~ Ramadhan ~ ::_Ahlan Ya Ramadhan....Allahuma Balliqna Ya Ramadhan_::

"Ya Allah, panjangkanlah umur kami, supaya dapat kami mengecap nikmat Ramadhan tahun ini". Tidak putus-putus doa itu saya ucapkan, mudah-mudahan dapat saya mengecap nikmat berdampingan dengan Tuhan Yang Maha Pengasih dalam bulan yang paling dinanti-nantikan kami.
Pada bulan ini kami umat Islam akan sama-sama mengerjakan ibadat puasa yang menjadi sendi kepada Rukun Islam. berpuasa pada kami merupakan satu nikmat yan tidak dapat untuk dibayangkan lantaran itulah tandanya kami mencintai Tuhan kami dengan menunaikan segala perintahnya; meski susah atau sempit.
Bagi kami umat Islam, kami mengerjakan ibadat tanpa melihat kepada kebaikan yang bakal diperolehi, sebaliknya kami akan mengerjakan semuanya tanpa mengira baik atau buruk sekiranya ia datang daripada Tuhan kami.
Namun yang perlu jelas ialah segala arahan yang dikeluarkan oleh Allah SWT melalui utusannya yang mulia ternyata semuanya memberi kebaikan yang melimpah kepada kami. Ibadat puasa bukan sahaja menjadi amalan khusus untuk umat Islam, malah begitu juga halnya penganut agama lain. Cuma yang membezakan Islam dengan yang lain ialah kami ada satu bulan yag dikhususkan untuk berpuasa iaitu bulan Ramadhan.
Malah dalam beberapa konteks, kaedah berpuasa umat Islam ada sedikit berbeda dengan penganut agama lain. Saya berani untuk menyatakan ibadat ini tidak menyusahkan apabila ramai kanak-kanak kecil yang baru mencecah umur 7 tahun mampu untuk menahan lapar di siang hari sebulan lamanya, dengan wajah yang masih mampu tersenyum ria.
Namun, ada satu gejala yang kurang manis manis menimpa umat Islam. mereka ternyata lebih ghairah untuk mengerjakan ibadat semahu-mahunya dalam bulan ini tetapi tidak mengekalkan mutunya pada bulan-bulan yang lain. Tidak mengapa jika mutu itu tidak setanding, namun malangnya mutu sebelum dan selepas Ramadhan adalah sangat jauh bezanya dengan mutu di bulan Ramadhan. Lalu, saya sedikit tertanya-tanya. Apakah umat Islam beribadat kerana Ramadhan atau kerana Tuhan yang menjadikan Ramadhan?
Saya sedikit terperanjat dengan kemampuan beberapa kawan saya mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh sebulan Ramadhan. Saya juga terperanjat apabila malamnya padat dan penuh dengan ibadat berpanjangan, serta zikir yang membasahi bibir. Namun sebelum Ramadhan, ia tidak sebegitu. Malah, sehari selepas Ramadhan, ia terus transform hampir totally.
Saya tidaklah seperti Ibnu al-Qayyim yang keras dalam bab sebegini, Namur saya tidak mahu kelembutan al-Ghazali akan menyebabkan ramai yang terleka. Saa berpandangan, alangkah kontangnya ibadat bulan Ramadhan yang hanya terfokus lepada Ramadhan semata-mata, tetapi langsung tidak mempunyai semangat istiqamah dan berlandaskan ilmu yang tinggi.
Islam bukan terhasil dengan ibadat khususiah semata-mata. Solat bukan melambangkan Islam, begitu juga puasa. Tahajjud tidak menggambarkan kesolehan seseorang, begitu juga hafiz al-Quran tidak menggambarkan insan yang unggul. Islam bukan sekadar itu sahaja, malah Islam hádala sesuatu yang sangat luas, mencakupi segenap perkara. Islam bukan sahaja puasa, malah Islam juga jihad. Islam bukan sahaja pada bulan Ramadhan, malah Islam juga agama untuk Safar.
Umat Islam terus-menerus mengejar keberkatan Malam al-Qadr, tetapi malam yang lain hambar sahaja. Saya semakin keliru, keberkatan al-Qadar ke yang dicari, atau Rahmat Ilahiyah?
Namun saya sedikit gusar jika ada yang salah faham. Sahabat-sahabat mesti jelas, memang ada anjuran memperbanyakkan ibadat di bulan Puasa dan di malam-malam ganjil, namun janganlah hal tersebut menyebabkan kita alpa dan tenggelam dengan janji-janji pahala sehingga kita termasuk dalam golongan abid tetapi jahil.
Tanda orang-orang jahil adalah membaca al-Quran selaju mungkin unuk dikhatamkan dalam sebulan. Tanda orang-orang jahil adalah mengerjakan ibadat tanpa putus tetapi terus merudum selepas Ramadhan. Tanda orang jahil adalah berzikir tanpa putus tetapi meninggalkan gerak kerja Islam.
Ayyuhal Muslimun, memang benar Ramadhan bulan ibadat, dan para ulama mengkhususkan bulan ini untuk ibadat. Tetapi, saya nak menjelaskan di sini, bahawa kadang-kadang ibadat kita perlu melihat kepada realiti semasa. Dalam keadaan Islam ditekan begitu berat, apakah kita masih lagi ingin menghabiskan banyaknya masa kita dengan solat dan zikir semata-mata dengan meninggalkan amal-amal Islami yang menjadikan kita mulia.
Seorang sahabat saya berkata: "Wajah ulama' yang berseri bukanlah disebabkan banyaknya amal ibadat, tetapi kerana seriusnya mereka berjihad pada jalan Allah SWT tanpa putus-putus".
Kita perlu mencermati dan menekuni pesanan-pesanan nabi SAW bahawa ibadat yang berbaur kejahilan tidaklah begitu bererti jika dibandingkan dengan ibadat yang diiringi ilmu yang mendalam.
Malah, si faqih lebih mulia dan tinggi darjatnya berbanding si alim mengikut pandangan Al-Qaradhawi. Ini kerana si alim melihat dengan mata sedangkan faqih melihat dengan mata dan hati. Pandangan mereka lebih jauh menjangkau ke dalam berbanding si alim yang hanya gah luaran tetapi kotor dalamannya.
Saya bermaksud di sini, orang alim yang hatinya busuk, yang dikatakan tergolong dalam tiga golongan awal masuk ke dalam neraka bersama mujahid yang mencari nama dan pembaca al-Quran yang mencari gelar mulia. Alim sebegini hanya mencari nama agar mereka dapat setanding dengan para ulama' dan dapat memperlekehkan sang juhala'.
Maka, jika dikatakan alim pun boleh terjerumus ke dalam kancah kehinaan dan lumpur-lumpur kekotoran lantaran terpengaruh dengan kehendak nafsu yang menelan, maka apatah lagi sang abid yang dicelarukan dengan kurangnya ilmu dan kefahaman. Justeru, Umar Abdul Aziz tegas menyatakan amalan bertambun tanpa kefahaman lebih banyak merosakkan berbanding mengelokkan.
Ramadhan sepatutnya dijadikan sebagai training ground kepada kita untuk merealisasikan jihad dalam Medan yang serenar. Tidak boleh dijadikan keletihan dan kelaparan sebagai satu sebab menolak perjuangan malah tidak boleh dijadikan alasan bulan Ibadan untuk memperlahankan gerak kerja. Telah saya jelaskan, zaman yang kucar-kacir ini menuntut mujahid yang abid bukannya abid yang mujahid. Sekarang merupakan era yang berbeza sama sekali dengan zaman al-Syafei yang boleh menumpukan sepenuhnya kepada ibadah dan menekuni bacaan al-Quran.
Saya tidak pernah berniat untuk menterjemahkan kematian saya dalam keadaan saya bersujud dalam tahajjud tidak. Saya tidak berdoa sama sekali untuk meninggalkan dunia yang fana ini dalam keadaan saya sakit yang membawa lepada maut.
Malah, bagi saya, doa yang saya pinta dan pohon adalah kematin dalam bentuk perjuangan mati syahid dalam menggapai redha Allah SWT. Ramadhan bagi saya memang bulan khusus buat umat Muhammad tetapi tidak pernah saya nafikan bulan lain juga sebagai bulan ibadat. Tidak pernah saya terfikir ingin terlalu mencari lailatul qadr sehingga mengetepikan kekuatan malam-malam yang lain. Benar, Ramadhan sangat mulia. Benar, lailatul qadr sangat mulia. Namur kemuliaannya tidak pernah membuatkan saya hanya memperbanyakkan amal ibadat sehingga peringkat maksimum kemudiannya terus longlai di hari yang lain.
Sya'ir Abdullah bin al-Mubarak lepada Fudhail bin 'Iyad: Betapa debu-debu yang terlekat di kaki kuda perangku, lebih mulia berbandng dengan tangisanmu yang takutkan Allah tetap menjadi slogan dan pemicu kepada kita.
Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan, mudah-mudahan Ramadhan tahun ini akan memberikan 1001 rahmat kepada kita semua. Juga, Selamat Datang Wahai Bulan yang kami nanti-nantikan. Kami akan menyambut dan mendakapmu dengan penuh keikhlasan dan api kerinduan. Wahai Tuhan, hantarlah tentera-tentera Malaikat yang pernah membantu di Badr al-Kubra di bulan mulia ini upaya dengan itu dapatlah kami memenangkan agamamu meskipun jira kami bakal terkorban sekalipun.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ Ramadhan ~ ::_Batalkah?_::

Ulama terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.
Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai. Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang tidak memerlukan perhatian begitu mendalam.
Masalah ini dilihat semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah ini dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat cabang (furu') dan terlampau banyak. Ia menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa ini. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh - Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)

Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah :-

1)
Raih Taqwa : Firman Allah yang mengarahkan kita berusaha meraih taqwa di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.
2)
Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran : Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.
3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang 'Confirmed'
: Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.
4) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang 'Confirmed'
: Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.
Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja. Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah. Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.

Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.

Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan. Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-

1) Darah keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.

Hukumnya
: Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah di pinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)
2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.

Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Hukumnya
: Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.
3) Pil elak haid untuk puasa penuh :

Hukumnya
: Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa.
4) Penyembur gas untuk pesakit lelah :

Hukumnya
: Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Tidak dinafikan ia satu isu yang amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.
Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Juali 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang.

Bagaimanapun para ulama masih bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat kerana Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)

5)
Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:
Hukumnya :
Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercangah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).

Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.

6)
Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.
Hukumnya :
Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa dalah lebih baik.
Ia berdasarkan hadith : "Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).

7)
Melakukan Maksiat seperti tidak solat :
Hukumnya
: Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramdhan. Pahala puasanya pula akan terhapus Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)
8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa

Hukumnya
: Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.
Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-

كان رسول اللَّهِ يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ

Ertinya : "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya" (Riwayat Abu Daud, 2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)

Dan satu lagi adalah : -

فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام

Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-

"aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)
Al-Qaradawi pula menambah "berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya " (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )
Kesimpulannya
, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari ramadhan.
9) Wanita tamat haid

Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.
Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)
Dalilnya adalah :-

من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له

Ertinya : "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya" ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )
10) Keluar air mazi

Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?
Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.
Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.
11) Keluar air mani tanpa setubuh

Mencium dan menyentuh sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.
Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)
Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.
Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.
Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.
12) Menelan air liur

Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159)
13 ) Mandi

Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh. Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa.

14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu
.
Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.
Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Quddamah menolak pandagan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)
Sekian,

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ Ramadhan ~ ::_Ramadhan & Kemerdekaan_::

Kemerdekaan adalah hak setiap bangsa di dunia. Oleh itu penjajahan mestilah dihapuskan daripada muka bumi seperti deklarasi Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) setengah abad lalu. Maka menjadi kewajipan bangsa itu sendiri untuk memerdekakan diri daripada sebarang bentuk penjajahan dan mempertahankanya serta mengisinya dengan program yang sesuai dengan matlamat berbangsa dan negara masing-masing.
Ramadan adalah simbol perjuangan membebaskan diri seorang Muslim daripada belenggu penjajahan musuh ketatnya iaitu syaitan yang dilaknati Allah SWT. Kejayaan seorang muslim boleh dilihat daripada cara dia mengendalikan perjuangan berpuasanya sama ada secara optimum mahupun minimum. Ramadan dijadikan barometer kejayaan atau keberhasilan dengan pengertian terhapus dosa tahunan seperti solat Jumaat untuk mingguan dan solat lima waktu untuk harian. Rasulullah bersabda maksudnya: "Solat lima waktu, dan solat Jumaat ke solat Jumaat berikutnya, dan Ramadan ke Ramadan berikutnya adalah menjadi penebus dosa yang terjadi di antara waktu-waktu tadi, selama orang itu menjauhi dosa-dosa besar." (Hadis riwayat Muslim)
Daripada 12 bulan ditetapkan Allah untuk pengiraan perjalanan manusia dalam setahun di dunia (baca Surah at-Taubah: 36), Ramadan mempunyai kelebihan tersendiri. Kelebihan ini disebut al-Quran dalam ayatnya bermaksud: "(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah." (Surah al-Baqarah: 185)
Tujuan berpuasa Ramadan seperti termaktub dalam ayat 183 Surah al-Baqarah adalah maksudnya: "Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa."
Banyak batasan agama yang wajib dipatuhi setiap orang berpuasa supaya puasanya bermanfaat bagi dirinya di dunia dan di akhirat. Antara batasannya seperti disabdakan Baginda maksudnya: "Barang siapa yang tidak meninggalkan cakap dusta (batil) dan perbuatannya, maka Allah tidak berhajat padanya dalam meninggalkan makan minumnya." (Hadis riwayat Muslim) Dalam hadis lain maksudnya: "Bukan dinamakan puasa bila hanya sekadar menahan makan dan minum, tetapi puasa yang sungguh-sungguh itu adalah menahan diri daripada percakapan yang tidak ada gunanya dan kata-kata yang keji." (Hadis riwayat Muslim)
Di samping memelihara kewajipan lahiriah seperti tidak makan dan minum, orang yang berpuasa juga mesti memelihara kewajipan batiniah supaya puasanya sempurna. Imam al-Ghazali (w. 505H) menggariskan kewajipan batiniah puasa itu antaranya: Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara tercela dan dibenci agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah SWT; memelihara lidah daripada bercakap kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata riak; memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan; memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan yang syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.
Orang yang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana, kemudian dia menghancurkan sebuah kota (kerana dalam kota ada istana itu); janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas paling dibenci Allah SWT daripada perut yang penuh dengan makanan halal; dan hendaklah hati berasa bimbang antara takut dan harapan, kerana tiadalah diketahui apakah amalan puasa itu diterima Allah SWT, sehingga seseorang itu digolongkan ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak, maka terhitung dia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada rahmat Allah SWT. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah SWT.
Oleh itu apabila puasa itu dapat dilaksanakan dengan sempurna menurut syarat zahir dan batinnya, iaitu bukan hanya berpuasa dengan menahan perut dan syahwatnya serta mengekang pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki juga seluruh anggota, bahkan menahan dirinya daripada melakukan perkara yang membawa dosa, ditambah lagi bahawa hatinya berpuasa daripada perkara yang memesongkan perhatiannya selain Allah SWT, maka orang yang berpuasa sedemikian akan mudah mencapai martabat orang yang taqwa seperti matlamat puasa itu sendiri.
Kewajipan puasa ini bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum atau perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari, bahkan hendaklah juga menahan anggota badan daripada melakukan perkara yang boleh membawa dosa, kerana dosa itu boleh melupuskan matlamat puasa. Baginda telah memberi peringatan dalam hal ini seperti sabdanya bermaksud: "Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapat sesuatu daripada puasanya selain lapar dan dahaga." (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Sabda Baginda lagi maksudnya:
"Dia (Ramadan) ialah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran itu ialah masuk syurga." (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah)
Selepas huraian di atas, dalam konteks meramadankan kemerdekaan maka diperlukan merenung semula matlamat pengisian kemerdekaan adakah ia untuk mensejahterakan diri atau bangsa? Dalam pengisian kemerdekaan itu adakah diperlukan batasan tertentu agar tidak terseleweng sehingga merugikan bangsa seperti ruginya orang berpuasa yang tidak menghiraukan batasannya?
Pengisian kemerdekaan tidak cukup hanya mengambil kira pembangunan fizikal, tetapi ia mestilah diseimbangkan dengan pembangunan spiritual seperti kewajipan memelihara amal lahiriah dan batiniah dalam berpuasa.
Bangsa yang tidak menyedari dan memahami erti kemerdekaan akan mensia-siakan nikmat kemerdekaan itu sehingga dia tidak akan merasai kenikmatannya seperti orang yang berpuasa, tapi tidak mendapat ganjarannya selain lapar dan dahaga.
Selain itu, pentingnya adalah refleksi kesabaran dalam berpuasa pada pengisian kemerdekaan kerana dalam pengisian itu kesabaran sangat mustahak agar kita akan selalu mendapat belas kasih Allah dan petunjuk-Nya. Bersabar dalam menikmati kemerdekaan ketika membangun, membina, memelihara dan memajukan hasil jerih payah semua pihak. Bersabar dalam berbuat kebajikan, bersabar menerima dugaan, dan bersabar untuk tidak melakukan perbuatan yang akan merobohkan kemerdekaan.
Seperti dimaklumi, maksud puasa itu adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah SWT. Tetapi jika hanya sekadar mengekang perut pada siang hari hingga ke masa berbuka, lalu membiarkan syahwat melonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan pula dengan pelbagai makanan lazat, sehingga perut kekenyangan, tentulah perut akan bertambah keinginannya kepada makanan itu. Malah akan timbul daripada syahwat pula keinginan yang baru, yang kalau tidak dibuang, mungkin ia tetap pada kebiasaannya. Semua ini bertentangan dengan maksud dan tujuan puasa yang sebenarnya.
Oleh itu, dalam konteks memerdekakan Ramadan agar ia tidak terbelenggu dalam jajahan adat kebiasaan seorang muslim, maka sudah sepatutnya orang yang berpuasa menyedari puasanya mesti lillahi ta'ala. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan dan menunaikan ibadah puasa.
INTI PATI
Ramadan & Merdeka
# Ramadan adalah simbol perjuangan membebaskan diri seorang muslim daripada belenggu penjajahan musuh ketatnya iaitu syaitan yang dilaknati Allah SWT.
# Di samping memelihara kewajipan lahiriah seperti tidak makan dan minum, orang yang berpuasa juga mesti memelihara kewajipan batiniah supaya puasanya sempurna
# Pengisian kemerdekaan tidak cukup hanya mengambil kira pembangunan fizikal, tetapi ia mestilah diseimbangkan dengan pembangunan spiritual seperti kewajipan memelihara amal lahiriah dan batiniah dalam berpuasa.
# Bangsa yang tidak menyedari dan memahami erti kemerdekaan akan mensia-siakan nikmat kemerdekaan itu sehingga dia tidak akan merasai kenikmatannya seperti orang yang berpuasa, tapi tidak mendapat ganjarannya selain lapar dan dahaga.
# Umat perlu bersabar menjalani ibadah puasa serta menikmati kemerdekaan ketika membangun, membina, memelihara dan memajukan hasil jerih payah semua pihak. Bersabar dalam berbuat kebajikan, bersabar menerima dugaan, dan bersabar untuk tidak melakukan perbuatan yang akan merobohkan kemerdekaan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS