~ ArTiKaL ~ ::_SeKaTaN TaZkirah???_::
Isunya bukan baru, sudah bertahun-tahun diperkatakan bila saja tiba Ramadan, soal tazkirah yang tidak dibenarkan sewaktu solat tarawikh di semua masjid dan surau, dan kini peraturan songsang itu seolah-olah sudah diterima umum, menandakan termaktublah budaya anti-ilmu.
Bantahan pun tidak sekeras dulu. Akhirnya masyarakat mungkin tidak ambil pusing lagi dengan sekatan tazkirah itu, dan ia diterima tanpa soal. Lagi pun, seperti kata anggota Exco Agama Selangor, Abdul Rahman Palil, 24 September lalu: "Tazkirah ini, bila-bila masa pun boleh diadakan, tak perlu tunggu bulan Ramadan."
Tidak ada kena-mengena?
"Apa yang penting pada bulan Ramadan," tambah 'tokguru' baru ini, "ialah meningkatkan amalan melalui cara bersolat tarawih, sembahyang sunat witir dan bertadarus al-Quran dan bukannya diselang seli dengan perkara yang tidak kena-mengena dengan ibadah khusus ini."
Kerajaan Selangor (selalunya di negeri inilah banyak peraturan karut-marut digubal, ingat kes bekas muftinya, Dato' Ishak Baharom dipecat dan terkini Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria pun tidak dibenarkan memberikan kuliah dan ceramah di negeri ini) juga menetapkan solat tarawih diadakan 20 rakaat.
Tujuannya, seperti kata Abdul Rahman Palil, untuk mengelak pihak-pihak tidak bertanggungjawab menyusun aktiviti tazkirah sekiranya solat tarawih dilakukan lapan rakaat.
Selain mengelak pihak berkepentingan politik menganjurkan tazkirah, tambahnya, kerajaan Selangor juga khuatir ada pihak akan menggunakan pentas tersebut untuk menyebarkan ajaran sesat (sampai begitu sekali!)
Wirid lama penguasa anti-ilmu
Cuba rujuk laporan berita lima tahun lalu, bertarikh 29 Oktober 2001. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato' Abdul Hamid Zainal Abidin berkata, Jakim meminta semua Jabatan Agama Islam negeri tidak membenarkan tazkirah diadakan sewaktu sembahyang sunat tarawih sepanjang Ramadan.
"Ia bagi mengelak penyalahgunaan pentas tazkirah bagi kepentingan politik. ... jangan diselang seli dengan perkara yang tidak kena-mengena dengan ibadah khusus itu," ujar Abdul Hamid, seperti dipetik laporan Utusan Malaysia. Bagai ada pengulangan kenyataan Abdul Rahman dengan Abdul Hamid.
Larangan tazkirah ini merupakan salah satu tindakan bersepadu Umno untuk menyekat pengaruh PAS susulan peningkatan mendadak prestasi PAS bersama Barisan Alternatif pada pilihan raya umum 1999. Bukan saja PAS mempertahankan Kelantan tapi berjaya menguasai Terengganu dan melakukan kejutan besar di Kedah, Pahang dan juga Selangor.

Bermotif politik menyekat pengaruh PAS
Sekatan tazkirah sememangnya satu pendekatan bermotif politik yang cukup ketara bagi memulihkan kembali kedudukan Umno sebagai parti Melayu terbesar. Selain itu, pemerintah mengambil tindakan keras melarang semua bentuk ceramah-ceramah umum, memantau mimbar-mimbar masjid dan kuliah-kuliah agama. Pihak polis dikerah semahunya untuk menjayakan hasrat Umno itu.
Sebelumnya, KDN bertindak nekad mengurangkan kekerapan Harakah daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan - sekali gus membunuh terus fungsi lidah rasmi PAS itu sebagai sebuah akhbar alternatif - serta mengharamkan akhbar mingguan Eksklusif dan majalah dwi-bulanan, Detik, dan kemudiannya majalah bulanan remaja, Al-Wasilah.
Kali ini saya cuba untuk tidak melihat isu larangan tazkirah ini daripada perspektif politik. Ya, di bulan penuh keberkatan ini, saya cuba mendisiplinkan diri tidak menuding jari(!) kepada pemerintah, apatah lagi Perdana Menteri kita begitu prihatin dengan projek Islam Hadharinya(!).
Peluang terbaik menyemai budaya ilmu
Cuba kita lihat kepada peluang dan kesempatan terbaik untuk berdakwah, saling ingat-mengingati, menyemai ilmu dan kecintaan untuk menghayati tuntutan agama kepada jamaah tarawih yang begitu ramai, sebahagian besarnya jarang mengunjungi surau atau masjid, terutama membabitkan anak-anak remaja dan golongan belia.
Rasanya ramai tidak bersetuju jika hanya ditekankan golongan belia remaja sedangkan majoriti umat Islam keseluruhannya renggang daripada masjid dan surau. Semua sibuk mengejar kehidupan dan memenuhi tanggungjawab mencari rezki sehingga dibimbangi akar ikatan mereka dengan Islam semakin longgar. Sepanjang Ramadan masing-masing akan berada di rumah sebelum maghrib dan peluang ke surau dan masjid lebih terbuka.
Biarpun Islam Hadhari dicanangkan, tidak pula kita nampak satu program menyeluruh mendekatkan umat Islam kepada agamanya - malah, diletakkan sekatan pula - dan kesempatan Ramadan adalah yang terbaik kerana ia secara luarbiasa mendorong jamaah memenuhi surau dan masjid, terutama di bandar-bandar, dan biasanya seseorang Muslim lebih mudah untuk mendekati agama di bulan puasa.
Kita sendiri boleh perhatikan kehadiran mereka yang melimpah-ruah, terutama di malam-malam awal Ramadan. Lalu, mengapa audien baru ini dipersia-siakan begitu saja, khususnya untuk menanamkan kesedaran berilmu? Dan apa yang disebut program tazkirah itu adalah medium paling sesuai menjinakkan hati anak-anak kita kepada Islam, melazimkan mereka dengan majlis ilmu dan menikmati tuntutan ibadah.
Mengapa dibakar kelambu
Okey, jika benar pengalaman lampau menunjukkan ia (mungkin satu dua kes terpencil) disalahguna untuk kepentingan politik, maka sukar sangatkah untuk dicari jalan keluar, asalkan kesempatan berharga itu dapat dimanfaatkan? Marahkan nyamuk mengapa mahu dibakar kelambu? Jika ada bibit keikhlasan di kalangan penguasa, tentu akan terbuka seribu satu lorong ke arah kebaikan.
Bukankah selama ini pun, kerajaan Selangor misalnya, memastikan hanya pendakwah bertauliah dibenarkan memberi kuliah agama, kalaupun benar penguasa bimbang disebarkan ajaran sesat melalui tazkirah, walhal hujah ini langsung tidak masuk akal. Ajaran sesat jarang dikembangkan melalui pentas terbuka seperti majlis tazkirah!
Ada yang bertanya, apakah bilangan ustaz bertauliah ini mencukupi untuk memenuhi permintaan yang tentunya begitu tinggi ketika Ramadan? Tidak kurang yang mencelah, mampukah ustaz-ustaz berkenaan menyampaikan tazkirah dengan baik dan berkesan, serta mampu memikat perhatian jamaah? Hanya bicara yang datang daripada hati akan tumpah ke hati, dan mendatangkan kesan positif.
Hanya yang bertauliah... okeylah
Apabila saya mahu mencari formula terbaik supaya tazkirah diteruskan maka saya tidak perlu membantah jika ada syarat pendakwah atau imam mesti mendapat tauliah daripada jabatan agama. Tapi, jangan pula mereka yang sememangnya diakui umum sebagai tokoh berwibawa tidak diberi tauliah hanya kerana dilihat tidak bersedia mengaminkan semua titah pemerintah.
Isu kedua, syarat majlis tazkirah itu diadakan selepas selesai solat tarawih 20 rakaat adalah tidak munasabah. Tinjauan rambang menunjukkan lebih kurang 20 peratus sahaja jamaah yang "masih bertahan" selepas selesai tarawih lapan rakaat. Maknanya, tazkirah harus dilangsungkan dalam "waktu rehat", sama ada selepas empat rakaat untuk jamaah lapan rakaat, atau selepas lapan rakaat untuk jamaah 20 rakaat.
Apabila kita merancang sesuatu program sudah tentu kita mahu mendapat kesan terbaik, bukan umpama melepas batuk di tangga. Anak-anak muda khususnya perlu dilembutkan hati mereka, dipermudahkan agar jangan terasa membebankan jika beribadah. Jika mereka menjadi target tazkirah, tidak masuk akal kita mahu memulakan program ilmu itu selepas mereka bersurai. Justeru, waktu senggang selepas solat lapan rakaat tarawih adalah yang paling sesuai untuk tazkirah. Lagi pun masa untuknya hanya sekitar maksimum 10 minit.
Ramadan kem intensif penyelesaian masalah umat
Dalam suasana semua pihak bimbang dengan pelbagai gejala negatif melanda anak-anak kita, Ramadan sewajarnya boleh berperanan sebagai kem latihan intensif untuk menyuntik ruh agama ke dalam jiwa mereka. Ya, jamaah yang berduyun-duyun ini pasti tidak merungut, malah mengalu-alukannya, jika penyampaian tazkirah dilakukan sebaik mungkin. Dahulu, zaman Tun Hussein Onn, rasanya pernah dilancarkan "bulan dakwah" dan tidak salahnya kalau ia dihidupkan semula, dan Ramadan mungkin sesuai.
Apa pun, harus diingat, penyelesaian kepada kemelut gejala sosial harus berdasarkan asas yang kukuh dan menyeluruh sifatnya. Kerajaan mesti dilihat ikhlas dan benar-benar prihatin dengan konflik yang kian parah ini. Jangan hanya bijak bersilat retorik sedangkan amalannya menambah luka.
Budaya ilmu melalui tazkirah Ramadan mungkin satu pendekatan yang boleh dikembangkan di seluruh negara serta mendapat galakan dan peruntukan kerajaan. Langkah stesen tv kerajaan dan swasta menyelitkan tazkirah Ramadan dalam program berita jam lapan malam wajar diperkukuhkan lagi, sambil memastikan slot selepas itu tidak dicemari program anti-tazkirah pula.
Banyak pihak pastinya sinis dengan cadangan itu. Umno hanya pentingkan kuasa, kata mereka, dan pengekalan kuasa Umno bersandar mantap kepada kejahilan umat Melayu terhadap tuntutan agama; jika tersingkap dinding pemisah itu maka sokongan kepadanya berderai luruh.
Saya kira itu hanya anggapan yang belum pasti tepat. Benar, setiap parti sentiasa berwaspada dengan apa jua elemen - biarpun nampak kecil - yang boleh menjejaskan sokongan, namun proses pengilmuan seperti tazkirah Ramadan boleh memberi manfaat untuk semua, apa lagi sang penguasa yang mencetuskan langkah itu.
Sesekali cubalah berfikir dan bertindak sebagai pemimpin kerajaan yang baik, bukannya dibatasi belenggu cara berfikir dan bertindak pemimpin parti berkuasa, tidak kira Umno mahupun PAS (di Kelantan).
Bukan cuti raya tapi cuti akhir Ramadan
Selain maslahat umat yang lebih besar yang harus diangkat dan ditangani bersama, hal-hal yang dibincangkan dalam tazkirah itu tidak akan terperosok ke dalam perangkap kepolitikan yang sempit. Kita harus berani keluar daripada kepompong lama, antara hitam dan putih, PAS dan Umno, pemerintah dan pembangkang; di luar sana banyak isu-isu yang memerlukan penggemblengan secara bersepadu.
Dalam pada itu, saya teringat cadangan saya di Harakah hampir 20 tahun lalu, agar cuti panjang yang lazim kita gunakan selepas Aidilfitri diawalkan menjadi cuti panjang 10 hari-hari akhir Ramadan. Namun begitu, pencadangnya sendiri pun belum mampu melakukannya, terutama dalam konteks memanfaatkan sebaik mungkin tempoh penuh keberkatan itu untuk beribadah!
Oleh Ahmad Lutfi Othman

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: