~ ihYa' RaMadHan ~ ::_TaNgiSan raMadHan_::
Adakah kita termasuk yang merindukan kehadiran bulan Ramadhan, saudaraku? Jika ya, inilah keindahan bulan yang kita sangat rindukan itu sedang bersama kita. Inilah detik demi detik waktu, kita lalui bersamanya. Inilah masa-masa bahagia, masa-masa semakin dekatnya jiwa bersama Allah, masa-masa kedamaian, hal yang belum tentu kita temui saat ia tidak bersama kita lagi.
Saudaraku,
Hiruplah dalam-dalam udara malam-malamnya. Hiruplah dalam-dalam udara sahurnya. Kita kini sedang berada pada hari-hari perpisahan yang sangat memilukan. Perpisahan dengan bulan mulia yang telah hadir bersama seluruh keindahan dan keistimewaannya bersama kita. Perpisahan dengan bulan terindu yang keutamaannya tak dapat dikalahkan oleh apapun yang terindah dalam hidup.
Jika Rasulullah SAW bersabda, "Barang siapa melakukan satu ibadah sunnah dalam bulan Ramadhan, maka ia seperti orang yang melakukan ibadah wajib di bulan selain Ramadhan. Dan barang siapa yang melakukan ibadah wajib di bulan Ramadhan maka ia seperti orang yang melaksanakan 70 ibadah wajib di selain bulan Ramadhan". (HR Ibnu Khuzaimah).
Maka, berpisah dengan bulan ini berarti kita meninggalkan kesempatan meraih pahala kebaikan yang berlipat-lipat.Jika Rasulullah SAW bersabda, "Ada dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa, kegembiraan saat berbuka dan kegembiraan tatkala bertemu dengan Allah." (HR. Al-Bukhari dan Muslim)..
Maka, perpisahan dengan bulan ini, bererti terlewatnya dua momentum kegembiraan di kala buka puasa itu.Jika Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang berpuasa kerana keimanan dan semata-mata mengharap pahala, nescaya diampuni dosanya yang telah lalu. (HR. AlBukhari dan Muslim).
Maka, perpisahan dengan bulan ini adalah hilangnya kesempatan kita untuk memperoleh ampunan Allah SWT terhadap dosa-dosa kita yang menggunung.
Saudaraku,
Jika Rasululah SAW bersabda, "Barangsiapa yang menunaikan qiyamullail pada bulan Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan pahala, nescaya akan diampuni dosa-dosa-nya yang telah lalu." (HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Maka usainya kebersamaan kita dengan bulan Ramadhan adalah lenyapnya kesempatan kita untuk menunaikan sholat malam dengan jaminan pahala ampunan atas dosa dan kekhilafan, yang kita sudah tenggelam di dalamnya.Jika Rasulullah SAW bersabda, "Siapa saja yang solat tarawih bersama imam hingga selesai, akan ditulis baginya pahala solat semalam suntuk (HR. Abu Dawud, At-Tirmidzi, An-Nasai dan Ibnu Majah)
Lalu bagaimana dengan kualitas ibadah solat tarawih yang sudah kita lakukan? Perpisahan dengan bulan suci ini, berarti juga kita akan kehilangan pahala solat tarawih. Kehilangan pahala semalam suntuk.
Saudaraku,
Jika para salafushalih, selama bulan ini berlumba-lumba memperbanyak membaca AlQur'an. Malaikat Jibril memperdengarkan AlQuran kepada Rasulullah SAW pada bulan Ramadhan. Utsman bin Affan mengkhatamkan Al-Qur'an setiap hari pada bulan Ramadhan. Sebagian salafushalih mengkhatamkan Al-Qur'an dalam solat tarawih setiap tiga malam sekali, tujuh malam sekali dan sepuluh malam sekali.
Mereka selalu membaca AlQur'an baik di dalam solat maupun di luar solat. Jika Imam Asy-Syafi'i dapat mengkhatamkan Al-Qur'an sebanyak enam puluh kali di luar solat dalam bulan Ramadhan. Sementara Al-Aswad mengkhatamkannya setiap dua hari sekali. Qatadah selalu mengkhatamkannya setiap tujuh hari sekali di luar Ramadhan, sedangkan pada bulan Ramadhan ia mengkhatamkannya setiap tiga hari sekali.
Dan pada sepuluh terakhir bulan Ramadhan ia mengkhatamkannya setiap malam. Pada bulan Ramadhan Imam Az-Zuhri menutup majlis-majlis hadith dan majlis-majlis ilmu yang biasa diisinya. Ia mengkhususkan diri membaca Al-Quran dari mushaf. Dan Imam Ats Tsauri, beliau meninggalkan ibadah-ibadah lain dan mengkhususkan diri untuk membaca Al-Quran.
Saudaraku,
Jika mereka demikian tinggi semangat dan mujahadahnya (kesungguhannya) membaca Al-Qur'an di bulan ini. Bagaimana dengan ibadah membaca Al Qur'an yang kita lakukan? Bila Ramadhan berlalu, berarti kita pun kehilangan kesempatan agung untuk memperoleh barakah istimewa dari membaca Al Quran di bulan ini…Jika Allah SWT berfirman, "Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur'an) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan (QS. Al-Qadr: 1-3).
Dan jika Rasulullah SAW senantiasa mencari malam Lailatul Qadr dan memerintahkan sahabat untuk mencarinya. Beliau membangunkan keluarganya pada malam sepuluh terakhir dengan harapan mendapat malam Lailatul Qadr.
Jika dalam Musnad Ahmad dari Ubadah, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang bangun sebagai usaha untuk mendapat malam Lailatul Qadr, lalu ia benar-benar mendapatkannya, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang lalu dan yang akan datang."Jika kaum salaf dari kalangan sahabat dan tabiin mandi dan memakai minyak wangi pada sepuluh malam terakhir untuk mencari malam Lailatul Qadr, malam yang telah dimuliakan dan diangkat derajatnya oleh Allah.
Maka perginya bulan ini dari sisi kita, berarti terlewatnya kesempatan yang tak pernah terbayar dalam seluruh hidup kita sekalipun. Bererti, lenyapnya kesempatan kita memperoleh keuntungan 1000 bulan yang sangat jauh lebih daripada usia kita sendiri.
Saudaraku,
Jangan sia-siakan detik detik perpisahan ini. Rasakan benar-benar kehadiran kita di sini, di bulan ini. Lantunkan dzikir, tilawah Al Qur'an, munajat, permohonan ampun di sini. Buang kepenatan, hilangkan rasa lelah, dan paksalah diri ini.
Hanya untuk hari-hari terakhir menjelang perpisahan dengan bulan penuh kemuliaan. Kejarlah segala yang terluput dari diri kita pada malam Lailatul Qadr. Sekarang, saudaraku. Jangan tunda lagi.
Dan, menangislah. Kerana kita pun harus berpisah dengan bulan ini…

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ ihYa' RamaDhan ~ ::_AhLaN ya LaiLaTul QadR_::
Umat Islam di seluruh dunia akan memasuki fasa ketiga pelaksanaan ibadat puasa serta amal-amal ibadat sunat yang lain pada minggu hadapan, ini bermakna sedar atau tidak, Ramadan tetap akan meninggalkan kita buat tempoh setahun.
Apa yang perlu sama-sama kita ingatkan antara satu sama lain, ialah kenangan positif yang kita kecap sepanjang berada dalam bulan Ramadan, iaitu bulan yang dipenuhi dengan segala macam keberkatan, rahmat, keampunan Ilahi serta program-program yang dapat membebaskan diri daripada api neraka.
Itulah bulan yang banyak memberi kita peluang untuk mendapatkan rahmat Allah, keampunan-Nya dari segala kesalahan yang telah kita lakukan sebelum ini, memohon kepada-Nya agar diri kita, keluarga serta anak-anak bebas daripada siksaan api neraka.
Masa yang paling sesuai untuk kita lakukan kesemua itu adalah di tengah malam, di ketika ramai manusia sedang seronok tidur dan mungkin juga sebahagian mereka sedang menonton rancangan kesukaan mereka, kerana pada waktu itu suasana hening menyelubungi manusia, justeru waktu itu juga amat berkesan untuk menyatakan rasa hati kepada Maha Pencipta.
Apatah lagi pada malam akhir-akhir di bulan Ramadan, terdapat satu malam yang disebut oleh Allah SWT dengan jelas sebutan namanya yang mulia dalam satu surah yang pendek, malam yang diturunkan padanya kitab suci al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia menuju jalan kebenaran dan keselamatan di dunia dan akhirat, iaitulah malam yang sangat dikenali dengan Lailatul Qadr - atau diterjemahkan sebagai malam takdir.
Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Quran, Al-Qadr 97: 1-5)
Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.
Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah bermaksud: "Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan" (Surah al-Qadr, ayat 3) .
Sebab-sebab Allah adakan Lailatul Qadr
Allah SWT Taala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, amat menyayangi hamba-Nya yang taat beribadat kepada-Nya, ia tidak lain adalah untuk menganugerahkan kepadanya pahala-pahal yang banyak, supaya dengannya dia akan dapat masuk syurga.
Terdapat beberapa pandangan ulama yang menyebut bahawa, Allah SWT mempunyai sebab kenapa Dia mengadakan Lailatul Qadr buat umat Nabi Muhammad s.a.w antara lain;
Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.
Sementara Imam al-Qurtubi pula berpendapat, Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w.
Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau menurut ulama sebagai 83 tahun empat bulan.

Dorongan Nabi supaya umatnya terus beribadat pada malam tersebut
Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.
Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan solih lain yang dianjurkanIslam.
Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering Baginda baca ialah doa maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih."
Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.
Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah. (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)
Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar.
Hikmah dirahsiakan kehadirannya
Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku Lailatul Qadr, tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan agar manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka tahu malam tersebut, justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan setiap malam terakhir Ramadan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh baginda, para sahabat dan para solihin terdahulu.
Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan.
Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.
Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan.
Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.
Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.
Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka'ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu'awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. "Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27."
Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.
Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.
Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.
Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.
Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. "Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan."
Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.
Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.
Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr
Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.
Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.
Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.
Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.
Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.
Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
Ada yang berkata doa permohonannya makbul.
Fokus umat pada malam tersebut
Lailatul Qadr seperti yang dijelaskan di atas, adalah masa yang paling sesuai untuk mengajukan segala permohonan kepada Allah SWT, apa yang perlu dilakukan pada malam tersebut ialah dengan perkara-perkara berikut:
Menghayati malam tersebut dengan ibadah
Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.
Kesimpulan, persoalan bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr, hanya Allah SWT sahaja yang tahu.
Apa yang telah dinyatakan kepada kita melalui hadis-hadis Nabi s.a.w ialah tanda-tanda dan juga malam-malam yang kemungkinan berlakunya Malam al-Qadr.
Berdasarkan hadis Nabi s.a.w menghidupkan 10 malam terakhir dengan beriktikaf, ramai di kalangan ulama' cenderung mengatakan bahawa malam tersebut kemungkinan besar akan berlakunya Malam al-Qadr.
Mengenai cerita pelik yang berlaku, usahlah dijadikan pegangan, oleh kerana para sahabat juga mencari Malam Al-Qadr dengan berdasarkan tanda-tanda yang telah Nabi saw ceritakan kepada mereka. Malah, tidak terdapat sebarang periwayatan mengenai apa yang telah dilihat oleh para sahabat. Maka tidak melihat, tidak bermakna tidak mendapat ganjaran Malam al-Qadr!
Fikir masalah umat ketika sedang beritikaf adalah ibadat
Bukan sahaja melakukan ibadat qiyamullail itu dikira sebagai satu amal ibadat yang baik di sisi Allah SWT, malah memikirkan sesuatu khususnya mengenai masalah yang melanda umat Islam hari ini juga dikira sebagai ibadat yang besar, apatah lagi ketika menjalani proses beriktikaf dalam masjid pada malam-malam terakhir Ramadan.
Lebih-lebih lagi masalah umat secara global, sama ada keruntuhan moral, perilaku, akhlak di kalangan remaja lelaki mahupun perempuan, masalah krisis keyakinan terhadap Islam di kalangan mereka yang mempunyai profil tinggi dan lain-lain, kesemua itu dapat ditangani jika masing-masing memainkan peranan sebagai hamba Allah yang mempunyai jati diri sebagai orang yang bertakwa seperti yang dituntut dalam ayat mengenai matlamat pelaksanaan ibadat puasa.
Fadilat Lailatul Qadr
Mungkin terdapat sesetengah orang menyangka bahawa mendirikan Qiyamullail pada disepertiga (1/3) malam iaitu dengan hanya bersolat Tarawih (Qiyam Ramadan) berjemaah pada awal malam, iaitu selepas Solat Ba'diyah Isya'. Apakah orang seperti ini mendapat ganjaran atau pahala seperti mereka yang bersolat di malam Al-Qadr (sekiranya berlaku Lailatul Qadr pada malam tersebut)?
Berkata Muhaddis terkenal, Sheikh Nasyirudin Al-Albani (didalam buku Risalah Qiyam Ramadan) :
"Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w bersabda :'Barangsiapa yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya) dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu' - [Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad 5/318].
Sementara Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat beramal pada malam Al-Qadr, katanya :
"Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam tersebut ialah : bersolat Isya' berjemaah, Solat subuh berjemaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail.
Di dalam Sahih diriwayatkan bahawa Nabi bersabda :"Barangsiapa yang bersolat Isya' berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam, dan barangsiapa yang bersolat subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat disepanjang malam tersebut. (Riwayat Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari hadis Osman, Sahih Jami' Saghir - 6341).
Dan tujuannya ialah : Barangsiapa yang bersolat Subuh dengan tambahan-tambahan di dalam waktu Isya', adalah sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Hadis Abu Daud dan Tirmizi :
"Barangsiapa yang solat Isya' berjemaah bagaikan berqiyam separuh malam, dan barangsiapa bersolat Isya' dan Fajar bagaikan ia berqiyam sepenuh malam (sumber yang sama - 6342)."
Semoga tahun ini kita mendapat rezeki untuk bertemu dengan Lailatul Qadr, iaitu satu malam yang penuh dengan misteri, supaya pahala amalan kita dilipat gandakan oleh Allah dan dikira sebagai amal-amal yang soleh, Insya Allah.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ iHya' raMadHan ~ ::_ZoNe KuNing tiNgKatKan IbaDat_::
“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas generasi sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa” [al-Baqarah 2: 183]
Sahabat,
Kita sudah pun masuk ke separuh kedua bulan Ramadhan. Separuh kedua ini biasanya adalah pusingan penentu. Jika kita umpamakan Ramadhan ini seperti perlawanan bola sepak, separuh masa kedua bukan lagi ruang untuk cuba-cuba mengintai pihak lawan, berkhayal mencari strategi dalam bayangan atau sekadar berlari turun naik padang tanpa arah tujuan. Semua orang sudah mesti tahu apa peranan masing-masing dan sudah tiba masanya untuk bertindak dan menyerang.
Apakah jaringan kita setakat separuh masa kedua ini?
Andai masih 0-0, perlu dikaji apa yang tidak kena. Maksiat kita tinggalkan, tapi kebaikan tidak kita lakukan. Tambah-tambah lagi jika maksiat ditinggalkan hanya semata-mata “rakan syaitan jin dan manusia” tertambat dan bukannya kerana dorongan mahu mendampingi Tuhan. Jangan lupa, buat sesuatu kerana selain Allah itu riya’, meninggalkan sesuatu kerana selain Allah juga adalah riya’.
Andaikata kita sudah mendahului dengan jaringan 1-0, syukurlah kepada Allah. Namun kita belum selamat. Pasukan Nafsu masih terlalu hampir untuk membuat jaringan persamaan, mereka tidak henti-henti menyerang sedangkan pertahanan kita semakin keletihan. Tambahlah bilangan bola yang berjaya dibawa melepasi pertahanan Pasukan Nafsu yang degil itu. Biar jarak kemenangan kita itu berada di zon selamat, bukan sentiasa di atas urat.
Tambah-tambah dekat nak Raya, penyokong pasukan nafsu semakin bersesak-sesak masuk ke gelanggang. Pekiknya makin menggerunkan. Jangan pula kalian lemah semangat kerananya. Kita pasukan Tuan rumah, harus menang sekurang-kurangnya di gelanggang sendiri.
Namun, kalau sudah masuk pusingan kedua, masih lemah ditinggalkan masa, hubaya hubaya… kamu di ambang kekalahan. Piala Taqwa itu bakal jatuh ke tangan orang lain, iaitu ke tangan Pasukan Nafsu yang memang diketahui tidak kenal dan kenang nilai Piala Taqwa. Ia hanya mahu mengalahkan pasukan kita, ia hanya mahu melihat Piala Taqwa itu tidak berada di tangan kita.
Apakah musim depan kita masih berpeluang untuk masuk gelanggang? Tiada seorang pun yang berani memberikan jawapan, bahkan jurulatih terhandal pun tahu masa yang ada di tangan kita hanyalah sekarang. Masa lalu telah berlalu, masa hadapan tak pasti kesampaian. Dan masa sekarang yang ada di tangan kita, hanya tinggal separuh masa kedua… apakah masih ada ruang untuk berlengah?

“Jibril datang kepadaku dan berkata, ‘Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis dan ia tidak mendapat ampunan, maka jika mati ia masuk Neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin!. Aku pun mengatakan: Amin! ” (HR. Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam Shahihnya)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtiKaL ~ ::_AhLaN Ya RaMaDhaN aL KaRiM_::
"Ya Allah, panjangkanlah umur kami, supaya dapat kami mengecap nikmat Ramadhan tahun ini". Tidak putus-putus doa itu saya ucapkan, mudah-mudahan dapat saya mengecap nikmat berdampingan dengan Tuhan Yang Maha Pengasih dalam bulan yang paling dinanti-nantikan kami.
Pada bulan ini kami umat Islam akan sama-sama mengerjakan ibadat puasa yang menjadi sendi kepada Rukun Islam. berpuasa pada kami merupakan satu nikmat yan tidak dapat untuk dibayangkan lantaran itulah tandanya kami mencintai Tuhan kami dengan menunaikan segala perintahnya; meski susah atau sempit.
Bagi kami umat Islam, kami mengerjakan ibadat tanpa melihat kepada kebaikan yang bakal diperolehi, sebaliknya kami akan mengerjakan semuanya tanpa mengira baik atau buruk sekiranya ia datang daripada Tuhan kami.
Namun yang perlu jelas ialah segala arahan yang dikeluarkan oleh Allah SWT melalui utusannya yang mulia ternyata semuanya memberi kebaikan yang melimpah kepada kami. Ibadat puasa bukan sahaja menjadi amalan khusus untuk umat Islam, malah begitu juga halnya penganut agama lain. Cuma yang membezakan Islam dengan yang lain ialah kami ada satu bulan yag dikhususkan untuk berpuasa iaitu bulan Ramadhan.
Malah dalam bberapa konteks, kaedah berpuasa umat Islam ada sedikit berbeza dengan penganut agama lain. Saya berni untuk menyatakan ibadat ini tidak menyusahkan apabila ramai kanak-kanak kecil yang baru mencecah umur 7 tahun mampu untuk menahan lapar di siang hari sebulan lamanya, dengan wajah yang masih mampu tersenyum ria.
Namun, ada satu gejala yang kurang manis manis menimpa umat Islam. mereka ternyata lebih ghairah untuk mengerjakan ibadat semahu-mahunya dalam bulan ini tetapi tidak mengekalkan mutunya pada bulan-bulan yang lain. Tidak mengapa jika mutu itu tidak setandin, namun malangnya mutu sebelum dan selepas Ramadhan adalah angat jauh bezanya dengan mutu di bulan Ramadhan. Lalu, saya sedikit tertanya-tanya. Apakah umat Islam beribadat kerana Ramadhan atau kerana Tuhan yang menjadikan Ramadhan?
Saya sedikit terperanjat dengan kemampuan beberapa kawan saya mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh sebulan Ramadhan. Saya juga terperanjat apabila malamnya padat dan penuh dengan ibadat berpanjangan, serta zikir yang membasahi bibir. Namun sebelum Ramadhan, ia tidak sebegitu. Malah, sehari selepas Ramadhan, ia terus transform hampir totally.
Saya tidaklah seperti Ibnu al-Qayyim yang keras dalam bab sebegini, Namur saya tidak mahu kelembutan al-Ghazali akan menyebabkan ramai yang terleka. Saa berpandangan, alangkah kontangnya ibadat bulan Ramadhan yang hanya terfokus lepada Ramadhan semata-mata, tetapi langsung tidak mempunyai semangat istiqamah dan berlandaskan ilmu yang tinggi.
Islam bukan terhasil dengan ibadat khususiah semata-mata. Solat bukan melambangkan Islam, begitu juga puasa. Tahajjud tidak menggambarkan kesolehan seseorang, begitu juga hafiz al-Quran tidak menggambarkan insan yang unggul. Islam bukan sekadar itu sahaja, malah Islam hádala sesuatu yang sangat luas, mencakupi segenap perkara. Islam bukan sahaja puasa, malah Islam juga jihad. Islam bukan sahaja pada bulan Ramadhan, malah Islam juga agama untuk Safar.
Umat Islam terus-menerus mengejar keberkatan Malam al-Qadr, tetapi malam yang lain hambar sahaja. Saya semakin keliru, keberkatan al-Qadar ke yang dicari, atau Rahmat Ilahiyah?
Namun saya sedikit gusar jika ada yang salah faham. Sahabat-sahabat mesti jelas, memang ada anjuran memperbanyakkan ibadat di bulan Puasa dan di malam-malam ganjil, namun janganlah hal tersebut menyebabkan kita alpa dan tenggelam dengan janji-janji pahala sehingga kita termasuk dalam golongan abid tetapi jahil.
Tanda orang-orang jahil adalah membaca al-Quran selaju mungkin unuk dikhatamkan dalam sebulan. Tanda orang-orang jahil adalah mengerjakan ibadat tanpa putus tetapi terus merudum selepas Ramadhan. Tanda orang jahil adalah berzikir tanpa putus tetapi meninggalkan gerak kerja Islam.
Ayyuhal Muslimun, memang benar Ramadhan bulan ibadat, dan para ulama mengkhususkan bulan ini untuk ibadat. Tetapi, saya nak menjelaskan di sini, bahawa kadang-kadang ibadat kita perlu melihat kepada realiti semasa. Dalam keadaan Islam ditekan begitu berat, apakah kita masih lagi ingin menghabiskan banyaknya masa kita dengan solat dan zikir semata-mata dengan meninggalkan amal-amal Islami yang menjadikan kita mulia.
Seorang sahabat saya berkata: "Wajah ulama' yang berseri bukanlah disebabkan banyaknya amal ibadat, tetapi kerana seriusnya mereka berjihad pada jalan Allah SWT tanpa putus-putus".
Kita perlu mencermati dan menekuni pesanan-pesanan nabi SAW bahawa ibadat yang berbaur kejahilan tidaklah begitu bererti jika dibandingkan dengan ibadat yang diiringi ilmu yang mendalam.
Malah, si faqih lebih mulia dan tinggi darjatnya berbanding si alim mengikut pandangan Al-Qaradhawi. Ini kerana si alim melihat dengan mata sedangkan faqih melihat dengan mata dan hati. Pandangan mereka lebih jauh menjangkau ke dalam berbanding si alim yang hanya gah luaran tetapi kotor dalamannya.
Saya bermaksud di sini, orang alim yang hatinya busuk, yang dikatakan tergolong dalam tiga golongan awal masuk ke dalam neraka bersama mujahid yang mencari nama dan pembaca al-Quran yang mencari gelar mulia. Alim sebegini hanya mencari nama agar mereka dapat setanding dengan para ulama' dan dapat memperlekehkan sang juhala'.
Maka, jika dikatakan alim pun boleh terjerumus ke dalam kancah kehinaan dan lumpur-lumpur kekotoran lantaran terpengaruh dengan kehendak nafsu yang menelan, maka apatah lagi sang abid yang dicelarukan dengan kurangnya ilmu dan kefahaman. Justeru, Umar Abdul Aziz tegas menyatakan amalan bertambun tanpa kefahaman lebih banyak merosakkan berbanding mengelokkan.
Ramadhan sepatutnya dijadikan sebagai training ground kepada kita untuk merealisasikan jihad dalam Medan yang serenar. Tidak boleh dijadikan keletihan dan kelaparan sebagai satu sebab menolak perjuangan malah tidak boleh dijadikan alasan bulan Ibadan untuk memperlahankan gerak kerja. Telah saya jelaskan, zaman yang kucar-kacir ini menuntut mujahid yang abid bukannya abid yang mujahid. Sekarang merupakan era yang berbeza sama sekali dengan zaman al-Syafei yang boleh menumpukan sepenuhnya kepada ibadah dan menekuni bacaan al-Quran.
Saya tidak pernah berniat untuk menterjemahkan kematian saya dalam keadaan saya bersujud dalam tahajjud tidak. Saya tidak berdoa sama sekali untuk meninggalkan dunia yang fana ini dalam keadaan saya sakit yang membawa lepada maut.
Malah, bagi saya, doa yang saya pinta dan pohon adalah kematin dalam bentuk perjuangan mati syahid dalam menggapai redha Allah SWT. Ramadhan bagi saya memang bulan khusus buat umat Muhammad tetapi tidak pernah saya nafikan bulan lain juga sebagai bulan ibadat. Tidak pernah saya terfikir ingin terlalu mencari lailatul qadr sehingga mengetepikan kekuatan malam-malam yang lain. Benar, Ramadhan sangat mulia. Benar, lailatul qadr sangat mulia. Namur kemuliaannya tidak pernah membuatkan saya hanya memperbanyakkan amal ibadat sehingga peringkat maksimum kemudiannya terus longlai di hari yang lain.
Sya'ir Abdullah bin al-Mubarak lepada Fudhail bin 'Iyad: Betapa debu-debu yang terlekat di kaki kuda perangku, lebih mulia berbandng dengan tangisanmu yang takutkan Allah tetap menjadi slogan dan pemicu kepada kita.
Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan, mudah-mudahan Ramadhan tahun ini akan memberikan 1001 rahmat kepada kita semua. Juga, Selamat Datang Wahai Bulan yang kami nanti-nantikan. Kami akan menyambut dan mendakapmu dengan penuh keikhlasan dan api kerinduan. Wahai Tuhan, hantarlah tentera-tentera Malaikat yang pernah membantu di Badr al-Kubra di bulan mulia ini upaya dengan itu dapatlah kami memenangkan agamamu meskipun jira kami bakal terkorban sekalipun.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS