NTV7 papar isu pelacuran - Mana si jantannya?

NTV7 papar isu pelacuran - Mana si jantannya?

Tangkap dan siar wajah pelacur. Jantan pelanggannya mana? Apa nama hotelnya? Kenapa diskriminasi pada perempuan saja?
Rancangan Mysiasat NTV7 jam 5.00 petang Sabtu lalu memaparkan segmen menerjah neraka pelacuran di Brickfields. Banyak aksi pelacur yang dapat dilihat walau pada bahagian tertentu, seperti wanita sedang memakai coli, dikaburkan. Tetapi penonton dapat membayangkan suasana kelam kabut daripada berbogel hendak memakai pakaian, sedang lampu kamera menyuluh terang-benderang bak penggambaran drama atau iklan. Kata wartawannya, 'pelacur terkantoi lagi'. Sibuk sekali jurukamera merakam aksi pelacur, ada yang terkejut, walau ada yang mengaku sudah pernah tertangkap sebelum itu.
Tetapi mana si pelanggannya? Kenapa ada diskriminasi dalam isu ini? Yang melanggan tidak bersalah atau berdosakah? Saya cuba menanti ke hujung rancangan, mengharap ada perubahan dari pihak NTV7 tetapi ternyata sama saja seperti suratkhabar harian kita. Yang dipaparkan hanya 'ayam' ditangkap, dikumpul dalam trak bersempit-sempit untuk dibawa dibalai. Tidak ada pun trak yang membawa pelanggan jantan atau tuan punya rumah pelacuran disiarkan.
Seronok jadi lelaki dan tuan punya rumah pelacuran. Mungkin mereka tertangkap atau didenda tetapi mereka tidak dimalu atau didedahkan seperti nasib perempuan. Kalau buka premis sama di tempat lain, tidak ada yang akan perasan.
Wartawan NTV7 didengar bertanya pada pelacur: "Kenapa buat kerja ini?, Tak ada kerja lainkah?, Mana tahu ada kerja pelacur di sini, kawan beritahu?"
Teringin pula hendak dengar soalan sebegini di tanya kepada pelanggan lelaki, yang penonton tv dapat mendengarnya: "Kenapa melanggan pelacur?, Tak ada kerja lainkah?, Mana tahu ada pelacur di sini, kawan-kawan lain pun ramai melanggan di sinikah?"
Di akhir rancangan hos Wan Kamaruddin mengatakan masalah pelacuran harus diselesaikan ke akar umbi. Begitu tinggi dan besar harapan Wan tetapi kalau mahu ke akar umbinya jangan setakat memapar wajah pelacur. Jika diskriminasi terhadap wanita terus terjadi, masalah utama kejahatan hanya ditunjukkan kepada 'ayam'nya saja. Itu juga akan menjadi tanggapan masyarakat. Yang jahat dan jalangnya hanya wanita. Yang harus dimalu dan diaib juga mesti wanita!
Pemaparan media tidak menyeluruh. Pesalah utama tetap hanya wanita yang ada kalanya merupakan mangsa. Tidak kurang pelacur adalah wanita bawah umur, mangsa pencolekan, penipuan mahu pun paksaan.
Cadangan saya, jangan asyik memaparkan 'pencucian' sesuatu tempat semata-mata kerana pelacur sudah diangkut ke balai polis. Papar sekali penangkapan ibu dan bapa ayam dan papan tanda rumah atau hotel penginapan terbabit. Biar satu Malaysia nampak di mana tempat dan nama tempat itu sebenar-benarnya. Kenapa hendak sorok? Masih kena menjaga kepentingan perniagaankah? Kita tahu di Brickfield tetapi yang mana satu? Apa nama hotelnya? Adillah.
Wajah pelacur ditangkap boleh dipapar. Dada, paha dan punggung montok mereka satu Malaysia saksikan. Jadi kenapa tidak orang sekeliling mereka, yang sama-sama mendapat untung dan nikmat tidak dapat kita lihat?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: