~ aRtiKaL ~ ::_PeRsePaKatAn MeKaH...LeMbaRaN BaRu UnTuK QuDs_::
Persepakatan Mekkah di antara Hamas dan Fatah telah memberikan nafas baru kepada masyarakat dunia. Masyarakat dunia yang telah bosan dengan pertelingkahan dalaman di antara rakyat Palestin kini sudah mampu tersenyum. Raja Arab Saudi telah mendapat kredit yang banyak melalui inisiatif beliau ini.
Walaupun agak terlambat, sehingga puluhan telah terbunuh dan ratusan telah tercedera, namun inisiatif beliau harus diberikan pujian. Sekurang-kurangnya beliau tidaklah selembap OIC dan juga liga Arab di dalam menyelesaikan masalah ini. Melalui inisiatif ini juga beliau telah berjaya membuktikan bahawa beliau tidaklah seperti pemimpin Mesir yang hanya mengeruhkan lagi keadaan dengan sikap berpihak mereka. Mekah telah menjadi saksi perdamaian di antara dua fraksi Palestin tersebut.Isu-isu utamaAntara persepakatan utama yang dicapai lewat pertemuan kedua-dua fraksi terbesar rakyat Palestin adalah isu kerajaan campuran (Hukumah al-Wehdat al-Wataniyyah).
Mahmoud Abbas yang merupakan penghalang utama kepada tertegaknya kerajaan campuran telah berjaya dijinakkan oleh Raja Saudi. Mungkin enviromen Mekah sebagai tempat suci telah berjaya melembutkan hati Abbas. Keengganan beliau sebelum ini untuk menerima ide kerajaan campuran yang dilontarkan oleh Hamas amat membinggungkan ramai pihak. Sikap beliau yang sering merujuk kepada AS di dalam membuat keputusan sebelum ini pun amat menyulitkan proses tersebut.
Kini, segalanya sudah selesai. Kesudian Hamas untuk memberikan pos-pos kementerian yang strategik kepada Fatah merupakan sesuatu yang patut diberikan pujian. Jika ada hero di dalam proses permuafakatan ini, maka Hamas merupakan heronya.
Hamas telah berjaya membuktikan kepada masyarakat dunia bahawa mereka bukanlah sekumpulan manusia yang gila kuasa. Semenjak hari pertama mereka memenangi pilihanraya majlis legaslatif lagi mereka telah mengisytiharkan penubuhan kerajaan campuran. Malangnya Fatah melalui juru cakap mereka, Saeb Erekat, telah menolak mentah-mentah ide tersebut.
Kini, mereka tiada pilihan kecuali untuk menerima cadangan tersebut apabila melihat keadaan sudah semakin tidak terkawal. Penerimaan Fatah terhadap ide ini ada kaitannya dengan suasana kekacuan di Gaza. Kewujudan kumpulan pemberontak (al-Tayyar al-Inqilaabi) di kalangan penyokong Fatah telah memburukkan nama Fatah. Kelemahan pimpinan pusat mereka telah menyemarakkan lagi api pemberoontakan yang didalangi oleh Muhammad Dahlan.
Hamas telah berjaya membuktikan kepada masyarakat dunia bahawa mereka bukanlah sekumpulan manusia yang gila kuasa.
Percubaan membunuh PM Palestin, Ismael Haneyyah oleh kumpulan pemberontak ini merupakan titik hitam di dalam sejarah Palestin. Kemuncak keganasan kumpulan pemberontak adalah peristiwa serangan ke atas Universiti Islam Gaza dan juga bangunan kementerian dalam negeri di Gaza pada 2 Februari 2007.
Peristiwa yang telah menyebabkan kematian hampir 30 nyawa dan mencederakan 200 yang lain itu akhirnya telah berjaya menggerakkan Raja Saudi dari lenanya. Persepakatan Mekah yang telah berjaya diadakan ini merupakan natijah reaksi Raja Arab Saudi kepada kes tersebut.
Reaksi pelbagai pihak
Persoalan yang timbul kini, apakah persepakatan tersebut akan berjaya meredakan kumpulan pemberontak?. Kita tahu bahawa kumpulan Fatah terlalu lemah dan tidak mempunyai kepimpinan pusat yang kuat. Segala arahan pusat tiada makna. Di dalam kem Fatah kini, siapa yang mempunyai banyak duit, merekalah yang berkuasa.
Keupayaan Muhammad Dahlan yang merupakan seorang jutawan di kalang jutaan rakyat Palestin yang miskin dan fakir memberikan beliau peluang untuk membeli penyokong-penyokong Fatah. Melalui harta beliau yang melimpah ruah, beliau telah berjaya membentuk kumpulan pemberontak yang sanggup melakukan apa sahaja yang beliau arahkan. Apakah kumpulan ini setuju untuk mengiktiraf kerajaan campuran?, apakah kumpulan ini juga bersetuju dengan tindakan Abbas untuk berdamai?, apakah kumpulan ini juga akan menghormati wakil-wakil Fatah sendiri di dalam kabinet?
Semua persoalan ini tidak mampu dijawab oleh Abbas sendiri. Beliau sendiri pun tidak berupaya untuk mengawal para penyokong Fatah. Lihat sahaja keputusannya untuk mengadakan pilihanraya awal pada bulan Disember yang lalu. Kumpulan pejuang Fatah dari pelbagai fraksi menolak. Lebih memalukan, veteran Fatah, Farouq Qadoumi sendiri telah menolak cadangan berkenaan di dalam media. Lihat sahaja persetujuan gencatan senjata yang berlaku berkali-kali di antara pimpinan HAMAS dan Fatah.
Tidak ada satu pun yang dihormati oleh para pemberontak. Jelas sekali, mereka semua tidak menghormati pimpinan Fatah kecuali Muhammad Dahlan sahaja. Hal ini membuatkan sesetengah kumpulan pejuang Fatah ada yang menggugut hendak membunuh Dahlan. Malangnya, jika ada pertempuran di antara kumpulan-kumpulan pejuang Fatah sendiri, maka HAMAS yang akan dipersalahkan. Media mempunyai peranan yang besar di dalam hal ini.
Keupayaan Muhammad Dahlan yang merupakan seorang jutawan di kalang jutaan rakyat Palestin yang miskin dan fakir memberikan beliau peluang untuk membeli penyokong-penyokong Fatah.
Walaupun Dahlan menyertai rombongan Fatah ke Mekah dan kelihatan bersetuju dengan persepakatan, namun ramai pihak yang masih berteka-teki. Apakah beliau akan menghormati persepakatan tersebut?, apakah beliau akan berpegang kepada prinsip yang dipersetujui?, apakah beliau juga bersedia untuk melucutkan senjata kumpulan pemberontak. Hanya waktu yang akan menjadi saksi apa yang akan berlaku di masa hadapan.
Bagi pihak antarabangsa pula pelbagai reaksi yang timbul. Pihak AS enggan mengiktiraf sebarang kerajaan yang disertai Hamas.
Rejim Zionis Israel pula enggan mengiktiraf mana-mana kerajaan yang tidak mengiktiraf penjajahan mereka. EU pula mengalu-alukan persepakatan Mekah sebagai lamgkah awal untuk menjayakan usaha Quartret. Hal yang sama telah disuarakan oleh Presiden Peranchis kepada Raja Saudi. Presiden Rusia pula telah mengambil inisiatif yang agak pro-aktif. Beliau melihat pencapaian di Mekah ini adalah isyarat kepada masyarakat antarabangsa untuk mengakhirkan sekatan ekonomi dan politik yang telah dikenakan ke atas rakyat Palestin semenjak Januari 2006 yang lalu.
Pengiktirafan Israel
Melalui persepakatan tersebut, Hamas kini telah menyatakan kesediaan mereka untuk menghormati perjanjian-perjanjian terdahulu di antara PLO dan pihak-pihak yang terlibat berkaitan isu Palestin. Jika Hamas telah sanggup memberikan komitmen mereka, bagaimana pulakah sikap Quartret?, bagaimana pulakah sikap rejim Zionis Israel? Bagaimana pulakah sikap AS?
Rejim Zionis hanya mahukan rakyat Palestin melepaskan hak mereka dan meninggalkan segala tuntutan ke atas hak mereka yang dijamin oleh undang-undang antarabangsa dan masyarakat dunia.
Amat malang, rejim Zionis Israel tidak menghormati lagsung persepakatan ini. Bagi mereka, yang mereka mahukan hanyalah pengikritirafan Hamas ke atas penjajahan mereka. Mereka ingin rakyat Palestin mengiktiraf bahawa rejim Zionis merupakan pemilik bumi Palestin.
Mereka hanya mahukan rakyat Palestin melepaskan hak mereka dan meninggalkan segala tuntutan ke atas hak mereka yang dijamin oleh undang-undang antarabnagsa dan masyarakat dunia. Benarlah kata Ismael Haneyya di dalam tulisannya di akhbar Guardians.
Beliau mengatakan, persoalan di sini, bukanlah persoalan rakyat Palestin mesti mengiktiraf Israel, tetapi Israel mestilah terlebih dahulu mengiktiraf rakyat Palestin.
Apakah erti pengiktirafan rakyat Palestin ke atas Israel jika rejim tersebut tidak pernha mengiktiraf hak rakyat Palestin. Bukti yang paling mudah, apakah sikap rejim Israel terhadap resolusi 181 yang hanya memperuntukkan 55% sahaja dari tanah Palestin kepada rejim Zionis?, apakah pula sikap mereka terhadap resolusi 194 berkaitan nasib pelarian Palestin?, apakah pula sikap mereka terhadap resolusi 242 ?
Bak kata Ir. Abdul Rahman Zaydan ketika berkunjung ke Malaysia pada awal bulan Februari 2007. Menurut beliau, Israel tidak perlu kepada pengiktirafan. Mereka telah lama wujud. Mereka telah lama berkuasa dan meminggirkan rakyat Palestin. Mereka juga telah lama menafikan hak rakyat Palestin. Tanpa pengiktirafan rakyat Palestin pun, negara "haram" Israel telah wujud. Persoalannya di manakah pengiktirafan rejim Israel ke atas hak rakyat Palestin?Hamas dan amanah rakyat Palestin
Apabila penasihat politik PM Palestin, Ahmad Yusuf ditanyakan oleh al-Jazeera, apakah persetujuan Hamas di Mekah untuk menghormati perjanjian-perjanjian terdahulu di antara PLO dan Israel bererti pengiktirafan Hamas ke atas rejim tersebut. Beliau menjawab, "Kami hanya menghormati sahaja, tetapi kami tidak wajib mematuhinya, dan kami tidak akan mengiktiraf Israel!".
Melalui jawapan beliau ini jelas, Hamas tidak akan mengkhianati amanah yang telah diberikan oleh rakyat Palestin kepada mereka lewat pilihanraya 2006 yang lalu. Sehingga akhir tahun lepas, angka 80% masih lagi kukuh menunjukkan pandangan umum rakyat Palestin untuk tidak mengiktiraf Israel. Jika Hamas mengiktiraf Israel, bermakna Hamas telah mengkhianati 80% daripada rakyat Palestin di dalam dan di luar negara mereka."

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: