~ ArTiKal ~ :- SaLam HiJri,Hijrah BuKan SeKadaR berPiNdAh -:
PERISTIWA hijrah kaum Muslimin yang ketuai oleh Rasulullah SAW dari kota Makkah ke Madinah adalah satu perkara besar dalam sejarah Islam. Itulah titik permulaan pembaharuan sistem nilai dan hidup manusia daripada keadaan daif kepada yang lebih baik.
Perkataan hijrah bererti berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Selain itu, hijrah boleh diertikan berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan. Maka, hijrah juga boleh difahamkan sebagai meninggalkan sesuatu yang dilarang. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Habsyi bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah." (Hadis riwayat Abu Daud)
Dalam konteks lebih luas, hijrah boleh difahami sebagai perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan lebih baik. Misalnya, meninggalkan ajaran yang bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.
Hijrah yang kita sambut pada setiap tahun itu bermaksud memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dan sahabat dari Makkah ke Madinah. Begitu pun, hijrah tidak wajar dilihat sebagai peristiwa berpindahnya kaum Muslimin dari kota Makkah ke Madinah semata-mata, lantas menjadi titik permulaan tarikh baru takwim Islam saja. Kefahaman sempit begini hanya akan mendorong kita menyambut kedatangan tahun baru hijrah dengan pelbagai program yang bersamaan dengan peringatan tahun baru masihi.
Dalam pada itu ulama juga menolak hijrah sebagai satu 'pelarian' dan 'arbitrasi' seperti yang ditafsirkan oleh sesetengah orientalis yang sengaja mahu memutarbelitkan pengertian suci daripada peristiwa hijrah.
Sesungguhnya penghijrahan Rasulullah SAW dan sahabat adalah peristiwa sejarah yang amat penting dalam perkembangan dan penyebaran Islam. Penghijrahan itu memberi ruang yang lebih luas kepada perlaksanaan ajaran Islam, bukan saja dari aspek akidah dan hubungan manusia dengan Allah, malah merangkumi aspek kehidupan manusia seperti sosial, ekonomi, siasah dan pentadbiran.
Penghijrahan adalah tuntutan agama yang perjalanannya diatur cukup dengan strategi dan perancangan pembangunan umat yang lengkap, lantas menjadikannya satu amalan keagamaan yang agung. Ia juga suatu langkah penting melalui perancangan dan strategi yang cukup teratur untuk mengubah wajah dan perwatakan dunia serta menentukan arah masa depan sejarah manusia ke arah kesejahteraan, kebahagiaan dan kemajuan yang sebenarnya. Dengan hijrah umat manusia telah berpindah daripada belenggu jahiliah kepada Islam, kemunduran kepada kemajuan serta hidup berpuak-puak dan bersengketa kepada persaudaraan dan kesatuan, daripada agama yang dianuti oleh sekumpulan manusia di padang pasir kepada agama yang dianuti oleh sebahagian besar penduduk dunia.
Peristiwa hijrah bukan saja meninggalkan sejarah untuk dikenang oleh umat Islam hingga hari ini dan disambut setiap tahun, malah membawa beberapa hikmat dan pengajaran yang terkandung di sebaliknya. Dalam peristiwa hijrah itu, selepas sampai di kota Madinah, Rasulullah SAW mula melaksanakan ajaran Islam lebih menyeluruh. Setiap Muslim sentiasa dididik supaya patuh, menyerah dan menyembah Allah dan taat kepada ajaran yang didasarkan kepada ajaran al-Quran dan sunnah.
Berdasarkan keimanan itulah terbinanya sebuah masyarakat Islam yang mentaati semua perkara yang difardukan oleh Allah dalam ibadat seperti solat, puasa, zakat dan haji. Masyarakat Islam itu juga patuh dalam menjauhi diri daripada setiap perbuatan keji yang boleh membawa kemudaratan kepada diri dan masyarakat seperti minum arak, berzina, riba dan rasuah. Masyarakat Islam di kota Madinah disatukan dalam ikatan persaudaraan Islam yang dibina atas semangat perpaduan berorientasikan ajaran Islam.
Di samping itu, persefahaman dan kerjasama dengan golongan bukan Islam diwujudkan untuk membuktikan bahawa Islam sentiasa mengutamakan keselamatan, persefahaman dan persahabatan serta antipermusuhan dan peperangan. Tegasnya, peristiwa hijrah itu membuktikan bahawa Islam bukan saja agama dalam pengertian yang sempit dan hanya menyentuh soal ibadat khusus saja, malah agama yang syumul (menyeluruh). Oleh itu, konsep hijrah bukan saja perlu difahami dari perspektif perpindahan tempat secara lahiriah, malah pendekatan lebih luas yang boleh membawa kita kepada memahami segala hikmat pengajaran yang wujud di sebalik peristiwa itu.
Kejayaan pembangunan Islam dan umatnya selepas peristiwa hijrah itu menjadi dokumen sejarah merakamkan kemenangan manusia yang dibangunkan potensi kemanusiaannya melawan godaan hawa nafsu. Ia juga kejayaan membebaskan diri daripada segala belenggu kepentingan peribadi.
Sekiranya kita ingin menjadi umat yang kuat, dicontohi, mulia dan maju dalam semua aspek kehidupan seperti yang generasi Islam terdahulu, maka masyarakat Islam sewajarnya mengalukan-alukan kedatangan hijrah 1427 dengan terus mengambil iktibar daripada peristiwa suci ini.
INTI PATI
  • Maksud Hijrah dari segi bahasa ialah berpindah dari satu tempat ke satu tempat.
  • Pegertian hijrah dari sudut lebih luas ialah meninggalkan sesuatu yang dilarang iaitu perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan lebih baik.
  • Sejarah penghijrahan nabi membuktikan Islam mengutamakan keselamatan, persefhaman dan persahabatan.
  • Peghayatan konsep hijrah mampu membangunkan potensi kemanusiaan dan menghindar sifat pentingkan diri sendiri.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: