~ ArTikAl ~ ::_JaMaAh MeNgUnDaNg RaHmAh_::
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, segala puja dan puji hanya selayak untukNya Rabbul Izzati. Selawat dan salam buat junjungan besar Muhammad al-Mustofa penyudah sekalian para nabi dan rasul, ahli keluarga baginda, para sahabat, tabi’in, tabiit tabi’ein dan seterusnya kepada para pejuang yang terus thabat dan istiqomah dalam meneruskan gerakan Dakwah Islamiah di seantero persada ini.
Sesungguhnya Islam adalah satu cara hidup yang mampu dilaksanakan oleh manusia dalam ruang lingkup yang ada pada dirinya. Kenyataan ini telah diperkukuhkan lagi oleh al-Marhum Syed Quth dalam salah sebuah kitab karangan beliau yang berjudul “Hadha Ad-Deen” (Islam sebagai satu sistem yang praktis sangat mengambil kira sifat-sifat kemanusian yang ada pada manusia).
Allah Taala telah berfirman:
Yang bermaksud : “pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu akan agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmatKu dan telah Aku redhai Islam itu jadi agama bagimu”.
Ayat ini jelas mununjukkan kepada semua umat Muhammad bahawa Syariat Islamiah yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W telah lengkap dan sempurna mencakupi segala bidang serta bertepatan dengan peredaran zaman. Maka bagi sesiapa yang menyatakan Islam itu jumud atau tidak sesuai untuk generasi abad ini adalah salah dan terpesong jauh dari landasan hakiki.
Thomas Carlyle, ahli falsafah Inggeris yang termasyhur telah menyatakan:
“Islam that we must submit to god, that our whole strength lies in resigned submission to him, whatsoever he to do us. For this world and for the other. The thing he sends to us, were it death and worse than denth shall be god”
(Islam itu adalah bahawa kita harus menyerah kepada Allah. Seluruh kekuatan kita adalah terletak dalam penyerahan yang sepenuhnya hanya kepadaNya, biar bagaimanapun juga Dia berbuat terhadap kita. Baik untuk di dunia ini mahupun di akhirat. Segala yang disampaikanNya kepada kita yang berupa maut atau lebih buruk dari maut, semuanya itu adalah kebaikanNya, adalah yang terbaik kita menyerah sepenuhnya kepada Allah). Ketahuilah bahawa ini adalah satu-satunya peradaban yang hakiki untuk setiap hamba Allah.
Namun demikian sahabat dan sahabiah seperjuangan, telah sempurnakah Islam kita di ketika ini dengan kedudukan jamaah kita yang kian goyah? Bila disebut sahaja kalimah ini tentu sahaja masih ada di kalangan kita yang menjuruskannya kepada solat berjamaah semata-mata atau satu cara hidup yang cuba mengongkong kebebasan hidup insani dengan pelbagai manhaj yang telah disusun atur. Tetapi mesej budaya jamaah yang ingin disampaikan di ruangan ini adalah menfokuskan kepada konsep kesatuan atau kebersamaan kita dalam menghadapi mehnah jua tribulasi yang datang melanda tanpa belas kasihan.
Allah telah memberi peringatan kepada kita agar bersatu melalui firmanNya:
Yang bermaksud:
“berpegang teguhlah kamu pada tali Allah (agama Allah) dan janganlah kamu berpecah belah”.
Begitulah juga pesan Sandina Umar Al-Khattab R.A buat bekalan hidup kita “
Tiada Islam tanpa Jamaah. Tiada Jamaah tanpa kepimpinan dan tiada kepimpinan tanpa taat.
Sahabat dan sahabiah yang dirahmati Allah, seharusnyalah kita selaku tolibul ilmi ma’ruf dengan terperincinya berkenaan dengan budaya jamaah yang ingin dipupuk sesama kita oleh pihak yang berwajib dengan berlandaskan al-Quran dan Sunnah tanpa sekelumit pun rasa ragu. Cubalah kita buka minda, bangkitlah dari lena yang panjang, betapa Islam sekarang kian diperkotak-katikkan dan amat memerlukan kepada pembelaan dari para pejuangnya.
Andainya bukan kita siapa lagi yang akan mara kehadapan sebagai pejuang bagi menebus maruah Islam yang kian dirobek oleh tangan-tangan mereka yang telah dikuasai oleh syaitan laknatullah.
Dr. Umar Sulaiman al-Ashqar telah menyatakan bahawa antara punca kemunduran umat Islam adalah melalui perpecahan samada dari sudut aqidah, perundangan mahupun politik. Jika kita tinjau dengan teliti, pernyataan tersebut telah benar-benar berlaku dalam politik kemahasiswaan di bumi anbia’ ini. Betapa perpecahan ahli semakin membarah hinggakan ada segolongan dari kita yang sanggup menjadi gunting dalam lipatan dengan menggadaikan maruah diri semata-mata kerana maddiyah jua sikap ketidakpuasan hati.
Andainya kita seorang yang berhikmah, seharusnya setiap keputusan yang diambil adalah diasaskan dengan pemikiran positif. Segala tindakan yang dipandu oleh hawa nafsu pasti akan membuahkan risiko negatif yang bakal ditempuhi walaupun hadirnya tanpa diundang. Muhasabahkanlah diri, betapa natijah yang terhasil nanti bukan hanya untuk individu tertentu malah tempiasnya akan menular kepada kita semua.
Firman Allah Taala:
Yang bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah sekalipun, nescaya dia akan melihat balasannya, dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan sebarat zarah pun, nescaya dia akan melihat balasannya pula”.
Cukuplah dengan peristiwa berdarah Uhud sebagai pengiktibaran untuk diimbas kembali segala kesilapan kita. Kemenangan tidak mungkin akan tercapai dengan hanya niat yang baik atau bersandarkan golongan yang bergelar Islam semata. Bilamana tentera Islam cuai dan telah mengabaikan arahan serta penyusunan yang ditetapkan Rasulullah S.A.W, maka kekalahan telah menjadi milik mereka walaupun pada awalnya telahpun di ambang kemenangan. Begitulah jua yang berlaku di kalangan kita andai tiada wala’ kepada pimpinan.
Firman Allah s.w.t:
Yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam satu barisan teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh”.
Ayat ini cukup jelas kepada kita, bahawa di antara sifat oarang yang dicintai Allah Taala adalah sifat berjuang di jalanNya dalam satu kesatuan atau “bil jamaah”.

Justeru itu, marilah sama-sama kita bersatu bagi menatijahkan suatu kejayaan yang terbaik di samping Rahmat Allah Pencipta Sekalian Alam.
Sebagaimana FirmanNya:
Yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka”.
Setelah kita menyedari bahawa kita tidak dapat lari daripada mehnah hidup di dunia ini, perlulah kita bersabar dalam menghadapinya serta sentiasa mengharap bantuan daripada Allah. Berusaha sedaya mungkin untuk merubah ‘dunia kelam’ yang kita cipta sebelum ini agar kembali sirna. Jangan sekali-kali berputus asa daripada Rahmat Allah.
Orang yang memutuskan harapan daripada pertolongan Allah merupakan orang yang tak mahu bersandar kepada kekuasaaan Allah. Jangan mudah terpedaya dengan kemewahan dunia yang ditaburkan, kerana itu semua hanya mengaburi mata kita agar terpesong dari landasan yang hakiki.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: