5 PeRkArA jIkA kAmU nAk BuAt DoSa




Diriwayatkan bahawa seorang lelaki telah datang menemui Ibrahim ibn Adham. Beliau berkata kepada Ibrahim ibn Adham:

“Wahai ayah Ishak! Sesungguhnya aku terlalu banyak melakukan dosa. Tolonglah tunjukkan kepadaku apa-apa teguran yang boleh menjadi peringatan kepadaku supaya aku tinggalkan kerja-kerja dosa itu.”

“Sekiranya kamu sanggup menerima 5 perkara ini dan berkuasa melakukannya, maka tidak ada masalah kalau kamu hendak melakukan maksiat. Dan kamu sekali-kali tidak akan dibinasakan,” ujar Ibrahim ibn Adham.

“Ayuh! Bawakan cepat, apakah yang dimaksudkan itu wahai ayah Ishak!” pinta lelaki tersebut tidak sabar-sabar mahu mendengarnya.

“Ada pun yang pertama: Sekiranya kamu ingin sangat melakukan maksiat kepada Allah Azza Wajalla, maka janganlah kamu makan sedikit pun dari rezekiNya” jawab Ibrahim.

“Habis, di mana aku mahu mendapatkan makanan sedangkan segala apa yang ada di atas muka bumi ini semuanya adalah dari rezekiNya?” ujar si lelaki itu terpinga-pinga dengan ucapan Ibrahim tersebut.

“Kalau begitu, apakah patut kamu memakan rezeki pemberianNya sedangkan dalam waktu yang sama kamu derhaka kepadaNya?” soal Ibrahim.

“Tidak! Baiklah, sebutkan perkara yang kedua”, pinta lelaki tersebut.

“Kalau kamu ingin derhaka kepadaNya, maka kamu jangan cuba mendiami setiap inci pun dari bumi yang dipunyaiNya ini”, jawab Ibrahim.

“Ini lagi teruk dari yang pertama! Kalaulah bermula dari arah timur sehinggalah ke barat termasuklah yang berada di antara keduanya semuanya itu kepunyaanNya, di mana lagi aku mahu tinggal?” ucap si lelaki itu lagi.

“Kalau begitu, apakah patut kamu memakan rezekiNya kemudian kamu menetap di atas tanah kepunyaanNya dan dalam waktu yang sama kamu menderhakaiNya?” soal Ibrahim.

“Tidak patut. Baiklah, cuba bawakan yang ketiga pula”, pinta orang itu.

“Kalau kamu mahu menderhakaiNya sedang dalam waktu yang sama kamu makan dan menetap di atas bumi kepunyaanNya, maka lebih baik kamu cari satu tempat yang tersembunyi yang mana Allah sendiri tidak mampu melihatnya, di situ nanti kamu derhakalah kepadaNya menurut sesuka hatimu”, ucap Ibrahim lagi.

“Wahai Ibrahim! Bagaimana boleh berlaku demikian sedang Dia adalah Yang Maha Melihat segala apa yang tersembunyi?” ucap lelaki itu.

“Kalau begitu, apakah patut kamu makan rezeki pemberianNya, kemudian kamu menetap di atas bumi kepunyaanNya dan dalam waktu yang sama kamu berbuat derhaka kepadaNya, sedang Dialah Tuhan Yang Maha Melihat tindak-tanduk kamu dan Maha Melihat terhadap apa-apa yang kamu cuba selindungkan dariNya?” jelas Ibrahim.

“Tidak! Baiklah, nyatakan pula perkara yang keempat itu”, pinta orang itu lagi.

“Sekiranya malaikat maut datang untuk mencabut nyawa kamu nanti, maka katakanlah kepadanya: ‘Tolong beri tempoh kepadaku sedikit masa lagi untuk aku bertaubat dengan taubat nasuha dan supaya aku dapat beramal dengan amalan yang soleh'”, ucap Ibrahim.

“Sudah tentu dia tak akan menerima permintaan aku itu”, kata lelaki itu.

“Kalaulah kamu sendiri tidak mampu menghalang kedatangan maut supaya memberi sedikit tempoh kepada kamu untuk bertaubat, dan kamu sendiri pun tahu bahawa apabila ia dating maka ia tidak akan memberi tempoh sedikit pun, maka bagaimana kamu akan terselamat dan bebas darinya?” kata Ibrahim lagi.

“Baiklah, berikan kepadaku perkara yang kelima itu”, pinta orang itu lagi.

“Pada hari Kiamat kelak sekiranya malaikat Zabaniah datang kepada kamu untuk membawa kamu ke dalam api neraka, maka kamu jangan ikut pergi bersamanya”, cadang Ibrahim.

“Mana mungkin dia akan membiarkan aku sedemikian dan sudah pasti para malaikat tidak akan menerima permintaan aku untuk berbuat demikian nanti”, ujar si lelaki itu.

“Habis, kalau begitu bagaimana kamu akan beroleh keselamatan dan kejayaan dari habuan neraka kalau kamu suka sangat berbuat maksiat?” soal Ibrahim.

“Wahai Ibrahim! Cukuplah semuanya. Aku memohon ampun kepada Allah dan aku bertaubat kepadaNya”, ujarnya kepada Ibrahim ibn Adham.

Semenjak itu lelaki tersebut sentiasa sahaja menghabiskan masanya dengan beribadat kepada Allah S.W.T. sehinggalah ke akhir hayatnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS