~ Ramadhan ~ ::_Ramadhan & Kemerdekaan_::

Kemerdekaan adalah hak setiap bangsa di dunia. Oleh itu penjajahan mestilah dihapuskan daripada muka bumi seperti deklarasi Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) setengah abad lalu. Maka menjadi kewajipan bangsa itu sendiri untuk memerdekakan diri daripada sebarang bentuk penjajahan dan mempertahankanya serta mengisinya dengan program yang sesuai dengan matlamat berbangsa dan negara masing-masing.
Ramadan adalah simbol perjuangan membebaskan diri seorang Muslim daripada belenggu penjajahan musuh ketatnya iaitu syaitan yang dilaknati Allah SWT. Kejayaan seorang muslim boleh dilihat daripada cara dia mengendalikan perjuangan berpuasanya sama ada secara optimum mahupun minimum. Ramadan dijadikan barometer kejayaan atau keberhasilan dengan pengertian terhapus dosa tahunan seperti solat Jumaat untuk mingguan dan solat lima waktu untuk harian. Rasulullah bersabda maksudnya: "Solat lima waktu, dan solat Jumaat ke solat Jumaat berikutnya, dan Ramadan ke Ramadan berikutnya adalah menjadi penebus dosa yang terjadi di antara waktu-waktu tadi, selama orang itu menjauhi dosa-dosa besar." (Hadis riwayat Muslim)
Daripada 12 bulan ditetapkan Allah untuk pengiraan perjalanan manusia dalam setahun di dunia (baca Surah at-Taubah: 36), Ramadan mempunyai kelebihan tersendiri. Kelebihan ini disebut al-Quran dalam ayatnya bermaksud: "(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah." (Surah al-Baqarah: 185)
Tujuan berpuasa Ramadan seperti termaktub dalam ayat 183 Surah al-Baqarah adalah maksudnya: "Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa."
Banyak batasan agama yang wajib dipatuhi setiap orang berpuasa supaya puasanya bermanfaat bagi dirinya di dunia dan di akhirat. Antara batasannya seperti disabdakan Baginda maksudnya: "Barang siapa yang tidak meninggalkan cakap dusta (batil) dan perbuatannya, maka Allah tidak berhajat padanya dalam meninggalkan makan minumnya." (Hadis riwayat Muslim) Dalam hadis lain maksudnya: "Bukan dinamakan puasa bila hanya sekadar menahan makan dan minum, tetapi puasa yang sungguh-sungguh itu adalah menahan diri daripada percakapan yang tidak ada gunanya dan kata-kata yang keji." (Hadis riwayat Muslim)
Di samping memelihara kewajipan lahiriah seperti tidak makan dan minum, orang yang berpuasa juga mesti memelihara kewajipan batiniah supaya puasanya sempurna. Imam al-Ghazali (w. 505H) menggariskan kewajipan batiniah puasa itu antaranya: Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara tercela dan dibenci agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah SWT; memelihara lidah daripada bercakap kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata riak; memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan; memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan yang syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.
Orang yang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana, kemudian dia menghancurkan sebuah kota (kerana dalam kota ada istana itu); janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas paling dibenci Allah SWT daripada perut yang penuh dengan makanan halal; dan hendaklah hati berasa bimbang antara takut dan harapan, kerana tiadalah diketahui apakah amalan puasa itu diterima Allah SWT, sehingga seseorang itu digolongkan ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak, maka terhitung dia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada rahmat Allah SWT. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah SWT.
Oleh itu apabila puasa itu dapat dilaksanakan dengan sempurna menurut syarat zahir dan batinnya, iaitu bukan hanya berpuasa dengan menahan perut dan syahwatnya serta mengekang pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki juga seluruh anggota, bahkan menahan dirinya daripada melakukan perkara yang membawa dosa, ditambah lagi bahawa hatinya berpuasa daripada perkara yang memesongkan perhatiannya selain Allah SWT, maka orang yang berpuasa sedemikian akan mudah mencapai martabat orang yang taqwa seperti matlamat puasa itu sendiri.
Kewajipan puasa ini bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum atau perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari, bahkan hendaklah juga menahan anggota badan daripada melakukan perkara yang boleh membawa dosa, kerana dosa itu boleh melupuskan matlamat puasa. Baginda telah memberi peringatan dalam hal ini seperti sabdanya bermaksud: "Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapat sesuatu daripada puasanya selain lapar dan dahaga." (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Sabda Baginda lagi maksudnya:
"Dia (Ramadan) ialah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran itu ialah masuk syurga." (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah)
Selepas huraian di atas, dalam konteks meramadankan kemerdekaan maka diperlukan merenung semula matlamat pengisian kemerdekaan adakah ia untuk mensejahterakan diri atau bangsa? Dalam pengisian kemerdekaan itu adakah diperlukan batasan tertentu agar tidak terseleweng sehingga merugikan bangsa seperti ruginya orang berpuasa yang tidak menghiraukan batasannya?
Pengisian kemerdekaan tidak cukup hanya mengambil kira pembangunan fizikal, tetapi ia mestilah diseimbangkan dengan pembangunan spiritual seperti kewajipan memelihara amal lahiriah dan batiniah dalam berpuasa.
Bangsa yang tidak menyedari dan memahami erti kemerdekaan akan mensia-siakan nikmat kemerdekaan itu sehingga dia tidak akan merasai kenikmatannya seperti orang yang berpuasa, tapi tidak mendapat ganjarannya selain lapar dan dahaga.
Selain itu, pentingnya adalah refleksi kesabaran dalam berpuasa pada pengisian kemerdekaan kerana dalam pengisian itu kesabaran sangat mustahak agar kita akan selalu mendapat belas kasih Allah dan petunjuk-Nya. Bersabar dalam menikmati kemerdekaan ketika membangun, membina, memelihara dan memajukan hasil jerih payah semua pihak. Bersabar dalam berbuat kebajikan, bersabar menerima dugaan, dan bersabar untuk tidak melakukan perbuatan yang akan merobohkan kemerdekaan.
Seperti dimaklumi, maksud puasa itu adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah SWT. Tetapi jika hanya sekadar mengekang perut pada siang hari hingga ke masa berbuka, lalu membiarkan syahwat melonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan pula dengan pelbagai makanan lazat, sehingga perut kekenyangan, tentulah perut akan bertambah keinginannya kepada makanan itu. Malah akan timbul daripada syahwat pula keinginan yang baru, yang kalau tidak dibuang, mungkin ia tetap pada kebiasaannya. Semua ini bertentangan dengan maksud dan tujuan puasa yang sebenarnya.
Oleh itu, dalam konteks memerdekakan Ramadan agar ia tidak terbelenggu dalam jajahan adat kebiasaan seorang muslim, maka sudah sepatutnya orang yang berpuasa menyedari puasanya mesti lillahi ta'ala. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan dan menunaikan ibadah puasa.
INTI PATI
Ramadan & Merdeka
# Ramadan adalah simbol perjuangan membebaskan diri seorang muslim daripada belenggu penjajahan musuh ketatnya iaitu syaitan yang dilaknati Allah SWT.
# Di samping memelihara kewajipan lahiriah seperti tidak makan dan minum, orang yang berpuasa juga mesti memelihara kewajipan batiniah supaya puasanya sempurna
# Pengisian kemerdekaan tidak cukup hanya mengambil kira pembangunan fizikal, tetapi ia mestilah diseimbangkan dengan pembangunan spiritual seperti kewajipan memelihara amal lahiriah dan batiniah dalam berpuasa.
# Bangsa yang tidak menyedari dan memahami erti kemerdekaan akan mensia-siakan nikmat kemerdekaan itu sehingga dia tidak akan merasai kenikmatannya seperti orang yang berpuasa, tapi tidak mendapat ganjarannya selain lapar dan dahaga.
# Umat perlu bersabar menjalani ibadah puasa serta menikmati kemerdekaan ketika membangun, membina, memelihara dan memajukan hasil jerih payah semua pihak. Bersabar dalam berbuat kebajikan, bersabar menerima dugaan, dan bersabar untuk tidak melakukan perbuatan yang akan merobohkan kemerdekaan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

1 comments:

farah, s. said...

baru sedar.. ade persamaan antara 2 benda ni =)