~ aRtiKaL ~ ::_BuKu KaRiBmu_::
Detik awal sinar Islam di alam maya ini bermula dengan pancaran cahaya wahyu Ilahi melalui kalimah Iqra bermaksud ‘Bacalah’ dan melambangkan ilmu yang di dalamnya terangkum makna membaca, mengkaji, menyelidik dan berfikir.
Istilah ‘ilmu’ yang menjadi teras sistem nilai dalam Islam dan menduduki tempat tinggi mempunyai hubungan rapat dengan istilah ‘buku’ yang menjadi sumber kepada ilmu dan pengetahuan.
Di dalam buku terkandung khazanah intelektual, dokumentasi pengekalan warisan dan budaya serta idea besar, yang kadang-kala menjadi pencetus bahaya mengakibatkan peperangan atau diharamkan atas sebab idea yang dilontarkan pengarangnya. Namun, buku saja tetap akan tinggal sebagai buku jika tiada proses perpindahan ilmu yang ada di dalamnya ke dalam minda manusia melalui proses dikenali sebagai pembacaan.
Pembacaan dengan kata lain seharusnya membawa kepada kesahihan ilmu yang dapat membezakan antara kebenaran dan kepalsuan. Melalui wahana inilah usaha keilmuan dapat membangunkan intelektual, membentuk budaya fikir kreatif dan dinamis yang akhirnya melahirkan masyarakat progresif.
Dalam peradaban Islam, buku adalah kekasih dan teman paling setia dalam memimpin ke arah kebenaran dan membentuk kemajuan unggul. Sikap orang Islam ketika itu yang mencintai buku jelas dilihat daripada kehidupan seharian mereka terutama ketika mereka berbicara. Membaca buku bagi mereka yang mencintai ilmu sama seperti berkomunikasi dengan teman yang begitu setia untuk mendengar.
Profesor Ahmad Shalaby dalam bukunya bertajuk Sejarah Pendidikan Islam ada menyatakan, dalam sejarah Islam pernah diriwayatkan apabila seseorang berbicara mengenai buku, maka pendengarnya akan mengira bahawa dia sedang berbicara mengenai seseorang yang amat setia dan jujur, seorang kekasih yang sudah lama tidak bertemu atau seorang pemimpin yang memimpin ke jalan kebenaran dengan satu tujuan yang suci murni.
Dalam buku itu, beliau juga telah menulis satu bahagian khusus mengenai hubung kait buku dan perpustakaan. Pada zaman Harun al-Rasyid, iaitu kemuncak perkembangan ilmu di bumi Arab terutama apabila Baitul Hikmah iaitu perpustakaan dan juga sebuah pusat penterjemahan mula beroperasi.
Di sinilah tempat berkumpul segala ilmu yang didapati daripada tamadun luar seperti kaedah mantik atau logik dari tamadun Yunani, penghasilan kertas daripada tamadun China dan ilmu nombor diambil daripada tamadun India. Ilmu yang dikumpulkan itu terus dikaji dan diselidiki dengan lebih mendalam, juga diterjemahkan ke dalam bahasa Arab dan dihasilkan semula dalam bentuk buku untuk dimanfaatkan semua.
Bagi pencinta ilmu, buku adalah pasangan paling setia. Ke mana saja mereka pergi akan tetap ditemani pasangannya ini. Al-Jahiz, seorang ulama besar Islam yang mempunyai komitmen tinggi terhadap ilmu dan pembacaan sehingga mati tertindih oleh bukunya pernah berkata ‘buku itu akan diam bila engkau menyuruhnya diam. Dia tidak akan mengganggumu jika engkau sedang bekerja. Tetapi apabila engkau diulik kesepian, dialah teman yang akan menjadi temanmu paling baik’. Dalam mencari buku yang boleh dijadikan pasangan atau teman, aspek kualiti perlu diberi perhatian sewajarnya.
Buku karya besar atau agung dalam pelbagai tradisi bangsa dan peradaban manusia penting terutama dalam memanusiakan pembaca kerana ia mewakili tradisi dan perkembangan pemikiran dan intelektualisme sesuatu bangsa.
Sejarah juga membuktikan hanya dengan ketinggian budaya ilmu, sesuatu bangsa dapat mempengaruhi negara dan bangsa lain yang lebih besar dan kuat. Kefahaman kepada idea dan gagasan besar yang dilontarkan adalah antara usaha manusia untuk memahami dan menghayati kebijaksanaan santapan mental dan rohani manusia.
Ahli sufi klasik tersohor, Muhyiddin Ibnu Arabi, pernah menceritakan mengenai penghargaan seorang ulama mengenai buku: “Belum pernah ku melihat kebun buah-buahan yang dapat diletakkan di lengan baju atau taman bunga yang dibawa dalam pangkuan”.
Dalam sejarah peradaban Islam, buku berperanan sebagai terapi atau dikenali sebagai biblioterapi. Bagi ulama pencinta ilmu, mereka akan meletakkan buku di atas kepala untuk menghilangkan sakit kepala atau demam.
Jika hilang rasa sakit, mereka akan terus membaca buku berkenaan.Antara buku dan budaya menulis, dua perkara tidak dapat dipisahkan sebagaimana Saidina Ali pernah berkata: “Ikatlah ilmu dengan menulisnya”.
Prof Hamka juga berkata, jika seseorang sudah mencapai tahap membaca yang tinggi, secara semula jadi akan terpanggil untuk memindahkan ilmu pengetahuan yang didapatinya dalam bentuk penulisan. Ini jelas dilihat dalam diri Prof Hamka sebagai seorang ulama, sasterawan, pemikir dan penulis.
Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas ,di dalam pendahuluan bukunya bertajuk A commentary on the Hujjah al-Siddiq of Nur-Din al-Raniri menyatakan, ‘sumbangan yang abadi yang dapat diberikan oleh seseorang dalam keadaan seumpama ini adalah menulis sebuah buku kerana sebuah buku dapat kekal lama selepas kerajaan, manusia, negara, catatan pemikiran dan tindakan manusia lupus.’ Dalam hal ini, buku berperanan sebagai penzahiran pemikiran seseorang melalui tulisan.
Sebagai contoh, Syed Sheikh al-Hadi, seorang tokoh pembaharuan Islam yang hidup sezaman dan seangkatan dengan Muhammad Iqbal, pemikir Islam tersohor dari Pakistan.Sifatnya yang agak positif dengan Barat sering disalahertikan. Beliau menyarankan ajaran Islam harus menerima idea dan falsafah Barat supaya umat Islam boleh mengecapi kemajuan dan bersaing dengan bangsa lain.
Bagi beliau, wadah terpenting dalam menyampaikan idea ialah melalui kaedah penulisan sama ada buku ataupun majalah. Hal ini boleh digunakan untuk mengejutkan umat Islam di Tanah Melayu dari tidur untuk bangkit menebus kemunduran masa lalu. Bagaimanapun hal itu masih tidak diberi perhatian serius hingga ke hari ini.
Oleh itu, tidak hairanlah walaupun Malaysia kaya dengan hasil buminya namun anak watan, khususnya bangsa Melayu masih tidak dapat memanfaat sepenuhnya lantaran kekurangan pengetahuan mengenai bagaimana semua itu dapat digunakan.
Rasulullah SAW pernah menyatakan mengenai kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: “Bila kamu menghendaki hidup berjaya di dunia hendaklah kamu berilmu dan bila kamu menghendaki hidup berjaya di akhirat hendaklah berilmu dan bila kamu menghendaki kedua-duanya hendaklah juga kamu berilmu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Buku sebagai khazanah ilmu pengetahuan perlu diberi kedudukan tinggi kerana di dalamnya tersimpan rahsia kehidupan dan kunci kemajuan. Nilai terkandung dalamnya akan mencorak kehidupan manusia dan telah banyak mempengaruhi golongan pemikir, pemimpin, ilmuwan dan ulama.
Sikap mementingkan ilmu melalui membaca akan memajukan manusia dalam seluruh aspek kehidupan termasuk budaya, kemanusiaan dan adab. Bagaimanapun, budaya ilmu tidak hanya terbatas di sekolah atau universiti, malah perlu dikembangkan dalam kehidupan masyarakat.
Apabila budaya ilmu menjadi sebahagian hidup mereka, konsep penghidupan tidak lagi untuk hidup semata-mata tetapi memberi keutamaan kepada pentingnya memburu ilmu, menambah ilmu untuk meningkatkan corak pemikiran atau intelek sebagai satu keperluan dalam menghadapi cabaran hidup.
Seorang penyair Arab yang terkenal pada zaman Abbasiah, Al-Mutanabbi berkata: ‘Teman yang paling mulia sepanjang zaman adalah buku.’

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

1 comments:

Puteri said...

salam ukhuwah