~ aRtiKaL ~ ::_Muslimah Hari Esok -@ Epilog 2 @-_: :
PERBINCANGAN BERSAMA WANITA
Amat menyedihkan apabila ada segelintir manusia berpegang dengan ungkapan : “Berundinglah dengan wanita dan abaikanlah keputusan rundingan tersebut”. Sedangkan ungkapan ini tidak pernah lahir daripada Nabi s.a.w kerana Allah s.w.t telah berfirman maksudnya “Dengan kerelaan dan permusyaratan antara keduanya”.
Maka, mana mungkin hadis Rasullah s.a.w datang bertentangan dengan al Quran Karim. Nabi Muhammad s.a.w sendiri berbincang dengan isterinya, Ummu Salamah selepas perjanjian Hudaibiyah, ketika para sahabat ingkar daripada mematuhi arahan baginda s.a.w supaya bercukur dan memotong rambut untuk bertahallul dari ihram umrah bagi membolehkan mereka pulang selepas termeterainya perjanjian tersebut.
Para sahabat merasa keberatan dengan arahan tersebut dan tidak ada seorang pun yang sanggup untuk melaksanakannya. Hal ini kerana para sahabat keluar ke Mekkah semata-mata dengan niat untuk menunaikan umrah dan ibadah-ibadah lain. Dalam keadaan tersebut, Nabi s.a.w mengadu kepada Ummu Salamah perihal para sahabat seraya berkata: “Binasalah manusia” kerana mengingkari perintah baginda s.a.w.
Maka Ummu Salamah berkata : “Wahai Rasullah, keluarlah tanpa berbicara dengan sesiapa pun dan suruhlah tukang cukur mencukur rambutmu di hadapan mereka, kemudian bertahalullah dari ihram. Jangan engkau lakukan selain dari itu. Lalu Nabi s.a.w keluar dan melaksanakan apa yang di sarankan oleh Ummu Salamah. Pada ketika itu, para sahabat seolah-olah baru terjaga dari lena dan berkata : “Adakah patut kita tidak mengerjakan apa yang dilaksanakan oleh Rasullah?!”
Maka mereka semua melakukannya hasil dari buah fikiran Ummu Salamah. Jelas terbukti, bahawa wanita berhak mengeluarkan pendapat dan pandangan.
TAKLID MEMBUTA TULI
Kebelakangan ini, kita sering mendapati golongan suami tidak mengendahkan isteri mereka dan tidak kurang juga sebaliknya, si suami menyerahkan sepenuhnya kuasa kepimpinan kepada isteri, menjadikan isteri sebagai ketua keluarga, sedangkan ianya tugas seorang lelaki. Dia menguruskan hal ehwal rumahtangga, sementara suami hanya duduk menggoyang kaki tanpa melakukan apa-apa.
Allah s.w.t tidak pernah menyatakan bahawa wanita adalah ketua bagi kaum lelaki sebaliknya berfirman di dalam al-Quran :-
Maksudnya ; “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”
Lelaki yang hanya tinggal di rumah tanpa melaksanakan tanggungjawab sepatutnya, dia bukanlah lelaki yang sebenarnya. Kesimpulannya, dapat kita lihat berlaku pengamalan dan keterlaluan, tidak kurang juga pengabaian dalam setiap perkara. Apa yang Islam kehendaki adalah amalan yang berada pada tahap pertengahan, dalam erti kata lain kesederhanaan sebagaimana yang dianjurkan Islam.
Bertitik tolak dari ini, kita inginkan masa depan muslimah yang sederhana dalam beramal, menunaikan tanggungjawab secara sempurna sebagaimana dia menuntut hak-haknya secara sempurna, bahkan sepatutnya dia melaksanakan kewajipannya terlebih dahulu sebelum dia menuntut haknya. Gaya pemikiran yang sedang menular pada masa kini ialah sikap menuntut hak dari orang lain sebelum menunaikan tanggungjawab diri. Mereka sering berkata : Apakah yang akan aku perolehi? Sebelum berkata : Apa yang harus aku lakukan?.
Wanita juga tidak ketinggalan menuntut pelbagai hak; hak untuk belajar, bekerja, mengundi malah hak untuk menjadi pimpinan tertinggi…sedang mereka tidak pernah bertanya : Apakah kewajipanku?.
Tabiat wanita hari ini sering menuntut hak sebelum menunaikannya, mementingkan penampilan lahiriah daripada batiniah, mengutamakan kecantikan jasmani daripada kesucian rohani, menumpukan tugasan luar lebih daripada tanggungjawab rumahtangga. Semua ini pastinya kesan daripada pengaruh barat, walhal wanita Islam tidak sepatutnya meniru budaya mereka kerana setiap bangsa mempunyai ciri-ciri tersendiri.
Wanita barat memiliki tabiat, pegangan, nilai-nilai dan adat serta persekitaran hidup yang berbeza…begitu juga kita, punya adat, nilai hidup dan kebiasaan yang berlainan. Justeru, tidak wajar bagi wanita Islam yang tinggal di Negara Islam menurut jejak langkah wanita Eropah dan Amerika.
Wanita di Negara barat keluar bekerja dan bersaing dengan kaum lelaki dalam semua aspek kehidupan. Mereka memilih jalan hidup sedemikian bukan atas kerelaan bahkan atas paksaan hidup, kerana tanpa berbuat demikian mereka akan hidup sengsara dan mati kelaparan lantaran tiada bapa, saudar, suami atau insan lain yang akan menyara mereka. Perkara ini tidak wujud dalam Islam…
Wanita merupakan antara elemen terpenting di dalam Islam. Nafkah dan sara hidupnya terjamin, di sebabkan keadaannya senantiasa di bawah tanggungjawab lelaki dalam segenap situasi. Samada sebagai bapa jika dia seorang anak, atau saudara lelaki bagi saudara perempuan, seorang anak lelaki jika dia seorang ibu atau seorang suami jika dia seorang isteri. Jelas hidupnya senantiasa disara oleh mereka selaras dengan tuntutan sistem nafkah Islam yang diwajibkan perlaksanaannya. Sistem ini tidak wujud dalam perundangan barat.
Guru saya, Doktor Muhammad Yusuf Musa, Rahimahullah yang pernah melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah di Perancis dan menetap di Paris ada menceritakan dalam bukunya ( Islam dan Keperluan Manusia Terhadapnya) :
Kami pernah menetap di sebuah rumah. Seorang gadis berkhidmat kepada kami sebagai pembantu rumah, perwatakannya menunjukkan dia berasal daripada keturunan yang baik, bukan dari kalangan yang gemar berfoya-foya atau kupu-kupu malam yang menjual harga diri. Dia melaksanakan tugasnya dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Pernah satu ketika kami bertanya tuan rumah tentang gadis tersebut, lalu dia berkata : “Adakah kamu mengenali seorang peniaga di sekian jalan. Dia merupakan seorang peniaga yang berjaya dan terkenal?”
Kami mengiakannya. Lalu tuan rumah kami memberitahu bahawa peniaga tersebut merupakan bapa saudara gadis itu. Kami sedikit terkejut dengan penjelasannya dan berkata “Bagaimanakah bapa saudaranya yang kaya boleh membiarkan anak saudaranya bekerja sedemikian? Bukankah dia boleh mendakwa bapa saudaranya bagi menuntut hak sara hidup supaya dia tidak perlu lagi berkhidmat sebagai pebantu rumah?”
Tuan rumah tersenyum sambil berkata “Undang-undang manakah yang akan berpihak kepadanya? Adakah agama kamu mempunyai undang-undang sebegitu? “Kami menjawab; ya. Dalam agama kami gadis seumpama ini berhak mendakwa bapa saudaranya dan memaksa menyara kos hidupnya”.
Tuan rumah menyambung lagi : “Andai sistem ini wujud di kalangan kami, pasti kamu tidak melihat gadis-gadis dan para wanita keluar bekerja di kilang-kilang, pusat membeli-belah dan institusi-institusi dari awal lagi!! Mereka terpaksa berbuat demikian kerana tiada siapa yang sanggup memberi nafkah kepada mereka”.
Nyata mereka memiliki nilai budaya atau sistem dan cara hidup yang berbeza. Maka apakah kita patut meniru gaya hidup mereka dan turut mendakwa bahawa : kaum wanita mesti keluar bekerja seperti kaum lelaki?
Hakikatnya, tiada tegahan untuk wanita keluar bekerja sekiranya ia merupakan satu tuntutan hidup, atau apabila masyarakat memerlukan khidmatnya seperti guru, doctor dan bidan. Demikian juga pelbagai tugas lain yang menuntut keberadaannya di dalam masyarakat Islam,sesuai dengan fitrah dan tabiatnya sebagai seorang wanita. Apa yang menjadi masalah sekarang ialah sindrom taklid yang tidak berasas.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: