~ aRtiKaL RaYa ~ ::_TaKbiR & TaHmiD MeSiN BaSuH DiRi DaRiPada SiFat KeJi::
Umat Islam mestilah menyambut Aidilfitri dengan penuh bermakna melakukan perkara kebaikan dan meninggalkan perkara mungkar.Pada malam hari raya kita disunatkan membanyakkan amalan berzikir.
Takbir raya eloklah dilakukan di mana saja dan pada sebarang waktu, sama ada selepas sembahyang fardu, ketika menziarahi saudara-mara, menerima tetamu dan sebagainya.
Kita disuruh bertakbir bagi memuji, mengagungkan dan bersyukur ke hadrat Allah kerana mengekalkan kita di atas jalan petunjuknya, berada di dalam nikmat iman dan berjaya melaksanakan perintah puasa.
Lafaz takbir mengandungi pengertian yang sangat penting dalam menyucikan hati daripada sifat keji, terutama syirik, bongkak dan sombong.Umat Islam disunatkan terus bertakbir bermula selepas Maghrib menjelang malam hari raya pertama hingga imam selesai membaca khutbah selepas solat sunat hari raya keesokannya.Amalan dan nilai murni menyambut hari raya seperti ini wajar dikekalkan.
Daripada Abu Umamah daripada Rasulullah SAW sabdanya: “Sekiranya mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang yang kufur ingkar) pada hari itu.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Sembahyang sunat hari raya disyariatkan selepas hijrah. Dalam hal ini Anas bin Malik berkata; Rasulullah SAW datang ke Madinah ketika itu penduduk Madinah mempunyai dua hari besar yang sentiasa mereka rayakan.Lantaran itu Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT menggantikan dua hari itu dengan yang lebih baik bagi kamu, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Nassa’ei dan Al-Baihaqi)
Allah berfirman yang maksudnya: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah: 185)
Aidilfitri adalah hari meraikan kejayaan bagi orang yang melaksanakan ibadah yang dituntut pada Ramadan iaitu ibadah puasa.Sejarah hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya disambut oleh bangsa Arab pada masa itu.Apabila Rasulullah SAW bertanya kepada mereka apakah dua hari raya itu, mereka segera menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan diwarisi turun-temurun.
Lalu Baginda menyatakan kepada orang Arab Madinah bahawa Islam menggantikan dua hari raya yang mereka raikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu Hari Raya Korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri.
Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat.Syawal hendaklah disambut dengan penuh kesyukuran oleh umat Islam kerana berjaya menunaikan ibadat puasa sebulan Ramadan.
INFO: Amalan dianjurkan pada Aidilfitri
  • Memperbanyakkan takbir dan tahmid kepada Allah.
  • Memperbanyakkan amalan sunat pada malam hari raya.
  • Memastikan penyempurnaan zakat fitrah bagi diri dan ahli keluarga.
  • Mengelakkan pembaziran ketika menyambut hari raya dengan persiapan yang sederhana.
  • Mandi sunat pagi hari raya.
  • Memakai pakaian baru dan bersih sebagai menzahirkan tanda kesyukuran.
  • Memakai wangi-wangian pada pagi hari raya.
  • Memohon keampunan dan bermaaf-maafan dengan ibu bapa, suami, isteri dan anak-anak.
  • Makan sedikit sebelum ke masjid dan mengambil laluan yang berbeza untuk pergi dan balik.
  • Solat sunat hari raya dan mendengar khutbah dengan penuh penghayatan.
  • Ziarah-menziarahi kaum keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga.
  • Tidak lupa bersedekah kepada mereka yang memerlukan.
  • Mengelakkan sambutan hari raya daripada perkara yang ditegah oleh syarak.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: