~ aRtiKaL ~ ::_Muslimah Hari Esok -@ Epilog 3 @-_::
WANITA MUSLIMAH ANTARA DUA ZAMAN
Wanita moden hari ini ingin mengubah identity mereka sama seperti wanita eropah. Apa yang pasti, timur tetap timur…barat tetap barat. Bertitik tolak dari sini dapat kita katakan bahawa wanita Islam pada hari esok – InsyaAllah akan bebas daripada belenggu taklid ini, dan kembali mempercayai dirinya sendiri, melihat zaman lampaunya dengan pandangan yang berbeza.
Dia akan kembali merenung hari semalam, bukan semalam yang hampir, bahkan kelmarin yang jauh.
Semalam Yang Hampir
Wanita hari ini telah melepasi dua zaman silam; semalam yang hampir yang penuh kemunduran. Pastinya kita tidak mahu mereka kembali ke zaman itu kerana amat menyedihkan wanita pada zaman tersebut hidup dalam keadaan terpinggir dan diselubungi kejahilan.
Mereka diketepikan dalam urusan kehidupan, agama dan dunia. Mereka ditegah pergi ke masjid, sedangkan masjid merupakan tempat melaksanakan tuntutan agama dan kehidupan. Umat pada zaman tersebut diselubungi kerosakan dan keruntuhan moral yang berluasa, dan dengan keluarnya wanita ke khalayak umum mendedahkannya kepada bahaya fitnah. Rentetan daripada itu, para ulama’ telah mengeluarkan fatwa agar golongan wanita khususnya pemudi, tidak dibenarkan ke masjid kecuali golongan tua yang telah dimamah usia, dan diwajibkan ke atas suami membimbing isterinya, begitu juga bapa wajib mengajar dan memberi kefahaman sebenar kepada anak perempuannya yang masih bujang.
Namun apa yang terjadi, bapa tidak dapat mengajar anaknya sendiri. Bagaimana dia hendak memberi bimbingan sedangkan dia sendiri memerlukan pembimbing?! Orang yang tidak memiliki manakan mampu! Di kala itu, bapa, saudara, dan suami tidak akan mampu membimbing….wanita diharamkan keluar ke masjid untuk mengikuti pengajian, tazkirah dan khutbah. Kesannya, mereka terus terpinggir dan terbiar di dalam kejahilan. Tidak mengetahui kewajipannya terhadap suami dan anak-anak sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam, tidak berupaya mendidik anak-anak dengan sempurna, senantiasa memomokkan tahyul serta khurafat. Amat mendukacitakan kita apabila kesan pemikiran para ibu zaman tersebut masih dapat kita rasai hingga ke hari ini.
Dewasa ini, wanita keluar dari rumah menuju sekolah, universiti, pasar, tempat kerja, pawagam dan sebagainya. Tetapi hanya satu tempat yang sepatutnya dia kunjungi tapi tidak dijejakinya iaitu masjid rumah Allah. Mengapa mereka tidak pergi ke masjid? Sedangkan wanita seluruh dunia pergi ke tempat ibadat mereka; wanita Nasrani pergi ke gereja, wanita Yahudi mengunjungi biara, malah Hindu mendatangi kuil mereka. Semua masyarakat yang beragama pergi ke tempat ibadat mereka…
Namun kenapa wanita Islam tidak pula ke masjid? Dan mengapa tidak disediakan kelas-kelas pengajian yang sistematik untuk mereka? Mengapa mereka tidak menghadiri solat jumaat dan berjamaah? Sedangkan wanita pada zaman Nabi s.a.w ikut menghadiri solat jemaah. Saf hadapan untuk lelaki, manakala saf belakang dikhususkan untuk kaum wanita.
Pada zaman itu, kaum wanita dan lelaki keluar masuk masjid melalui pintu yang sama dan berterusan keadaan untuk satu tempoh yang agak lama, sehinggalah pada suatu hari Rasullah s.a.w bersabda : “Kalaulah kamu khususkan pintu ini untuk wanita..” lalu baginda S.A.W menunjuk ke arah salah satu pintu masjidnya. Maka Ibnu Umar r.a berkata : “Aku tidak akan masuk melalui pintu ini lagi selepas ini.” Sehinggalah ke hari ini pintu yang berada di Masjid Nabawi itu dikenali sebagai ( Pintu Wanita ).
Di zaman kemunduran itu, wanita dipaksa berada di dalam keadaan terpinggir diselubungi kejahilan, mengakibatkan ketidaksempurnaan dalam menunaikan tanggungjawab rumahtangga, anak-anak dan suami bahkan kewajipan terhadap Tuhannya turut terabai. Ramai di kalangan wanita Islam meninggalkan sembahyang lantaran kejahilan mereka. Mereka meninggalkan kefardhuan harian yang asas, sedangkan ia merupakan tiang agama dan garis pembeza antara Islam dan kufur.
Kita tidak mahu kembali ke zaman kemerosotan dan kemunduran itu. Kita inginkan muslimah hari esok mengulangi sejarah kecemerlangan muslimah di awal kebangkitan Islam yang sezaman dengan Rasullah s.a.w, para sahabat, tabien dan di zaman kegemilangan pemerintahan Islam, di mana mereka telah memahami dan melaksanakan segala hak dan tangunggjawab secara sempurna. Kita ingin dia mengetahui kewajipan terhadap Allah s.w.t lalu menunaikannya, mengenal Tuhannya secara sempurna lalu mengabdikan diri dengan sebaik-baik pengabdian, menyempurnakan ibadah puasa, bersembahyang lima waktu, memelihara kehormatan diri dan mentaati suami, lantas dengan itu dia layak dan berhak menghuni syurga Allah s.w.t.
Kelmarin Yang Jauh
Kaum wanita di zaman Nabi s.a.w senantiasa mendatangi baginda s.a.w dan terus bertanya segala masalah sehingga kepada perkara-perkara yang sulit. Saidatina Aisyah r.a pernah berkata : “Semoga Allah merahmati wanita Ansar, sifat malu tidak menghalang mereka daripada mendalami ilmu agama.”
Malah dalam permasalahan yang berkaitan dengan hubungan antara lelaki dan wanita, juga hubungan antara suami dan isteri, mereka merujuk Rasullah s.a.w tanpa segan silu kerana tidak ada malu dalam mendalami agama.
Wanita muslimah pada zaman tersebut bersungguh-sungguh dalam melaksanakan suruhan Allah s.w.t. Ini telah terbukti ketika mana turunya firman Allah s.w.t :-
Maksudnya : “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.”
Sebagaimana telah diceritakan oleh Saidatina Aisyah r.a tatkala turunnya ayat ini : “Setiap wanita Ansar bergegas mencari kain selubung yang ada dan mereka mendirikan solat dengan mengenakan kain tersebut di kepala dan menyelubunginya seakan-akan ada gagak di atas kepala-kepala mereka”.
Mereka tidak berlengah-lengah walau seketika, bahkan segera menjunjung perintah Allah azza wa jalla. Demikianlah sepatutnya keadaan wanita di dalam melaksanakan kewajipan terhadap Tuhan dan suruhan agama. Adapun bagi para suami, wanita-wanita tersebut merupakan sebaik-baik pembantu.
Demikianlah yang telah ditonjolkan oleh Asma’ binti Abu Bakar r.a yang bergelar ‘Dzatun Nitaqain’ { pemilik dua ikat pinggang } yang membantu suaminya Zubair bin Al-Awwam, sepupu dan pengikut Rasullah s.a.w. Beliau mempunyai sebidang tanah terletak beberepa kilometer dari kota Madinah dan Asma’ sering berulang-alik ke tempat tersebut berjalan kaki. Mereka memiliki seekor kuda yang digunakan untuk membajak tanah.
Pernah satu hari dalam perjalanan pulang, Nabi s.a.w melihat Asma’ dalam keadaan demikian, lalu menumpangkannya menaiki kenderaan baginda. Perkara ini diceritakan kepada suaminya, Zubair menyebabkan beliau turut bersedih dengan kesukaran yang ditanggung oleh Asma’. Tetapi ini adalah kewajipannya dalam membantu suami. Yang pasti dia tetap setia bersamanya di kala senang mahupun susah.
Begitu juga teladan yang telah ditunjukkan oleh Fatimah Az-Zahra’ binti Muhammad, puteri Rasulullah. Penghulu sekalian wanita, beliau menguruskan rumahtangga, menguli tepung dan membakar roti dengan tangannya sendiri (memandangkan pada zaman tersebut tidak terdapat roti segera, bahkan kaum wanita perlu mengisar gandum dan memasak sendiri). Beliau turut mengisar gandum sehingga tangannya kasar dan melecet.
Pada suatu hari, Fatimah datang mengadu keperitan hidup kepada Nabi s.a.w dan meminta seorang khadam untuk membantunya. Rasulullah s.a.w pernah bersabda : “Fatimah sebahagian dari diriku, aku merasai apa yang dirasainya.”. Apabila mendengar pengaduan Saidatina Fatimah r.a, Rasulullah s.a.w berkata : “Mahukah engkau aku tunjukkan perkara yang lebih baik daripada itu…Sebelum kamu tidur, bertasbihlah kepada Allah 33 kali, bertahmidlah 33 kali dan bertakbirlah 33 kali. Sesunguhnya mengingati Allah lebih baik bagimu daripada seorang khadam.”
Ertinya, dengan mengingati Allah menambahkan kekuatan rohani bagimu dalam mengharungi kesulitan hidup. Mohonlah pertolongan daripada Allah azza wa jalla. Fatimah senantiasa membantu suaminya, Ali bin Abi Talib kerana pada waktu itu Ali tidak mampu menyediakan seorang khadam. Beliau sanggup berkongsi bebanan hidup bersama suami tercinta, meredah pahit maung dan onak duri kehidupan.
Inilah sebenarnya yang dimaksudkan dengan keikhlasan….dan inilah juga erti kesetiaan. Wanita di zaman salafus soleh merupakan sebaik-baik penolong bagi para suami, berbeza dengan wanita zaman hari ini yang hanya mementingkan wang, pakaian dan perhiasan. Mereka senantiasa ingin memaksa para suami mengumpul harta kekayaan dengan apa jua cara sekalipun samada halal atau haram…melalui jalan baik atau buruk.
Adapun wanita zaman salafus soleh, mereka akan berkata kepada suami tatkala mengiringinya keluar bekerja : “Wahai bapa si fulan, berwaspadalah kamu daripada memperoleh rezeki yang haram. Kami masih mampu bersabar atas derita susah dan kelaparan, tetapi kami tidak mampu menanggung siksaan api neraka dan kemurkaan Allah Yang Maha Perkasa.”
Seandainya si suami lemah dan hampir tewas berhadapan dengan perkara haram, maka kata-kata isterinya inilah yang menjadi peransang dan peringatan baginya dalam menyempurnakan tanggungjawab terhadap diri dan keluarga lantas menyedarkannya sebelum terjerumus ke lembah haram.
Apabila seorang lelaki hendak keluar berjihad, apakah pendirian isterinya ketika itu? Mereka tidak pernah menjadi batu penghalang bahkan merekalah meniup semangat juang ke arah jihad. Andai dia ditanya : “Bagaimana kamu sekeluarga akan meneruskan kehidupan suamimu?” Maka dengan iman yang kental di jiwa dia tegas menjawab : “Sesungguhnya aku tahu suamiku seorang yang kuat makan tetapi dia bukanlah pemberi rezeki, walaupun si kuat makan telah pergi namun Pemberi Rezeki tetap kekal!”
Kita impikan muslimah hari esok mencontohi peribadi muslimah zaman silam, menjadi pembantu terbaik buat suami dalam mentaati Allah dan menunaikan kewajipan serta menrealisasikan dirinya sebagai isteri solehah yang mana ia merupakan sebaik-baik perhiasan dunia. Dia melaksanakan tugasnya sebagai seorang ibu yang cemerlang dalam mendidik anak-anak, mengasuh mereka dengan akhlak dan kemuliaan Islam, menyemaikan rasa cinta dan taat kepada Allah s.w.t, menanam perasaan benci terhadap perkara maksiat dan sifat-sifat terkeji serta senantiasa mengingatkan mereka dengan hari kebangkitan.
Di kala bergema panggilan jihad, di waktu musuh ingin mengancam, ketika suara-suara berseru : “Wahai pejuang Allah, tunggungilah kudamu!...Wahai bala tentera Allah, maralah!!”
Kita akan melihat ibu-ibu inilah yang mendorong anak-anak mereka menyahut seruan, menunaikan kewajipan jihad sebagaimana yang telah di lakukan oleh para ibu di zaman silam. Kita inginkan ibu seperti Khansa’…dia pernah melalui dua kehidupan yang berbeza ; sebelum dan selepas keislamannya. Sebelum dia memeluk Islam, saudara tirinya ‘Sakhr’ telah meniggal dunia, bergemalah alam dengan jerit tangis dan ratap sayunya. Dia mencipta sebuah syair yang penuh rintihan atas kematian Sakhr. Diantara kata-katanya dalam syair tersebut :
Setiap kali matahari terbit, aku mengingati Sakhr,
Begitulah jua tatkala matahari terbenam, ingatanku tetap padanya,
Kalaulah tidak kerana ramai yang menangis di sekelilingku
Kerana meratapi saudara mereka, pastinya aku membunuh diri
Mereka tidak akan meratapiku sebagaimana ratapan ke atas saudaraku
Tetapi aku menahan diri dengan berputus asa
Inilah qasidahnya yang masyhur pada meratapi saudaranya. Tetapi selepas dia memeluk Islam cahayaiman menyinari hatinya. Islam telah mengubahnya menjadi insan baru yang berbeza dari sebelumnya, mempunyai hala tuju dan pemikiran yang terarah.
Ketika mana dia melepaskan empat orang anaknya keluar menyertai peperangan Al-Qadisiah yang berlaku pada zaman pemerintahan Saidina Umur r.a, dia mengingatkan mereka supaya senantiasa mara tanpa berundur kebalakang, terus tetap melangkah tanpa ragu-ragu dan berlumba-lumba untuk mencapai syahid di jalan Allah. Dia juga sering membakar semangat juang dan menyemarakkan keyakinan di jiwa anak-anaknya. Kerana itulah, apabila ada di kalangan mereka yang merasa lemah untuk meneruskan perjuangan, yang lain akan memberi peringatan dengan berkata : “Lupakah engkau pesanan ibu?”
Lalu mereka kembali bersemangat, terus maju menentang musuh dengan penuh rasa keimanan sehingga akhirnya Allah menganugerahkan mereka kemuliaan Syahid. Keempat-empat anaknya gugur syahid di jalan Allah. Lantas apakah reaksi Khansa’ tatkala menerima khabar kematian mereka? Adakah dia meratapi mereka dengan ratapan jahiliyah? Menampar-nampar pipi dan merobek-robekkan pakaian? Adakah dia terus tersungkur lemah? Seorang ibu kehilangan empat anak sekaligus!! Tetapi keimanannya yang kental mengatasi kesedihan, malah dia berkata : “Segala puji bagi Allah yang telah memuliakanku dengan kematian mereka dan menjadikan mereka pemberi syafaat bagiku di akhirat kelak.”
Inilah kata-kata yang terbit dari bibir seorang ibu!! Keazaman itu juga dapat kita pada Asma’ ketika bersma anaknya Abdullah bin Zubair yang memerangi Pemerintahan Bani Umaiyah. Di saat anaknya Abdullah dikepung dan tinggal bersamanya melainkan pengikut yang sedikit, dia seolah-olah lemah dan berserah diri, si ibu yang penyabar lagi berani itu dengan tegas berkata : “Wahai anakku, jika kamu berada di pihak yang benar, janganlah kamu biarkan musuh memijak kepalamu.” Abdullah menjawab : “Wahai ibuku, aku takut mereka menyeksa jasadku apabila aku dibunuh.” Lalu si ibu berkata : “Anakku, sesungguhnya kambing yang disembelih tidak akan merasa sakit apabila dilapah kulitnya”.
Demikian juga Ummul Fadhl, isteri Saidina Abbas r.a, bapa saudara Nabi s.a.w apabila diberitakan bahawa salah seorang dari anaknya telah terbunuh di satu tempat, manakala seorang lagi di tempat yang lain, dengan penuh hikmah dia berkata : “Keazaman dan cita-cita yang tinggi telah menjauhkan aku dari neraka. Andai mereka dari golongan yang murah cita-citanya, pasti mereka mati di tanah kelahiran sendiri.” Kita mahu para ibu pada masa akan datang mencapai tahap ini.
Muslimah hari esok yang kita impikan adalah yang tahu tentang agama mereka secara mendalam, jelas hala tuju hidupnya tanpa dipinggirkan dari kehidupan dan agama. Hidup seiring dengan zamannya tetapi tidak mengetepikan tuntutan agama.
Saya berkeyakinan penuh bahawa hari tersebut pasti menjelma. Dan semakin hampir. Hari di mana kembalinya muslimah yang percaya dengan agama dan keperibadiaan diri, yakin dengan risalah dakwah yang dipikul dan tradisi yang diwarisinya lantas berkata : “Aku bukan wanita Eropah, bukan juga Amerika atau Rusia. Aku adalah seorang muslimah! Iaitu seorang muslimah yang lahir dari sebaik-baik umat.”
“Aku redha Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, Al-Quran sebagai kitab panduanku dan Muhammad s.a.w sebagai Nabi dan rasul junjunganku.” “Aku mestilah teguh memelihara keislamanku dengan menjaga nilai-nilai ajarannya, mengekalkan syaksiah seorang muslim dan adapt-adat yang bertepatan dengan lunas-lunas Islam.”
Keyakinan dan kepercayaan ini mestilah kembali bertakhta di hatinya, perkara tersebut sama sekali tidak akan menghalangnya dari meneruskan kehidupan dan menikmati hak-haknya secara sempurna. Wanita muslimah mesti belajar kerana menuntut ilmu itu wajib keatas setiap muslim. Islam tidak pernah akur dengan kejahilan wanita. Hanya orang-orangg jahil yang memperakui keadaan tersebut. Sebaliknya Islam tetap menyarankan pengikutnya samada dari golongan lelaki atau wanita agar mempelajari ilmu pengetahuan.
Sejarah telah membuktikan ada di kalangan wanita mampu mengeluarkan hukum dan fatwa kepada kaum lelaki, contohnya Saidatina Aishah dan Ummu Salamah r.a yang sering didatangi oleh para sahabat untuk meriwayatkan hadis daripada mereka dan bertanyakan tentang urusan agama. Para sahabat dan tabien senantiasa merujuk dan mengajukan persoalan kepada Saidatina Aishah r.a dan persoalan-persoalan tersebut dijelaskan oleh beliau dengan sempurna. Terhasillah beberapa buah kitab ekoran daripada perbincangan-perbincangan tersebut, seperti kitab karangan Iman Az-Zarkasyi bertajuk (Jawapan Bagi Penilaian Aishah Terhadap Para Sahabat), dimana perbincangan kitab tersebut berkisar tentang sangkalan Aishah terhadap beberapa pendirian para sahabat. Beliau dengan tegas berani menyatakan : Kekurangan si fulan demikian…kesalahan si fulan pula demikian…
Pada zaman yang lain pula wujud majlis-majlis pengajian yang disampaikan oleh wanita, misalnya Sayyidah Sukainah binti Hussin. Diriwayatkan bahawa Iman Syafie rahimahullah pernah menghadiri majlis pengajian beliau. Ada juga dikalangan wanita yang meriwayatkan hadis dan mereka turut didatangi kaum lelaki untuk mengambil hadis daripada mereka dengan berkata : “Aku meriwayatkan hadis ini daripada Syeikhah Fulanah binti Fulan.”
Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani, pemilik kitab Fathul Bari Syarah Bukhari dan merupakan amirul mukminin dalam ilmu hadis pernah berkata : “Di antara guruku ialah Si Fulanah binti Fulan.” Salah seorang daripada iman dan ulama’ besar mazhab Hanafi mempunyai seorang anak perempuan yang mampu mengeluarkan fatwa sebagaimana bapanya. Apabila di keluarkan fatwa yang ditandatangani oleh iman tersebut, terdapat di sampingnya tandatangan si anak sebagai bukti perakuannya dengan fatwa tersebut.
Bapanya telah mengahwinkan anak perempuannya itu dengan salah seorang anak muridnya yang merupakan seorang ulama’ besar iaitu Iman Alauddin Al-Kasani yang digelar raja sekalian ulama’. Dia mengarang sebuah kitab bertajuk (Bidai’ al sinai’) huraian bagi kitab karangan gurunya (tahfatul fuqaha’), kerana itu para ulama’ berkata : Dia mensyarahkan kitab gurunya dan mengahwini anaknya! Apabila dikeluarkan sesuatu fatwa, termaktub di atasnya tandatangan si isteri di samping tandatangan suaminya…Di sini kita dapat lihat seorang wanita yang mampu mengeluarkan fatwa setanding dengan bapa dan suaminya.
Begitu juga halnya dengan Iman Abu Hayyan yang pernah berguru dengan tiga orang Syiekhah yang sering menjadi sebutannya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: