pangkuan”.
Dalam sejarah peradaban Islam, buku berperanan sebagai terapi atau dikenali sebagai biblioterapi. Bagi ulama pencinta ilmu, mereka akan meletakkan buku di atas kepala untuk menghilangkan sakit kepala atau demam.
Jika hilang rasa sakit, mereka akan terus membaca buku berkenaan.Antara buku dan budaya menulis, dua perkara tidak dapat dipisahkan sebagaimana Saidina Ali pernah berkata: “Ikatlah ilmu dengan menulisnya”.
Prof Hamka juga berkata, jika seseorang sudah mencapai tahap membaca yang tinggi, secara semula jadi akan terpanggil untuk memindahkan ilmu pengetahuan yang didapatinya dalam bentuk penulisan. Ini jelas dilihat dalam diri Prof Hamka sebagai seorang ulama, sasterawan, pemikir dan penulis.
Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas ,di dalam pendahuluan bukunya bertajuk A commentary on the Hujjah al-Siddiq of Nur-Din al-Raniri menyatakan, ‘sumbangan yang abadi yang dapat diberikan oleh seseorang dalam keadaan seumpama ini adalah menulis sebuah buku kerana sebuah buku dapat kekal lama selepas kerajaan, manusia, negara, catatan pemikiran dan tindakan manusia lupus.’ Dalam hal ini, buku berperanan sebagai penzahiran pemikiran seseorang melalui tulisan.
Sebagai contoh, Syed Sheikh al-Hadi, seorang tokoh pembaharuan Islam yang hidup sezaman dan seangkatan dengan Muhammad Iqbal, pemikir Islam tersohor dari Pakistan.Sifatnya yang agak positif dengan Barat sering disalahertikan. Beliau menyarankan ajaran Islam harus menerima idea dan falsafah Barat supaya umat Islam boleh mengecapi kemajuan dan bersaing dengan bangsa lain.
Bagi beliau, wadah terpenting dalam menyampaikan idea ialah melalui kaedah penulisan sama ada buku ataupun majalah. Hal ini boleh digunakan untuk mengejutkan umat Islam di Tanah Melayu dari tidur untuk bangkit menebus kemunduran masa lalu. Bagaimanapun hal itu masih tidak diberi perhatian serius hingga ke hari ini.
Oleh itu, tidak hairanlah walaupun Malaysia kaya dengan hasil buminya namun anak watan, khususnya bangsa Melayu masih tidak dapat memanfaat sepenuhnya lantaran kekurangan pengetahuan mengenai bagaimana semua itu dapat digunakan.
Rasulullah SAW pernah menyatakan mengenai kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: “Bila kamu menghendaki hidup berjaya di dunia hendaklah kamu berilmu dan bila kamu menghendaki hidup berjaya di akhirat hendaklah berilmu dan bila kamu menghendaki kedua-duanya hendaklah juga kamu berilmu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Buku sebagai khazanah ilmu pengetahuan perlu diberi kedudukan tinggi kerana di dalamnya tersimpan rahsia kehidupan dan kunci kemajuan. Nilai terkandung dalamnya akan mencorak kehidupan manusia dan telah banyak mempengaruhi golongan pemikir, pemimpin, ilmuwan dan ulama.
Sikap mementingkan ilmu melalui membaca akan memajukan manusia dalam seluruh aspek kehidupan termasuk budaya, kemanusiaan dan adab. Bagaimanapun, budaya ilmu tidak hanya terbatas di sekolah atau universiti, malah perlu dikembangkan dalam kehidupan masyarakat.
Apabila budaya ilmu menjadi sebahagian hidup mereka, konsep penghidupan tidak lagi untuk hidup semata-mata tetapi memberi keutamaan kepada pentingnya memburu ilmu, menambah ilmu untuk meningkatkan corak pemikiran atau intelek sebagai satu keperluan dalam menghadapi cabaran hidup.
Seorang penyair Arab yang terkenal pada zaman Abbasiah, Al-Mutanabbi berkata: ‘Teman yang paling mulia sepanjang zaman adalah buku.’

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtiKaL ~ ::_KeLuHaN SaNg SuBuH_::
Pada pagi itu, seperti mana pagi-pagi yang lain, aku menyambut kedatangan seorang tetamu tetapku.
"Assalamualaikum" , seru Subuh. "Wa'alaikumsalam" , sahutku. Dan kami terus berpelukan, tanda rindu serta kasih sayang. Kutanya khabar Subuh, bagaimana keadaannya mengembara dari satu tempat ke satu tempat. "Tadi..", kata Subuh dengan sayu, "... aku baru sahaja melintasi satu tempat. Kucari tempat persinggahan, kuketuk rumah-rumah yang sunyi, tapi satupun yang tiada mahu menerimaku sebagai tetamu." Dan airmata Subuh pun berlinangan. "Subuh, usah kau pedulikan mereka, bukankah aku menyambutmu dengan penuh rasa kegembiraan? Subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringat sesuatu. "Oh ya, tadi aku lalu di suatu tempat yang tanahnya disebalik sungai.
Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan penuh kesukaan, menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat serta mengiurkan. Hidangan yang paling kusuka adalah buah Tahajjud, puas kucari dibumi lain, tapi jarang kujumpa. Di situ aku meratah buah Tahajjud dengan puas serta leka". Dan Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. Aku fahami maksud Subuh. "Maaf Subuh, aku tiada menanam pohon Al-Lail, jadi aku tidak dapat menghidangkanmu dengan buah yang kau sukai.
Tapi aku ada Roti Shiyam",cadangku pada Subuh. Subuh menolak dengan hormat. "Roti itu ada tuan punyanya", kata Subuh. "Adakah kau mahu manisan Zikir?" rayuku pada Subuh. "Baiklah, ambilkan aku sedikit, serta bawakan aku segelas Air Mata Tangisan", pinta Subuh. Aku agak sugul, bagaimana harusku beritahu pada Subuh, yang Mata Air Tangisan sudah hampir kekeringan akibat kemarau Maksiat yang berpanjangan?
Namun, aku tetap menjenguk ke dalam Perigi yang memuatkan Mata Air tersebut. Aku terkejut. Perigi tersebut hampir separuh penuhnya. Dan aku berdetik didalam hati, adakah ini tanda kemarau akan berakhir?
Tanpa berlengah lagi kubawa Air tersebut pada Subuh, tetamu yang kusanjungi, dan kusuakan manisan yang dipintanya. Selesai menjamah kesemuanya, Subuh pun melirikkan sebuah senyuman. "Subuh ..", seruku, "... mahukah kau tinggal selamanya denganku?
Aku memerlukan teman dalam kesunyian. Akan kulayan kau dengan sebaiknya,wahai Subuh". Subuh tersenyum lagi menandakan permintaanku tidak akan terpenuhi. "Aku perlu menziarahi ramai orang, dan ramai lagi yang memerlukan kehadiranku untuk mengubati rindu mereka, sepertimana aku menguliti mimpimu".
Dan aku akur dengan penjelasan Subuh. "Subuh",.. seruku lagi bila melihat Subuh bersiap untuk pergi, "Sudikah kau menziarahiku lagi esok hari?" "InsyaAllah" , jawab Subuh,"... bukankah aku kekasih yang kau rindui?"
Subuh berangkat dengan lambat tetapi tetap. "Assalamualaikum" , seru Subuh. "Waalaikumsalam" , jawabku kembali. Dan mataku terus meniti langkah Subuh, yang semakin laju dengan setiap langkah. Dan akhirnya Subuh hilang dari pandangan.
P/S : Apalah agaknya keluh kesah dari Zohor, Asar, Magrib dan Isyak?
Jawapannya.. . tersirat dalam diri.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtiKaL ~ ::_SeSaLnYa TaPi...._::
Pernahkah kita bertanya kepada diri kita sendiri, kenapa kita perlu bertaubat? Apa reaksinya?
Apakah kita merasa perlu bertaubat sesekali atau melakukannya terus menerus?
Mungkin, ada orang yang menganggap tidak perlu bertaubat terus-menerus. Ada juga yang merasa sangat perlu melakukannya. Bahkan jika mungkin, ingin melakukannya setiap saat.Bagi yang merasa tidak perlu mengulang-ulang taubat, alasannya, pasti kerana mereka merasa tidak ada kesalahan yang menjadikannya perlu sentiasa memperbaharui taubat. Tapi bagi yang merasa sangat mementingkan taubat, itu dilandasi kesedaran sebagai manusia mereka tidak terlepas daripada kekhilafan. Apalagi kesalahan kepada Allah Maha Pencipta.
Apabila kita melakukan kesalahan kepada seseorang, cara terbaik untuk menyelesaikannya adalah dengan meminta maaf. Meminta maaf, pada mulanya memang sangat berat. Ini kerana adanya rasa malu dan sebagainya. Tetapi apabila dilakukan, ternyata itu lebih bermanfaat.Fikiran menjadi lebih tenang, dan jiwa menjadi tenteram. Suasana hati pun automatik menjadi damai. Itu pasti. Sebaliknya, andai kita menunda kemaafan kepada orang tersebut, hati kita akan penuh dengan perasaan kacau-bilau dan gelisah.
Jika terhadap sesama manusia kita sanggup meminta maaf, hatta atas kekhilafan yang kecil, apalagi kesalahan yang berkait dengan Allah SWT. Sepatutnya kita lebih segera lagi meminta ampun. Ini kerana tidak ada manusia yang tidak bersalah, bahkan sesiapapun manusia sangat banyak memiliki kesalahan dan kekurangan di hadapan Allah.
Hanya Rasulullah yang bersifat ma’sum, terlepas daripada kesalahan dan dosa. Setiap Nabi dan rasul yang diutus Allah ke muka bumi, sentiasa bertaubat dan memohon ampun kepada Allah.Apapun anggapan orang, manusia sebenarnya sangat banyak melakukan kesalahan dan dosa. Ada ulama yang mengatakan bahawa manusia itu, kedipan matanya sudah dapat mengandung dosa.
Dosa mata dengan penglihatan, dosa telinga dengan pendengaran, dosa tangan dengan perbuatan, dosa kaki dengan langkah dan gerakan, dosa hati dengan niat dan maksud, dosa lidah dengan tutur kata dan sebagainya.Ada orang yang menganggap melakukan dosa kecil itu merupakan kesalahan yang remeh dan kerananya tidak akan memberi apa-apa kesan.
Walhal, orang yang menganggap kesalahan yang dilakukan sebagai dosa kecil, sebenarnya sangat mungkin ia telah memiliki dosa yang besar. Dosa kecil, ibarat debu berterbangan yang melekat pada kain.
Jika dibiarkan terus-menerus, kain itu pun akan menjadi kotor juga.Ilustrasi seperti itu yang digambarkan oleh Rasulullah SAW. “Sesungguhnya iman itu muncul dalam hati bagaikan sinar putih. Kemudian dosa muncul pada hati seperti titik-titik hitam. Lalu merebak sampai seluruh hati menjadi hitam legam”.
Perkara ini menjadi sebab bagi orang yang menggunakan fikiran sihat, tidak mahu mengisi waktu-waktunya dengan perbuatan yang sia-sia seperti mengumpat atau mencari kesalahan orang lain. Dia lebih berharap agar menjadi orang yang lebih disibukkan oleh kesalahan peribadi daripada kesalahan orang lain.Allah SWT berfirman, “Siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itu adalah orang yang aniaya”. (QS Al-Hujurat:11)
Mengetahui besar dan bahaya dosa, merupakan langkah pertama seseorang untuk meninggalkan dosa. Hal ini yang dimaksudkan oleh Imam Al-Ghazali dalam tahap ilmu (mengetahui). Ertinya, seseorang tidak akan melakukan taubat kecuali setelah dia menyedari bahaya dosa.
Daripada kesedaran ini, seseorang akan menjauhi segala kemaksiatan, menyesalinya, dan bertekad untuk tidak melakukannya pada masa akan datang. Rasulullah bersabda, “Taubat itu adalah penyesalan” (HR Ibnu Majah dan Ibnu Hibban dan Al-Hakim dengan sanad sahih)
Mempercayai dosa sebagai racun mematikan, termasuk kesinambungan iman. Rasulullah SAW pernah mengaitkan berkurangnya kesempurnaan iman dengan perbuatan maksiat. “Seseorang tidak mungkin berzina, sedangkan dia orang yang beriman”. (Muttafaq alaih)
Secara timbal balik, perbuatan zina itu akan mengurangi iman seseorang.Orang yang melakukan zina, sama sahaja dengan tidak mempercayai larangan Allah SWT. Allah SWT melarang zina, antara lain kerana zina akan melahirkan banyak bahaya pada pelakunya, mahupun masyarakat. Sama dngan seorng doktor yang menyatakan, “Jangan sekali-kali minum ini kerana ini adalah racun yang membunuh”. Pesakit yang tetap meminum racun, sama ertinya dia tidak percaya dengan nasihat doktor. Atau dia tidak percaya bahawa kata-kata doktor itu benar.
Daripada analogi sederhana ini, pelaku kemaksiatan bererti menderita pengurangan iman. Bayangkan, keadaan ini kita alami ketka tiba pada batas usia ayang Allah berikan.
Imam al-Ghazali berkata, “Orang yang tidak segera bertaubat terancam bahaya besar. Hatinya menjadi gelap dan berkarat. Kemudian bila dia sakit atau mati, bererti dia mengadap Allah dengan hati yang tidak sejahtera”.
Dan itu pula sebabnya, al-Ghazali menyatakan bahawa taubat wajib dilakukan terus-menerus, dan sesegera mungkin.Tidak ada seorang pun yang mengetahui bila datangnya ajal. Hikmah yang paling utama adalah, agar setiap manusia berusaha melakukan amal soleh sepanjang hidupnya. Rasulullah SAW selalu berdoa agar baginda menghadap Allah SWT dalam keadaan yang baik. Baginda kerap mengucapkan, “Ya Allah, jadikanlah kebaikan itu pada penghujung umurklu. Ya Allah, jadikanlah kesudahan amalku itu adalah redha-Mu. Ya Allah, jadikanlah saat yang terbaik bagiku adalah saat menemui-Mu”. (HR Tabrani)
Dalam hadis lain disebutkan munajat Rasulullah SAW, “Ya Allah jadikanlah kebaikan itu pada penghabisan umurku. Dan kebaikan amalku adalah kesudahannya, dan waktu yang terbaik adalah saat menemui-Mu”. (HR Tabrani)
Demikianlah untaian doa utusan Allah SWT yang telah dijamin keselamatan hidupnya, di dunia dan di akhirat. Baginda juga kerap memotivasi umatnya agar memiliki akhir yang baik dalam hidup. Suatu ketika, Nabi SAW bersabda, “Jika Allah menghendaki kebaikan pada seorang hamba-Nya, maka ia akan menggunakannya”. Para sahabat lalu bertanya, “Apa maksudnya ya Rasulullah?” Rasul kemudian menjawab, “Allah akan menjadikannya beramal soleh, lalu Ia wafatkan pada waktu itu”.(HR Tirmidzi)
Oleh itu, menurut Rasulullah, nilai kebaikan seseorang tidak dapat ditentukan, sebelum diketahui bagaimana akhir hayatnya. “Jangan terburu tertarik dengan amal yang dilakukan seseorang, sebelum engkau melihat bagaimana akhir hidupnya”. (HR Ahmad)
Apabila tidak ada yang tahu tahap atau batas usia manusia, dan tidak ada manusia yang suci daripada dosa, kenapa kita harus menunda-nunda taubat. Segeralaah memohon ampun, beristighfar pada Allah. Semoga kita termasuk hamba-hamba-Nya yang diberi kurnia, menemui-Nya dalam keadaan yang paling baik. Amiin.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ ArTiKaL ~::_MiFtaH PeRtoLoNgaN Allah_::
Pertolongan Allah itu pasti. “Jika kalian menolong( agama ) Allah, maka Allah pasti akan menolong kalian dan mengukuhkan pijakan kalian”. (QS Muhammad : 7) Firman Allah tersebut menegaskan rumusan pertolongan Allah yang bersifat timbal balik, sebagai kesinambungan daripada ketaatan yang tinggi kaum beriman. Bantuan dan pertolongan Allah tidak akan datang begitu saja. Allah tidak akan memberi bantuan itu secara percuma.
Allah SWT menghendaki bahawa pembelaan-Nya kepada orang-orang beriman terwujud dengan adanya usaha daripada diri mereka sendiri, agar mereka mencapai kematanagn dari celah-celah kesulitan yang mereka alami. Seseorang akan mencapai kematangan ketika potensi dan kekuatan terpendamnya bangkit. Dan keadaan ini tidak akan wujud kecuali ketika ia berhadapan dengan marabahaya.
Ketika seseorang melakukan usaha membela diri dan menghimpun seluruh tenaganya untuk sesuatu yang mengancam aqidah, prinsip dan kehidupannya, di sanalah seluruh sel kekuatannya akan bangkit.Andai pertolongan Allah itu datang tanpa melalui susah payah, maka kenikmatan yang terjadi sesudah itu mungkin akan menjadi penghalang munculnya potensi kekuatan yang dimiliki oleh seseorang. Disamping itu bantuan Allah yang diturunkan itupun mungkin rasanya tidak begitu bernilai, lantaran tidak ada tuntutan pengorbanan yang bererti untuk memperolehinya.
Dalam perang badar misalnya, pertolongan Allah datang tatkala kaum muslimin telah membuktikan dua perkara.
Pertama, motivasi mereka sangat kuat dalam membela agama Allah, meskipun kaum muslimin ketika itu menyedari akan berhadapan dengan pasukan musuh yang jauh lebih besar dan lebih hebat berbanding mereka. Dalam perang tersebut, sejarah memperlihatkan indahnya kesungguhan dan keikhlasan para perajurit Islam dalam membela agama Allah dengan harta dan jiwa raga mereka.
Kedua, ketaatan dan kepatuhan mereka kepada pemimpin mereka Rasulullah SAW. Ketaatan tersebut dijiwai oleh Iman yang tertancap dalam dada mereka, sehingga sukar untuk dipatahkan oleh dahsyatnya pertempuran.Pertolongan Allah pun datang pada masa yang tepat sebagai kesinambungan logik dari kedua-dua faktor di atas. Meskipun secara jumlah dan persiapan perang kaum muslimin jauh lebih lemah, namun dalam perang itu kaum muslimin memperolehi kemenangan gemilang.
Kesimpulannya, Allah menjadikan pertolongan-Nya kepada orang beriman hanya bila ada usaha daripada diri mereka sendiri. Allah tidak memberi pertolongan-Nya sebagai sesuatu yang dijatuhkan begitu saja dari langit. Apa saja usaha yang harus dilakukan sehingga kita layak mendapat pertolongan Allah?
Pertama, membersihkan niat beramal daripada segala motivasi yang tidak bersih. Itulah ikhlas. Ikhlas adalah kunci pertama yang paling penting bagi terbukanya pintu pertolongan Allah. Nilai suatu pekerjaan sangat bergantung kepada kadar keikhlasan pelakunya. Meski secara zahir suatu pekerjaan itu berat dan membela kepentingan Islam, namun apabila pelakunya tidak memiliki niat yang ikhlas, maka amalnya akan sia-sia.
Kalau tidak akan mendatangkan seksa. Ada orang yang mungkin dinilai baik oleh manusia, tapi dia berniat melakukannya untuk populariti dan kepentingan duniawi. Orang seperti ini tidak akan mendapat pertolongan Allah. Dengan kata lain, wujud keikhlasan tidak boleh terlihat sekadar bila seseorang melakukan sesuatu pekerjaan yang berat dan menanggung risiko. Bahkan dalam medan jihad, dalam sebuah hadis pernah diceritakan kisah seorang pemuda yang kelihatan gagah berani di medan pertempuran.
Namun, Rasulullah SAW mengatakan bahawa pemuda itu adalah penghuni neraka. Di akhir pertempuran, para sahabat mendapati pemuda itu menghunus pedangnya ke tubuhnya sendiri lantaran tidak kuat menahan kesakitan.Kedua, berdoa dengan penuh kepasrahan kepada Allah SWT. Dalam Al-Quran disebutkan, “Berdoalah kepada Rabbmu dengan rasa takut dan suara lirih…” (QS Al-A’raaf: 55).
Berdoa dengan rasa takut dan suara lirih, merupakan salah satu bentuk kesungguhan dan kepasrahan di hadapan Allah. Memanjatkan doa kepada Allah harus dilakukan dengan hati yang bersungguh-sungguh, penuh kosentrasi, sebagai bukti kerendahan dan harapan penuh kita kepada Allah SWT.
Permohonan seperti ini, insya Allah akan dikabulkan. Rasulullah SAW bersabda, “Adakalanya seseorang yang rambutnya terurai dan berdebu, bahkan diusir daripada semua pintu rumah orang kerana hina dalam pandangan manusia. Namun, kalau dia sungguh-sungguh meminta kepada Allah, pasti Allah mengabulkannya”. (HR Muslim)
Ketiga, yakini bahawa kehidupan ini adalah ladang amal yang tanpa batas untuk meraih kebahagiaan di akhirat. Lingkup amal yang harus dilakukan itu meliputi seluruh waktu kehidupan seseorang. Selama ia masih hidup, selama itu pula ia diperintahkan untuk terus berusaha dan berjuang sebatas kemampuan yang dimiliki. Tidak ada ujian hidup yang melanggar kemampuan manusiawi.
Dalam surah al-Baqarah, Allah telah menegaskan, “Allah tidak akan membebani seseorang kecuali sebatas kemampuannya”. Seberat manapun ujian dan kesulitan hidup, pasti masih berada dalam batas kemampuan manusia untuk memikulnya. Dan manusia dapat memikul beban tersebut, hanya dengan kualiti iman yang baik.
Keempat, hindarilah mengatakan bahawa kita sudah habis kesabaran menghadapi keadaan yang tidak sesuai. Ini kerana pada dasarnya batas kesabaran itu tidak ada. Batas kesabaran sama dengan batas manusia hidup. Dan selama itu tidak ada pernyataan bahawa kesabaran kita sudah habis. Sabar ertinya tahan menderita menghadapi perkara-perkara yang tidak menyenangkan diri dan sanggup menahan diri ketika memperoleh perkara-perkara yang menyenangkan sehingga tidak terjerumus kepada perbuatan maksiat.
Bersabar dalam penderitaan dan kesenangan menjadikan seseorang selalu dekat kepada Allah dan menjaga diri daripada segala perkara yang dapat menimbulkan kemurkaan Allah. Orang ini berhak mendapat kasih sayang Allah, sehingga menjadi hamba yang dekat dengan Allah. Pertolongan Allah pun akan sangat mungkin turun kepada hamba-hamba-Nya yang bersabar. Justeru dengan bersabarlah para salafussoleh merasai kenikmatan dalam hidup.
Seperti dikatakan Umar bin Khattab, “Kami mendapatkan kebaikan hidup kami dengan bersabar”. Ali bin Abi Talib berkata, “Ketahuilah bahawa posisi sabar bagi iman adalah seperti posisi kepala bagi tubuh. Jika kepala terputus, maka matilah badan”.
Kemudian beliau meninggikan suaranya, “ketahuilah bahawa tidak beriman orang yang tidak bersabar”. Umar bin Abdul Aziz berkata, “Allah tidak memberi suatu kenikmatan kepada hamba-Nya, kemudian dia mencabutnya daripada orang itu dan menggantinya dengan sabar, maka penggantinya itu lebih baik daripada apa yang dicabut daripadanya”. Itulah pertolongan Allah.
Kelima, pantang berputus asa daripada rahmat Allah. Rasulullah SAW pernah bersabda, “Tiga golongan kelak tidak akan diperiksa lagi perkaranya (di akhirat). Iaitu…orang-orang yang berputus asa daripada rahmat Allah”. (HR Tabrani, Abu Ya’la, dan Bukhari dalam kitab Adab).
Putus asa ialah sikap tidak mempunyai harapan baik dan masa depan. Sikap putus asa timbul pada diri orang yang kurang beriman pada kemurahan Allah SWT kepada makhluk-Nya. Lantaran keadaan tersebut, seseorang bahkan menuduh Allah tidak adil kerana menjadikan dirinya dalam kesulitan atau kesusahan.
Dengan kata lain, orang yang putus asa adalah orang yang mengingkari sifat keadilan, kemurahan dan kebijaksanaan Allah kepada makhluk-Nya. Sikap ini pasti menjadikan Allah murka.Keenam, tetap memelihara sikap istiqamah. Paling utama dengan memperbanyak ibadah dan menjauhi maksiat. Orang yang istiqamah atau berpegang teguh kepada petunjuk Allah akan selalu dituntun kepada kebenaran.
Orang yang istiqamah menjalani kehidupan di dunia ini akan dibebaskan oleh Allah daripada perasaan resah, takut dan khuatir menghadapi segala ujian dan cubaan hidup. Orang sebegini akan selalu berada di bawah kasih sayang Allah. Di manapun mereka berada, mereka selalu dinaungi malaikat rahmat, kerana mereka selalu dekat dengan Allah.
Orang yang dekat dengan Allah delalu didengari dan diperhatikan oleh Allah sehingga mreka merasa aman dan tenteram, tanpa sedikit pun merasa sedih dan was-was menghadapi tentangan hidup. “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan “Rabb kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap istiqamah, maka tidak aada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka tidak (pula) berdukacita”. (QS Al-Fushshilat: 30)
Ketujuh, jangan sekali-kali menyalahkan ketentuan Allah. Tambahan pula dilanjutkan dengan doa untuk keburukan. Rasulullah SAW bersabda, “Tidak sekali-kali seorang muslim di bumi ini berdoa kepada Allah meminta suatu permintaan, melainkan Allah akan memberi apa yang dia minta atau memalingkan daripadanya suatu kejahatan yang semisal dengan permintaannya, selagi dia tidak berdoa meminta suatu dosa atau memutuskan silaturrahim”.
Maka ada seseorang berkata, “kalau demikian, kami akan memperbanyak (berdoa)”. Baginda menjawab, “Allah Maha Memberi”. (HR Tirmidzi)
Kelapan, pelajari dan lakukan sebab-sebab logik bagi datangnya pertolongan Allah. Pertolongan Allah tidak akan datang bagi seseorang yang tidak mahu melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan keberhasilan, sesuai sunnatullah dalam alam semesta. Keinginan untuk lulus dalam ujian, harus disertai dengan pembelajaran yang baik.
Keinginan untuk memperoleh rezeki yang banyak, harus diiringi dengan sifat cermat, tekun, disiplin, dan profesionalisme yang tinggi. Harapan kepada keadaan umat Islam berubah menuju kejayaan, harus didukung dengan usaha mendidik dan membina masyarakat muslim yang memiliki pemahaman dan komitmen agama yang baik. Sebab itulah asas dan syarat utama kemenangan umat Islam. Begitu seterusnya.
Setelah sikap-sikap di atas mampu dimiliki, maka nantikanlah pertolongan Allah yang pasti datang. Rasulullah SAW berfirman dalam sebuah hadis qudsi, “Barangsiapa yang memusuhi wali (kekasihKu), maka sungguh Aku telah mengumumkan perang terhadapnya, dan tidaklah seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan suatu perbuatan yang lebih Aku cintai daripada apa-apa yang telah Aku fardhukan kepadanya. Dan seorang hamba-Ku terus menerus mendekatkan diri kepada-Ku dengan ibadah sunnah sehingga Aku mencintainya. Dan apabila Aku mencintainya, Akulah pendengarannya yang dengannya dia mendengar, Akulah penglihatannya yang dengannya dia melihat, Akulah tangannya yang dengannya dia memukul, dan Akulah kakinya yang dengannya dia berjalan. Kalau dia meminta kepadku, nescaya Aku beri dan jika dia minta perlindungan kepad-Ku nescaya Aku lindungi”. (HR Muslim)
Yang paling pnting, jangan diertikan bahawa pertolongan Allah itu selalu datang dalam bentuk yang sesuai dengan keinginan kita. Mungkin juga Allah memberi pertolongan tidak dalam bentuk yang kita ingini, bahkan sebaliknya. Tapi pastikan, itu adalah awal daripada sesuatu yang baik.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS