~ isSue ~ :- Moorthy Dikebumi Cara Islam -:
SELAMAT DISEMADI: Abang Moorthy, Mohd Hussin Abdullah (kiri)mengaminkan doa di sisi pusara adiknya di Tanah PerkuburanIslam Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur, semalam.
Turut hadir Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia(Kagat),
Brig Jen Jamil Khir Baharom (dua dari kiri).
KUALA LUMPUR: Selepas sembilan hari menjadi rebutan, jenazah pendaki Everest, M Moorthy selamat dikebumikan secara Islam di sini petang semalam, apabila Mahkamah Tinggi memutuskan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak dan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berhubung status agamanya.
Jenazah Moorthy atau nama Islamnya, Mohammad Abdullah (gambar) disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota di sini, jam 2.45 petang semalam, selepas dituntut oleh pegawai Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan balu Moorthy, S Kaliammal daripada mengambil jenazahnya untuk disemadikan mengikut adat agama Hindu kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa bagi mendengar permohonan itu.
Hakim Datuk Md Raus Sharif ketika membuat keputusan itu, juga menolak permohonan Kaliammal untuk mendapatkan deklarasi yang suaminya ialah penganut agama Hindu dan bukan beragama Islam pada tarikh kematiannya pada 20 Disember lalu.Permohonan Kaliammal bagi mendapatkan deklarasi bahawa semua dokumen penukaran agama Moorthy kepada agama Islam adalah tidak sah dan terbatal, juga ditolak oleh Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, Md Raus membenarkan permohonan Kaliammal untuk mengisytiharkan bahawa beliau adalah isteri sah kepada Moorthy sehingga tarikh kematiannya.Dalam penghakimannya, Md Raus berkata, perkara pokok atau isu utama yang berbangkit dalam permohonan saman pemula itu adalah berkenaan kesahihan Moorthy memeluk agama Islam.
“Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur sudah memutuskan Moorthy adalah seorang Islam pada 22 Disember lalu. Maka mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak dan membatalkan perintah mahkamah syariah atau tidak menghiraukan sama sekali perintah itu,” katanya. Md Raus berkata, pemohon juga cuba menunjukkan dalam tempoh yang dikatakan si mati memeluk Islam, dia ada mengambil bahagian dalam upacara keagamaan Hindu dan melakukan perkara bertentangan dengan Islam.
“Saya berpendapat ia adalah persoalan undang-undang Islam dan sekali lagi bidang kuasa untuk menentukan perkara seperti itu adalah di bawah bidang kuasa mahkamah syariah dan bukannya mahkamah sivil.“Berdasarkan alasan itu, mahkamah ini hanya dapat membenarkan permohonan pemohon bagi deklarasi yang beliau adalah isteri sah si mati sehingga kematiannya manakala relif lain ditolak,” katanya.
Dalam saman pemula yang difailkan pada 21 Disember lalu, Kaliammal memohon perintah supaya HKL menyerahkan mayat suaminya serta merta untuk diuruskan mengikut upacara Hindu. Kaliammal juga memohon perintah injunksi sementara untuk melarang MAIWP daripada mengambil atau menuntut mayat si mati daripada HKL dengan apa cara sekalipun sehingga kes itu diputuskan mahkamah.Beliau menamakan MAIWP, pengarah HKL dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Pada 22 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan jenazah Moorthy dikebumikan dengan segera mengikut hukum syarak selepas mendapati dia sudah memeluk Islam pada 11 Oktober 2004.Pada prosiding itu, mahkamah syariah menerima ‘borang pendaftaran memeluk agama Islam’ daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bertarikh 14 Mei lalu, mempunyai cap jari kanan Moorthy yang mengaku beliau memeluk Islam dan menggunakan nama Mohammad Abdullah.
Mahkamah syariah juga menerima dokumen ‘keterangan masuk agama Islam’ yang menyatakan Moorthy memeluk Islam tanpa dipaksa sesiapa, diajarkan mengucap dua kalimah syahadah dan diberi faham makna serta diterangkan rukun iman dan Islam di hadapan dua saksi.Moorthy, 36, yang lumpuh dari bahagian pinggang ke bawah sejak tujuh tahun lalu, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi HKL jam 11.10 pagi 20 Disember lalu selepas berada dalam keadaan koma sejak 11 November tahun ini.
Md Raus berkata, di Wilayah Persekutuan, ada peruntukan yang nyata mengikut Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993 (Akta 505) mengenai isu memeluk agama Islam.Katanya, bahagian IX Akta 505 menghuraikan dengan jelas prosedur memeluk agama Islam dan sudah tentu mahkamah yang mempunyai bidang kuasa menentukan perkara seperti kesahihan memeluk Islam adalah mahkamah syariah.
“Ini selari dengan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan apa-apa perkara di mana mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa,” katanya.Mahkamah Tinggi juga menolak permohonan peguam Kaliammal, M Manoharan untuk mendapatkan perintah penggantungan pelaksanaan penghakiman sementara sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan.
Manoharan kemudian memfailkan notis rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, Jalan Raja, jam 3.30 petang semalam. Selain Manoharan, Kaliammal juga diwakili peguam A Sivanesan; Peguam Kanan Persekutuan Mohamad Naser Disa dan Dr Hassan Abdul Rahman mewakili HKL dan kerajaan manakala Fakhrol Azman Abu Hasan dan Zainul Rijal Abu Bakar mewakili MAIWP.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: