~ aRtiKal ~ ::_BaLa daN keaLpaaN muKmin_::

Allah ini suka menguji. Orang miskin pun Dia datangkan bala. Orang kaya pun Dia datangkan bala. Negeri dan negara pun sama. Orang baik pun kena. Orang jahat pun kena.

Sebelum kita membicarakan persoalan bala dan ujian dengan lebih lanjut, mari kita sama-sama teliti terlebih dahulu pengertian Ayat Allah SWT seperti di bawah:

“Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” - (Surah Al-Anbiya: 35)

Ertinya di sini, apa saja yang buruk atau baik adalah bala dan ujian yang datang ditentukan oleh Allah SWT.

Malang sedikit, dalam kamus kehidupan orang Melayu, bala cuma dirujuk kepada kesusahan. Sebut saja bala, ia hanya dikaitkan dengan malapetaka dan musibah. Mari kita lihat apa yang disebut di dalam buku-buku kamus Melayu.

Bala bermakna kejadian buruk yang menimpa diri seseorang (seperti kemalangan dan sebagainya) atau sesuatu tempat (seperti gempa bumi, banjir besar, kemarau dan sebagainya), bencana, malapetaka. ? di petik dari Kamus Dewan Edisi Keempat muka surat 113.

Dari segi Islam, bala ini bererti ujian, bukan kemusnahan. Ia satu tajuk besar. Dalam rezeki yang semakin bertambah dan pangkat yang semakin naik pun ada bala dan ujian.

Dalam kaya, miskin, sakit, sembuh, berjaya atau gagal dalam peperiksaan - semuanya adalah ujian. Ia bertujuan untuk menguji keimanan dan kesabaran seseorang. Tahap ilmu dan istiqamah seseorang itu boleh diukur melalui pelbagai sikapnya ketika diuji oleh bala Allah SWT.

Bagi orang kaya, bala kekayaan itu disusuli dengan membayar hutang atau mengeluarkan zakat ataupun tidak. Bagi orang miskin, bala kemiskinan itu akan menyebabkan dia mencuri atau merompak ataupun tidak?

Untuk memperkayakan dimensi kefahaman kita mengenai bala, mari kita renung erti bala atau lebih tepat, ujian seperti yang dipandu oleh Al-Quran dalam ayat-ayat yang lain:

i) Orang kaya diturunkan bala (diuji) dengan orang miskin:

“Dan demikianlah telah Kami uji sebahagian mereka (orang-orang yang kaya) dengan sebahagian mereka (orang-orang miskin), supaya (orang-orang yang kaya itu) berkata: “Orang-orang semacam inikah di antara kita yang diberi anugerah oleh Allah kepada mereka?” (Allah berfirman): “Tidakkah Allah lebih mengetahui tentang orang-orang yang bersyukur (kepadaNya)?” - (Surah Al An’am: 53)

ii) Bala (diuji) bagi orang yang ingin masuk Syurga:

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: ‘Bilakah datangnya pertolongan Allah?’ Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” - (Surah Al Baqarah: 214)

iii) Kaya dan miskin sebagai bala yakni ujian:

“Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata: ‘Tuhanku telah memuliakanku.’ Adapun bila Tuhannya mengujinya dengan cara membatasi rezekinya maka dia berkata: ‘Tuhanku menghinakanku.’ Sesekali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim. (ertinya kalah dalam ujian).” - (Surah Al Fajr: 15?17)

Dari beberapa petikan Ayat Al-Quran seperti di atas, Insya Allah, kita akan menjadi semakin jelas hakikat bala yang sebenarnya. Ia lebih bersifat ujian.

Bagi si kaya, bagaimana dia boleh menangani bala apabila rezeki perniagaannya semakin melimpah. Benar-benar sedarkah dia bahawa dia sedang diuji oleh Allah SWT. Bagi si miskin, bagaimana dia dapat sabar menangani bala apabila dia diuji dengan keadaan hidup semakin sempit. Atau bagaimana pula keadaannya apabila si kaya tadi ditimpa bala (yakni ujian sebenarnya) apabila dengan tiba-tiba misalnya perniagaannya tiba-tiba jatuh bankrap?

Begitu juga dengan kemelesetan ekonomi dunia yang sedang melanda semua negara kini. Saham jatuh. Inflasi melambung. Nilai mata wang merudum. Dengan tiba-tiba pula pengeluaran makanan berkurangan. Harga bahan api yang tidak menentu. Kepanasan global dan krisis moral yang cukup kritikal. Ini semua bala yang menguji keimanan dan kesabaran.

Inilah yang saya selalu tekankan tentang kepentingan takwa. Ia satu jenis brek yang dapat mewaraskan setiap manusia. Baik dicuba dalam waktu aman atau krisis, orang beriman yang sentiasa dipupuk oleh kesedaran takwa akan sentiasa yakin bahawa dalam keadaan miskin dia tidak akan menipu, mencuri atau merompak.

Atau dalam keadaan yang (katakan) dia menjadi kaya, dia juga akan mengeluarkan zakat, membantu orang miskin, menubuhkan tabung-tabung dan yayasan-yayasan kebajikan segera. Orang yang memiliki takwa tidak akan terganggu dengan bala yang ditakdirkan ke atas diri dan keluarganya.

Bagi sesebuah negara pula, selain dari bersabar dan memahami punca dan fenomena bala, negara itu sendiri perlu menjalani proses muhasabah. Muhasabah boleh jadi wajar dimulakan dengan pertanyaan-pertanyaan ringkas seperti berikut:

i) Tidak ada kena mengenakah negara ini dengan Allah SWT, selaku Tuhan yang menjadikan dan memiliki kerajaan langit dan bumi? Mustahil kita semua ini tidak ada kena-mengena dengan Allah SWT.

ii) Benarkah amalan negara ini yang memisah agama dari pemerintahan? Bila negara membuang agama dari pemerintahan, maka Islam yang telah dibuang itu mahu diganti dengan apa? Dengan isme ciptaan manusia? Dengan nafsu? Dengan agama lain?

iii) Tidakkah segala nikmat di atas langit yang diturunkan, disediakan di atas, di permukaan bumi dan di dalam perut bumi itu adalah dari anugerah Allah SWT?

iv) Tidakkah Dia yang mampu memberi akan juga turut mampu mengehad, menyekat atau merampasnya?

v) Apakah sekadar ikhtiar berupa meminjam duit KWSP untuk disuntik ke dalam pasaran saham dan hal-hal yang seumpamanya sahaja yang perlu dilakukan?

Jika saya menyebut tentang takwa sebagai ‘brek’ di peringkat individu, maka takwa jugalah jawapannya untuk negara. Di atas nama takwa, negara harus elakkan kerja-kerja membazirkan wang rakyat kerana membazir itu “saudara kepada syaitan”.

Hentikan salah guna wang rakyat. Lepaskan tahanan-tahanan yang dizalimi di bawah ISA. Hentikan serta merta amalan rasuah, tumbuk rusuk, dan pemberian tender yang tidak didasarkan kepada merit.

Beri tempat yang sewajarnya kepada hukum dan peraturan Allah SWT. Perbanyakkan majlis-majlis yang menyuburkan maaruf, majlis-majlis ilmu, tazkirah dan tazkiyah. Jangan ditaja kerja-kerja mungkar.

Yakinlah kepada kandungan ayat al-Quran yang bermaksud: “Sebanyak mana benda halal, semuanya akan mendatangkan guna kepada manusia. (Sebaliknya) tiap-tiap benda haram, ia akan memudaratkan manusia”.

Inilah saja jalan penyelesaian yang boleh mengeluarkan individu atau negara daripada kegelapan kejahilan. Jika tidak, bala akan hanya menjadi kita semakin hanyut.

Tanpa mengambil iktibar dari panduan ayat-ayat Allah, kita dikhuatiri menjadi kebingungan. Lebih malang apabila kita tidak dapat memanfaatkan ujian dan bala daripada Allah itu secara orang yang berfikir.

Ini mungkin “kerana sesungguhnya, bukanlah mata itu buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada”. - (Surah Al-Hajj: 46)

Akhirnya orang yang malang ini akan terperangkap dalam penyakit “penafian” (denial syndrome). Setiap yang dilakukan oleh orang lain akan dipandang sebagai tidak betul. Nau’zubillah minta dijauhkan Allah.- tajdid

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: