Kewajipan Zakat Fitrah ialah dituntut kepada setiap muslim berdasarkan hadith Ibn Umar ra yang berkata : “Rasulullah telah memfardhukan (mewajibkan) zakat Fitrah segantang tamar atau dari gandum ke atas hamba ataupun yang merdeka, lelaki dan perempuan yang kecil (muda) atau yang tua dari umat Islam dan mengarahkan supaya ditunaikan kewajipan ini sebelum keluarnya orang ramai ke solat (Solat Aidhul Fitri)” (Hadith sahih diriwayatkan oleh Bukhari no. 1503 dan Muslim no. 984 dan lain-lain).
Perintah rasulullah dalam hadith di atas jelas menjadi hujah kewajipan dan tuntutan kepada Umat Islam untuk menunaikannya sebagai mentaati perintah Allah swt yang menyebut :
"Barangsiapa yang mentaati rasul maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah" (An-Nisa : 80)
" Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul.." (An-Nisa :59)
Dalam riwayat Abu Hurairah ra baginda rasulullah juga pernah bersabda dengan pesannya : “Setiap Umatku akan masuk syurga melainkan mereka yang engkar, maka sahabat bertanya, siapakah yang engkar itu wahai rasulullah ? Siapa yang mentaati aku maka dia akan masuk syurga dan siapa yang menderhakai aku maka dialah golongan yang engkar.” (Hadith Sahih riwayat Bukhari no. 728).
Demikianlah apabila dilihat kepada kata-kata Said ibn Musaiyib dan Umar ibn Abd Aziz ra pada firman Allah :
“Sungguh telah berbahagialah mereka yang menyucikan diri” (Al-A’la : 14)
Iaitu yang dimaksudkan menyucikan diri ialah yang menunaikan zakat fitrah. Disepakati oleh Ijmak ulama bahawa Zakat Fitrah ini wajib ke atas semua umat Islam yang mampu menunaikannya tanpa memudharatkan kehidupan keluarganya dalam menunaikannya dan menjadi kewajipan kepada mereka untuk menunaikan sesiapa yang dibawah tangungannya yang tidak mempunyai kemampuan misalnya kanak-kanak yang menjadi kewajipan bapa dan walinya menunaikan zakat itu bagi pihak mereka (lihat dalam Al-Iqna’ dan Al-Ijmak oleh Ibn Munzir m/s 55).
Adapun bagi wanita yang belum bernikah maka menjadi kewajipan untuk mereka menunaikan zakat Fitrah bagi diri mereka sendiri dan sekiranya mereka dibawah tangunggan wali mereka maka walilah yang menjadi penanggung dan sekiranya yang sudah bernikah maka suaminya yang menjadi pembayar zakat dan dipertangungjawabkan.
Bagaimana menunaikan Zakat Fitrah ?
Zakat Fitrah boleh dikeluarkan dengan memberi segantang tamar atau gandum atau kismis menurut hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah ra dan Hakim. Walaubagaimanapun ianya secara umum dibolehkan memberikan makanan yang menjadi pemakanan asasi sesuatu masyarakat seperti beras bagi masyarakat Melayu di Malaysia ini berdalilkan kepada hadith dari Abu Said al-Khudri ra yang menyebut mereka mengeluarkan segantang dari makanan atau dari gandum …(lihat dalam Bukhari no. 1505 dan Muslim, Abu Daud dan Tirmidzi dan Nasaie).
Ini dapat dilihat dalam pelbagai hadith baik dari Ibn Umar ra dan juga dari Ibn Abbas ra yang hanya menyebut sejumlah gantang dari makanan dan tanpa mengkhususkan apakah jenis makanan kecuali memberi contoh bahawa ada yang memberi tamar, gandum dan kismis dan daqiq (tepung) dan lain-lain seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dalam kitabnya dengan sanad yang sahih.
Kiraan gantang ini ialah menurut kiraan ahlul Madinah berdasarkan hadith Ibn Umar ra yang berkata telah bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “Timbangan (berat) itu ditimbang menurut ahlul Makkah dan Sukatan (jumlah) itu ialah dikira pada sukatan Ahlul Madinah” (hadith sahih riwayat Abu Daud no. 2340, Nasaie dan Baihaqi).
Ditunaikan zakat Fitrah itu ialah hanya kepada golongan fakir miskin seperti yang disebutkan dalam pelbagai hadith yang berkait dengan zakat Fitrah seperti yang diriwayatkan dari Ibn Abbas ra dengan berkata : “Rasulullah salallahualaihiwasalam telah memfardhukan zakat fitrah sebagai membersihkan orang yang berpuasa dari lagha’ (sia-sia) dan kekejian dengan memberikan makan kepada fakir miskin dan barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat maka ianya dianggap zakat yang diterima dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat maka ianya menjadi sedekah daripada sedekah-sedekah yang biasa” (hadith hasan riwayat Abu Daud no. 1609 dan Ibn Majah no . 1827 dengan adanya an’an namun adanya syahid dari lain riwayat).
Maka pendapat ini dipegang oleh Syeikhul Islam Imam Ibn taimiyyah ra dalam Majmuk Fatawa Jilid 13 dan pelajarnya Imam Ibn Qayyim ra serta fuqaha Mazhab Malikiyah dan inilah yang paling rajih menurut ana sendiri daripada pendapat lain seperti pendapat kebanyakkan orang ramai yang khususnya dalam mazhab syafie yang mengatakan ianya boleh ditunaikan kepada ashab yang lapan yang berhak menerima zakat dan ana tidak bersetuju dalam hal ini kerana ianya tiada dalil khas dan zakat fitrah bukanlah seperti zakat harta.
Berdasarkan dalil dan hujah yang jelas ialah menyebutkan bahawa kewajipan zakat ini hanya berlaku khas dalam Bulan Ramadhan dan di dalam hadith hanya menyebut golongan fakir miskin yang berhak menerima zakat fitrah ini adapun golongan ashab yang lapan seperti yang termaktub dalam Surah At-Taubah ayat 60 itu ialah untuk zakat harta bukan zakat fitrah, wallahualam.
Waktu menunaikan Zakat Fitrah
Pelaksanaan zakat fitrah dilakukan dalam Bulan Ramadhan namun menurut sunnah yang sahih ialah pada dua hari dan sehari sebelum Aidhul Fitri seperti yang terdapat dalam riwayat Ibn Khuzaimah yang menyebut mengenai perbuatan Ibn Umar ra yang menunaikannya pada sehari atau dua hari sebelum hari Aidhul Fitri.
Demikianlah serba ringkas ana cuba ungkapkan persoalan zakat fitrah secara umum menurut panduan sunnah tanpa terlalu menuruti helaian mazhab dan khilaf fiqhiyah sebaliknya mengambil dari qaul rajih pilihan fuqaha ummah dari asar dan riwayat sahih dari sunnah rasulullah salallahualaihiwasalam.
" Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul.." (An-Nisa :59)
Wallahualam