~ aRtiKaL ~ ::_Muslimah Hari Esok -@ Epilog 1 @-_: :
MUSLIMAH HARI INI : ANTARA DUA IDEOLOGI YANG TERPESONG
Mengapa saya memilih tajuk “Muslimah Hari Esok”? Kerana muslimah hari ini tidak berperwatakan yang sewajarnya. Saya melihat keadaan ini dari konteksnya yang umum walaupun di sana, Alhamdulillah masih terdapat golongan muslimah yang patuh, beriman, taat, sentiasa bertaubat dan kuat beribadat.
Namun arah pemikiran yang terdapat di Negara kita berada di antara dua ideology yang berbeza:- Pertama; ideologi yang cenderung kea rah mengongkong dan menyekat kebebasan wanita Islam. Kedua; ideology yang keterlaluan dalam membuka pintu kebebasan terhadap wanita sehingga menghalalkan segala tindakan mereka, mengadaptasikan budaya barat lantas terus tenggelam dalam arus taklid dan ikutan membabi buta. Jelasnya, kedua-dua fahaman ini adalah silap.
Fahaman-fahaman ini wujud dalam kehidupan seharian kita. Ada yang terlalu melampau, dan dalam masa yang sama ada yang terlalu meremehkan. Di sana kita dapati ada di antara wanita yang di lamar tanpa dirinya dilihat terlebih dahulu oleh tunangnya, sebagaimana yang masih kekal diamalkan oleh sesetengah masyarakat. Sehingga tiba malam pengantin suami merasa kecewa apabila mendapati peribadi isteri tidak seperti yang digambarkan.
Inilah adalah satu golongan…
Adapun golongan yang lain, mereka dari kelompok masyarakat moden yang sewenang-wenangnya membenarkan seorang lelaki keluar dengan tunangnya, berdua-duaan dan berpegangan tangan ke taman-taman, panggung wayang dan tempat-tempat hiburan, menghabiskan masa bersama sehingga larut malam tanpa kawalan dan batasan.
Kedua-dua amalan ini antara yang terlalu ketat dan terlalu longgar, sama sekali tidak menepati ajaran Islam yang sebenar.

HAKIKAT YANG SIRNA
Islam mengharuskan wanita melihat bakal tunangnya, begitu juga halnya dengan pihak lelaki bahkan diperintahkan perkara tersebut kepadanya. Sebagaimana yang diriwayatkan bahawa seorang lelaki pernah memberitahu Nabi Muhammad s.a.w bahawa dia telah melamar seorang wanita, lalu baginda bertanya : “Sudahkah kamu melihatnya?”, dia menjawab : “tidak”, maka Rasullah s.a.w bersabda:-
Maksudnya : “Lihatlah kepadanya, sesungguhnya isteri lebih mengeratkan hubungan di antara kamu”
Ertinya, lebih membuahkan keserasian dan perfahaman di antara mereka. Perkara inilah yang melingkupi hubungan antara suami dan isteri. Pun begitu, terdapat suami yang mengabaikan isterinya dan menganggap keberadaannya di rumah seperti sampah yang terbuang, tidak dipandang apatah lagi di bawa berbincang, hinggakan di dalam urusan perkahwinan anak perempuan mereka sekali pun pendapatnya tidak diambil kira, sedangkan Nabi s.a.wpernah bersabda :-
Maksudnya : “ perintahkanlah isteri-isteri kamu dalam urusan anak-anak perempuan mereka”
Yakni terimalah pendapat seorang ibu dalam urusan anak perempuannya, kerana dia lebih arif dengan keadaan sebenar, berpengelaman dan mamahami rahsia serta naluri seorang wanita berbanding kamu wahai kaum lelaki! Oleh itu berbincanglah dengan mereka dalam urusan sebegini. Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah :-
Maksudnya : “Kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu Dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya).”
Namun begitu, masih terdapat suami yang tidak berunding dengan isterinya. Jika berlaku perundingan sekalipun, pandangan isteri tetap di tolak dan dipinggirkan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtiKaL ~ ::_Muslimah Hari Esok -@ Epilog 2 @-_: :
PERBINCANGAN BERSAMA WANITA
Amat menyedihkan apabila ada segelintir manusia berpegang dengan ungkapan : “Berundinglah dengan wanita dan abaikanlah keputusan rundingan tersebut”. Sedangkan ungkapan ini tidak pernah lahir daripada Nabi s.a.w kerana Allah s.w.t telah berfirman maksudnya “Dengan kerelaan dan permusyaratan antara keduanya”.
Maka, mana mungkin hadis Rasullah s.a.w datang bertentangan dengan al Quran Karim. Nabi Muhammad s.a.w sendiri berbincang dengan isterinya, Ummu Salamah selepas perjanjian Hudaibiyah, ketika para sahabat ingkar daripada mematuhi arahan baginda s.a.w supaya bercukur dan memotong rambut untuk bertahallul dari ihram umrah bagi membolehkan mereka pulang selepas termeterainya perjanjian tersebut.
Para sahabat merasa keberatan dengan arahan tersebut dan tidak ada seorang pun yang sanggup untuk melaksanakannya. Hal ini kerana para sahabat keluar ke Mekkah semata-mata dengan niat untuk menunaikan umrah dan ibadah-ibadah lain. Dalam keadaan tersebut, Nabi s.a.w mengadu kepada Ummu Salamah perihal para sahabat seraya berkata: “Binasalah manusia” kerana mengingkari perintah baginda s.a.w.
Maka Ummu Salamah berkata : “Wahai Rasullah, keluarlah tanpa berbicara dengan sesiapa pun dan suruhlah tukang cukur mencukur rambutmu di hadapan mereka, kemudian bertahalullah dari ihram. Jangan engkau lakukan selain dari itu. Lalu Nabi s.a.w keluar dan melaksanakan apa yang di sarankan oleh Ummu Salamah. Pada ketika itu, para sahabat seolah-olah baru terjaga dari lena dan berkata : “Adakah patut kita tidak mengerjakan apa yang dilaksanakan oleh Rasullah?!”
Maka mereka semua melakukannya hasil dari buah fikiran Ummu Salamah. Jelas terbukti, bahawa wanita berhak mengeluarkan pendapat dan pandangan.
TAKLID MEMBUTA TULI
Kebelakangan ini, kita sering mendapati golongan suami tidak mengendahkan isteri mereka dan tidak kurang juga sebaliknya, si suami menyerahkan sepenuhnya kuasa kepimpinan kepada isteri, menjadikan isteri sebagai ketua keluarga, sedangkan ianya tugas seorang lelaki. Dia menguruskan hal ehwal rumahtangga, sementara suami hanya duduk menggoyang kaki tanpa melakukan apa-apa.
Allah s.w.t tidak pernah menyatakan bahawa wanita adalah ketua bagi kaum lelaki sebaliknya berfirman di dalam al-Quran :-
Maksudnya ; “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”
Lelaki yang hanya tinggal di rumah tanpa melaksanakan tanggungjawab sepatutnya, dia bukanlah lelaki yang sebenarnya. Kesimpulannya, dapat kita lihat berlaku pengamalan dan keterlaluan, tidak kurang juga pengabaian dalam setiap perkara. Apa yang Islam kehendaki adalah amalan yang berada pada tahap pertengahan, dalam erti kata lain kesederhanaan sebagaimana yang dianjurkan Islam.
Bertitik tolak dari ini, kita inginkan masa depan muslimah yang sederhana dalam beramal, menunaikan tanggungjawab secara sempurna sebagaimana dia menuntut hak-haknya secara sempurna, bahkan sepatutnya dia melaksanakan kewajipannya terlebih dahulu sebelum dia menuntut haknya. Gaya pemikiran yang sedang menular pada masa kini ialah sikap menuntut hak dari orang lain sebelum menunaikan tanggungjawab diri. Mereka sering berkata : Apakah yang akan aku perolehi? Sebelum berkata : Apa yang harus aku lakukan?.
Wanita juga tidak ketinggalan menuntut pelbagai hak; hak untuk belajar, bekerja, mengundi malah hak untuk menjadi pimpinan tertinggi…sedang mereka tidak pernah bertanya : Apakah kewajipanku?.
Tabiat wanita hari ini sering menuntut hak sebelum menunaikannya, mementingkan penampilan lahiriah daripada batiniah, mengutamakan kecantikan jasmani daripada kesucian rohani, menumpukan tugasan luar lebih daripada tanggungjawab rumahtangga. Semua ini pastinya kesan daripada pengaruh barat, walhal wanita Islam tidak sepatutnya meniru budaya mereka kerana setiap bangsa mempunyai ciri-ciri tersendiri.
Wanita barat memiliki tabiat, pegangan, nilai-nilai dan adat serta persekitaran hidup yang berbeza…begitu juga kita, punya adat, nilai hidup dan kebiasaan yang berlainan. Justeru, tidak wajar bagi wanita Islam yang tinggal di Negara Islam menurut jejak langkah wanita Eropah dan Amerika.
Wanita di Negara barat keluar bekerja dan bersaing dengan kaum lelaki dalam semua aspek kehidupan. Mereka memilih jalan hidup sedemikian bukan atas kerelaan bahkan atas paksaan hidup, kerana tanpa berbuat demikian mereka akan hidup sengsara dan mati kelaparan lantaran tiada bapa, saudar, suami atau insan lain yang akan menyara mereka. Perkara ini tidak wujud dalam Islam…
Wanita merupakan antara elemen terpenting di dalam Islam. Nafkah dan sara hidupnya terjamin, di sebabkan keadaannya senantiasa di bawah tanggungjawab lelaki dalam segenap situasi. Samada sebagai bapa jika dia seorang anak, atau saudara lelaki bagi saudara perempuan, seorang anak lelaki jika dia seorang ibu atau seorang suami jika dia seorang isteri. Jelas hidupnya senantiasa disara oleh mereka selaras dengan tuntutan sistem nafkah Islam yang diwajibkan perlaksanaannya. Sistem ini tidak wujud dalam perundangan barat.
Guru saya, Doktor Muhammad Yusuf Musa, Rahimahullah yang pernah melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah di Perancis dan menetap di Paris ada menceritakan dalam bukunya ( Islam dan Keperluan Manusia Terhadapnya) :
Kami pernah menetap di sebuah rumah. Seorang gadis berkhidmat kepada kami sebagai pembantu rumah, perwatakannya menunjukkan dia berasal daripada keturunan yang baik, bukan dari kalangan yang gemar berfoya-foya atau kupu-kupu malam yang menjual harga diri. Dia melaksanakan tugasnya dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Pernah satu ketika kami bertanya tuan rumah tentang gadis tersebut, lalu dia berkata : “Adakah kamu mengenali seorang peniaga di sekian jalan. Dia merupakan seorang peniaga yang berjaya dan terkenal?”
Kami mengiakannya. Lalu tuan rumah kami memberitahu bahawa peniaga tersebut merupakan bapa saudara gadis itu. Kami sedikit terkejut dengan penjelasannya dan berkata “Bagaimanakah bapa saudaranya yang kaya boleh membiarkan anak saudaranya bekerja sedemikian? Bukankah dia boleh mendakwa bapa saudaranya bagi menuntut hak sara hidup supaya dia tidak perlu lagi berkhidmat sebagai pebantu rumah?”
Tuan rumah tersenyum sambil berkata “Undang-undang manakah yang akan berpihak kepadanya? Adakah agama kamu mempunyai undang-undang sebegitu? “Kami menjawab; ya. Dalam agama kami gadis seumpama ini berhak mendakwa bapa saudaranya dan memaksa menyara kos hidupnya”.
Tuan rumah menyambung lagi : “Andai sistem ini wujud di kalangan kami, pasti kamu tidak melihat gadis-gadis dan para wanita keluar bekerja di kilang-kilang, pusat membeli-belah dan institusi-institusi dari awal lagi!! Mereka terpaksa berbuat demikian kerana tiada siapa yang sanggup memberi nafkah kepada mereka”.
Nyata mereka memiliki nilai budaya atau sistem dan cara hidup yang berbeza. Maka apakah kita patut meniru gaya hidup mereka dan turut mendakwa bahawa : kaum wanita mesti keluar bekerja seperti kaum lelaki?
Hakikatnya, tiada tegahan untuk wanita keluar bekerja sekiranya ia merupakan satu tuntutan hidup, atau apabila masyarakat memerlukan khidmatnya seperti guru, doctor dan bidan. Demikian juga pelbagai tugas lain yang menuntut keberadaannya di dalam masyarakat Islam,sesuai dengan fitrah dan tabiatnya sebagai seorang wanita. Apa yang menjadi masalah sekarang ialah sindrom taklid yang tidak berasas.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtiKaL ~ ::_Muslimah Hari Esok -@ Epilog 3 @-_::
WANITA MUSLIMAH ANTARA DUA ZAMAN
Wanita moden hari ini ingin mengubah identity mereka sama seperti wanita eropah. Apa yang pasti, timur tetap timur…barat tetap barat. Bertitik tolak dari sini dapat kita katakan bahawa wanita Islam pada hari esok – InsyaAllah akan bebas daripada belenggu taklid ini, dan kembali mempercayai dirinya sendiri, melihat zaman lampaunya dengan pandangan yang berbeza.
Dia akan kembali merenung hari semalam, bukan semalam yang hampir, bahkan kelmarin yang jauh.
Semalam Yang Hampir
Wanita hari ini telah melepasi dua zaman silam; semalam yang hampir yang penuh kemunduran. Pastinya kita tidak mahu mereka kembali ke zaman itu kerana amat menyedihkan wanita pada zaman tersebut hidup dalam keadaan terpinggir dan diselubungi kejahilan.
Mereka diketepikan dalam urusan kehidupan, agama dan dunia. Mereka ditegah pergi ke masjid, sedangkan masjid merupakan tempat melaksanakan tuntutan agama dan kehidupan. Umat pada zaman tersebut diselubungi kerosakan dan keruntuhan moral yang berluasa, dan dengan keluarnya wanita ke khalayak umum mendedahkannya kepada bahaya fitnah. Rentetan daripada itu, para ulama’ telah mengeluarkan fatwa agar golongan wanita khususnya pemudi, tidak dibenarkan ke masjid kecuali golongan tua yang telah dimamah usia, dan diwajibkan ke atas suami membimbing isterinya, begitu juga bapa wajib mengajar dan memberi kefahaman sebenar kepada anak perempuannya yang masih bujang.
Namun apa yang terjadi, bapa tidak dapat mengajar anaknya sendiri. Bagaimana dia hendak memberi bimbingan sedangkan dia sendiri memerlukan pembimbing?! Orang yang tidak memiliki manakan mampu! Di kala itu, bapa, saudara, dan suami tidak akan mampu membimbing….wanita diharamkan keluar ke masjid untuk mengikuti pengajian, tazkirah dan khutbah. Kesannya, mereka terus terpinggir dan terbiar di dalam kejahilan. Tidak mengetahui kewajipannya terhadap suami dan anak-anak sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam, tidak berupaya mendidik anak-anak dengan sempurna, senantiasa memomokkan tahyul serta khurafat. Amat mendukacitakan kita apabila kesan pemikiran para ibu zaman tersebut masih dapat kita rasai hingga ke hari ini.
Dewasa ini, wanita keluar dari rumah menuju sekolah, universiti, pasar, tempat kerja, pawagam dan sebagainya. Tetapi hanya satu tempat yang sepatutnya dia kunjungi tapi tidak dijejakinya iaitu masjid rumah Allah. Mengapa mereka tidak pergi ke masjid? Sedangkan wanita seluruh dunia pergi ke tempat ibadat mereka; wanita Nasrani pergi ke gereja, wanita Yahudi mengunjungi biara, malah Hindu mendatangi kuil mereka. Semua masyarakat yang beragama pergi ke tempat ibadat mereka…
Namun kenapa wanita Islam tidak pula ke masjid? Dan mengapa tidak disediakan kelas-kelas pengajian yang sistematik untuk mereka? Mengapa mereka tidak menghadiri solat jumaat dan berjamaah? Sedangkan wanita pada zaman Nabi s.a.w ikut menghadiri solat jemaah. Saf hadapan untuk lelaki, manakala saf belakang dikhususkan untuk kaum wanita.
Pada zaman itu, kaum wanita dan lelaki keluar masuk masjid melalui pintu yang sama dan berterusan keadaan untuk satu tempoh yang agak lama, sehinggalah pada suatu hari Rasullah s.a.w bersabda : “Kalaulah kamu khususkan pintu ini untuk wanita..” lalu baginda S.A.W menunjuk ke arah salah satu pintu masjidnya. Maka Ibnu Umar r.a berkata : “Aku tidak akan masuk melalui pintu ini lagi selepas ini.” Sehinggalah ke hari ini pintu yang berada di Masjid Nabawi itu dikenali sebagai ( Pintu Wanita ).
Di zaman kemunduran itu, wanita dipaksa berada di dalam keadaan terpinggir diselubungi kejahilan, mengakibatkan ketidaksempurnaan dalam menunaikan tanggungjawab rumahtangga, anak-anak dan suami bahkan kewajipan terhadap Tuhannya turut terabai. Ramai di kalangan wanita Islam meninggalkan sembahyang lantaran kejahilan mereka. Mereka meninggalkan kefardhuan harian yang asas, sedangkan ia merupakan tiang agama dan garis pembeza antara Islam dan kufur.
Kita tidak mahu kembali ke zaman kemerosotan dan kemunduran itu. Kita inginkan muslimah hari esok mengulangi sejarah kecemerlangan muslimah di awal kebangkitan Islam yang sezaman dengan Rasullah s.a.w, para sahabat, tabien dan di zaman kegemilangan pemerintahan Islam, di mana mereka telah memahami dan melaksanakan segala hak dan tangunggjawab secara sempurna. Kita ingin dia mengetahui kewajipan terhadap Allah s.w.t lalu menunaikannya, mengenal Tuhannya secara sempurna lalu mengabdikan diri dengan sebaik-baik pengabdian, menyempurnakan ibadah puasa, bersembahyang lima waktu, memelihara kehormatan diri dan mentaati suami, lantas dengan itu dia layak dan berhak menghuni syurga Allah s.w.t.
Kelmarin Yang Jauh
Kaum wanita di zaman Nabi s.a.w senantiasa mendatangi baginda s.a.w dan terus bertanya segala masalah sehingga kepada perkara-perkara yang sulit. Saidatina Aisyah r.a pernah berkata : “Semoga Allah merahmati wanita Ansar, sifat malu tidak menghalang mereka daripada mendalami ilmu agama.”
Malah dalam permasalahan yang berkaitan dengan hubungan antara lelaki dan wanita, juga hubungan antara suami dan isteri, mereka merujuk Rasullah s.a.w tanpa segan silu kerana tidak ada malu dalam mendalami agama.
Wanita muslimah pada zaman tersebut bersungguh-sungguh dalam melaksanakan suruhan Allah s.w.t. Ini telah terbukti ketika mana turunya firman Allah s.w.t :-
Maksudnya : “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.”
Sebagaimana telah diceritakan oleh Saidatina Aisyah r.a tatkala turunnya ayat ini : “Setiap wanita Ansar bergegas mencari kain selubung yang ada dan mereka mendirikan solat dengan mengenakan kain tersebut di kepala dan menyelubunginya seakan-akan ada gagak di atas kepala-kepala mereka”.
Mereka tidak berlengah-lengah walau seketika, bahkan segera menjunjung perintah Allah azza wa jalla. Demikianlah sepatutnya keadaan wanita di dalam melaksanakan kewajipan terhadap Tuhan dan suruhan agama. Adapun bagi para suami, wanita-wanita tersebut merupakan sebaik-baik pembantu.
Demikianlah yang telah ditonjolkan oleh Asma’ binti Abu Bakar r.a yang bergelar ‘Dzatun Nitaqain’ { pemilik dua ikat pinggang } yang membantu suaminya Zubair bin Al-Awwam, sepupu dan pengikut Rasullah s.a.w. Beliau mempunyai sebidang tanah terletak beberepa kilometer dari kota Madinah dan Asma’ sering berulang-alik ke tempat tersebut berjalan kaki. Mereka memiliki seekor kuda yang digunakan untuk membajak tanah.
Pernah satu hari dalam perjalanan pulang, Nabi s.a.w melihat Asma’ dalam keadaan demikian, lalu menumpangkannya menaiki kenderaan baginda. Perkara ini diceritakan kepada suaminya, Zubair menyebabkan beliau turut bersedih dengan kesukaran yang ditanggung oleh Asma’. Tetapi ini adalah kewajipannya dalam membantu suami. Yang pasti dia tetap setia bersamanya di kala senang mahupun susah.
Begitu juga teladan yang telah ditunjukkan oleh Fatimah Az-Zahra’ binti Muhammad, puteri Rasulullah. Penghulu sekalian wanita, beliau menguruskan rumahtangga, menguli tepung dan membakar roti dengan tangannya sendiri (memandangkan pada zaman tersebut tidak terdapat roti segera, bahkan kaum wanita perlu mengisar gandum dan memasak sendiri). Beliau turut mengisar gandum sehingga tangannya kasar dan melecet.
Pada suatu hari, Fatimah datang mengadu keperitan hidup kepada Nabi s.a.w dan meminta seorang khadam untuk membantunya. Rasulullah s.a.w pernah bersabda : “Fatimah sebahagian dari diriku, aku merasai apa yang dirasainya.”. Apabila mendengar pengaduan Saidatina Fatimah r.a, Rasulullah s.a.w berkata : “Mahukah engkau aku tunjukkan perkara yang lebih baik daripada itu…Sebelum kamu tidur, bertasbihlah kepada Allah 33 kali, bertahmidlah 33 kali dan bertakbirlah 33 kali. Sesunguhnya mengingati Allah lebih baik bagimu daripada seorang khadam.”
Ertinya, dengan mengingati Allah menambahkan kekuatan rohani bagimu dalam mengharungi kesulitan hidup. Mohonlah pertolongan daripada Allah azza wa jalla. Fatimah senantiasa membantu suaminya, Ali bin Abi Talib kerana pada waktu itu Ali tidak mampu menyediakan seorang khadam. Beliau sanggup berkongsi bebanan hidup bersama suami tercinta, meredah pahit maung dan onak duri kehidupan.
Inilah sebenarnya yang dimaksudkan dengan keikhlasan….dan inilah juga erti kesetiaan. Wanita di zaman salafus soleh merupakan sebaik-baik penolong bagi para suami, berbeza dengan wanita zaman hari ini yang hanya mementingkan wang, pakaian dan perhiasan. Mereka senantiasa ingin memaksa para suami mengumpul harta kekayaan dengan apa jua cara sekalipun samada halal atau haram…melalui jalan baik atau buruk.
Adapun wanita zaman salafus soleh, mereka akan berkata kepada suami tatkala mengiringinya keluar bekerja : “Wahai bapa si fulan, berwaspadalah kamu daripada memperoleh rezeki yang haram. Kami masih mampu bersabar atas derita susah dan kelaparan, tetapi kami tidak mampu menanggung siksaan api neraka dan kemurkaan Allah Yang Maha Perkasa.”
Seandainya si suami lemah dan hampir tewas berhadapan dengan perkara haram, maka kata-kata isterinya inilah yang menjadi peransang dan peringatan baginya dalam menyempurnakan tanggungjawab terhadap diri dan keluarga lantas menyedarkannya sebelum terjerumus ke lembah haram.
Apabila seorang lelaki hendak keluar berjihad, apakah pendirian isterinya ketika itu? Mereka tidak pernah menjadi batu penghalang bahkan merekalah meniup semangat juang ke arah jihad. Andai dia ditanya : “Bagaimana kamu sekeluarga akan meneruskan kehidupan suamimu?” Maka dengan iman yang kental di jiwa dia tegas menjawab : “Sesungguhnya aku tahu suamiku seorang yang kuat makan tetapi dia bukanlah pemberi rezeki, walaupun si kuat makan telah pergi namun Pemberi Rezeki tetap kekal!”
Kita impikan muslimah hari esok mencontohi peribadi muslimah zaman silam, menjadi pembantu terbaik buat suami dalam mentaati Allah dan menunaikan kewajipan serta menrealisasikan dirinya sebagai isteri solehah yang mana ia merupakan sebaik-baik perhiasan dunia. Dia melaksanakan tugasnya sebagai seorang ibu yang cemerlang dalam mendidik anak-anak, mengasuh mereka dengan akhlak dan kemuliaan Islam, menyemaikan rasa cinta dan taat kepada Allah s.w.t, menanam perasaan benci terhadap perkara maksiat dan sifat-sifat terkeji serta senantiasa mengingatkan mereka dengan hari kebangkitan.
Di kala bergema panggilan jihad, di waktu musuh ingin mengancam, ketika suara-suara berseru : “Wahai pejuang Allah, tunggungilah kudamu!...Wahai bala tentera Allah, maralah!!”
Kita akan melihat ibu-ibu inilah yang mendorong anak-anak mereka menyahut seruan, menunaikan kewajipan jihad sebagaimana yang telah di lakukan oleh para ibu di zaman silam. Kita inginkan ibu seperti Khansa’…dia pernah melalui dua kehidupan yang berbeza ; sebelum dan selepas keislamannya. Sebelum dia memeluk Islam, saudara tirinya ‘Sakhr’ telah meniggal dunia, bergemalah alam dengan jerit tangis dan ratap sayunya. Dia mencipta sebuah syair yang penuh rintihan atas kematian Sakhr. Diantara kata-katanya dalam syair tersebut :
Setiap kali matahari terbit, aku mengingati Sakhr,
Begitulah jua tatkala matahari terbenam, ingatanku tetap padanya,
Kalaulah tidak kerana ramai yang menangis di sekelilingku
Kerana meratapi saudara mereka, pastinya aku membunuh diri
Mereka tidak akan meratapiku sebagaimana ratapan ke atas saudaraku
Tetapi aku menahan diri dengan berputus asa
Inilah qasidahnya yang masyhur pada meratapi saudaranya. Tetapi selepas dia memeluk Islam cahayaiman menyinari hatinya. Islam telah mengubahnya menjadi insan baru yang berbeza dari sebelumnya, mempunyai hala tuju dan pemikiran yang terarah.
Ketika mana dia melepaskan empat orang anaknya keluar menyertai peperangan Al-Qadisiah yang berlaku pada zaman pemerintahan Saidina Umur r.a, dia mengingatkan mereka supaya senantiasa mara tanpa berundur kebalakang, terus tetap melangkah tanpa ragu-ragu dan berlumba-lumba untuk mencapai syahid di jalan Allah. Dia juga sering membakar semangat juang dan menyemarakkan keyakinan di jiwa anak-anaknya. Kerana itulah, apabila ada di kalangan mereka yang merasa lemah untuk meneruskan perjuangan, yang lain akan memberi peringatan dengan berkata : “Lupakah engkau pesanan ibu?”
Lalu mereka kembali bersemangat, terus maju menentang musuh dengan penuh rasa keimanan sehingga akhirnya Allah menganugerahkan mereka kemuliaan Syahid. Keempat-empat anaknya gugur syahid di jalan Allah. Lantas apakah reaksi Khansa’ tatkala menerima khabar kematian mereka? Adakah dia meratapi mereka dengan ratapan jahiliyah? Menampar-nampar pipi dan merobek-robekkan pakaian? Adakah dia terus tersungkur lemah? Seorang ibu kehilangan empat anak sekaligus!! Tetapi keimanannya yang kental mengatasi kesedihan, malah dia berkata : “Segala puji bagi Allah yang telah memuliakanku dengan kematian mereka dan menjadikan mereka pemberi syafaat bagiku di akhirat kelak.”
Inilah kata-kata yang terbit dari bibir seorang ibu!! Keazaman itu juga dapat kita pada Asma’ ketika bersma anaknya Abdullah bin Zubair yang memerangi Pemerintahan Bani Umaiyah. Di saat anaknya Abdullah dikepung dan tinggal bersamanya melainkan pengikut yang sedikit, dia seolah-olah lemah dan berserah diri, si ibu yang penyabar lagi berani itu dengan tegas berkata : “Wahai anakku, jika kamu berada di pihak yang benar, janganlah kamu biarkan musuh memijak kepalamu.” Abdullah menjawab : “Wahai ibuku, aku takut mereka menyeksa jasadku apabila aku dibunuh.” Lalu si ibu berkata : “Anakku, sesungguhnya kambing yang disembelih tidak akan merasa sakit apabila dilapah kulitnya”.
Demikian juga Ummul Fadhl, isteri Saidina Abbas r.a, bapa saudara Nabi s.a.w apabila diberitakan bahawa salah seorang dari anaknya telah terbunuh di satu tempat, manakala seorang lagi di tempat yang lain, dengan penuh hikmah dia berkata : “Keazaman dan cita-cita yang tinggi telah menjauhkan aku dari neraka. Andai mereka dari golongan yang murah cita-citanya, pasti mereka mati di tanah kelahiran sendiri.” Kita mahu para ibu pada masa akan datang mencapai tahap ini.
Muslimah hari esok yang kita impikan adalah yang tahu tentang agama mereka secara mendalam, jelas hala tuju hidupnya tanpa dipinggirkan dari kehidupan dan agama. Hidup seiring dengan zamannya tetapi tidak mengetepikan tuntutan agama.
Saya berkeyakinan penuh bahawa hari tersebut pasti menjelma. Dan semakin hampir. Hari di mana kembalinya muslimah yang percaya dengan agama dan keperibadiaan diri, yakin dengan risalah dakwah yang dipikul dan tradisi yang diwarisinya lantas berkata : “Aku bukan wanita Eropah, bukan juga Amerika atau Rusia. Aku adalah seorang muslimah! Iaitu seorang muslimah yang lahir dari sebaik-baik umat.”
“Aku redha Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, Al-Quran sebagai kitab panduanku dan Muhammad s.a.w sebagai Nabi dan rasul junjunganku.” “Aku mestilah teguh memelihara keislamanku dengan menjaga nilai-nilai ajarannya, mengekalkan syaksiah seorang muslim dan adapt-adat yang bertepatan dengan lunas-lunas Islam.”
Keyakinan dan kepercayaan ini mestilah kembali bertakhta di hatinya, perkara tersebut sama sekali tidak akan menghalangnya dari meneruskan kehidupan dan menikmati hak-haknya secara sempurna. Wanita muslimah mesti belajar kerana menuntut ilmu itu wajib keatas setiap muslim. Islam tidak pernah akur dengan kejahilan wanita. Hanya orang-orangg jahil yang memperakui keadaan tersebut. Sebaliknya Islam tetap menyarankan pengikutnya samada dari golongan lelaki atau wanita agar mempelajari ilmu pengetahuan.
Sejarah telah membuktikan ada di kalangan wanita mampu mengeluarkan hukum dan fatwa kepada kaum lelaki, contohnya Saidatina Aishah dan Ummu Salamah r.a yang sering didatangi oleh para sahabat untuk meriwayatkan hadis daripada mereka dan bertanyakan tentang urusan agama. Para sahabat dan tabien senantiasa merujuk dan mengajukan persoalan kepada Saidatina Aishah r.a dan persoalan-persoalan tersebut dijelaskan oleh beliau dengan sempurna. Terhasillah beberapa buah kitab ekoran daripada perbincangan-perbincangan tersebut, seperti kitab karangan Iman Az-Zarkasyi bertajuk (Jawapan Bagi Penilaian Aishah Terhadap Para Sahabat), dimana perbincangan kitab tersebut berkisar tentang sangkalan Aishah terhadap beberapa pendirian para sahabat. Beliau dengan tegas berani menyatakan : Kekurangan si fulan demikian…kesalahan si fulan pula demikian…
Pada zaman yang lain pula wujud majlis-majlis pengajian yang disampaikan oleh wanita, misalnya Sayyidah Sukainah binti Hussin. Diriwayatkan bahawa Iman Syafie rahimahullah pernah menghadiri majlis pengajian beliau. Ada juga dikalangan wanita yang meriwayatkan hadis dan mereka turut didatangi kaum lelaki untuk mengambil hadis daripada mereka dengan berkata : “Aku meriwayatkan hadis ini daripada Syeikhah Fulanah binti Fulan.”
Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani, pemilik kitab Fathul Bari Syarah Bukhari dan merupakan amirul mukminin dalam ilmu hadis pernah berkata : “Di antara guruku ialah Si Fulanah binti Fulan.” Salah seorang daripada iman dan ulama’ besar mazhab Hanafi mempunyai seorang anak perempuan yang mampu mengeluarkan fatwa sebagaimana bapanya. Apabila di keluarkan fatwa yang ditandatangani oleh iman tersebut, terdapat di sampingnya tandatangan si anak sebagai bukti perakuannya dengan fatwa tersebut.
Bapanya telah mengahwinkan anak perempuannya itu dengan salah seorang anak muridnya yang merupakan seorang ulama’ besar iaitu Iman Alauddin Al-Kasani yang digelar raja sekalian ulama’. Dia mengarang sebuah kitab bertajuk (Bidai’ al sinai’) huraian bagi kitab karangan gurunya (tahfatul fuqaha’), kerana itu para ulama’ berkata : Dia mensyarahkan kitab gurunya dan mengahwini anaknya! Apabila dikeluarkan sesuatu fatwa, termaktub di atasnya tandatangan si isteri di samping tandatangan suaminya…Di sini kita dapat lihat seorang wanita yang mampu mengeluarkan fatwa setanding dengan bapa dan suaminya.
Begitu juga halnya dengan Iman Abu Hayyan yang pernah berguru dengan tiga orang Syiekhah yang sering menjadi sebutannya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtiKaL ~ ::_Muslimah Hari Esok -@ Epilog 4 @-_::
LELAKI DAN WANITA: HUBUNGAN YANG SALING MELENGKAPI
Beginilah keadaan kaum Hawa…
Wanita tidak pernah terpinggir kecuali pada zaman kelemahan, keruntuhan dan kemunduran. Walaupun kita menyatakan bahawa muslimah wajib memelihara keperibadian Islamnya, bukan bermakna mereka dipinggir dalam kehidupan atau dinafikan hak-hak mereka.
Wanita bukan sahaja berhak menerima pendidikan malah diwajibkan menimba ilmu.Akan tetapi methodnya mestilah selari dengan fitrah dan karekternya kerana wanita tetap wanita. Sebagaimana Firman Allah Taala.
Maksudnya: “Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya), Dan siang apabila ia lahir terang-benderang, Demi Yang menciptakan (makhluk-makhlukNya) lelaki dan perempuan".
Sebagaimana Allah menciptakan pasangan malam dan siang, begitulah juga di ciptakannya pasangan lelaki dan wanita. Kehidupan tidak akan sempurna tanpa malam dan siang, begitulah perihalnya lelaki dan wanita. Firman Allah :-
Maksudnya : “ Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya Kami dan mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami).”
Tuhanmenciptakan segala yang ada secara berpasang-pasangan. Sedangkan ciptaanNya yang tidak bernyawa seperti kuasa elektrik pun terdiri daripada cas positif dan negetif, apatah lagi lelaki dan wanita yang saling memerlukan antara satu sama lain.
Wanita bukan seteru kaum lelaki dan bukan pula lelaki seteru kaum wanita, atas dasar itu itu Allah berfirman :-
Maksudnya : “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang Yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain”
Ini bererti wanita sebahagian daripada lelaki dan lelaki sebahagian daripada wanita. Lelaki memerlukan wanita dan begitulah sebaliknya. Justeru, wanita tidak wajar memusuhi dan cuba menandingi lelaki malah mereka sebagai pelengkap kepada kaum lelaki.
Ketika Allah mencipta Adam dan menempatkan di dalam syurga, Allah tidak membiarkan seseorang diri kerana tiada ertinya hidup keseorangan walau di syurga. Maka Allah menjadikan Hawa di sampingnya seraya berfirman :-
Maksudnya : “Dan Kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggalah Engkau dan isterimu dalam syurga.”
Syurga tanpa Hawa tidak memberi sebarang makna, oleh sebab itu Allah berfirman :-
( Maksudnya : “Dan ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain.”
Lelaki daripada wanita dan wanita daripada lelaki. Tidak wajar bagi seorang wanita bercita-cita untuk menandingi atau menentang lelaki. Muslimah hari esok tidak sepatutnya menjadikan diri mereka sebagai pencabar lelaki, berbuat apa yang mereka buat dan memakai apa yang mereka pakai. Keadaan dunia kini sudah terbalik, wanita mahu menjadi lelaki dan lelaki pula berlagak seperti perempuan. Lelaki harus kekal dengan kelakiannya, wanita pula perlu kekal dengan kewanitaannya. Apabila lelaki tidak mempertahankan kelelakiannya begitu juga dengan wanita, maka dunia ini tiada ertinya lagi.
Oleh kerana itu Nabi Muhammad s.a.w melarang lelaki memakai pakaian wanita dan wanita daripada berpakaian lelaki. Baginda s.a.w melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita begitu juga sebaliknya supaya setiap mereka dapat menjaga fitrah asal kejadian mereka. Justeru harapan saya agar muslimah hari esok dapat menjaga keperibadian dan kewanitaannya, tidak menandingi kelelakian kaum Adam bahkan membantunya dalam melaksanakan tanggungjawab.
Dia hendaklah bekerja dalam ruang lingkup yang sesuai dengan fitrah kewanitaannya seperti guru, doktor dan jururawat wanita daripada membiarkan jururawat atau doktor lelaki membuat pemeriksaan keatasnya yang mana mungkin juga mereka bukan dari golongan muslim, begitu juga bekerja sebagai juru jual pakaian dalaman wanita dan sebagainya.
GAMBARAN SEBENAR DARI BARAT
Apa yang saya bayangkan, muslimah hari esok kembali yakin terhadap diri sendiri dan percayakan agama dan adat resamnya. Tambahan pula masyarakat barat sendiri sudah mula mengencam tamadun yang mereka bawa. Mereka menyatakan : “Tamadun ini akan mengalami kemusnahan.” Mengapa mereka mengkritik tamadun mereka sendiri ?
Kerana tamadun ini telah mencapai kemuncak tertinggi dari sudut kemajuan material. Masyarakat Eropah dan Amerika mampu menjelajah angkasa, menggunakan bom nuclear dan menjejakkan kaki ke bulan. Namun jika dinilai dari sudut pembangunan akhlak dan nilai-nilai kemanusiaan, mereka tidak mampu mengecap nikmat ketenangan malah sentiasa hidup dalam keadaan gelisah dan tidak tenteram. Nilai kemanusiaan, hubungan kekeluargaan antara ibu bapa dan anak-anak serta hubungan sesama jiran ternafi dari mereka. Bahkan sesetengah kajian dan tulisan mencatatkan bahawa wanita barat lebih bersedia membeli kereta daripada melahirkan anak kedua.
Di barat, anak perempuan juga lelaki keluar mencari pekerjaan tanpa mengambil berat keadan kedua-dua ibu bapa mereka. Kadang-kadang mereka tinggal di bawah satu bumbung dan kadang-kadang tidak, mungkin juga mereka tinggal berasingan dan tidak saling bertemu. Oleh itu mereka perlu kepada perayaan Hari Ibu, di mana setiap anak mencari ibunya pada hari tersebut lalu pergi kepadanya bersama hadiah sebotol minyak wangi atau sebagainya. Masa tua merupakan peringkat usia yang paling mendukacitakan. Ibubapa akan hidup sendirian kerana tiada tempat untuk bermanja.
Kerana itulah berluasanya pembelaan anjing!! Kenapa? Kerana apabila manusia tidak dapat bermesra dengan orang lain, dia akan bermesra dengan anjing! Kajian mendapati bahawa di Perancis terdapat lebih 7 juta ekor anjing belaan, memakan biskut dan coklat!! Apabila Ketua Pencipta Haiwan bertanya : Apakah rahsia bilangan yang amat besar ini? Dia menjawab : “ Hal ini kerana manusia mahu menggantikan hubungan persahabatan sesama mereka dengan anjing”. Fitrah manusia ingin menyayangi dan disayangi.
Jesteru, mereka mendapati anjing sesuai dijadikan pengganti. Saya pernah berada di Amerika. Apa yang saya dengar, bukanlah sesuatu yang pelik bagi masyarakat di sana sekirannya tiba-tiba didapati bau busuk dari sesebuah rumah. Apabila bau tersebut sampai ke tahap kritikal baru mereka akan mencari puncanya sehinga terpaksa memecah masuk rumah tersebut dengan bantuan polis dan mereka terkejut mendapati mayat : “Kami menyangka dia masih hidup!”. Sebahagian mereka pula dihantar ke rumah-rumah orang tua menghabiskan sisa-sisa hidup di sana. Mereka hanya bersua dengan anak cucu setahun sekali, itu pun andai masih ada yang sudi mengziarahi.
Tamadun yang kononnya senantiasa dijadikan ikutan segenap manusia ini mula menampakkan keburukkannya, terbit kritikan-kritikan keras bahkan terhasil banyak tulisan dan buku yang mengencam system kehidupan ini, sedang dalam masa yang sama kita mencedok dan menjadikannya pegangan hidup. Apakah kita perlu membawa masuk budaya mereka ini padahal kita sudah memiliki agama yang lengkap lagi sempurna?.
PENDIRIAN WANITA DALAM BERHADAPAN DENGAN TAMADUN BARAT
Kenapa seseorang perlu mengimport barangan luar sedangkan barangan tempatan setanding dengannya? Apatah lagi jika barangan tempatan tersebut lebih baik dan berkualiti? Kita mempunyai syariat yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T, bahkan daripada ciptaan manusia, bahkan ia merupakan wahyu dari sisi Pencipta Yang Maha Gagah Lagi Berkuasa. Firman Allah :-
Maksudnya : “(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah?”.
Ia merupakan hukum Allah yang telah termaktub. Firman Allah :-
Maksudnya : “Dan (hukum) siapakah yang lebih daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?”
Kita inginkan muslimah hari esok kembali kepada agamanya, memasakkan jatidiri dan menghindarikan diri dari taklid membuta tuli. Kita mahukan wanita yang tegas berhadapan dengan tamadun ciptaan barat ini dengan penuh kebijaksanaan, mengadaptasi unsure-unsur positif yang bersesuaian dengannya dan menolak segala unsure negative. Kita mahu mereka teguh atas sikap dan pendirian ini.
Kita mahukan wanita yang mampu menyempurnakan segala tanggungjawab dan hak yang terpundak secara total, mengutamakan pembentukan batiniah daripada penampilan lahiriah dan lebih mementingkan kebajikan suami, anak-anak dan rumahtangga daripada sibuk barsaing menandingi kaum lelaki atau senantiasa mencari jalan untuk menarik perhatian mereka.
Muslimah hari ini mesti kembali kepada kegemilangan para muslimah di awal islam, merekalah role-model terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab dan memahami agama. Kita mahu wanita memiliki iman yang teguh, pekerti yang luhur, kefahaman yang utuh, mengganggam risalah dakwah dengan kukuh dan memperlengkapkan diri dengan ilmu dengan ilmu pengetahuan yang luas…inilah cirri-ciri muslimah hari esok. Kita mahu mereka menyemarakkan kebangkitan Islam yang hakiki, bukan semangat kebangkitan wanita berinspirasikan barat yang menular meracuni Negara-negara Islam kini.
Kita mahu kembali mengakhiri zaman ini. Mula melangkah keera baru dan membuka lembaran baru bagi wanita muslimah. Kita mahu kembali kepada kebangkitan yang hakiki dan bertapak atas asas-asas Islam yang kukuh dan ajaran-ajaran yang sebenar sejajar dengan apa yang termaktub di dalam kitab Allah dan sunnah RasulNya, menabur kebajikan dan menegakkan keadilan buat kaum wanita.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtiKaL ~ ::_Muslimah Hari Esok -@ Epilog 5 @-_::
WANITA: ANTARA ZAMAN JAHILIAH DAN ISLAM
Islam tidak pernah menzalimi wanita.
Kaum lelaki pada zaman jahiliah memandandang para wanita sebagai barangan picisan! mereka menganggap objek yang boleh diwarisi wanita-wanita kepunyaan bapanya sebagaimana mereka mewarisi lembu dan kambingnya. Mereka memperlakukan wanita-wanita ini dengan sesuka hati,dikahwininya jika mahu atau ditahannya sehingga mereka dapat melepaskan diri atau menebus diri mereka dengan wang. Islam menegah sama sekali perbuatan sebegini.
Kaum wanita dizaman itu tidak mempunyai hak untuk mewarisi harta secara mutlak. Hal ini kerana,syarat perwarisan bagi masyarakat Arab Jahiliah ialah pandai bermain dan memikul senjata,mempartahankan kabilah dan mahir menunggang kuda. Oleh sebab itu mereka tidak mewarisi sebarang harta pusaka kepada wanita dan kanak-kanak. Jelas,wanita tidak diberi hak perwarisan sama sekali.
Islamlah membawa keadilan kepada wanita dengan menghapuskan keaiban ini,ketika kaum lelaki memandang enteng terhadapnya. Seorang bapa sendiri memandang hina kelahiran anak perempuan sehingga ia sanggp berkata: “Kelahiran ini adalah tidak sebaik anak lelaki kebaikannya hanyalah tangisan,kebajikannya satu kerugian”.
Firman Allah S.W.T:
Maksudnya:“Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati”.
Islam melenyapkan segala keburukan yang menghantui wanita dan menganggapnya sebagai suatu kurniaan Allah s.w.t
Maksudnya: “Bagi Allah jualah hak milik Segala Yang ada di langit dan di bumi; ia menciptakan apa Yang dikehendakiNya; ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa Yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa Yang dikehendakiNya”
Nyata dari ayat ini Allah telah mendahulukan kalimah wanita daripada lelaki dan baiknya asuhan pentarbiahan mereka menjadi jaminan untuk ke syurga.
Islam telah menganggat martabat wanita…samada ia seorang anak,isteri mahupun ibu… seorang bapa tidak lagi berhak memperlakukan sewenang-wenangnya dan tidak harus mengahwinkan anak perempuannya dengan sesiapa sahaja menurut kehendaknya. Malah si anak mempunyai hak unuk mengatakan tidak…maka ketika itu si ayah tidak berkuasa untuk memaksanya berkahwin.
Pernah seorang gadis mendatangi Rasulullah s.a.w seraya berkata: “bapa telah mengahwinkanku dengan sepupuku supaya ia boleh menutup keaibannya”-dalam riwayat lain -:sedang gadis tersebut membencinya,lalu Nabi s.a.w menyerahkan hak untuk membuat keputusan kepadanya. Gadis itu berkata: “aku telah merelakan perbuatan bapaku,cuma aku ingin wanita lain mengetahui bahawa bapa mereka tidak mepunyai hak dalam menentukan urusan perkahwinannya”.
Jelas bahawa islam tidak pernah sama sekali menganiayai golongan wanita apatah lagi mensia-siakan haknya. Malah islam memperlakukannya dengan adil dan meninggikan darjatnya dalam segenap aspek kehidupan.
Muslimah hari esok mesti kembali kepada islam dengan penuh kepercayaan dan keyakinan. Dia mestilah berhadapan dengan arus tamadun barat dengan jatidiri yang kukuh,sehingga mampu membuat penilaian dan mengatakan:“ini tidak sesuai bagiku…dan ini pula bukanlah satu kesalahan.”
Terus terang saya katakan seandainya terdapat kebaikan pada tamadun barat maka sesungguhnya islam telahpun mendahuluinya,dan jika terdapat keburukan maka islam telah membanterasnya sejak awal lagi. Kita tidak memerlukan kemasukan budaya asing mahupun meminta-minta daripada pihak lain sedang apa yang ada pada kita sudah lebih daripada mencukupi.
Sesungguhnya orang yang berkemampuan tidaklah meminta-minta. Apakah wajar kita mengemis hidangan pihak lain sedangkan Allah telah melengkapi kita dengan Islam?
MUSLIMAH HARI ESOK
Saudari muslimahku….
Inilah yang saya impikan daripada muslimah hari esok, saya menginginkan agar mereka memahami ajaran agama dan halatuju hidupnya, menyempurnakan tanggungjawab terhadap Tuhan, suami dan anak-anak, masyarakat, agama dan umat Islam. Kita mahu mereka menjadi pemangkin kepada kebangkitan Islam yang hakiki. Kita mahu mereka menjadi pendakwah muslimah.
Kita mahu mereka menjadi pendidik dan pembimbing yang membantu generasi pemudi akan datang dan kebangkitan Islam yang sebenar.
Alangkah indahnya, kita kini berada di Semenanjung Tanah Arab dan di tengah-tengah Negara Islam. Dan alangkah baiknya jika kita dapat melihat kebangkitan Islam yang hakiki sedemikian rupa, diiringi kemaslahatan dunia dan akhirat….dinaungi keredhaan Allah s.w.t lagi dikagumi hati-hati manusia yang berakal…dimantapkan dengan pembangunan material dan rohani yang membawa kepada kebahagian jiwa dan sanubari, kebahagian yang tiada tolok bandingnya.
Kebahagiaan inilah yang telah diungkapkan oleh Ummu Kalthum binti Ali, isteri Umar r.a ketika beliau telah membangkitkan kemarahan Umar dalam urusan rumahtangga mereka. Pada suatu hari, Umar berkata : “Aku akan merunsingkanmu”. Beliau menjawab : “Kamu takkan mampu berbuat demikian. Kebahagianku terletak pada imanku, dan imanku terletak pada hatiku, dan tiada siapa yang berkuasa ke atas hatiku melainkan Tuhanku.”
Saya memohon ke hadrat Allah s.w.t agar dikurniakan kebenaran dalam perkataan dan perbuatan, diberi kefahaman dalam agama dan dikembalikan wanita muslimah hakikat asalnya; keperibadiannya yang unggul dan sejati. Sebagaimana para muslimah di awal Islam, bukan sahaja baik tetapi juga memberi kebaikan kepada masyarakat sekeliling, InsyaAllah…

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtiKaL ~ ::_Subuh Jumaat & as Sajadah!!! ( Pertama )_::
Surah al-Sajdah Dan Solat Subuh Hari Jumaat: Beberapa Perkara Yang Perlu Diperhatikan
Kebiasaannya ketika melaksanakan solat subuh berjamaah pada pagi Jumaat, imam membaca surah al-Sajdah (surah ke-32) pada rakaat pertama dan surah al-Insan (surah ke-76) pada rakaat kedua. Alhamdulillah amalan ini adalah berdasarkan sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang diterangkan oleh Abu Hurairah radhiallahu 'anh:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الْجُمُعَةِ فِي صَلاَةِ الْفَجْرِ الم تَنْزِيلُ السَّجْدَةَ وَهَلْ أَتَى عَلَى الإِنْسَانِ حِينٌ مِنْ الدَّهْرِ
Nabi shallallahu 'alaihi wasallam biasa membaca pada hari Jumaat dalam solat Subuh (surah) Alif lam mim tanzilus sajadah dan (surah) Hal ata ‘alal insani hinum minad dahr. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu‘ah, Bab apa yang dibaca dalam solat subuh pada hari Jumaat, hadis no: 891.
Dalam risalah yang serba ringkas ini, saya tidak berhajat untuk mengubah kebiasaan di atas kerana ia sememangnya sudah menepati sunnah Rasulullah yang mulia. Akan tetapi saya ingin memperincikan beberapa perkara yang dirasakan perlu agar sunnah tersebut dapat kita ikuti dan amalkan dengan lebih tepat. Perkara-perkara yang ingin saya perincikan adalah berdasarkan pengalaman saya dan rakan-rakan.
Pertama: Hukum membaca surah al-Sajdah adalah sunat.
Berdasarkan hadis di atas, sunat hukumnya membaca surah al-Sajdah dalam rakaat pertama solat subuh pada pagi Jumaat. Ini adalah juga merupakan pendapat Mazhab al-Syafi’e sebagaimana yang diterangkan oleh Imam al-Nawawi:
Dalam hadis di atas terkandung dalil bagi mazhab kami dan mazhab yang sependapat dengan kami bahawa sunat (membaca surah al-Sajdah dan surah al-Insan) pada solat Subuh hari Jumaat’. [Syarh Shahih Muslim bi al-Nawawi (tahqiq: ‘Irfan Haswanah; Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut, tp.thn), jld. 4, ms. 188-189]
Saya yakin para pembaca mengetahui berkenaan hukum sunat ini. Akan tetapi dalam pengalaman saya dan rakan-rakan, adakalanya ditemui:
-@ Para makmum yang menangguhkan iqamat solat Subuh pada pagi Jumaat kerana imam yang hafal surah al-Sajdah belum datang. Jika tiada yang hafal, makmum saling menolak antara satu sama lain untuk menjadi imam. Masing-masing enggan dengan alasan: “Saya tak hafal surah al-Sajdah.”
-@ Pernah beberapa kali imam yang sedang membaca surah al-Sajdah tersangkut di tengah-tengah atau penghujung dan tidak ada makmum yang boleh membetulkannya (termasuk diri saya). Maka imam mengulangi semula surah al-Sajdah dari awal sekali lagi.
-@ Bagi masjid-masjid yang mempunyai imam yang dilantik secara rasmi, saya dikhabarkan oleh rakan-rakan yang dipercayai bahawa antara soalan yang ditanya ketika temuduga sebelum perlantikan adalah hafal atau tidak surah al-Sajdah. Ia menjadi salah satu syarat lulus temuduga.
Tiga pengalaman di atas memberi isyarat bahawa di sebalik kebiasaan membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada pagi Jumaat, ada sebahagian orang yang menganggap hukumnya wajib. Atas anggap wajib inilah mereka enggan menjadi imam, atau salah satu syarat perlantikan imam untuk mengulang-ulang keseluruhan surah jika tersangkut.
Padahal yang benar hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Oleh itu jika tidak ada yang menghafal surah al-Sajdah, seseorang boleh menjadi imam dengan membaca surah lain. Jika tersangkut ketika membaca surah al-Sajdah dan makmum tiada yang dapat membetulkannya, imam boleh terus rukuk atau beralih membaca surah yang lain.
Menghafal surah al-Sajdah sepatutnya menjadi satu kelebihan dalam temuduga dan bukannya syarat lulus temuduga. Selain dari itu, syarat-syarat menjadi imam pula, sama ada imam rasmi atau tidak, bukanlah kerana menghafal surah al-Sajdah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِي الْقِرَاءَةِ سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ فَإِنْ كَانُوا فِي السُّنَّةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ سِلْمًا وَلاَ يَؤُمَّنَّ الرَّجُلُ الرَّجُلَ فِي سُلْطَانِهِ وَلاَ يَقْعُدْ فِي بَيْتِهِ عَلَى تَكْرِمَتِهِ إِلاَّ بِإِذْنِهِ
(Paling layak) menjadi imam bagi sesuatu kaum adalah yang paling baik bacaan al-Qur’an di antara mereka. Jika mereka dalam bacaan berada pada tingkatan yang sama, maka (yang paling layak) adalah yang paling mengetahui tentang sunnah (hukum-hukum fiqh) di antara mereka. Jika mereka dalam (pengetahuan) sunnah berada pada tingkatan yang sama, maka (yang paling layak) adalah yang paling awal berhijrah di antara mereka.
Jika mereka dalam penghijrahan berada pada tingkatan yang sama, maka (yang paling layak) adalah yang paling awal memeluk Islam di antara mereka. Janganlah seseorang menjadi imam terhadap orang lain di tempat kekuasaannya dan janganlah seseorang duduk di tempat kehormatan orang lain kecuali seizinnya. [Shahih Muslim, Kitab al-Masajid, Bab orang yang paling berhak menjadi imam, hadis no: 673]
Kedua: Sekali-sekala dianjurkan membaca surah selain al-Sajdah.
Kebiasaan membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada setiap pagi Jumaat akan menyebabkan orang ramai menganggap ia adalah wajib.
Faktor ini antara sebab mengapa para tokoh Mazhab Maliki berpendapat makruh membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada setiap pagi Jumaat kerana bimbang orang ramai akan menganggapnya wajib. Terhadap faktor ini, Imam Ibn Daqiq al-‘Id mengulas:
Akan tetapi jika melakukan hal tersebut (membaca surah al-Sajdah) menyebabkan timbulnya kerosakan (menganggapnya wajib), maka eloklah ia ditinggalkan sekali-sekala kerana sesuatu yang disukai adakalanya ditinggalkan juga bagi menghindari kerosakan yang mungkin berlaku. Dan ia (usaha menghindari kerosakan yang mungkin berlaku) dicapai dengan meninggalkan (membaca surah al-Sajdah) pada sebahagian waktu. [Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (tahqiq: ‘Abd al-‘Aziz bin Baz; Dar al-Fikr, Beirut, 2000), jld. 3, ms. 35.
Nampaknya apa yang dibimbangi oleh para tokoh Mazhab Maliki telah benar-benar berlaku. Maka saranan Imam Ibn Daqiq al-‘Id perlu kita ikuti, iaitu dianjurkan sekali-sekala agar imam membaca surah selain al-Sajdah pada solat Subuh pagi Jumaat.
Ketiga: Imam hendaklah memerhatikan keadaan makmum.
Dalam mengamalkan sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, hendaklah kita mengamalkan keseluruhan sunnah tersebut, bukan sebahagian-sebahagian sahaja. Membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada pagi Jumaat adalah sunnah, namun memerhatikan keadaan makmum adalah sunnah juga. Dalam Shahih Muslim, Kitab al-Solat, Bab menyuruh imam meringankan bacaan solat, hadis no: 468, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

أُمَّ قَوْمَكَ فَمَنْ أَمَّ قَوْمًا فَلْيُخَفِّفْ فَإِنَّ فِيهِمْ الْكَبِيرَ وَإِنَّ فِيهِمْ الْمَرِيضَ وَإِنَّ فِيهِمْ الضَّعِيفَ وَإِنَّ فِيهِمْ ذَا الْحَاجَةِ وَإِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ وَحْدَهُ فَلْيُصَلِّ كَيْفَ شَاءَ
Imamilah kaum kamu, sesiapa yang mengimami satu kaum maka hendaklah dia meringankan (memendekkan) bacaan kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada orang tua, kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada orang sakit, kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada orang lemah dan kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada orang yang berurusan. Apabila salah seorang dari kalian solat bersendirian, maka solatlah sekehendak dirinya.
Pada pagi Jumaat, imam perlu memerhatikan dua sunnah. Sunnah yang pertama adalah membaca surah al-Sajdah manakala sunnah yang kedua adalah memerhatikan waktu iqamat dilaungkan. Ini kerana di kalangan makmum ada yang memiliki urusan di awal pagi untuk ke pejabat. Sama-sama diketahui sini bahawa waktu masuknya Subuh adakalanya awal dan adakalanya lewat.
Khususnya pada bulan Januari dan Febuari, di Kuala Lumpur waktu Subuh masuk pada pukul 6.10 pagi dan iqamat lazimnya dilaungkan pada pukul 6.20 pagi. Kebanyakan warga kota keluar dari rumah pada pukul 6.30 pagi untuk mengharungi kesesakan jalan raya ke pejabat. Maka merupakan satu kebiasaan pada pagi Jumaat, sebahagian jamaah tidak menghadiri solat Subuh berjamaah kerana kesuntukan waktu. Sebahagian lagi ada yang hadir siap dengan pakaian pejabat, bergegas keluar sebaik sahaja imam memberi salam yang kedua.
Oleh itu sebelum memulakan solat, imam hendaklah memerhatikan waktunya. Jika masih awal, maka adalah sunnah untuk membaca surah al-Sajdah. Jika waktu sudah lewat, maka adalah sunnah untuk membaca surah lain yang pendek.Dalam hal ini mungkin ada yang berpendapat, imam sepatutnya tetap membaca surah al-Sajdah. Terpulang kepada makmum sama ada untuk menghadirinya atau tidak, atau mengubah suai masa sendiri ke pejabat. Pendapat ini tidak tepat kerana sebagaimana hadis yang dikemukakan di atas, merupakan kewajipan imam untuk memerhatikan keadaan makmum dan bukan sebaliknya. Jika imam menyusahkan makmum, maka kesalahan berada pada bahu imam dan bukannya makmum.Abu Mas‘ud al-Anshari radhiallahu 'anh berkata, seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku pernah mundur dari solat (berjamaah) disebabkan si-fulan (imamnya) membaca surah yang panjang.” (Abu Mas‘ud) menyambung: Aku tidak pernah melihat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam amat dahsyat kemarahannya dalam rangka memberi nasihat berbanding pada saat itu. Lalu baginda bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّكُمْ مُنَفِّرُونَ فَمَنْ صَلَّى بِالنَّاسِ فَلْيُخَفِّفْ فَإِنَّ فِيهِمْ الْمَرِيضَ وَالضَّعِيفَ وَذَا الْحَاجَةِ
Wahai manusia! Sesungguhnya di antara kalian ada yang membuat orang-orang lari dari solat berjamaah. Maka sesiapa yang mengimami manusia, hendaklah dia meringankan (memendekkan) bacaan kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada yang sakit, lemah dan berurusan. [Shahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, Bab marah dalam memberi nasihat dan pengajaran apabila melihat sesuatu yang tidak disukai, hadis no: 90]

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtiKaL ~ ::_Subuh Jumaat & as Sajadah!!! ( Akhir)_::
Keempat: Sujud tilawah hukumnya sunat.Saya pernah menjadi makmum ketika imam membaca surah al-Sajdah pada pagi Jumaat. Imam yang sedang membaca surah al-Sajdah terlanjur melepasi ayat ke-15 yang sepatutnya dia dan makmum turun sujud. Maka beliau mengulangi semula dari awal keseluruhan surah al-Sajdah agar dapat sujud ketika sampai pada ayat yang disunatkan untuk sujud.
Perbuatannya itu memberi gambaran seolah-olah melakukan sujud tilawah hukumnya adalah wajib. Yang benar hukumnya adalah sunat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah melakukan sujud tilawah ketika sedang solat berdasarkan hadis berikut:

عَنْ أَبِي رَافِعٍ قَالَ: صَلَّيْتُ مَعَ أَبِي هُرَيْرَةَ الْعَتَمَةَ فَقَرَأَ إِذَا السَّمَاءُ انْشَقَّتْ فَسَجَدَ. فَقُلْتُ: مَا هَذِهِ؟ قَالَ: سَجَدْتُ بِهَا خَلْفَ أَبِي الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلاَ أَزَالُ أَسْجُدُ فِيهَا حَتَّى أَلْقَاهُ
Daripada Abi Rafi’, dia berkata: Aku solat Isya’ bersama Abu Hurairah (radhiallahu 'anh) dan beliau membaca surah Izas sama’un syaqqat (surah al-Insyiqaq, surah ke-84) lalu sujud. Maka aku bertanya: “Apa ini?” (Abu Hurairah) menjawab: “Aku sujud di belakang Abu al-Qasim (gelaran bagi Rasulullah) shallallahu 'alaihi wasallam dan aku akan sentiasa sujud pada ayat tersebut sehingga aku bertemu dengannya.
Hadis di atas dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab Sujud al-Qur’an, Bab orang yang membaca surah yang ada ayat al-Sajadah dalam solat lalu sujud padanya, hadis no: 1078. Berdasarkan nama bab yang diberi oleh Imam al-Bukhari, maka beliau sendiri memandang sunat untuk melakukan sujud tilawah di dalam solat bagi orang yang membaca ayat sajadah.
Berdasarkan hadis di atas, jumhur ilmuan berpendapat sunat melakukan sujud tilawah ketika melakukan apa-apa solat yang dibaca ayat sajadah di dalamnya. Mereka tidak membataskan hukum sunat ini kepada surah al-Insyiqaq yang dibaca dalam solat Isya’ sahaja.
Walaubagaimana pun ditekankan bahawa hukum melakukan sujud tilawah adalah sunat dan bukannya wajib. Ini kerana terdapat hadis yang menerangkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabat radhiallahu 'anhum tidak melakukan sujud tilawah, seperti hadis berikut yang dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab Sujud al-Qur’an, Bab orang yang membaca surah yang ada ayat al-Sajadah tetapi tidak sujud, hadis no: 1073, dimana Zaid bin Tsabit radhiallahu 'anh berkata:

قَرَأْتُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالنَّجْمِ فَلَمْ يَسْجُدْ فِيهَا
Aku membaca di hadapan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam surah al-Najm namun baginda tidak sujud padanya. Para ilmuan menerangkan beberapa sebab mengapa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak melakukan sujud tilawah. Di antara sebab-sebab tersebut, Imam al-Syafi’e dan Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menguatkan pendapat bahawa baginda sengaja tidak sujud tilawah untuk menunjukkan kepada umat bahawa hukumnya bukan wajib tetapi sunat. [Fath al-Bari, jld. 3, ms. 260]
Pada waktu yang sama, ingin ditambah bahawa terdapat segelintir ilmuan yang berpendapat makruh untuk melakukan sujud tilawah di dalam solat. Mereka tidak menjadikan hadis Shahih al-Bukhari no: 1078 sebagai dalil kerana apabila Abu Hurairah menerangkan “Aku sujud di belakang Abu al-Qasim…”, beliau tidak menerangkan bahawa ia berlaku di dalam solat. Alasan ini dibantah oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani kerana dalam riwayat lain yang dikeluarkan oleh Imam Ibn Khuzaimah dan Imam al-Jauzaqiy terdapat tambahan lafaz bahawa peristiwa tersebut berlaku di dalam solat. [Fath al-Bari, jld, 2, ms. 497]
Selanjutnya pihak yang memandang sujud tilawah dalam solat adalah makruh menekankan bahawa tidak ada riwayat sahih yang menerangkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah melakukan sujud tilawah apabila sampai pada ayat ke-15 ketika membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada pagi Jumaat.
Secara kebetulan hujah ini selari dengan keterangan Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani yang pernah berkata: Saya belum menemui apa-apa riwayat dengan jalan yang kuat lagi jelas bahawa baginda shallallahu 'alaihi wasallam melakukan sujud (tilawah) ketika membaca surah Tanzilus sajadah. Seterusnya Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengemukakan dua riwayat yang beliau ketahui dalam bab ini akan tetapi dalam sanad kedua-duanya terdapat perbincangan sehingga beliau sendiri tidak menjadikannya sebagai hujah. [Fath al-Bari, jld. 3, ms. 35]
Kesimpulan perbahasan kita dalam bab ini dapat diringkaskan sebagai berikut:
-@ Apabila imam terlupa untuk melakukan sujud tilawah ketika membaca surah al-Sajdah, dia tidak perlu mengulangi keseluruhan surah demi mendapatkan sujud tilawah. Ini kerana hukum sujud tilawah, mengikut jumhur ilmuan, adalah sunat dan bukan wajib.
-@ Apabila makmum mendapati imam tidak melakukan sujud tilawah ketika membaca surah al-Sajdah, maka tidak perlu membetulkannya. Ini kerana tindakan imam terbuka kepada beberapa kemungkinan seperti lupa, atau sengaja ingin menunjukkan kepada makmum bahawa hukum sujud tilawah bukan wajib, atau berpegang kepada pandangan yang memakruhkan sujud tilawah di dalam solat.
Demikian empat perkara yang ingin saya perincikan berkenaan amalan membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada pagi Jumaat. Semoga perincian ini bermanfaat untuk semua.
Oleh Ustaz Hafiz Firdaus.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ Global ~ ::_Syariah Bantu Aspek Perundangan!!!Paderi_::
" Dan telah sempurnalah kalimah Tuhanmu iaitu Al-Quran meliputihukum-hukum dengan benar dan adil tiada siapa yang dapat mengubahsesuatu pun dari kalimah-kalaimahnya dan Dialah yang sentiasa mendengar lagi sentiasa mengetahui".Al-An'aam: 115
Pemimpin Keuskupan Canterbury-pusat agama Kristian Anglikan- Rowan Williams menyatakan keyakinannya bahawa masyarakat di Britain perlu mengadaptasi sejumlah hukum syariah karana dapat membantu merapatkan hubungan antara warga masyarakat di Britain.
"Hal itu tidak dapat dihindarkan lagi. Pada kenyataannya, beberapa aturan syariah sudah dikenalpasti dalam masyarakat kita dan ada dalam hukum kita. Jadi, situasinya tidak seolah-olah kita membawa mahluk asing dan sistem yang menjadi rival sistem yang ada, " kata Williams dalam siaran radio BBC.
Uskup Williams mengungkapkan, hukum syariah selayaknya diperkenalkan sebagai alternatif bagi sumber hukum secara rasmi, ianya perlu apabila isu-isu berkaitan dengan warga Muslim seperti masalah perkawinan dan masalah kewangan.
Menurut Williams, warga Muslim tidak harus memilih antara dua pilihan yang kaku "apakah harus loyal terhadap budaya atau loyal terhadap negara."Berdasarkan hukum di Britain, setiap orang boleh memilih cara mereka sendiri dalam upaya menyelesaikan pertikaian, dihadapan pihak ketiga yang sudah disepakati dan kedua pihak yang bertikai sepakat dengan proses penyelesaian tersebut.
Dalam hal ini, menurut Uskup Williams, termasuk cara lewat pengadilan syariah seperti Beth Din milik warga Yahudi yang lebih dulu wujud di Britain.Seperti sudah bisa diduga, kenyataan Uskup Williams bahawa sudah saatnya Britain membuka pintu terhadap hukum syariah, menerima kritik dari berbagai pihak termasuk pemerintah Britain sendiri.
Perdana Menteri Britain Gordon Brown menerusi jurucakapnya mengatakan bahwa hukum Britain harus berdasarkan kepada nilai-nilai yang berlaku di Britain."Perdana Menteri menegaskan bahawa hukum Britain-lah yang berlaku di negeri ini dan prinsip-prinsip syariah tidak boleh dimasukkan dalam pengadilan sivil untuk memecahkan pertikaian yang terjadi di masyarakat, " kata jurucakap Brown. Pengecualian boleh berlaku dalam kes-kes yang dianggap spesifik.
Kelompok Konservatif di Britain juga mengecam kenyataan Uskup Williams. "Komentar Uskup tidak banyak membantu dan mungkin hanya akan menambah kebingungan yang sudah ada di tengah masyarakat kita, " kata Tories, menteri bayangan hubungan masyarakat, yang ketika ini dipegang oleh Sayeeda Warsi, seorang Muslim Inggris.
Kenyataan serupa dilontarkan tokoh Liberal Lib Dems yang mengatakan bahwa dia tidak setuju dengan Kenyataan Uskup Williams. "Kita tidak akan hidup dalam situasi di mana berlaku hukum yang berbeza untuk orang-orang tertentu, " ujarnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ Global ~ ::_Turkey Kearah Kekaizenan Islam Yang Syumul_::
Angkara: Parlimen Turki semalam mengundi menyokong pindaan perlembagaan bagi menarik balik larangan memakai tudung di universiti, walaupun dibantah keras kumpulan sekular negara itu.
Undian 411 menyokong dan 103 menentang membolehkan pindaan perlembagaan dilakukan dengan menambah satu paragraf menyatakan setiap orang mempunyai hak mendapat layanan sama rata dan tiada siapa boleh dihalang daripada mendapatkan hak untuk pendidikan lebih tinggi. Pindaaan itu perlu dipersetujui Presiden Abdullah Gul, seorang Muslim yang taat dan dijangka tidak mempunyai masalah untuk menandatangani pindaan itu.
Berpuluh ribu rakyat Turki menunjuk perasaan di Ankara membantah pindaan itu dan menggesa kerajaan memerintah meletak jawatan. Seorang ahli parlimen menyifatkan penarikan balik larangan itu sebagai hukuman mati kepada republik sekular itu dan bakal menimbulkan kekecohan di universiti. Pemakaian tudung sejak sekian lama dilarang di unversiti di Turki yang mempunyai majoriti penduduk Muslim tetapi kuat berpegang kepada sistem sekular.
Bagaimanapun Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan menyifatkan larangan itu sebagai ujian kepada wanita Islam yang terpaksa membuka tudung ketika memasuki universiti.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtiKaL ~ ::_Kaizenkan Perbincangan Ilmiah "Usrah"!!!_::
Usrah merupakan satu daripada enam elemen yang diperkenalkan oleh Ikhwan al-Muslimun dalam meningkatkan mutu pertarbiahan ahli gerakan Islam. Ia bermatlamatkan membina ukhuwah atas sendi aqidah, fikrah, kesedaran, dan cita-cita. Matlamat ukhuwah diletakkan sebagai matlamat tertinggi di samping proses menerapkan kefahaman dan membina kaderisasi yang bernilai.
Ukhuwah dianggap sebagai asas kejayaan bagi sesebuah gerakan sebagaimana termaktub dalam nas-nas yang sorih. Ia dijadikan sebagai imad dan autad yang menjadi pemangkin, seolah-olah akar yang mencengkam bumi, jauh ke dalam. Proses membina ukhuwah mestilah kreatif dan biasanya ia terbina setelah melalui halangan-halangan kepayahan.
Puzzle adalah gambarannya, ada yang besar dan ada yang kecil, saling melengkapi antara satu sama lain. Konsep ithar melangkaui walaw kaana bihim khasasah adalah tahap tertinggi dalam konsep ini, sekurang-kurangnya berlapang dada dan meletakkan segala keburukan pada diri sendiri dan menyahkan perasaan prasangka tidak menentu terhadap orang lain.
Konsepnya sebegini: Lupa kebaikan diri, tetapi ingat kebaikan orang. Ingat keburukan diri, tetapi lupa keburukan orang. Dalam usrah, soal ini yang dibina. Seolah-olah, tayar sahaja tidak dianggap kereta. Stereng juga tidak boleh dikatakan kereta. Tetapi gabungan kesemua termasuk pintu, baru membentuk sebuah kereta. Kepala tidak indah tanpa rambut sebagaimana tangan tidak berguna tanpa oto-otot yang menggerakkannya. Tubuh pula tidak bernyawa tanpa jantung yang berfungsi.
ELEMEN-ELEMEN PENGUAT USRAH
Elemen terpenting dalam pembentukan adalah murabbi. Murabbi adalah penternak yang berjiwa dan mempunyai selera yang tinggi untuk memenangkan Islam dengan apa cara sekalipun. Ini digambarkan oleh Sa’id Hawwa berkenaan gurunya, betapa gurunya bekerja mempertahankan Islam seolah-olah Islam seekor kambing yang disembelih.
Murabbi tidak boleh hanya seorang yang soleh tanpa menafikan kesolehan sebagai faktor terpenting. Murabbi perlu melengkapi dua faktor utama mencakupi kesolehan dan kebijaksanaan. Ia boleh kita sebutkan juga sebagai kuasa Al-Quwwah wa al-Amanah. ‘Umar menyatakan kebimbangan terhadap maksiat-maksiat yang dilakukan kerana dibimbangi akan menghilangkan keberkatan, dan dalam masa yang lain beliau menyatakan kegusaran terhadap orang yang tinggi taqwa tetapi tidak strategis.
Murabbi menghayati makna mas’ul dan melengkapi raa’in. Mereka mendidik ahli mengikut kesesuaian zaman mereka, bukan mengikut zaman mereka ditarbiah. Mereka memahami kalam Albert Enstein: Permasalahan masa dahulu akan dapat diselesaiakn dengan pemikiran masa sekarang.
Idealisme mereka memuncak dan mereka mencintai pembaharuan. Seorang sarjana menyebut, perkara yang sentiasa berganjak dan tidak static adalah perubahan. Mereka sentiasa mencari strategi untuk membentuk ahli mereka.
Elemen seterusnya adalah manhaj tarbiah. Namun manhaj tarbiah dan elemen seterusnya bukanlah satu perkara yang terpenting jika dibandingkan dnegan murabbi, kerana dalam membentuk fard muslim yang bernyawa, seorang murabbi tidak akan mengira siapa sahaja yang menjadi anak didik mereka. Tidak perlu kita katakan nilai kesetiaan dan kepatuhan itu penting, cukuplah dikatakan sebagai supplement dan perencah menambah rasa.
Namun janganlah sampai kita mengabaikan manhaj ini kerana sesuatu yang bermanhaj akan melicinkan lagi perjalanan. Ia ibarat minyak pelincir yang banyak memberikan manfaat kepada gerakan Islam. Struktur manhaj boleh diperhalusi berdasarkan sirah-sirah nabi SAW dan apa yang telah disusun para ulama haraki yang faqih, bukan hanya alim.
Pembentukan ahli jangan hanya dilihat dari kaca mata nilai budi dan ilmu semata-mata, kerana sejarah membuktikan Islam pernah bangkit di tangan orang yang kurang nilai budi dan kurang berilmu. Khalid al-Walid telah melanggar beberapa arahan nabi dan bertindak semberono tetapi beliau merupakan enjin utama kepada gerakan. Ikramah belum sempat mendalami ilmu sedalam mungkin tetapi mati sebagai syuhada’ dalam membela Islam. Senangnya disebut, kita jangan menyangka hanya orang yang ‘baik’ menjadi pemenang kepada Islam.
Justeru, pemilihan ahli mestilah meluas. Kita mungkin boleh menyandarkan kekuatan kita kepada kata-kata Umar al-Khattab: Sesungguhnya nilai Islam ini berkurangan sedikit demi sedikit apabila tiada lagi orang yang mengenal jahiliyah dalam Islam.
MEKANISME USRAH
Apabila dikatakan pemilihan ahli ini luas dan tidak terbatas dalam satu-satu sempadan, maka nilai kekreatifan dan kritis sangat mustahak. Mungkin usrah akan berbentuk ilmu jika ahlinya terdiri daripada pencinta ilmu, atau boleh jadi juga sebaliknya. Usrah mungkin boleh jadi praktikal dan bersifat amali jika ahlinya terdiri daripada orang yang banyak bergerak daripada bercakap, namun boleh juga jadi sebaliknya sebagaimana di atas.
Usrah boleh dibuat dalam bentuk daurah yang leboh menitik-beratkan soal perbincangan. Alangkah baik sekiranya apa yang dibincangkan dimuatkan dalam satu kertas kerja idea lalu dibentangkan di peringkat yang lebih tinggi, atau sekurang-kurangnya dijadikan sahaja bahan rujukan. Usrah boleh dibuat dalam bentuk yang agak ‘memaksa’ dalam melatih ketekunan dan kekuatan ahli sekaligus menjadikan ahli sebagai nadi utama gerakan.
Malah ia boleh juga dibuat dalam riadah, ziarah, dan sebagainya. Kita tidak boleh terlalu rigid dengan usrah sehingga kita menganggap usrah sebagai medan yang agak ‘ortodoks’ dan beku, sebaliknya usrah mesti digerakkan dalam bentuk fluidity yang mencair dan menyerap, bagaikan aliran air yang tidak mampu disekat oleh mana-mana batu.
Justeru, kemungkinan naqib akan membuat tayangan video, atau belanja makan malah ‘dibelanja’, bermain teka-teki, belajar bersama-sama, membuat operasi khusus Malam Merdeka atau Malam Tahun Baru, bermain carrom atau chess, belajar skill computer, berniaga kecil-kecilan dan sebagainya. Semua ini anjal dilaksanakan dengan syarat unsur kefahaman dan kesedaran mesti diberikan secara implisit dan eksplisit.
TADRIJ
Unsur tadrij sangat penting dalam mana-mana tarbiah. Kita tidak boleh memetik buah sebelum masaknya, atau menggerakkan kereta di waktu pagi tanpa memanaskan enjin terlebih dahulu. Malah nabi SAW mengajar kita, untuk bertahajud sekalipun memerlukan kepada solat sunat dua rakaat yang ringkas.
Tadrij bermaksud beransur-ansur. Bermakna, dalam tarbiah memerlukan kepada pemeringkatan dalam memastikan ahli usrah akan melalui kesmeua pengalaman tarbiah dalam bentuk yang lebih membumi. Seseorang yang tidak melalui unsur tadrij akan mudah tenggelam dan lemas sekalipun pada awalnya mereka merupakan seorang yang sangat bersemangat.
Dalam tadrij, satu perkara yang boleh dikadikan peringatan ialah, jangan kita ingin melihat hasil sesuatu perkara dalam jangka terdekat kerana perjuangan memerlukan kepada jangka hayat yang panjang dan memerlukan nafas yang tidak semput.
PENUTUP
Terlalu banyak perkara yang ingin disentuh berkaitan dengan usrah. Perbincangannya terlalu panjang dan ia memelukan kepada syarahan lisan dan pembacaan yang meluas. Kita tidak boleh lagi terikat dengan pendekataan Al-Banna secara rigid tetapi mengadaptasikannya mengikut kesesuaian.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtiKaL ~ ::_aSsyabaB!!!_::
Kisah ‘Umar al-Khattab bertanyakan imaginasi sahabat-sahabat beliau masih terngiang-ngiang di benak saya. Seorang sahabatnya berimaginasi memiliki hartayang membukit lalu diinfaqkan seluruhnya pada jalan Allah. Seorang lagi juga begitu, tinggi melangit imaginasi yang dipasangnya.
Namun ‘Umar lain. ‘Umar berimaginasi memiliki pemuda-pemuda yang soleh, pintar dan perkasa sebagaimana beberapa sahabat nabi.Pemuda sebegitulah yang bakal menyemarakkan perasaan berselera untuk meninggikan Islam dalam apa jua keadaan dan pemuda sebegitulah yang bakal memastikan kemuliaan Islam tercapai kelak.
Lebih kurang sahaja Sukarno yang terkenal dengan pidatonya yang berapi-api, jika beliau diberi 100 orang tua, akan ia goncangkan sebuah gunung yang terdapat di Indonesia, manakala jika ia diberi 10 orang pemuda, akan ia goncangkan dunia. Justeru, memang terdapat pepatah arab menyebut: “Himmah (cita-cita/harapan) seorang pemuda boleh menggoncangkan bukit-bukau”.
Pemuda seharusnya berjiwa kepemudaan, tidak boleh bersifat ketuaan. Kepemudaan melambangkan semangat yang membara-bara dan penuh dengan tenaga dan selera ingin bertindak. Kepemudaan adalah golongan yang hanya berfikir ingin bergerak dan bertindak meskipun cabaran banyak di hadapan. Kepemudaan melambangkan golongan yang sangat berani melakukan sesuatu dan tidak mudah terpengaruh dengan unsur-unsur pelemah.
Kita tidak terlalu bersifat nostalgik. Lalu kita masih lagi tidak lekang menceritakan tentang keunggulan Islam di zaman kemuncaknya di Andalusia, kota lagenda 1001 malam Baghdad, Pulau Sicily di Selatan Italy, Constantinople di zaman Sultan Muhammad bin Murad al-Fateh, Palestin di bawah genggaman Solahuddian al-Ayyubi, dan sebagainya. Kita tidak boleh lagi terlalu berbangga dengan kebijaksanaan Ibnu Sina, kepintaran Omar Khayyam, ketinggian akal Ibnu Nafis, kecerdikan al-Ghazali atau sesiapa sahaja.
Ya, tidak salah hal ini diungkapkan untuk mengimbau kekuatan lampau dengan tujuan memercikkan semangat kesedaran dan keinsafan, tetapi hal ini janganlah terlalu bersifat retorika dan nostalgika sehingga melupakan kita daripada matlamat perjuangan yang ada di hadapan mata sekarang.
Kata pujangga: ''Bukan seorang pemuda yang asyik dengan sejarah ayahnya, saudaranya, atau datuknya, tetapi pemuda yang sebenarnya akan berkata, inilah aku''.Pemuda mesti mencipta sejarah, bukan hanya berbangga dengan sejarah. Kepemudaan bukan hanya milik orang muda, malah ia juga milik orang tua. Kepemudaan yang unggul disebut oleh al-Banna: “Berikan aku 300 katibah, yang mana rohnya sarat dengan iman dan taqwa, dadanya padat dengan ilmu dan thaqafah, jasadnya terlatih dengan latihan, maka ketika itu jika kamu mengajak aku untuk meneroka angkasa lepas, menembusi bumi tujuh petala, menghancurkan kepala penjajah, aku sanggup”.
Malah apabila 4000 orang tentera Islam berhadapan dengan puluhan ribu tentera musuh, mereka meinta bala tentera bantuan daripada ‘Umar al-Khattab. Kisah ini sangat menarik apabila ‘Umar hanya menghantar dalam 4004 orang sahaja tentera tambahan. Lalu ‘Umar menyebut, 4000 bila ditambah 4000, jumlahnya adalah 8000. Manakala aku juga menghantar 4 orang komander, yang mana seorang daripada mereka setaraf dengan 1000 orang tentera musuh. Lalu jumlah kesemuanya adalah 12000 orang dan ketahuilah jumlah 12000 adalah jumlah yang tidak terkalah berdasarkan hadis nabi SAW”.
Alangkah tingginya pandangan dan harapan Amirul Mukminin kedua dalam dunia Islam ini.Saya ingin sudahkan tulisan saya pada kali ini dengan memetik satu ayat al-Quran yang menceritakan tentang jiwa yang ada pada pemuda Ashab al-Kahfi, dengan harapan mudah-mudahan ia menjadi sumbu kepada kekuatan umat Islam masa kini.“Sesungguhnya merekalah fityah (pemuda) yang beriman kepada Tuhan mereka, lalu kami tambahkan bagi mereka petunjuk”.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtiKaL ~ ::_Antara Hidup & Mati!!!_::
Dari Abu Musa RA, Rasulullah SAW bersabda, “ Perumpamaan orang yang berzikir dengan yang tidak berzikir, seperti orang yang hidup dan orang yang mati.” (HR Bukhari fi ad-Da’awat, 11/208).
Hidup dan mati. Demikianlah ilustrasi yang diungkapkan Rasulullah SAW bagi menggambarkan orang yang berzikir dan yang tidak. Apakah dimensi, fungsi, serta kedudukan zikir sehingga orang yang melakukannya di ibaratkan seperti yang hidup manakala yang tidak melakukannya digelar sebagai mati?
Fungsi dan kedudukan zikir bagi hati setara dengan fungsi makanan bagi tubuh. Seseorang yang tidak memenuhi keperluan ruang hati dan rohnya dengan zikir, samalah umpama tubuh yang tidak diberi bekalan makanan sebagai sumber kekuatan. Tubuh yang tidak memperolehi makanan akan menjadi lemah, tidak berdaya dan mudah diserang penyakit. Bila keadaan ini berterusan ia boleh menyebabkan kebuluran dan padahnya adalah membawa kepada maut.
Demikian juga dengan hati yang kosong dari zikrullah. Semakin hari ia semakin lemah apabila bekalan makanan tidak diperolehi. Ia akan mudah terumbang-ambing, goyah dan resah. Hati menjadi mudah dikuasai hawa nafsu yang dikendalikan syaitan disebabkan tiada daya ketahanan. Akhirnya apabila keadaan ini berterusan sebagaimana yang menimpa tubuh , hati juga menemui nasib yang sama iaitu mati.
Hati yang mati adalah hati yang tidak dapat menjalankan apa-apa fungsi. Manusia yang memiliki hati yang sakit atau mati, adalah manusia yang hidup tanpa nilai, tanpa pengemudi. Neraca penentuan sikapnya hanya ditentukan oleh kehendak hawa nafsu. Keadaan mereka ini lebih dahsyat jika dibandingkan dengan orang yang mati fizikalnya. Manusia yang mati secara fizikal tidak membawa kemudharatan kepada manusia disekelilingnya namun mereka yang mati hatinya akan merugikan malah memudharatkan orang lain.
Orang yang mati hatinya, akan bertindak dalam konteks memenuhi kehendak hawa nafsu serta kesenangan peribadi. Ini sudah tentu menjerumuskan diri sendiri ke lembah kehancuran serta menyeret sama manusia lain. Oleh itu tepat sekali perumpamaan Rasulullah di atas; hidup dan mati.
Zikir sebagai ubat
Mirip dengan perumpamaan dalam hadis di atas adalah ungkapan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah yang pernah menyatakan, “Zikrullah bagi hati, seperti air bagi ikan. Bagaimana keadaan ikan bila keluar dari air?” Manakala Imam Hasan al Basri, ulamak terkemuka pada zaman tabi’in, juga pernah menjawab keluhan seorang pemuda tentang kekesatan hatinya. Beliau mengatakan, “Ubati hatimu dengan zikir.”Hati yang rutin diisi dengan zikir kepada Allah, akan menjadi kuat, teguh, istiqamah, mampu mematahkan serangan dan pengaruh hawa nafsu yang dikendalikan oleh syaitan.
Malah yang lebih penting hati ini akan dekat kepada Allah, terhindar dari rasa keluh kesah dan gelisah. Hati dan wajahnya pula memancarkan sinar, selalu optimis, sukacita dan gembira.
Zikrullah (ingat kepada Allah) bukan sekadar kita mengingati Allah malah secara timbal balik akan menjadikan Allah ingat kepada orang yang melakukannya. Sebagaimana Allah SWT berfirman, “Berzikirlah kamu kepada Ku, nescaya Aku ingat kepadamu.” (QS al Baqarah:152)
Sederhana dan mudah
Zikrullah begitu sederhana dan mudah dilaksanakan. Namun , ganjaran yang diperolehi dapat melebihi ganjaran ibadah lain. Dalam sebuah hadis hasan sahih riwayat Tarmidzi, Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang mengatakan subhanallah wa bihamdihi, akan ditanamkan untuknya pohon kurma di syurga.”Seorang pemuda bertanya kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, sesungguhnya pintu-pintu kebaikan itu banyak, tapi aku tak mampu melakukan seluruhnya. Beritahukanlah kepadaku nasihat apa saja yang dapat aku pegang teguh, nasihat yang singkat sehingga aku tidak mudah melupakannya.” Rasul menjawab, “Basahilah lidahmu selalu dengan zikrullah.” (Hadis hasan gharib riwayat Turmudzi, 9/314, disahihkan oleh Az Zahabi).
Itulah zikrullah begitu mudah untuk dilaksanakan. Namun berapa ramai umat Islam yang membasahi lidahnya dengan zikrullah ? Amat rugilah kita apabila lidah kita hanya dibasahi dengan lagu-lagu dan irama merdu yang mengasyikkan dan bukan zikrullah.
Paling utama
Zikrullah banyak ragamnya. Boleh dilakukan dengan menyebut asma’ Allah (nama-nama Allah), sifat dan memuji Nya seperti ucapan subhanallah, alhamdulillah, laa ilaaha illa llah, dan zikir-zikir lain yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Juga boleh dilakukan dengan berdakwah di jalan Allah, menyeru dan menyampaikan kepada manusia tentang sifat-sifat Allah, hak Allah, perintah dan larangan Allah, kewajipan hamba kepada Nya dan sebagainya. (Tazkiyatun Nufus wa Tarbiyatuha, Ahmad Farid). Yang paling utama, disamping bentuk-bentuk zikir tersebut adalah tilawatul Qur’an (membaca al-Qur’an).
Bila aktiviti zikrullah terhadap hati dikategorikan sebagai makanan bagi tubuh, maka tilawatul Qur’an merupakan makanan paling berkhasiat bagi hati. Khabab bin Art RA pernah berwasiat kepada seseorang, “Hampirkanlah diri anda kepada Allah mengikut batas kemampuanmu. Dan ketahuilah bahawa anda tak mungkin mendekati Allah dengan sesuatu yang lebih Dia cintai daripada firman Nya.”Tilawah al Qur’an merupakan bentuk zikir yang paling utama. Maka al Qur’an merupakan sumber penawar dan ubat dari berbagai penyakit hati.
Ini bertepatan dengan janji Allah SWT seperti firman Nya, “Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (QS Yunus:57).Dalam ayat lain pula, “Dan Kami turunkan dari al Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan al Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” (QS al Isra’:82).
Inti keresahan
Al Qur’an merupakan penawar dan penjelas. Penawar atau ubat bagi penyakit syahwat, dan segala sesuatu yang syubhat (meragukan). Penjelas bagi maklumat di atas segala perkara yang haq dan batil. Keduanya dapat membentuk kebersihan hati, sekaligus kejernihan persepsi. Dengan hati yang bersih dan pandangan yang lurus, hidup seseorang menjadi tenang dan istiqamah.
Tanpa zikrullah, hati menjadi kotor, dan persepsi tentang berbagai perkara menjadi kabur dan samar malah sentiasa keliru. Inilah yang menjadi inti keresahan, kegelisahan dan was-was.“Ketahuilah, bahawa dengan zikrullah hati menjadi tenang.” (QS ar Ra’du:28)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

~ aRtikaL ~ ::_Kenapa Saya Merasa Bahagia?_::
Bismillahirrahmaanirrahiim...
Tulisan ini merupakan muhasabah diri yang Alhamdulillah, dengan rahmat Allah, masih dan semoga senantiasa merasakan kebahagiaan berumah tangga. Dan juga ungkapan rasa syukur atas nikmat yang Allah berikan selama ini.
Kumohon kebaikan, rahmat, dan redha-Mu ya Allah
Kita tidak pernah tahu bagaimana Allah memberikan jodoh. Adakalanya manusia berikhtiar, tapi Allah belum mengizinkan, adakalanya kita tidak sedang memikirkan tentang rencana kahwin, tapi Allah datangkan jodoh kita. Buat saya rencana berkahwin boleh dikata datang tiba-tiba. Masih segar dalam ingatan bagaimana gundahnya hati bertanya, ya Allah apakah ini saatnya? Wahai diri ingatlah, saat itu kamu hanya mampu memohon kebaikan , rahmat dan redha Allah semata. Terasa sekali tidak ada yang bisa menenangkan kegelisahan jiwa akan sebuah keputusan yang besar untuk berkahwin kecuali dengan berserah kepada-Nya. Wahai diri, mengapa setelah mengharungi bahtera rumah tangga kadangkala kamu lupa, hanya bersandar pada Allah semata semua urusan akan terasa mudah? Sungguh, hanya dengan berserah kepada Allah semua kesulitan bisa dihadapi dengan lapang.Laa hawla wala quwwata illa billaah….
Aku berusaha tahu apa yang aku mau dan aku mau kamu juga tahu sayangku..
Saya lanjutkan catatan ini dengan menekankan perlunya setiap diri, baik calon isteri dan calon suami untuk senantiasa berusaha mengetahui apa-apa yang menjadi rencana hidupnya di kemudian hari. Ikhtiar untuk mengenali diri kita, kelemahan dan kekuatan, serta rencana-rencana ke depan yang telah kita susun sebelum bertemu, merupakan titik awal komunikasi calon suami isteri yang sangat penting.
Disinilah kita belajar hal-hal yang dianggap penting oleh calon pasangan kita masing-masing. Mengingat bahawa suami akan menjadi kepala rumah tangga, dan secara Islam tanggung jawab seorang perempuan berpindah dari tangan ayahnya ke suaminya, kemampuan untuk mendefinisikan, membahagi, dan menyelaraskan rencana kehidupan ke depan menjadi sangat penting bagi perempuan. Sayangnya, hal ini pulalah yang seringkali luput dari perhatian ketika akan atau telah berkahwin.
Ada yang berpikiran, sebagai isteri ketaatan kepada suami (setelah ketaatan kepada Allah) adalah yang utama, maka cukuplah bagi saya berkhidmat atas keputusan suami. Ada pula yang berfikiran bahawa insya Allah, (calon) suami saya orang soleh, tentu dia tidak akan berbuat zalim terhadap isterinya. Ada juga yang tidak ingin memberatkan dan menyusahkan suaminya…Itu semua betul saudariku, tapi itu semua juga tidak menghilangkan pentingnya kita mengkomunikasikan rencana kita atas diri kita selama ini. Rencana-rencana yang kita bagi bukan untuk menyusahkan suami, tapi justeru untuk memenuhi haknya agar dia menjadi pemimpin yang adil.
Ayah dan ibu kita, mengenal kita sejak kita lahir, tentu mereka tahu apa yang membuat kita bahagia dan apa yang membuat kita sedih, apa yang membuat kita bersemangat dan apa yang membuat kita lesu dan kehilangan gairah. (Calon) suami kita pun perlu dan berhak tahu. Mengapa? karana dia berhak dan perlu mengenal kita seutuhnya, apa adanya, yang dengan pengetahuan itu dia menjadi pengambil keputusan yang adil atas urusan-urusan kita. Tentu, rencana-rencana tadi bukan untuk kita paksakan setelah kita berumah tangga, tapi untuk kita selaraskan dengan rencana-rencana pasangan kita.
Wahai suami, berusahalah untuk tahu rencana-rencana hidup isterimu, terutama sebelum dia bertemu dan berkahwin denganmu. Sekian tahun umur isterimu dia habiskan sendiri dengan segala rencana, perjuangan, dan aktualisasi diri. Itulah yang menjadikan dirinya sebagaimana kamu melihatnya ketika akan berkahwin. Jangan sampai kelalaian para suami untuk mencari tahu hal-hal yang menjadi semangat dan kebahagian isteri sebelum berkahwin, menjadikan masalah dalam rumah tangga di kemudian hari. Banyak masalah perempuan setelah berkahwin terkait dengan isu mendasar ini. Dimana tanpa disadari seorang isteri atau seorang ibu kehilangan gairah dan semangat hidupnya dari hari ke hari.
Inilah pilihanku, insya Allah ini yang terbaik buat keluarga kami saat ini
Setelah kita awali komunikasi dalam rumah tangga dengan berbagi harapan dan rencana hidup kita, saatnya bagi kita untuk menyelaraskan itu semua dan menyusun rencana bersama. Kehidupan rumah tangga tentu sesuatu yang sangat baru bagi kita berdua. Sesuatu yang baru ini tentu menuntut penyesuaian atas segala harapan, rencana, dan kebiasaan kita selama ini.
Satu hal penting yang seringkali terlupa adalah hendaknya setiap diri (baik isteri maupun suami) bisa mengatakan: “inilah pilihan saya, insya Allah inilah yang terbaik untuk keluarga kami saat ini”. Kemampuan untuk mengatakan kalimat ini sangat penting, ini menunjukkan bahawa apa yang kita jalani adalah pilihan kita atas ikhtiar manusiawi kita membuat rencana kehidupan rumah tangga.
Disini pentingnya kita sama-sama mengenali diri, sehingga pilihan ini bisa mengakomodasi rencana-rencana diri. Jadi hidup berumah tangga bukan hanya didasarkan pada “kepasrahan” atas apa yang ada di depan mata, tapi lebih kepada “keredhaan” atas apa yang akan kita jalani. Dengan kemampuan ini, perempuan yang semula aktif di luar rumah tidak akan merasa sedih jika keaktifannya hanya di rumah saja dan memfokuskan pada mengurus suami, anak, dan keluarga jika memang itu yang paling baik untuk keluarga itu pada saat itu. Atau jika pilihan kita berbeda, misalnya kita memilih untuk tetap beraktiviti (entah itu sekolah, dakwah, atau bekerja), kita bersabar akan kondisi yang kita hadapi…
Intinya adalah, dengan menyedari bahawa keputusan ini adalah pilihan yang kita ambil, insya Allah kita akan percaya diri menjalani pilihan hidup kita saat itu. Pilihan kita mungkin sama dan juga mungkin tidak sama dengan orang lain, tapi insya Allah pilihan itu yang lebih baik bagi kita saat itu. Mengapa saat itu? Ya, kerana pilihan-pilihan kita bisa berubah bergantung kondisi rumah tangga. Punyai anak kecil yang sedang menyusu, tentu berbeda dengan pilihan aktiviti ketika anak sudah mulai besar, misalnya. Satu hal yang tidak pernah berubah adalah visi dan rencana jangka panjang keluarga ini, sesuatu yang membuat kita berdua sama-sama bersemangat mengayuh bahteranya.
Kenali orang tuaku, kamu akan lebih kenal aku
Mari sempatkan dirimu mengenal orang tuaku, suamiku. Disana engkau akan lebih mengenal aku dan mencintai orang tuaku. Insya Allah aku akan senantiasa sempatkan mengenal orang tuamu. Dengan begitu aku akan lebih mengenalmu dan mencintai orang tuamu. Sehingga kamu tahu kebiasaan-kebiasaan mereka terhadapku dan aku tahu kebiasaan orang tuamu terhadapmu.
Maafkan aku jika belum bisa memasakkan makanan seenak ibumu, sebagaimana aku maafkan engkau jika belum bisa mencukupi kebutuhan rumah seperti yang selama ini ayahku sediakan untukku. Mengenal orang tua kita bertujuan agar kita lebih empati satu dengan yang lain, bukan agar kita saling memaksakan kondisi kita sebelumnya. Ayuh, rumah tangga ini milik kita…bukan milik mereka…
Urusan harta di tangan Allah, tapi mari kita bina kekuatan ekonomi kita
Ya, rezeki di tangan Allah. Tapi, kita bisa berusaha mencukupi kebutuhan kita. Mari jadikan kekuatan ekonomi salah satu sendi rumah tangga ini. Bukan untuk menjadi orang kaya, kerana rezeki kita sudah ditentukan Allah batasnya. Tapi untuk meninggalkan keturunan yang lebih baik, untuk menghindari sandungan yang lebih besar dari sisi ekonomi ini. Jangan jadikan dia tujuan, tapi jadikan dia sarana yang mendukung hidup kita, yang menyamankan kasih sayang dalam rumah ini. Mari kita berikhtiar, barulah setelah itu kita cukupkan rezeki yang Allah berikan.
Kita awali dengan komunikasi, kita jaga dengan komunikasi
Setelah kita awali rumah tangga ini dengan komunikasi, maka komunikasi jugalah yang kita perlukan untuk menjaganya. Harus ada waktu kita berdua bicara dari hati ke hati. Sesibuk apapun urusan dunia ini. Disitulah kita berusaha saling memperbaiki diri. Berkomunikasi bukan berarti semata-mata berkeluh kesah dan menyulitkan, berkomunikasi adalah upaya untuk menyelesaikan persoalan, mengungkapkan perasaan, dan meningkatkan ikatan cinta dan kepercayaan. Bicaralah saudariku kalau kamu lelah setelah sepanjang malam meyusui, atau lelah setelah seharian mengurus anak-anak yang sangat aktif…atau engkau merasa sepi dan jenuh dengan rutinmu……..bukan, bukan untuk mengeluh saudariku, Cuma sekedar untuk suamimu tahu perasaan hatimu.
Insya Allah, kesholihanmu akan menjagamu dari berkeluh kesah…dan kesholihannya akan membuatnya lebih memahami dirimu.Jangan simpan marahmu, jangan simpan kecewamu, jangan simpan kesedihanmu, kecuali itu memang hal kecil yang bisa engkau ikhlaskan. Tapi jika itu menjadi kerikil yang mengganjal, lebih baik engkau ungkapkan sebelum kerikil menumpuk menjadi batu sandungan.Jadikan komunikasi sebagai ungkapan cinta.
Bantu aku mengurus anak-anak dan rumah kita suamiku
Ya,tugasku sebagai isteri mengelola rumah ini. Tapi bukan bererti aku tidak memerlukan bantuanmu. Mari kita berkongsi pekerjaan sesuai dengan kemampuan kita masing-masing. Tidak ada pekerjaan yang menjadi monopoli isteri (kecuali hamil dan menyusu) sebagaimana tidak ada pekerjaan yang menjadi monopoli suami. Biar aku kerjakan hal ini, kerana aku lebih baik dalam mengerjakannya. Bantu aku untuk hal lain yang engkau lebih baik dalam mengerjakannya saat ini.
Sungguh suamiku, bukan prestasimu yang membuat aku bahagia…keikhlasanmu membantu urusan rumah tangga membuatmu lebih mulia dimataku…meski kadang tidak dimata orang lain….
Anak-anak adalah amanah
Dulu aku sulit fahami kata-kata ini. Sekarang aku semakin yakin akan maknanya…ya, anak-anak itu adalah amanah Allah. Kita tidak bisa pesan ingin punya anak yang seperti apa…yang kita bisa lakukan adalah berupaya sebaik mungkin memberikan contoh dan mengajarkan kebaikan kepada mereka…Satu kalimat inilah yang senantiasa menghiburku…ketika hati ini terasa lelah…ketika anak-anak kita yang sangat aktif tidak juga mau beristirahat. Ketika kita sudah berusaha, tapi banyak sekali kekurangan disana-sini. Ya, Allah engkaulah yang maha pendidik...maka didiklah anak-anak kami...
Mari beristirahat…
Mari beristirahat, ketika diri ini sedang lelah… Jangan paksakan diri kita melebihi kemampuan kita. Tawazunlah…beristirahatlah sebelum jiwa ini lelah. Tumpukan baju bisa kita rapikan setelah diri yang lelah ini beristirahat…..mereka bisa menunggu. Tapi, jiwa kita yang lelah tidak bisa mengelakkan godaan emosi jika kita tidak istirahatkan. Beristirahatlah saudariku, penuhi hakmu, insya Allah engkau akan bisa memenuhi dengan adil hak2 suami dan anak-anakmu. Mari kita luangkan masa dan berhibur dengan keluarga. Bukan untuk membuang wang, tapi untuk meningkatkan cinta kasih keluarga ini. Ayuh, kita bisa pilih hiburan yang sesuai dengan kemampuan kita, yang penting kita punya waktu untuk tertawa bersama.
Maafkan aku dan aku maafkan dirimu, diri ini tidak sempurna, dirimu juga begitu, cukuplah Allah sebagai penolong kita
Ketika kita menjalani rumah tangga, banyak hal baru yang kita temui dari pasangan kita. Kadangkala baik, kadangkala tidak. Itulah sifat insaniyah kita. Tidak perlu memaksakan semuanya menjadi ideal, kerana kesempurnaaan bukan sifat manusia. Kesempurnaan hanya miliki Allah. Kebiasaan untuk saling meminta maaf adalah hal yang berat, tapi kebiasaan ini menunjukkan sihatnya komunikasi kita…menunjukkan penghargaan kita atas pasangan kita.
Sungguh, memaafkan lebih baik daripada mengungkit-ungkit kesalahan, sehingga syaitan masuk dan menggoda kita. Ingat, tidak ada manusia yang sempurna.
Dari Muslimah...

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS