~ aRtiKaL ~ ::_aSsyabaB!!!_::
Kisah ‘Umar al-Khattab bertanyakan imaginasi sahabat-sahabat beliau masih terngiang-ngiang di benak saya. Seorang sahabatnya berimaginasi memiliki hartayang membukit lalu diinfaqkan seluruhnya pada jalan Allah. Seorang lagi juga begitu, tinggi melangit imaginasi yang dipasangnya.
Namun ‘Umar lain. ‘Umar berimaginasi memiliki pemuda-pemuda yang soleh, pintar dan perkasa sebagaimana beberapa sahabat nabi.Pemuda sebegitulah yang bakal menyemarakkan perasaan berselera untuk meninggikan Islam dalam apa jua keadaan dan pemuda sebegitulah yang bakal memastikan kemuliaan Islam tercapai kelak.
Lebih kurang sahaja Sukarno yang terkenal dengan pidatonya yang berapi-api, jika beliau diberi 100 orang tua, akan ia goncangkan sebuah gunung yang terdapat di Indonesia, manakala jika ia diberi 10 orang pemuda, akan ia goncangkan dunia. Justeru, memang terdapat pepatah arab menyebut: “Himmah (cita-cita/harapan) seorang pemuda boleh menggoncangkan bukit-bukau”.
Pemuda seharusnya berjiwa kepemudaan, tidak boleh bersifat ketuaan. Kepemudaan melambangkan semangat yang membara-bara dan penuh dengan tenaga dan selera ingin bertindak. Kepemudaan adalah golongan yang hanya berfikir ingin bergerak dan bertindak meskipun cabaran banyak di hadapan. Kepemudaan melambangkan golongan yang sangat berani melakukan sesuatu dan tidak mudah terpengaruh dengan unsur-unsur pelemah.
Kita tidak terlalu bersifat nostalgik. Lalu kita masih lagi tidak lekang menceritakan tentang keunggulan Islam di zaman kemuncaknya di Andalusia, kota lagenda 1001 malam Baghdad, Pulau Sicily di Selatan Italy, Constantinople di zaman Sultan Muhammad bin Murad al-Fateh, Palestin di bawah genggaman Solahuddian al-Ayyubi, dan sebagainya. Kita tidak boleh lagi terlalu berbangga dengan kebijaksanaan Ibnu Sina, kepintaran Omar Khayyam, ketinggian akal Ibnu Nafis, kecerdikan al-Ghazali atau sesiapa sahaja.
Ya, tidak salah hal ini diungkapkan untuk mengimbau kekuatan lampau dengan tujuan memercikkan semangat kesedaran dan keinsafan, tetapi hal ini janganlah terlalu bersifat retorika dan nostalgika sehingga melupakan kita daripada matlamat perjuangan yang ada di hadapan mata sekarang.
Kata pujangga: ''Bukan seorang pemuda yang asyik dengan sejarah ayahnya, saudaranya, atau datuknya, tetapi pemuda yang sebenarnya akan berkata, inilah aku''.Pemuda mesti mencipta sejarah, bukan hanya berbangga dengan sejarah. Kepemudaan bukan hanya milik orang muda, malah ia juga milik orang tua. Kepemudaan yang unggul disebut oleh al-Banna: “Berikan aku 300 katibah, yang mana rohnya sarat dengan iman dan taqwa, dadanya padat dengan ilmu dan thaqafah, jasadnya terlatih dengan latihan, maka ketika itu jika kamu mengajak aku untuk meneroka angkasa lepas, menembusi bumi tujuh petala, menghancurkan kepala penjajah, aku sanggup”.
Malah apabila 4000 orang tentera Islam berhadapan dengan puluhan ribu tentera musuh, mereka meinta bala tentera bantuan daripada ‘Umar al-Khattab. Kisah ini sangat menarik apabila ‘Umar hanya menghantar dalam 4004 orang sahaja tentera tambahan. Lalu ‘Umar menyebut, 4000 bila ditambah 4000, jumlahnya adalah 8000. Manakala aku juga menghantar 4 orang komander, yang mana seorang daripada mereka setaraf dengan 1000 orang tentera musuh. Lalu jumlah kesemuanya adalah 12000 orang dan ketahuilah jumlah 12000 adalah jumlah yang tidak terkalah berdasarkan hadis nabi SAW”.
Alangkah tingginya pandangan dan harapan Amirul Mukminin kedua dalam dunia Islam ini.Saya ingin sudahkan tulisan saya pada kali ini dengan memetik satu ayat al-Quran yang menceritakan tentang jiwa yang ada pada pemuda Ashab al-Kahfi, dengan harapan mudah-mudahan ia menjadi sumbu kepada kekuatan umat Islam masa kini.“Sesungguhnya merekalah fityah (pemuda) yang beriman kepada Tuhan mereka, lalu kami tambahkan bagi mereka petunjuk”.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: