~ gLoBaL ~ ::_MaBrUk AK,SyUkran TuRki_::
Parti Keadilan dan Pembangunan Turki (AK) pimpinan Perdana Menteri, Recep Taiyib Erdogan mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya parlimen yang telah diadakan pada 23 Julai lalu.
Kemenangan itu membuktikan bahawa rakyat Turki yang keluar mengundi tidak ragu-ragu untuk memastikan Parti AK mencapai kememangan mutlak agar sistem pentadbiran negara dapat dijalankan berasaskan Islam walaupun mendapat tentangan dari banyak pihak yang cuba menggagalkan kemenangan AK.
Pelbagai lapisan rakyat sokong kemenangan AK
Dalam laporan akhbar arus perdana Turki, Cumhuriyet menyebut, bahawa pilihan raya kali ini berjalan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan, lebih-lebih lagi di kalangan orang-orang Yahudi, Kurdis, golongan remaja dan penyokong Parti Saadat memberi undi buat AK untuk menang besar dalam pilihan raya dalam tempoh lima tahun.
Menurut laporan itu lagi, terdapat sebelas parti yang bertanding dari pelbagai aliran kefahaman setelah berjaya mengikut peraturan sistem pilihan raya Turki yang mewajibkan setiap parti yang bertanding meraih sokongan sepuluh peratus dari suara pengundi.
Calon setiap parti dipilih oleh pucuk pimpinan masing-masing untuk bertanding atau calon-calon itu dipilih berdasarkan pemilihan dalam pertandingan antara anggota parti masing-masing, bagi yang menang barulah dicadangkan untuk mewakili parti dalam pilihan raya peringkat kebangsaan.
Keputusan penuh pilihan raya parlimen yang diumumkan SPR Turki semalam yang menawarkan 550 kerusi untuk dipertandingkan, tetapi hanya empat parti sahaja yang meraih kejayaan iaitu Parti AK (Islam) memperolehi 341 kerusi, Parti Republik Rakyat (Sekular) - 112 kerusi, Parti Tindakan Nasionalis (Nasionalis) - 70 kerusi dan Parli Bebas termasuk Kurdis (Nasionalis) sebanyak 27 kerusi.

Kemenangan AK tanda sokongan rakyat kepada Islam
Dalam sidang akhbar sejurus pengumuman keputusan, Perdana Menteri, Recep Taiyib Erdogan berjanji kepada para pengundi dan penyokong parti AK khasnya, bahawa pihaknya tidak akan berganjak dari merealisasikan prinsip asasi bagi sebuah negara republik, terutamanya bagi memulihkan sistem ekonomi dan demokrasi dalam pelbagai aspek.
Keyakinan itu disampaikan kepada para pengundi bagi menyatakan bahawa parti AK akan terus memelihara nilai dan penghormatan kepada semua rakyat berasaskan semangat republik yang bertunjangkan aliran Sekular, namun kenyataan beliau itu hanyalah sebagai satu cara bagi meredakan kemarahan para pengundi dari berbagai-bagai aliran kefahaman, kaum dan pegangan yang menyokong AK.
Keputusan pilihan raya 2007 menunjukkan bahawa AK memperolehi kenaikan sokongan 12 peratus berbanding pilihan raya 2002, ini menunjukkan bahawa imej isteri Erdogan dan Abdullah Gul yang bertudung tidak menghalang sokongan pengundi kepada Islam walaupun rakyat Turki umumnya mendapat pembelajaran sistem Sekular sejak puluhan tahun selepas Turki jatuh ke tangan pengkhianat Islam Mustafa Kamal Attartuk pada 1924.
Kemenangan AK juga terserlah di beberapa wilayah yang terletak di persisiran pantai Laut Hitam seperti di wilayah Samsun dengan meraih 57 peratus, Ordu 54 peratus, Rize 53 peratus, Kastamonu 39 peratus dan Sinub 43 peratus.
Peranan media yang adil beri kemenangan pada AK
Media di Turki sama ada yang bersifat cetak atau eletronik mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat di Turki, ia dianggap oleh para pemerhati politik sebagai kuasa keempat selepas presiden, perdana menteri dan timbalannya.
Media di Turki juga dianggap mempunyai kuasa yang amat berkesan seperti al-Quran oleh sesetengah individu masyarakatnya, justeru tidak hairanlah ia ditatap setiap hari seperti kitab suci al-Quran itu sendiri.
Di Turki, terdapat kira-kira 3,500 akhbar cetak dan lebih 300 stesen televisyen dari pelbagai aliran dan pendekatan, masing-masing menyiarkan laporan berita yang penuh dengan semangat keadilan dan jauh dari sifat penipuan, ini kerana apabila bahan yang disiarkan itu tidak tepat atau terdapat penyelewengan, maka ia akan dipulaukan, akibatnya ia tidak akan disokong oleh orang ramai dan akhirnya terpaksa menanggung kerugian kos serta membayar gaji pekerja.
Dalam isu pilihan raya, setiap media menyediakan bahan segar dan tepat buat pengetahuan orang ramai, mereka melakukan pertimbangan wajar hingga kebenaran berpihak kepada Perdana Menteri, Erdogan yang banyak melakukan perubahan sepanjang lima tahun pemerintahan, jika terdapat laporan yang tidak tepat, maka media yang menyediakannya mendapat kritikan dan menanggung risiko.
Dalam laporan mengenai sepanjang perjalanan pilihan raya, setiap media melaporkan kebaikan Parti AK pimpinan Erdogan yang peka dan prihatin terhadap isu rakyat dalam pelbagai aspek, ia bukan sahaja menjadi bahan kempen pilihan raya oleh media, malah sebagai realiti yang telah dibuktikan sepanjang memerintah selama lima tahun, laporan berkenaan menjadi batu loncatan kepada kemenangan AK.
Justeru, menurut beberapa ketua pengarang media cetak terkemuka di Turki, menyebut bahawa bedah siasat yang dijalankan pada pilihan raya kali ini, mendapati bahawa laporan media cetak dan eletronik telah menjalankan tugas media sebenar dalam laporan yang dihasilkan, ia bukan sahaja memenuhi berita atau kempen parti memerintah, malah semua parti yang bertanding juga mendapat liputan meluas dilakukan oleh pihak media dengan adil dan saksama walaupun kelemahan Erdogan terpaksa didedahkan tanpa sebarang ugutan.
Masa depan Islam di Turki cerah
Menurut para pemerhati politik, Islam akan kembali cerah dengan kemenangan Parti Keadilan dan Pembangunan (AK), walaupun Erdogan terpaksa menyatakan secara terbuka bahawa beliau akan tetap menerapkan sistem sekular dalam pentadbiran negara, namun ia sebagai satu kaedah bagi meredakan kemarahan rakyat yang sudah sebati dengan fahaman tersebut yang disifatkan sebagai tidak Islam dalam semua hal.
Cabaran yang menanti calon-calon AK amat berat dalam menyampaikan risalah Islam selepas dibentuk kerajaan baru, persoalannya di sini, apakah benar semua calon-calon AK mempunyai wawasan yang sama seperti yang dimiliki oleh Erdogan, Abdullah Gul atau Dr Nejmetin Erbakan.
Jika masing-masing berperanan dan memahami tanggungjawab selepas dipilih dalam pilihan raya, maka tugas untuk mentarbiah rakyat sedikit demi sedikit ke arah memahami Islam akan dapat diterima, tidak mustahil satu hari nanti Islam akan dapat diterima sebagai cara hidup rakyat Turki secara menyeluruh, tidak kira dari golongan yang mahukan Islam, Sekular, Yahudi, golongan remaja, wanita yang tidak bertudung dan lain-lain, kerana Allah SWT menjanjikan yang terbaik kepada hamba-Nya yang mahukan agama-Nya tertegak di muka bumi ini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtiKaL ~ ::_AIDS HaRaKi DaLaM GeRaKaN IsLaM_::
Muqaddimah
Seorang Mujahid Dakwah, Ustaz Fathi Yakan, yang pernah berkunjung ke Negara kita, dalam rangka menghadiri Muktamar Agung PAS tahun 1997, telah memperingatkan kita semua tentang bahaya AIDS Haraki, iaitu istilah yang menggambarkan fenomena yang telah dan sedang terjadi di sebahagian harakah Islamiah di seluruh dunia. Ini adalah peringatan penting beliau kepada para aktivis dakwah, sejak enam belas tahun yang lalu di dalam buku beliau : Ihzaruu AIDS Al-Haraki (Berjaga-jagalah, AIDS Haraki). Wa Zakkir !! Fa inna az-Zikra tanfa`ul mu’minin.
Penyakit AIDS adalah merujuk keadaan seseorang yang mengalami kehilangan daya tahan penyakit di dalam tubuh, sehingga menjadi mudah dijangkiti penyakit dengan keadaan yang parah.
Sehingga kini, penyakit yang disebabkan oleh virus HIV ini, masih belum ditemui ubat yang dapat menyembuhkan penyakit merbahaya ini. Para penghidap HIV/AIDS ini akan berhadapan dengan risiko kematian.
Dalam buku “Ihdzaruu Al-Aids Al-Harakiy (1989)”, Al-Ustaz Fathi Yakan secara khusus mengingatkan kes kehancuran harakah dan tanzim dakwah di Lubnan. Hal yang sama juga berlaku di beberapa Negara Muslim yang terdapat harakah Islamiah di situ. Beliau berpendapat, kes-kes kehancuran tanzim dakwah bermula dari kelemahan daya tahan dalaman jama`ah, yang seringkali terjadi di saat mereka berada di atas paksi Mihwar Siyasi (Orbit Politik).
Hal ini sering terjadi ketika harakah Islamiah memasuki wilayah amal siyasi (kerja politik) untuk menyempurnakan wilayah `amal dakwah dan meningkatkan sasaran dakwah yang lainnya. Mengapa terjadi seperti ini? Apakah penglibatan harakah Islamiah dalam wilayah politik adalah suatu kekeliruan dan kesilapan? Tentu saja tidak !! Bahkan ini adalah suatu kewajipan kita semua.
Konsep Syumuliatul Islam yang diperkenalkan Imam As-Syahid Hasan al-Banna di dalam usul pertama dari Usul `Isyrin, telah memberikan gambaran pentingnya kita bergerak di paksi politik demi tertegaknya Ad-Din wa Ad-Daulah. Sesungguhnya saat ini, Syumuliayatud Dakwah menuntut kita memasuki dan menguasai wilayah politik.
Mengenal Virus Merbahaya
Persoalan yang timbul ialah bagaimana virus ini boleh berjangkit dan menjadi penyebab kehancuran kepada harakah? Dalam analisa dan tajribah Ustaz Fathi Yakan, terdapat 7 faktor utama yang menyebabkan hal ini terjadi :
1. Hilangnya Manna`ah I`tiqodiyah (imuniti keyakinan) dan tidak terbinanya bangunan dakwah di atas dasar fikrah dan mabda’ yang benar dan jitu. Akibat yang timbul dari faktor ini, tanzim dakwah tidak tertegak di atas fikrah yang benar dan utuh. Adakalanya sebuah tanzim hanya wujud sebagai Tanzim Ziyami, iaitu tanzim yang berdiri atas landasan wala’ kepada seorang pemimpin yang diagungkan.
Ada juga yang bergerak sebagai Tanzim Syakhshi, iaitu tanzim yang tertegak atas bayangan keperibadian (figure) seorang pemimpin. Terdapat juga yang berbentuk Tanzim Mashlahi Naf`i yang berorientasi mewujudkan tujuan perlaksanaan pengisian semata-mata. Kerana itu, binaan tanzim menjadi begitu rapuh, tidak mampu menghadapi kesulitan dan cabaran. Akhirnya bergoncanglah binaan dan bercerai-berai shofnya sehingga terjadilah berbagai peristiwa dan tragedi.
2. Perkaderan dan pembinaan anggota berdasarkan kuantiti, dengan mengutamakan bilangan dan jumlah keahlian menjadi keutamaan qiyadah. Seringkali dianggap, bahawa jumlah yang banyak itu akan menjadi penentu kemenangan dan kejayaan. Kondisi ini mungkin ada kebenarannya ketika sebuah harakah dakwah tampil secara rasmi sebagai parti politik dan terlibat dalam pilihanraya.
Akan tetapi hal ini perlu diawasi kerana, orientasi ini akan memudahkan pihak-pihak tertentu cuba mewujudkan qaidah sya’biyah atau dasar dokongan sosial untuk kepentingan merealisasikan tujuan-tujuannya.
Dalam situasi tertentu akan muncul keperibadian atau tokoh-tokoh tertentu dalam harakah yang memperjuangkan kepentingan peribadi dengan memanfaatkan qaidah sya’biyah yang dibinanya. Pada saat ini, qa`idah sya’biyah ini akan bertindak sebagai musuh dalaman kepada harakah Islamiah.
3. Isti’jal (tergesa-gesa) untuk meraih kemenangan, meskipun tidak seimbang dengan persediaan yang mencukupi, walaupun ditahap minimum. Kemenangan politik bererti memperolehi kekuasaan. Setiap aktivis politik akan dikuasai semangat mencari dan mengejar kekuasaan sehingga tidak ada penghujungnya.
Menurut Ustaz Fathi Yakan, kekuasaan yang diperolehi di manapun akan menuntut pembahagian ghanimah (harta rampasan perang) kepada penjaga sesuai dengan perbandingan tugasan yang ditanggung seseorang. Ghanimah yang telah diperoleh itu kadangkala melahirkan cubaan, fitnah dan bencana kerosakan dalam harakah.Permasalahan dasarnya adalah penipuan dalam pembahagian, antara perseorangan, pemimpin serta penguasa yang bercita-cita mendapatkan bahagian kekuasaan yang banyak.
Akhirnya prinsip perjuangan tergadai dan agenda maddiyah dengan mengejar kepentingan hawa nafsu akan menjadi tuntutan perjuangan mereka.Ketika ini hilanglah roh aqidah dalam perjuangan, tumpuan hanya diberikan kepada percaturan strategi menghadapi musuh dalam pilihanraya dengan meninggalkan agenda pembinaan ruhiyah di kalangan jundiyah dan qiyadah. Akhirnya “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran ”.
4. Binaan tanzim dipengaruhi unsur luaran. Samada dipengaruhi oleh latarbelakang kekuatan yang berada di sekelilingnya dari aspek politik, ekonomi dan lain-lain aspek. Akibatnya, tanzim akan kehilangan potensi keaslian perjuangan, kehilangan orientasi dan arah tujuan politik. Kerana hilangnya asholah dakwah (keaslian), tanzim menjadi alat kepentingan pihak lain, dan segala keputusan dan tindakan dipengaruhi kelompok tertentu.
5. Munculnya berbagai aliran dan kelompok dalam harakah. Hal ini sering terjadi kepada harakah yang telah mengalami perpecahan lantaran hilangnya wahdatul fikr dan wahdatul `amal. Kesan dari permasalahan ini akan timbulnya ta`addudul wala’, justeru akan timbul pertikaian, perebutan pengaruh dan kekuasaan untuk meraih hasrat dan cita-cita peribadi atau kelompok tertentu.
6. Campur tangan pihak luar dengan pengaruh dominan politik, ideologi, perisikan, inteligen dengan berbagai cara penyamaran untuk menyerang musuh dalam harakah dengan tujuan menghancurkan kekuatan dan kesatuan di dalam tanzim. Ruang yang terbuka untuk campur tangan atau penyusupan amat luas, terutama melalui ruang politik, iaitu dengan menawarkan pelbagai maslahah siasah.
Kekuatan luaran dan campur tangan ke dalam tanzim harakah berlaku ketika jamaah mengalami kelemahan, miskinnya roh `aqidah di kalangan jundiyah dan qiyadah, kuatnya kecenderungan mengejar maddiyyah dan jawatan.
7. Lemah atau hilangnya kesedaran politik (wa’yu siyasi) dalam harakah. Sesebuah harakah yang tidak memiliki wa’yu siyasi yang tinggi dan baik, tidak akan dapat mengimbangi peredaran zaman, gagal mengambil istifadah dan pengajaran dari pengalaman lepas, tidak mengkaji peranan harakah di masa depan dan tidak mampu membuat suatu keputusan politik setempat berdasarkan situasi dan kondisi politik internasional.
Apabila harakah mengalami kelemahan seperti ini, akan berlaku sikap yang kontradiktif dan mudah terbawa arus. Keadaan ini memudah unsur-unsur negatif dari luar mengawal keputusan politik dalam harakah dan mengenepikan peranan majlis syura dalam jamaah.
Semua faktor kondisi yang dinyatakan oleh Ustaz Fathi Yakan adalah berkesimpulan dari masalah mendasar harakah Islamiah masa kini, iaitu “politik mendominasi tarbiah”. Keadaan ini menyebabkan suasana atau munakh harakah dikuasai oleh politik, bahkan sangat mempengaruhi pendirian dan sikap para anggota dan pimpinan harakah.
Kewajipan Memelihara Asholatud Dakwah (Keaslian Dakwah).
Permasalahan dan penyakit yang berlaku di dalam harakah dakwah, hanya dapat dikawal dan diubati dengan memelihara keaslian dakwah yang kita warisi dari Baginda Rasulullah SAW. Syeikh Mustafa Masyhur Rahimahullah, dalam sebuah tulisannya, Qadhaya Asasiyyah `Ala Thoriqud Dakwah, menekankan betapa pentingnya Muhafazhah `Ala al-Asholah (memelihara keaslian dakwah), agar harakah terjamin berada di jalan yang benar menuju sasaran.
Sekecil-kecil penyelewengan dari asholah dakwah, pasti akan melahirkan kegelinciran yang semakin hari semakin besar, serta menyeret harakah jauh dari jalan yang benar dan gagal mencapai sasaran harakah. Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna selalu menekankan agar jamaah beriltizam dengan Islam, Al-Quran dan As-Sunnah serta melangkah ke medan dakwah berpandukan Sirah Rasulullah SAW ketika beliau menegakkan Daulah Islamiah pertama. (Mustafa Masyhur, Qadhaya Asasiyyah `Ala Thoriqud Dakwah).
Memelihara Asholah Dakwah bererti meletakkan kepentingan kepada tarbiyah. Kerana itu, tarbiyah dalam jemaah tidak boleh dikesampingkan atau diabaikan demi memenuhi tuntutan kegiatan politik, publisiti bahkan jihad sekalipun. Perencanaan takhtit dan tanzim semata-mata tidak mencukupi tanpa tarbiyah untuk membina izzah harakah di mata musuh Islam.
Usrah merupakan tulang belakang tarbiyah dalam jamaah, yang berperanan sebagai wasilah yang mendidik ahli dan membentuk rijal. Semua anggota di manapun peringkat jamaah, samada ahli hinggalah pimpinan tertinggi wajib mengikuti peringkat-peringkat tarbiyah sehingga sampai ajalnya.
Kesimpulan
Ternyata, kewajipan itu lebih banyak dari batas waktu yang kita miliki. Kerana itu, dakwah kita tidak dibina atas dasar rukhshah (keringanan), tetapi dibangun atas dasar `azhimah dan tekad yang teguh. Jika hal ini diperhatikan dengan sewajarnya, dari peringkat ahli sehinggalah pimpinan jamaah, segala permasalahan yang sering melanda harakah dan dakwah, nescaya virus bahaya yang menular dalam tanzim binaan jamaah dapat diatasi.
Semoga kita mengambil pelajaran dan manfaat dari taushiyah yang disampaikan sejak enam belas tahun silam oleh seorang da`ie yang menjadi qudwah kepada kita, demi kebaikan dan kejayaan harakah dakwah di Negara kita.Kepada para Pejuang yang merindukan kejayaan…
Kepada Rakyat yang kebingungan di persimpangan jalan Kepada Pewaris peradaban yang telah menggoreskanSebuah catatan membanggakan di lembar sejarah manusia Wahai kalian yang rindu kemenangan…..
Wahai kalian yang turun ke medan Demi mempersembahkan jiwa dan raga Untuk Islam tercinta…

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtiKaL ~ ::_UmMaHaTuL MuKmiNiN_::
KHADIJAH BINTI KHUWAILID (wafat 3 sebelum masihi)
Beliau adalah isteri Rasulullah yang pertama dan orang yang paling banyak membantu perjuangan Nabi di tahun pertama kenabian.
Sebelum masa kenabian, beliau dikenali sebagai “wanita suci”. Rasulullah s.a.w menikahinya 15 tahun sebelum diangkat menjadi nabi. Putera dan puterinya dari Rasulullah ialah Qasim, Abdullah (kedua-duanya meninggal dunia ketika masih kecil), Zainab, Ruqaiyah, Ummi Kalsum dan Fatimah.
Beliau memberikan sokongan yang penuh kepada Rasullullah s.a.w dalam perjuangan menegakkan Islam, samaada dari segi sokongan moral atau material. Beliau wafat pada “aamul-huzni” (tahun kesedihan) dan dimakamkan di Hujun.
AISYAH BINTI ABU BAKAR (wafat 25H)
Beliau dipersuntingkan oleh Rasulullah s.a.w pada tahun kedua Hijrah dan satu-satunya isteri baginda yang dikahwini ketika masih gadis. Beliau isteri yang paling dicintai oleh baginda dan yang paling banyak meriwayatkan hadis dari Rasulullah s.a.w. Beliau termasuk wanita yang paling pakar dalam ilmu agama dan etika. Wafat di Madinah dan dimakamkan di Baqi.
HAFSAH BINTI UMAR (wafat 45H)
Semenjak Islam muncul, beliau terus memeluk agama Islam. Beliau bersama suaminya ikut berhijrah ke Madinah, suaminya meninggal dunia selepas Perang Badar. Rasulullah s.a.w melamarnya dari orang tuanya. Wafat di Madinah.
JUWAIRIAH BINTI HARITS BIN ABU DHIRAR (wafat 56H)
Nama asal beliau ialah Burrah binti Harits. Beliau ditawan oleh kaum muslimin ketika peperangan Bani Musthaliq dan diberikan kepada Tsabit untuk menrbus kemerdekaannya dengan imbalan sejumlah harta. Beliau pergi menghadap Rasulullah s.a.w untuk meminta bantuan. Rasullullah s.a.w menawarkan kepadanya persetujuan untuk membayar sejumlah harta yang disepakati itu, kemudian setelah beliau merdeka, Rasulullah pun menikahinya.
MAIMUNAH BINTI HARITS (wafat 50H)
Nama asalnya ialah Burrah, kemudian Rasulullah s.a.w menukar dengan panggilan Maimunah. Beliaulah yang menghadiahkan dirinya kepada Nabi, kerananya turun ayat yang bermaksud : “ Perempuan mukmin yang menyerahkan dirinya kepada Nabi…” (Al-Ahzab - 50)
MARIAH QIBTIAH (wafat 16H)
Seorang wanita Mesir yang dihadiahkan oleh Muqauqis, iaitu penguasa Mesir kepada Rasulullah s.a.w pada tahun 7H. Setelah dimerdekakan, beliau dinikahi oleh Rasulullah s.a.w dan mendapat seorang putera bernama Ibrahim. Setelah Rasulullah s.a.w wafat, beliau dibiayai oleh Abu Bakar kemudian Umar. Wafat pada masa zaman pemerintahan Saidina Umar.
SAUDAH BINTI ZAM'AH (wafat 23H)
Beliau memeluk agama Islam bersama suaminya dan turut berhijrah ke Abessina. Dalam tahun Kedua Hijrah, suaminya meninggal dunia. Kemudian dinikahi oleh Rasulullah setelah Khadijah wafat. Rasulullah membawa beliau berhijrah ke Madinah. Beliau termasuk dikalangan isteri Nabi yang sering memberi giliran harinya kepada Aisyah.
SOFIAH BINTI HUYAI BIN AKHTAB (wafat 50H)
Sebelum Islam beliau adalah penganut Yahudi Bani Akhtab yang tertawan pada pererangan Khaibar. Rasululah s.a.w memilih dan memerdekakannya, kemudian beliau memeluk Islam. Lalu Rasulullah s.a.w menikahinya dan wafat di Madinah.
UMMU HABIBAH BINTI ABU SOFYAN (wafat 44H)
Nama beliau yang sebenar ialah Ramlah binti Abu Sofyan, beliau ikut hijrah ke Abessina bersama suaminya, tetapi suaminya terpengaruh di sana, lalu murtad dan meniggal dunia sebagai penganut Kristian. Rasulullah s.a.w segera mengirim Amru bin Umaiah Dhumari untuk melamarnya untuk Rasulullah s.a.w. Najasyi, penguasa Abessina menikahkannya kepada Rasulullah dengan mahar 400 dinar.
UMMU SALAMAH (wafat 57H)
Beliau ialah Hindun binti Umaiah, termasuk dalan kalangan sahabat wanita yang pertama memelik Islam. Beliau termasuk golongan yang ikut hijrah 2 kali (Abessina dan Madinah). Suaminya mati syahid dalam perang Badar, kemudian Rasulullah s.a.w menikahinya. Beliau termasuk wanita yang bijak, berakhlak mulia dan pandai menulis serta membaca. Beliau dikurniakan usia yang panjang. Wafat di Madinah dan dimakamkan di Baqi.
ZAINAB BINTI JAHSY (wafat 20H)
Nama asal beliau ialah Burrah, sepupu kepada Rasulullah s.a.w. Bernikah dengan Zaid bin Haritsah. Setelah diceraikan beliau dinikahi oleh Rasulullah s.a.w dan diberi nama Zainab. Dikenali dengan “Ummul Hakam”. Beliau sangat warak dan kuat beragama serta banyak bersedekah..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtiKaL ~ ::_LeLaKi DaYuS_::
Siapa itu lelaki dayus yang dimaksudkan oleh Nabi SAW tidak akan masuk syurga?
Nabi SAW bersabda :-

ثلاثة لا ينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة: العاق لوالديه، والمترجلة، والديوث. رواه أحمد والنسائي
Ertinya : Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat : Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki DAYUS" ( Riwayat Ahmad & An-Nasaie: Albani mengesahkannya Sohih : Ghayatul Maram, no 278 )
Dalam sebuah hadith lain pula :

ثلاثةٌ قد حَرّمَ اللهُ - تَبَارَكَ وَتَعَالَى - عليهم الجنةَ : مُدْمِنُ الخمر ، والعاقّ ، والدّيّوثُ الذي يُقِرُّ في أَهْلِهِ الخُبْثَ . رواه أحمد والنسائي .
Ertinya : Tiga yang telah Allah haramkan baginya Syurga : orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan Si Dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya" ( Riwayat Ahmad )
Malah banyak lagi hadith-hadith yang membawa makna yang hampir dengan dua hadith ini. Secara ringkasnya, apakah dan siapakah lelaki dayus?
ERTI DAYUS
Dayus telah disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadith yang lain iaitu :-
1) Sabda Nabi : -

وعن عمار بن ياسر عن رسول الله قال ثلاثة لا يدخلون الجنة أبدا الديوث والرجلة من النساء والمدمن الخمر قالوا يا رسول الله أما المدمن الخمر فقد عرفناه فما الديوث قال الذي لا يبالي من دخل على أهله
Ertinya : Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah SAW berkata : " Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaiatu Si DAYUS, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak" lalu sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu DAYUS? , berkata nabi : "IAITU ORANG YANG TIDAK MEMPERDULIKAN SIAPA YANG MASUK BERTEMU DENGAN AHLINYA (ISTERI DAN ANAK-ANAKNYA) - ( Riwayat At-Tabrani ; Majma az-Zawaid, 4/327 dan rawinya adalah thiqat)
Dari hadith di atas, kita dapat memahami bahawa maksud lelaki DAYUS adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan ambil endah dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh sebarangan lelaki lain.
2) Pernah juga diriwayatkan dalam hadith lain, soalan yang sama dari sahabat tentang siapakah dayus, lalu jawab Nabi:-

قالوا يا رسول الله وما الديوث قال من يقر السوء في أهله
Ertinya : Apakah dayus itu wahai Rasulullah ?. Jawab Nabi : Iaitu seseorang ( lelaki) yang membiarkan kejahatan ( zina, buka aurat, bergaul bebas ) dilakukan oleh ahlinya ( isteri dan keluarganya)
Penerangan Ulama Tentang Lelaki Dayus
Jika kita melihat tafsiran oleh para ulama berkenaan istilah Dayus, ia adalah seperti berikut :-
هو الذي لا يغار على أهله
Ertinya : "seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya) (An-Nihayah,2/147 ; Lisan al-Arab, 2/150)
Imam Al-‘Aini pula berkata : "Cemburu lawannya dayus" ( Umdatul Qari, 18/228 )
Berkata pula An-Nuhas :

قال النحاس هو أن يحمي الرجل زوجته وغيرها من قرابته ويمنع أن يدخل عليهن أو يراهن غير ذي محرم
Ertinya : cemburu ( iaitu lawan kepada dayus ) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya dari ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan mahram " (Tuhfatul Ahwazi, 9/357)
Disebut dalam kitab Faidhul Qadir :
فكأن الديوث ذلل حتى رأى المنكر بأهله فلا يغيره
Ertinya : Seolah-olah takrif dayus itu membawa erti kehinaan (kepada si lelaki) sehingga apabila ia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan ahli keluarganya ia tidak mengubahnya" ( Faidhul Qadir, 3/327 )
Imam Az-Zahabi pula berkata :-
فمن كان يظن بأهله الفاحشة ويتغافل لمحبته فيها فهو دون من يعرس عليها ولا خير فيمن لا غيرة فيه
Ertinya : Dayus adalah sesiapa yang menyangka ( atau mendapat tanda) bahawa isterinya melakukan perkara keji ( seperti zina) maka ia mengabaikannya kerana CINTAnya kepada isterinya , maka tiada kebaikan untuknya dan tanda tiada kecemburuan ( yang diperlukan oleh Islam) dalam dirinya" ( Al-Kabair, 1/62 )
Imam Ibn Qayyim pula berkata :-
قال ابن القيم وذكر الديوث في هذا وما قبله يدل على أن أصل الدين الغيرة من لا غيرة له لا دين له فالغيرة تحمي القلب فتحمى له الجوارح فترفع السوء والفواحش وعدمها يميت القلب فتموت الجوارح فلا يبقى عندها دفع البتة
Ertinya : Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat (protective) atau kecemburuan ( terhadap ahli keluarga) , dan barangsiapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga terjauh dari kejahatan dan perkara keji, tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota ( terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.
Dayus adalah dosa besar
Ulama Islam juga bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu athar :

لَعَنَ اللَّهُ الدَّيُّوثَ ( وَاللَّعْنُ مِنْ عَلَامَاتِ الْكَبِيرَةِ فَلِهَذَا وَجَبَ الْفِرَاقُ وَحَرُمَتْ الْعِشْرَةُ)
Ertinya : Allah telah melaknat lelaki dayus ( laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu dari isterinya dan diharamkan bergaul dengannya) (Matalib uli nuha, 5/320 )
Walaupun ia bukanlah satu fatwa yang terpakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki ini.
Petikan ini pula menunjukkan lebih dahsyatnya takrifan para ulama tentang erti dayus dan istilah yang hampir dengannya :
والقواد عند العامة السمسار في الزنى
Ertinya : Al-Qawwad ( salah satu istilah yang disama ertikan dengan dayus) di sisi umum ulama adalah broker kepada zina" (Manar as-sabil, 2/340 , rawdhatul tolibin, 8/186 )
Imam Az-Zahabi menerangkan lagi berkenaan perihal dayus dengan katanya :-
الديوث وهو الذي يعلم بالفاحشة في أهله ويسكت ولا يغار وورد أيضا أن من وضع يده على امرأة لا تحل له بشهوة
Ertinya : Dayus, iaitu lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan ia sekadar senyap dan tiada rasa cemburu ( atau ingin bertindak), dan termasuk juga ertinya adalah sesiapa yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita yang tidak halal baginya dengan syahwat" (Al-kabair, 1/45 )
Cemburu Dituntut Islam & Jangan Marah
Ada isteri yang menyalahkan suami kerana terlalu cemburu, benar cemburu buta memang menyusahkan, memang dalam hal suami yang bertanya isteri itu dan ini menyiasat, saya nasihatkan agar isteri janganlah memarahi suami anda yang melakukan tindakan demikian dan jangan juga merasakan kecil hati sambil membuat kesimpulan bahawa suami tidak percaya kepada diri anda. Kerap berlaku, suami akan segera disalah erti sebagai ‘tidak mempunyai kepercayaan' kepada isteri.
Sebenarnya, kita perlu memahami bahawa ia adalah satu tuntutan dalam Islam dan menunjukkan anda sedang memiliki suami yang bertanggungjawab dan sedang subur imannya.
Selain itu, bergembiralah sang suami yang memperolehi isteri solehah kerana suami tidak lagi sukar untuk mengelakkan dirinya dari terjerumus dalam lembah kedayusan. Ini kerana tanpa sebarang campur tangan dan nasihat dari sang suami, isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.
Nabi SAW bersabda :

من سعادة ابن آدم المرأة الصالحة
Ertinya : "Dari tanda kebahagian anak Adam adalah memperolehi wanita solehah ( isteri dan anak)" ( Riwayat Ahmad, no 1445, 1/168 )
Memang amat beruntung, malangnya tidak mudah memperolehi isteri solehah di zaman kehancuran ini, sebagaimana sukarnya mencari suami yang tidak dayus. Sejak dulu, agak banyak juga email dari pelbagai golongan muda kepada saya menyebut tentang keterlanjuran mereka secara 'ringan' dan 'berat', mereka ingin mengetahui cara bertawbat.

'Ringan-ringan' Sebelum Kahwin
Jika seorang bapa mengetahui 'ringan-ringan' anak dan membiarkannya, ia dayus. Ingin saya tegaskan, seorang wanita dan lelaki yang telah 'ringan-ringan' atau 'terlanjur' sebelum kahwin di ketika bercinta, tanpa tawbat yang sangat serius, rumah tangga mereka pasti goyah. Kemungkinan besar apabila telah berumah tangga, si suami atau isteri ini akan terjebak juga dengan 'ringan-ringan' dengan orang lain pula.
Hanya dengan tawbat nasuha dapat menghalangkan aktiviti mungkar itu dari melepasi alam rumah tangga mereka. Seterusnya, ia akan merebak pula kepada anak-anak mereka, ini kerana benih 'ringan-ringan' dan 'terlanjur' ini akan terus merebak kepada zuriat mereka. Awas..!!
Dalam hal ini, semua suami dan ayah perlu bertindak bagi mengelakkan diri mereka jatuh dalam dayus. Jagalah zuriat anda.
Suami juga patut sekali sekala menyemak hand phone isteri, beg isteri dan lain-lain untuk memastikan tiada yang diragui. Mungkin ada isteri yang curang ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan tertangkap jua. Saya tahu, pasti akan ada wanita yang kata.
"habis, kami ini tak yah check suami kami ke ustaz?"
Jawabnya, perlu juga, cuma topic saya sekarang ni sedang mencerita tanggung jawab suami. Maka perlulah saya fokus kepada tugas suami dulu ye.
Cemburu seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka demi menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anaknya.
Diriwayatkan bagaimana satu peristiwa di zaman Nabi

قَالَ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ : لَوْ رَأَيْتُ رَجُلاً مَعَ امْرَأَتِي لَضَرَبْتُهُ بِالسّيْفِ غَيْرُ مُصْفِحٍ عَنْهُ ، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللّهِ صلى الله عليه على آله وسلم فَقَالَ : أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ ؟ فَوَ الله لأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ ، وَالله أَغْيَرُ مِنّي ، مِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ الله حَرّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَن.
Ertinya : Berkata Ubadah bin Somit r.a : "Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteriku, nescaya akan ku pukulnya dengan pedangku", maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa'ad tadi, lalu nabi memberi respond : "Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa'ad ? , Demi Allah, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah Allah lebih cemburu dariku, kerana kecemburuan Allah itulah maka diharamkan setiap perkara keji yang ternyata dan tersembunyi.. " ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )
Lihat betapa Allah dan RasulNya inginkan para suami dan ayah mempunyai sifat protective kepada ahli keluarga dari melakukan sebarang perkara keji dan mungkar, khasnya zina.
BILA LELAKI MENJADI DAYUS?
Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila :-
1) Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.
2) Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.
3) Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.
4) Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.
5) Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa 'spoting' yang memahami.
6) Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.
7) Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.
8) Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?. Tidak sekali-sekali.
9) Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.
10) Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktoraf oleh Islam seperti menyelematkannya dari lemas dan yang sepertinya.
11) Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.
12) Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.
13) Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.
14) Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.
Terlalu banyak lagi jika ingin saya coretkan di sini. Kedayusan ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya, adapun jika berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit 'dayus' kepad dirinya.
Mungkin kita akan berkata dalam hati :-
" Jika demikian, ramainya lelaki dayus di kelilingku"
Lebih penting adalah kita melihat, adakah kita sendiri tergolong dalam salah satu yang disebut tadi.
Awas wahai lelaki beriman..jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar ini.
Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori DAYUS yang tiada ruang untuk ke syurga Allah SWT.
Sayangilah dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.
Akhirnya, wahai para suami dan ayah, pertahankan agama isteri dan keluargamu walau terpaksa bermatian kerananya. Nabi SAW bersabda :
من قتل دون أهله فهو شهيد
Ertinya : "Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid" ( Riwayat Ahmad , Sohih menurut Syeikh Syuaib Arnout)

Oleh,
Zaharuddin Abd Rahman.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ iSu ~ ::_RaJa SeHaRi Pun,SoLaT TeTaP SoLaT tAu!!_::
"ALAHAI... Terpaksalah ponteng solat. Pengantin barulah katakan. Sayanglah nak buang mekap yang tebal-tebal ini."Wah,wah. Siapa kata pengantin baru boleh ponteng solat???
Mula bersolek jam 10 pagi. Kalau bertudung, tidak perlu risau mendandan rambut atau masalah sanggul. Masalah utama sekarang ialah mekap. Mekap pengantin bukan seperti biasa. Mekap mak andam yang dibayar mahal!
Wajah 'ditampal' bedak asas tebal, dilekap bulu mata palsu, hidup tampil mancung setelah dishading. Hebat betul kita.Kerana keadaan yang kononnya remeh, remeh untuk membasuh muka kemudian berwuduk untuk sembahyang zuhur, ramai pengantin (terutama perempuan) yang tidak sembahyang zuhur.
Lagi teruk sehari suntuk hari itu, lima waktu sembahyang pun ada yang ponteng. Di tanya orang, kata saja diri uzur.Ada yang kata dia tetap bersolat kerana sebelum bersolek sudah ambil wuduk. Ada yang pernah buat begini?
Sila ceritakan pada saya praktikalitinya. Hendak juga berkongsi. Tentu hebat dapat menjaga wuduk seperti buang angin, kencing atau tersentuh pengantin lelaki.Saya mencadangkan supaya pengantin perempuan tidak bersolek berlebih-lebih kerana bersolek itupun berdosa di sisi agama. Mungkin untuk seri, cukup sekadar bedak. Kecantikan semulajadi pasti lebih terserlah. Lagipun pengantin, tetap ada serinya yang tersendiri. Kata orang seri pengantin!
Di hari bahagia penuh berkat itu, jangan kita tidak bersolat semata-mata kerana kita pengantin baru atau sayang hendak buang mekap.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ iSu ~ ::_RuMaH vs DeWaN_::
Senang buat di dewan, tidak penat kita mengemas rumah. Tetapi tetamu hanya makan-makan di dewan lepas itu terus pulang. Bagaimana dengan rumah kita?
Tiada lagi rasa kemeriahan kenduri kendara....Menggunakan dewan orang ramai sebagai tapak menyambut tetamu pada kenduri kahwin sudah menjadi amalan biasa. Ramai yang berpendapat, memang mudah buat kenduri di dewan. Menempah dewan juga jauh lebih murah berbanding dewan 'ballroom' hotel.
Kini keluarga pengantin merasa tidak mengapa menghias dewan (yang ada court badminton) dengan bunga manggar, arch berbunga di pintu masuk serta pelamin indah. Penulis pernah menghadiri satu majlis di dewan orang ramai yang lampunya dimalapkan dan diletak lilin atas setiap meja makan.
Memang romantik, suasana asal dewan langsung tidak kelihatan. Cuma agak panas walau ada kipas. Itu saja kelemahan ketara jika majlis dibuat siang. Jika malam, masalah 'kepanasan' tidak mengganggu sangat tetamu dan tuan rumah."Kenduri di dewan juga menyelamatkan rumah kita.
Yalah, rumah kita kecil, mana mampu memuatkan hampir seribu orang sekaligus. Lagi pun kita tidak perlu risau tentang keselamatan rumah yang diserbu orang, tidak risau barang hilang atau berlaku kecurian waktu 'rumah terbuka' itu.
Dan juga, kerja mengemas rumah juga tidak perlu. Kebersihan dan acara basuh pinggan mangkuk semuanya diselesaikan katerer yang diupah di dewan!" Cerita Hamidah Arshed yang sudah dua anaknya mengadakan majlis kenduri di dewan orang ramai.Hapipah Ismail pula; "Cuma majlis nikah diadakan dirumah.
Diikuti majlis doa selamat serba sederhana dan tetamu jemputan juga tidak begitu ramai. Besoknya kenduri kendara semua termasuk bersanding dibuat di dewan. Waktu majlis saya dulu, di dewan itu ada satu bilik khas yang lengkap bilik air. Besar juga biliknya, ada cermin dan kipas. Jadi bilik itu kami jadikan tempat meletak barang dan berganti pakaian. Lepas guna terus kunci jadi privacy lah."Ada yang tidak kisah rumah bersepah, pasu pecah, perabot lunyai dilanyak budak-budak.
Bagi mereka itulah 'kemeriahan' majlis perkahwinan yang perlu dilalui, yang meninggalkan pelbagai memori - indah atau parah! Biasalah penah mengemas selepas majlis. Penat tetapi gembira. Betulkah begitu?Apakah majlis perkahwinan di dewan membuatkan silaturahim kita semakin menurun? Kita sepatutnya ke rumah pengantin dan meraikannya di rumahnya sendiri. Datang jauh-jauh hendak juga tahu mana satu rumah si pengantin.
Tiba-tiba, kita dijamu di dewan dan kenangan berkunjung ke negeri orang menghadiri walimatulurus hanya kenangan menjamu selera di dewan!
Elokkah budaya baru 'berkampung' di dewan ini diteruskan?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ iSu ~ ::_KaHwiN TaPi KePaLa TeLaNjaNg_::
Yang tidak seronoknya, selalunya pada sesi ini, pengantin yang kalau hariannya memakai tudung, hari ini habis tudung entah ke mana. Maklumlah bergaun barat fesyen 'bare back' mana kena bertudung litup.Setiap minggu ada saja jemputan kahwin. Baik Sabtu walau Ahad. Ada pula yang buat majlis akan nikah pada hari Jumaat, malamnya. Jemputan datangnya dari saudara mara, jauh dan dekat, kawan-kawan - baru dan lama, dan ada juga daripada yang tidak kenali.
Kerana banyak menghadiri majlis, selain dapat menikmati hidangan kenduri yang pelbagai dan bunga telur bermacam fesyen ada suatu perkara yang agak menyedihkan. Entah adat mana, pengantin perempuan akan memperuntukkan satu hari sebelum majlis langsung untuk upacara bertukar-tukar baju bagi sesi bergambar. Pengantin kadang kala bertukar 5 atau lebih baju. Baju Korealah, minanglah, Jepun, India, gaun kembang, fesyen kemban dan banyak lagi. Sibuklah pengantin, andam dan jurugambar menyediakan pengantin bersolek dan bergaya. Ramailah datang menengok, baik lelaki dan perempuan, saudara atau kenalan.Yang tidak seronoknya, selalunya pada sesi ini, pengantin yang kalau hariannya memakai tudung, hari ini habis tudung entah ke mana. Maklumlah bergaun barat fesyen 'bare back' mana kena bertudung litup. Begitu juga kalau mengenakan persalinan baju kembang yang kononnya tradisional. Keadaan ini biasanya tidak ditegur dengan alasan tidak mengapa kerana dia pengantin atau kahwin hanya sekali!
Ada juga pengantin bertudung yang bertudung litup waktu akad nikah kononnya untuk mendapat berkat majlis dan lagi kerana ia dilakukan di masjid. Untuk bersanding atau bergaya di pelamin, tudung tidak sesuai lagi sebaliknya rambut disanggul serba lengkap dengan tiara atau mahkota. Baju pula kebaya ketat yang menampakkan lekuk buah dada serta bentuk-bentuknya sekali.Boleh bergaya dengan baju pengantin tetapi kenapa mesti sampai buka tudung? Kekalkan tudung di kepala dan pastikan baju pengantin mengikut syariat - longgar dan tidak jarang!
Pengantin perempuan sekalian - janganlah buka tudung!!!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtiKaL ~ ::_ReJaB Ohh ReJaB_::
Rejab bulan ketujuh dalam kalendar Islam muncul lagi. Rejab yang bermaksud ta'azim (kebesaran, keagungan, kemuliaan) kerana Allah akan melimpahkan rahmat-Nya dan kemurahan-Nya adalah bulan yang sangat mulia.
Pada bulan itu mengandungi peristiwa bersejarah kepada orang Islam di mana berlakunya peperangan Tabuk, pembebasan Al-Aqsa daripada tangan tentera Salib dan ada berpendapat bulan inilah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad. Tidak kurang juga ramai melihat Rejab sebagai satu bulan spiritual untuk mempertingkatkan ibadat sunat khususnya ibadat puasa.
Tarikan dan seruan yang ditiup ke dalam jiwa umat Islam terutama untuk melakukan ibadat dipengaruhi oleh penyebaran beberapa hadis yang mengandungi fadilat ibadat di dalam bulan itu. Justeru, Rejab sebagai bulan yang sangat mulia, sewajarnya umat Islam mengambil kesempatan untuk menambah amalan. Banyak hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh sahabat mengenai kelebihan Rejab:Amalan terbaik di dalam Rejab ini ialah berpuasa. Maksud hadis Rasulullah mengenai kelebihan berpuasa pada Rejab adalah seperti berikut:
  • Puasa satu hari - Seperti berpuasa 40 tahun dan mendapat keredaan Allah serta syurga tertinggi.
  • Puasa dua hari - mendapat kemuliaan besar daripada Allah dan dilipat gandakan pahalanya.
  • Puasa tiga hari - dijauhkan dugaan dunia oleh Allah, dijadikan sebuah parit panjang yang menghalangnya ke neraka.
  • Puasa empat hari - diselamatkan daripada seksaan akhirat kelak serta fitnah Dajal.
  • Puasa lima hari - aman dari azab kubur.
  • Puasa enam hari - dibangkitkan dari kubur dengan muka bercahaya.
  • Puasa tujuh hari - Allah mengunci tujuh pintu neraka jahanam baginya.
  • Puasa lapan hari - Allah membuka lapan pintu syurga baginya.
  • Puasa sembilan hari - keluar dari kuburnya lalu menyeru "Laailahaillallah" dan tidak ditolak dia dari memasuki syurga.
  • Puasa 10 hari - Allah memperkenankan semua permintaan dan hajatnya, dijadikan hamparan perhentian di titian Siratul Mustaqim setiap satu batu dan dijadikan dua sayap untuk terbang seperti kilat di titian Siratul Mustaqim.
  • Puasa 13 hari - Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 3,000 tahun.
  • Puasa 14 hari - Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 10,000 tahun.
  • Puasa 15 hari - Allah mengampunkan semua dosanya yang lalu di samping menggantikan amalan kejahatan dengan amalan kebaikan. Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 100,000 tahun.
  • Puasa 16 hari - dapat melihat wajah Allah dalam syurga dan orang pertama menziarahi Allah di dalam syurga.
  • Puasa 19 hari - Di bina sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Ibrahim dan Nabi Adam.
  • Puasa 20 hari - Allah mengampunkan segala dosanya lalu dan melakukan amalan baik dengan baki umurnya.
  • Sesiapa berpuasa tiga hari dalam bulan ini dan beribadat pada malamnya seperti dia berpuasa 3,000 tahun, diampunkan baginya 70 dosa besar setiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawa dari jasadnya, 70 hajat ketika di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika al-Quran dinaikkan ke langit), 70 hajat ketika ditimbang amalannya di Mizan, dan 70 hajat ketika melalui titian Siratul Mustaqim.
  • Berpuasa pada 27 Rejab (Hari Israk dan Mikraj) seperti berpuasa 60 bulan pahalanya, jika disertai dengan sedekah seumpama puasa 1,000 tahun.
  • Dapat meminum air sungai yang dinamakan Rejab dengan airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada manisan, lebih dingin daripada salji.
  • Setiap umat Islam berpuasa pada Rejab seperti mengerjakan ibadat seumur hidupnya. Tambahan bersedekah seperti beribadat seribu kali haji dan umrah. Dibina untuknya seribu mahligai dengan seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada matahari seribu kali.
  • Sedekah pada Rejab seumpama sedekah seribu dinar, dituliskan kepada tiap helai bulu roma seribu kebajikan, diangkat seribu darjat dan dihapuskan seribu kejahatan serta dijauhkan daripada api neraka.Orang yang lemah daripada berpuasa pada Rejab hendaklah bersedekah tiap hari, sekurang-kurangnya sebuku roti.

Kelebihan lain pada Rejab:

  • Di dalam bulan lain Allah membalas amalan umat-Nya 10 kali, tetapi di dalam Rejab Allah akan membalas amalan umat-Nya 70 kali.
  • Sesiapa meminta ampun (beristighfar) pada pagi dan petang 70 atau 100 kali dalam Rejab, diharamkan tubuhnya daripada api neraka.
  • Rejab bulan Allah, Syaaban bulan Rasulullah, Ramadan bulan umat Rasulullah.
  • Rejab adalah bulan menabur benih, Syaaban bulan menyiram tanaman manakala Ramadan bulan menuai.
  • Amalan Rejab menyucikan badan, Syaaban menyucikan hati, manakala Ramadan menyucikan roh.
  • Rejab adalah bulan maghfirah (keampunan), Syaaban bulan syafaat, manakala Ramadan menggandakan kebajikan.
  • Rejab adalah bulan taubat, Syaaban bulan muhibah, manakala Ramadan bulan dilimpahi pahala amalan yang banyak.
  • Pahala amalan baik Rejab diganda 70 pahala, Syaaban diganda 700 pahala dan Ramadan diganda 1,000 pahala.

Beberapa amalan lain yang baik dilakukan dalam bulan Rejab:

  • Menyucikan diri daripada dosa dengan bertaubat dan memohon ampun
  • Membersihkan hati yang lalai dan alpa melalui amalan beristighfar dan zikir
  • Mendekatkan diri kepada Allah dengan menunaikan solat
  • Memohon keselamatan dan kesejahteraan dengan berselawat dan berdoa kepada-Nya
  • Menginsafkan diri dengan membaca kisah teladan perjuangan Rasulullah dan sirah Islam lain.

Peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Rejab:

  • Israk dan Mikraj (27 Rejab)
  • Solat lima waktu difardukan ke atas umat Islam (malam Israk Mikraj)
  • Perang Tabuk terjadi di dalam tahun kesembilan Hijrah.

Doa pada Rejab:Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan bulan Syaaban serta sampaikan kami ke bulan Ramadan. Aku bermohon keampunan Allah yang Maha Agung dan tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup, yang berdiri sendiri dan aku bertaubat kepadaNya. Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang patut disembah kecuali Engkau yang mencipta aku. Aku adalah hamba-Mu dan aku dalam genggaman-Mu. Aku dalam perjanjian (beriman dan taat) kepada-Mu sekadar kemampuan yang ada padaku. Aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan yang (mungkin) aku lakukan. Aku mengakui atas nikmat yang Engkau berikan kepadaku dan mengakui dosaku. Kerana itu aku memohon keampunan-Mu dan sesungguhnya tiada yang dapat mengampuni dosa seseorang kecuali Engkau Ya-Allah.

Beristighfar paling baik dalam bulan Rejab:Maksudnya: Aku bermohon keampunan Allah yang Maha Agung dan tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup, yang berdiri sendiri dan aku bertaubat kepada-Nya

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS