~ aRtIkaL ~ ::_TM PeMaNgKin KeCeMeRlaNgan UmAt_::
Martabat dan maruah umat akhir-akhir ini dipudarkan oleh berbagai faktor. Ada yang berpunca daripada kelemahan akidah kerana kejahilan dan kurang komitmen. Ada pula yang disebabkan oleh fahaman dan amalan kebendaan yang begitu menguasai kehidupan mereka. Selain daripada itu, sistem perundangan kemanusiaan yang lemah serta sistem sekular dan liberal tidak kurang juga dipersalahkan.
Kepudaran martabat itu juga disebabkan oleh dasar politik yang korup, nepotisme, kronisme dan sebagainya. Dasar penyiaran langit terbuka dan media massa yang membuka ruang seluas-luasnya untuk penyerangan budaya asing terhadap jatidiri dan fitrah umat. Dasar ekonomi kapitalis dan liberalis, kepimpinan yang sukar dicontohi, kekurangan keupayaan ulama dan wadah mereka kerana kelemahan dalaman dan penindasan golongan sekular, trend globalisasi kuasa besar yang memaksakan sistem dan nilai-nilai mereka kepada umat Islam, semuanya menjadi halangan untuk melonjakkan digniti, kualiti dan martabat umat Islam.
Menyedari faktor-faktor penghambat kemajuan dan kecemerlangan umat itu begitu banyak maka usaha untuk mengembalikan kegemilangan maruah mereka bukan suatu perkara yang mudah. Ia melibatkan berbagai aspek kehidupan, prasarana dan mekanisme. Ia berkaitan dengan konsep mental, budaya, pendidikan, ekonomi, politik dan sebagainya. Sains, teknologi dan tekologi maklumat adalah salah satu pemangkin kepada usaha-usaha tersebut.
Pengertian Teknologi Maklumat
Teknologi Maklumat(TM) pula bila dilihat dari perspektif proses boleh diertikan sebagai satu proses dan teknologi bersepadu untuk memperolehi, memproses, menyimpan dan menyebarkan maklumat dalam bentuk suara (voice), gambar (imej/grafik), teks dan angka dengan menggunakan alat-alat elektronik. Teras kepada perkembangan TM adalah teknologi elektronik, komputer dan komunikasi. Ianya boleh dalam bentuk sehala atau dua hala serta boleh dalam bentuk sebaran umum atau dikhususkan kepada pihak tertentu sahaja. TM menjadi alat untuk sebaran am, bantuan dalam mempercepatkan proses dan penghubung antara dua pihak atau lebih.
Ringkasnya TM adalah merupakan satu mekanisme atau cara interaksi (perhubungan) antara manusia dengan manusia, manusia dengan mesin serta manusia dengan alam. Beberapa komponen yang berkaitan dengan TM dan perhubungan berkomputer adalah rangkaian pengangkutan maklumat asas, perisian dan peralatan telekomunikasi atau penerimapancar (transceiver). Secara keseluruhannya, TM tidaklah terhad kepada pencapaian internet dan multimedia sahaja kerana penggunaannya melibatkan urusan dalam semua bidang.
Teknologi Maklumat dan Dimensi Pembangunan Kecemerlangan Ummah
Kemerlangan membawa maksud pencapaian yang paling tinggi dan membanggakan dalam berbagai lapangan hidup. Dari sudut matlamat pendidikan manusia alaf baru maka umat perlu cemerlang dalam berbagai lapangan berikut:
Kemahiran dan keupayaan akademik:
1. Kemahiran menulis untuk memungkinkan individu berkomunikasi secara berkesan.
2. Kemahiran membaca dan memahami.
3. Kemahiran matematik, logik dan berfikir
4. Metedologi pengetahuan ilmiah merangkum sains gunaan
5. Kemahiran menggunakan komputer dan peralatan teknologi lain.
6. Daya penggunaan yang berkesan terhadap prasarana teknologi untuk meraih maklumat dan menggarapinya.
7. Keupayaan membuat kajian dan menafsirkan maklumat serta mengaplikasikannya
8. Mengatahui sejarah nasional dan sistem pemerintahan dalam masyarakat untuk dapat berperanan dengan jayanya dalam masyarakat Islam yang demokratik.
9. Mengenal sejarah dunia dan isu-isu antarabangsa.
10. Memahami geografi dunia
11. Menguasai beberapa bahasa asing.
Kemahiran Individual dan (Jama’i )
1. Kemahiran perhubungan lisan dan tulisan
2. Kemahiranberfikir secara kritis, berhujjah dan menyelesaikan masalah.
3. Keupayaan mengawal diri, bertindak secara bertanggungjawab, beriltizam dengan prinsip-prinsip akhlak.
4. Keupayaan menyesuaikan diri dan bersifat anjal
5. Kemahiran berinteraksi secara kritis dan bertanggungjawab dengan orang lain; samada dalam bertutur atau mendengar, di samping keupayaan untuk bertindak sebagai individu dalam kumpulan .
6. Menghargai titikpeluh usaha, memahami etika kerja, keperluan penglibatan individu dan memiliki disiplin kendiri yang baik
7. Prihatin terhadap kehidupan (optimistik terhadap kehidupan) di samping mempunyai matlamat pembelajaran sepanjang hayat.
Kemahiran dan Keupayaan Madani:
1. Menyedari dan menghargai kepelbagaian dan kemajmukan budaya di samping keperluan menanggapi sesuatu dari perspektif internasional dan Islamic.
2. Kemahiran berunding dan menyelesaikan pertikaian.
3. Menghargai sifat amanah dan mengamalkannya.
4. Boleh bersefahaman dan menghargai orang lain di samping menghargai kepelbagaian dan perbezaan yang wujud.
5. Keupayaan memikul tanggungjawab atas tindakan yang dilakukan.Dan lain-lain.
Kemerlangan juga amat berkait dengan konsep umat yang berkualiti khasnya dalam lapangan pekerjaan. Kualiti atau mutu pula bermula dari peringkat idea atau wawasan, konsep dan falsafah. Ini adalah kerana pemikiran, idea dan falsafah itulah yang menerbitkan tindakan luaran serta budaya. Pemikiran yang paling tinggi ialah pemikiran yang lahir dari sumber yang paling tinggi iaitu wahyu Allah s.w.t. Manakala wawasan yang paling unggul ialah wawasan yang berasaskan kepada iman dan tauhid.
Kualiti dalam bidang pekerjaan atau perkhidmatan merangkum ciri-ciri yang berikut:
1- Nilai atau martabat sesuatu konsep atau wawasan yang tinggi.
2- Nilai Productivity yang baik.
3- Perkhidmatan yang memenuhi kehendak pelanggan.
4- Prasana perkhidmatan yang canggih.
5- Persekitaran kerja yang sihat dan ceria.
6- Akhlak dan etika penjawat yang sopan dan mulia. Dan lain-lain.
Untuk lebih menjurus maka perbincangan dalam kertas ini akan menyorot beberapa kerangka Pembangunan Kecemerlangan Ummah yang boleh dilonjakkan oleh Teknologi Maklumat. Ia merangkum tajuk-tajuk kecil seperti berikut:
• TM dan Pembangunan Akidah
• TM dan Pembangunan Pendidikan
• TM dan Perkhidmatan Masyarakat
• TM dan Pengekangan fahaman dan amalan kebendaan
• TM dan Pembenterasan fahaman sekularisme
• TM dan Reformasi Sistem Politik
• TM dan Pemurniaan Media Massa
• TM dan Penampilan Sistem Ekonomi Islam
• TM dan Penyerlahan Kepimpinan Islam Contoh
• TM dan Peningkatan Keupayaan Ulama
• TM dan Usha Pencorakan Faham Ilmu Serta Mensejagatkan Wawasan Islam
TM dan Pembangunan Akidah
Teknologi Maklumat dengan segala kelebihannya membolehkan penggunaan kepelbagaian deria manusia dirangsang dan digerakkan dalam proses pembelajaran. Deria-deria tersebut digerakkan ke arah membangun domain batiniyyah agar tercapai martabat ubudiah yang tinggi kepada Allah. Ia berupaya menggilap potensi dalaman manusia untuk melaksanakan fungsi sebagai Khalifah Allah di muka bumi. TM dengan ilmu dan maklumat dalam bentuk suara (voice), gambar (imej/grafik), teks dan maklumat berangka (numeric) serta rangkaian jaringannya memungkinkan sesuatu yang unik dalam sejarah peradaban manusia terutamanya dalam kesedaran beraqidah.
Sumber-sumber internet seperti halaman web http://www.flash.net/~royal/home.html, http://www.islam101.com/dawah/islam_intro0.html dan http://www.unn.ac.uk/societies/islamic/quran/naeindex.htm boleh membantu pengajaran guru dalam bidang tauhid atau akidah. Selain dari itu CD Rom yang mengandungi perisian akidah seperti “Azamatullah Tatajalla Fi Khalqihi”, Asas-Asas Didikan Islam, juga dapat mengukuhkan lagi pengajaran guru. Pembelajaran secara on-line seperti yang disediakan oleh Islam101.com dan Universiti-Universiti Maya atau Siber juga memudahkan para pelajar mempelajari tauhid dan ilmu-ilmu Islam secara berterusan.
TM dan Pembangunan Pendidikan
Pendidikan sering dilihat sebagai agen perubahan. Melalui Teknologi Maklumat, agenda perubahan masyarakat akan lebih cepat dan meluas fokus capaiannya. Manakala dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, ia membantu tahap penguasaan ilmu, kemahiran dan juga proses penghayatan(sekiranya benar cara pelaksanaannya). Peralatan teknologi maklumat komunikasi membekalkan kemampuan untuk mengumpul, menyimpan, memproses, menyalurkan dan menyampai data maklumat dan ilmu secara pantas dan tepat.
Ini dapat dilihat di dalam internet dan aplikasinya, perkakasan multimedia, hypermedia dan lain-lain di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam konteks pendidikan penggunaan teknologi ini memperkembangkan potensi dan kemahiran pelajar di dalam menguasai ilmu, menyusun maklumat dan juga menyelidik fakta spesifik secara pantas dan efektif. Belajar secara pantas, tepat dan efektif adalah satu keutamaan umat Islam yang perlu dicapai. Prof. Dr. Mohd Kamal Hasan dalam bukunya "Moral and Ethical Issues in Human Resources Development" mengatakan "the ability to learn faster than your competitors maybe the only sustainable competitive advantage".
TM dan pembelajaran Bestari merupakan satu keperluan dalam sistem pendidikan abad ini. Proses pembelajaran dan pengajaran bestari seharusnya direalisasikan dalam budaya sekolah masa kini.
Dalam sebuah kelas yang bercirikan Teknologi Maklumat, persekitaran elektroniknya membantu proses pendidikan(pengajaran dan pembelajaran). Kelas tersebut secara umumnya disokong oleh kombinasi elemen-elemen berikut:
1. pengkalan komputer untuk pengajar/guru
2. sistem multimedia yang berkeupayaan mempersembahkan pelbagai jenis informasi seperti teks, data, grafik, animasi, audio dan video
3. pengkalan data pendidikan di dalam kelas
4. komputer bagi para pelajar
5. suatu rangkaian jaringan tempatan(LAN) dan jaringan kawasan luas(WAN) yang membolehkan komunikasi di antara komputer dan pengkalan data komputer; perkongsian imej dan bahan
6. suatu sistem yang menyediakan kemudahan penyimpanan, perkongsian dan penghantaran dokumen dan data
7. suatu sistem komunikasi yang menghubungkan kelas kepada sumber pendidikan di luar kelas.
Teknologi Maklumat dalam pendidikan telah memainkan peranan yang lebih luas dari sekadar merubah suasana kelas atau sekolah. Ia memungkinkan pembelajaran dari jarak jauh, pencapaian khazanah ilmu dari pelayan atau server yang berkapasiti tinggi, membeli-belah secara on-line dan sebagainya.
TM dan Perkhidmatan Masyarakat
Terdapat berbagai ruang perkhidmatan dalam masyarakat yang boleh ditingkatkan kemudahan dan penggunaannya melalui aplikasi teknologi maklumat . Kita kini mempunyai tele-medicin , tele-info, tele-kuiz dan berbagai lagi tele. Kita juga akan mengorakkan langkah untuk merealisasi 7 flagship yang telah digariskan oleh pehak-pehak yang bertanggongjawab.
Sudah tentu hal-hal tersebut akan membawa banyak perubahan dalam amalan kehidupan umat. Kendatipun demikian umat Islam harus waspada dan cermat agar tidak terjebak dalam perangkap penjajahan bentuk baru yang akan menghakis keupayaan, kekayaan dan jatidiri mereka secara eletronik dan digital.
Mereka hendaklah mempunyai kesiapsiagaan yang tinggi untuk dapat mengatasi berbagai kerenah abad 21; dari masalah mellinium bagnya sampailah kepada masaalah jenayah kolar putih, biru dan sebagainya. Kaedah kebaikan telah meningkat maju dan canggih dan demikian juga halnya dengan kaedah keburukan. Ia ikut meningkat dengan berbagai teknik baru yang menghasilkan kerugian berjuta-juta ringgit kepada indibidu, masyarakat dan kerajaan.
TM dan Pengekangan fahaman dan amalan kebendaan
Melalui talian ekonomi digital, credit card atau kad pintar homepage dan sebagainya manusia moden mencari kekayaan dengan cara yang amat mudah dan pantas. Budaya kepenggunaan yang negatif meresap masuk dalam masyarakat umat Islam.
Perniagaan elektronik menjangkau berbilion-bilion ringgit. Umat Islam mula belajar hidup bermewah-mewah dan bermegah-megah dengan kebendaan. Dalam masa yang sama berbagai program tv digital, dari seluruh pelosok dunia yang boleh dicapai dengan mudah secara plug-in atau secara download dan lain-lain menyebabkan kebanjiran budaya hedonisme dan menularnya gejala lepak, perbualan kosong dan jenayah internet.
Bagaimanakah fahaman ini dapat dikekang dan bagaimana penyiaran dan pendidikan boleh ditingkatkan sehingga masyarakat siber dan umat Islam umumnya lebih bijak dan terdidik untuk melindungi jatidiri atau fitrah Islamiah mereka di samping bijak pula dalam berbelanja. Inilah yang mesti dijawab dan diusahakan oleh kaum bijak pandai IT Islam dan kerajaan.
TM dan Pembenterasan fahaman sekularisme
Faham sekularisme sudah cukup lama bercokol, mencengkam dan menghantui negara-negara umat Islam. Ada negara yang menyingkirkan Islam seluruhnya dari menjadi asas kebijaksanaan politik negara berkenaan. Ada negara yang membatasi pengaruh ajaran Islam dengan had-had tertentu.
Ada pula yang membiarkan beberapa sistem atau aplikasi ajaran Islam berjalan seiring dengan sistem sekular. Namun Islam terus dihimpit oleh fahaman-fahaman ini dalam berbagai negara umat Islam. Bagaimana TM boleh menyerlahkan kebatilan fahaman dan amalan seperti ini dalam masyarakat umat Islam.
Bagaimana pula umat Islam melalui TM boleh diajak kembali kepada ajaran Islam yang syumul dan tuntas samada melalui tv digital, multimedia, internet, informasi, telekomunikasi dan sebagainya. Inilah soalan yang meminta jawapan yang mendesak.
TM dan Reformasi Sistem Politik
Menjelang alaf baru arus reformasi melanda beberapa buah negara Islam. Ia adalah suatu yang lumrah dalam kehidupan bangsa dan umat yang dinamis. Kebobrokan sistem politik nepotisme, korup, dan mengamalkan dasar ekonomi kronisme dan keburukan dasar politik diktator dan amalan kepura-puraan memang perlu ditamatkan segera untuk kebaikan umat Islam itu sendiri.
Isu-isu mengenai keadilan politik bukan suatu yang tidak berkaitan dengan Teknologi Maklumat bahkan ia amat kait mengait. Kerapkali kegawatan sosial serta kejatuhan ekonomi disebabkan oleh kemelut politik dan dasar politik yang tidak lagi sesuai dengan tatacara yang adil dan tuntutan aspirasi rakyat. Oleh itu apa jua usaha dan mekanisme perlulah diarahkan untuk menangani permasaalahan ini.
Bagaimanakah pula TM boleh mengembangkan kesedaran Amar Ma’ruf dan Nahi Munkar, menyebarluaskan semangat untuk melakukan perubahan untuk membela nasib majoriti yang tertindas, menyampaikan maklumat dan hakikat yang selalu disembunyikan oleh penguasa sekular dan regim diktator di negara mereka, bagaimanakah kualiti sistem sosio-politik dalam masyarakat boleh ditingkatkan, inilah persoalan yang perlu dijawab oleh khalayak yang menguasai teknologi maklumat dalam rangka meraih kecemerlangan hidup.
TM dan Pemurnian Media Massa
Alat penjajahan budaya, dan pemusnahan semangat perjuangan Islam yang berkesan pada zaman ini antara lain ialah media massa. 33 saluran tv, berpuluh saluran radio, institusi perfileman, akhbar , majalah dan sebagainya telah lama menjadi agen sosialisasi yang kerap bercanggah dengan cita-cita dan idealisme Islam.
Segala kekarutan, filem maksiat, persembahan seni yang lagha dan lahu, drama yang merendahkan martabat alim ulama, sukan yang melalai dan mengasyikkan orang ramai, komentar-komentar dan makalah-makalah yang memihak kepada kebatilan, berita-berita yang menindas dan memperkecil-kecilkan perjuangan Islam adalah disalurkan melalui media massa. Walaupun tidak dinafikan ada perkara-perkara yang positif disiarkan melalui media massa namun pada umumnya perkara-perkara yang negatif mengatasi perkara yang positif.
Oleh itu mampukah TM membetulkan perkara ini . Mampukah ia menyaring dan melakukan reformasi total tanpa reformasi fahaman , dasar dan sistem penyiaran negara. Jika ia mampu berbuat demikian maka itu adalah salah satu langkah untuk meraih kecemerlangan umat.
TM dan Penampilan Sistem Ekonomi Islam
Sistem ekonomi dunia kini didominasi oleh sistem liberal, kapitalis. Sistem ini dilandaskan kepada riba, spekulasi, monopoli, pasaran bebas yang dimonitor secara halus dan lihai oleh para spekulator, pemegang dana dan pemodal-pemodal besar antara bangsa. Sistem ini sejajar dengan fahaman meterialisme yang menjana dan memperkukuh kuasa imprialisme sejagat. Sistem tersebut juga dapat memanfaatkan TM dan mengeluarkan aplikasi canggih untuk kelicinan dan kelangsungan hayatnya.
Dengan itu manusia yang bercokol disebaliknya dapat memporakperandakan ekonomi negara-negara dunia ketiga dan dunia Islam khasnya. Mampukah TM menjelaskan perkara ini secara meluas dan berkesan dikalangan umat Islam khasnya.
Mampukah TM merumus dan menyebarluaskan fahaman dan sistem ekonomi, sistem monetary, fiscal policy alternatif untuk umat Islam. Yang lebih penting berdayakah TM untuk menolak umat Islam agar mengalihkan paradigma ekonomi mereka kepada paradigma ekonomi Islam supaya mereka dapat membebaskan diri dari kongkongan dasar dan sistem kapitalis Barat.
TM dan Penyerlahan Kepimpinan Islam Contoh
Role model kepimpinan yang paling unggul bagi umat ialah seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Baginda adalah pemimpin yang memperjuangkan dasar Islam yang syumul dan prihatin terhadap kebajikan rakyat. Baginda bukan pejuang nasionalist, pancasilais, kamalis atau sosialis. Baginda adalah pejuang Islam tulin. Baginda tidak memperjuangkan Islam dengan mengharamkannya. Baginda tidak mendakwa moderate dengan penyingkiran sistem undang-undang Islam dan hukum hudud!. Baginda tidak memperjuangkan selain dasar dan fahaman Islam.
Mampukah TM menyerlahkan hakikat ini. Berdayakan TM menonjolkan wadah perjuangan dan figure kepimpinan Islam yang sebenarnya yang memperjuangkan Islam secara menyeluruh. Mampukah TM mendedahkan kepalsuan kepimpinan duniawi yang fanatik, boros, dan kronis. Mampukah ia menjana kepimpinan baru Islam yang tidak mudah keliru dan tidak mudah pula menjadi alat kepada penguasa sekular menumpaskan perjuangan Islam?.
Andaikata ia berupaya ia berbuat demikian maka itu bermakna kita sudah mengorak selangkah lagi dan maju ke arah meraih kecemerlangan umat.
TM dan Peningkatan keupayaan ulama
Selain daripada itu usaha meningkatkan martabat umat berkaitan sekali dengan peningkatan kualiti ulama. Ini adalah kerana ulama sebagai pemimpin umat diperingkat grassroot dan juga diperingkat atasan. Mereka mewakili wawasan yang dibawa oleh Rasulullah. Oleh itu mereka hendaklah diberi persiapan yang kukuh untuk menghadapi berbagai cabaran dalam abad-abad yang akan datang.
Mereka perlu ditrampilkan dalam berbagai aplikasi dalam bidang teknologi maklumat. Dengan keupayaan ilmiah dalam berbagai ilmu Islam disamping penguasaan yang baik terhadap teknologi informasi terkini ulama dapat memainkan peranan yang jauh lebih berkesan dari rakan sebaya mereka yang tidak mendapat pendedahan sewajarnya dalam bidang TM.
Para ulama perlu diiktiraf dan diberi status dan martabat yang layak bagi mereka. Amalan menjatuhkan nama baik dan maruah mereka kerana hal-hal yang remeh, perlu dibenteras. Mereka perlu diberi hak untuk bergiat cergas dalam mencorakkan arus sosio-politik negara. Mereka mewarisi perjuangan Rasulullah, penggilap jatidiri umat dan benteng dari gelombang murtad yang mengancam generasi muda dan tua umat Islam.
TM dan usaha mencorakkan fahaman ilmu dan mengglobalkan wawasan Islam
Penjajahan budaya, ekonomi, ketenteraan, teknologi dan sebagainya bermula dari penjajahan konsep budaya, falsafah dan faham ilmu. Fahaman kebaratan dan memandang remeh saranan agama dalam hal-hal seperti ini telah melembagakan insititusi keilmuan dan budaya yang sekular dan menyimpang jauh dari lunas-lunas Islam.
Institusi-institusi ini pula melehirkan anak didik dan kader-kader baru yang menatar fahaman yang serba kebendaan tersebut. Ini menimbulkan konflik yang berlarutan dalam diri umat Islam itu sendiri.
Dengan itu berlakulah perpecahan dan peperangan sesama sendiri dengan diapi-apikan pula oleh kuasa penjajah dan zeonist yang suka melihat umat Islam lemah dan berpecahbelah. Oleh itu dalam rangka mengukuhkan perpaduan umat Islam usaha menjernihkan minda umat dari fahaman yang serba kebaratan dan kebendaan perlu dikembangkan dan disebarkan oleh TM milik kita.
Umat Islam perlu juga mengembangkan perspektif Islam dalam bidang ilmu pengetahuan ini agar nilai-nilai Islam yang unggul dan universal dapat mengukuh dan dapat disebarluaskan ke seluruh pelusuk dunia.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: