~ ArTiKaL ~ :- NiLaI SeJaRah BeRdAsArkaN Al-QuRan -:

Apabila disebut tentang sejarah, lazimnya kebanyakan kita akan menggambarkan ia sebagai suatu topik yang membosankan. Sejarah secara stereotaip, dilabel sebagai penghikayatan sesuatu yang telah berlalu dan sukar untuk dilihat kena-mengenanya ia dengan semasa, atau apa pentingnya untuk terus diberikan perhatian. Apatah lagi di dalam sistem pendidikan kita yang banyak dipengaruhi oleh orientasi peperiksaan, sejarah diolah dan dianalisa dengan cara yang amat sepi dari unsur-unsur yang boleh mencelikkan mata.

Apakah benar sejarah itu demikian sifatnya? Jika benar sejarah itu membosankan, maka lebih satu pertiga al-Quran, adalah topik yang membosankan. Al-Quran yang progresif, berdaya maju serta menjadi pendorong kejayaan, mengemukakan aspek sejarah sebagai tubuh badannya yang utama. Selain ayat-ayat yang berkaitan dengan aqidah kepercayaan, hukum amali dan akhlak diri, Al-Quran juga membentangkan persoalan sejarah di sebahagian besar lembarannya.

Sesungguhnya Al-Quran telah memberikan suatu definisi yang istimewa kepada Sejarah. Al-Quran memberikan kedudukan yang tinggi kepada Sejarah kerana ia adalah wasilah untuk manusia mendengar bicara Allah tentang Sunnatullah. Sunnatullah yang dimaksudkan ini adalah peraturan atau hukum Allah yang terlaksana ke atas setiap kejadian dan kehidupan di alam ini (Sunnatullah fee al-Kaun wa al-Hayah). Kerana itulah Ibn Khaldun (1332 – 1406M / 732 – 808H) memulakan bicara di dalam Muqaddimahnya yang masyhur itu dengan menghuraikan tentang keutamaan ilmu sejarah. Beliau menegaskan betapa melalui sejarah, kita akan dapat mempelajar tentang Sunnatullah fee al-Kaun wa al-Hayah tersebut. Melalui pengamatan terhadap Sunnatullah inilah, sejarah beroleh nilai dan dengan nilai tersebut, ia menghubung jalinkan sejarah dengan zaman-zaman yang menyusul. Dalam erti kata yang lain, walaupun generasi dan zaman silih berganti, manusia dan sekalian alam tetap tersusun atur mengikut ketetapan Allah yang sama. Beruntunglah mereka yang meneladani sunnah yang baik serta binasalah mereka yang memilih untuk mengulangi sejarah yang hitam! [Muqaddimah Ibn Khaldun, mukasurat 8, Dar al-Kutb al-Ilmiyyah, Beirut 1993 /1413]

Bahkan Al-Imam Shamsuddin Muhammad bin Abd al-Rahman al-Sakhawi (1427 - 1497M / 831 - 902H ) telah menulis sebuah kitab yang membela Sejarah dan ahli Sejarah yang sering dikesampingkan oleh masyarakat dan dipandang serong dengan pelbagai persepsi negatif. Kitab Al-I’lan bi at-Taubikh liman Dzamma Ahl at-Tarikh (‘Penyataan Terbuka Berbentuk Kutukan Kepada Sesiapa yang Mencela Ahli Tarikh’) memanifestasikan prinsip yang dipegang oleh ilmuan Islam bahawa sejarah itu adalah topik al-Quran. Oleh yang demikian, metodologi Islam bagi disiplin ilmu sejarah adalah amat kemas dan sistematik kerana asas ilmu tersebut, wasilah serta matlamat yang hendak dicapai adalah tepat dan jelas.

Maka amat malang jika umat Islam yang sinonim dengan disiplin sejarah itu mengabaikannya. Mentaliti terpilih amat jarang diperuntukkan untuk mendalami sejarah. Fakulti-fakulti sejarah di menara gading juga kurang menonjol di tengah masyarakat sebagaimana fakulti lain yang lebih segera membawa pulangan terhitung (measurable output). Benarlah kata seorang pemikir Islam dan tokoh politik yang terkenal di Turki, Profesor Necmettin Erbakan, bahawa “masyarakat yang tidak mempunyai sejarah (tidak mempedulikan sejarah) tidak mempunyai masa depan (tiada tempat baginya di masa hadapan)

AL-QURAN DAN SEJARAH
Catatan sejarah di dalam al-Quran terungkap di dalam apa yang dikenali sebagai Al-Qasas al-Qurani (Kisah-kisah Al-Quran). Ia disifatkan oleh al-Quran sebagai ahsan al-Qasas atau sebaik-baik kisah [Yusuf: 3] dan juga sebagai kisah yang benar [Ali Imran: 62]. Sifat sejarah yang berteraskan Al-Quran itu, menjadi batu asas kepada ilmuan Islam membina disiplin metodologi ilmu sejarah.

Walau bagaimana pun, Al-Quran mempunyai matlamat tersendiri terhadap penghikayatan sejarah. Al-Quran tidak berhasrat untuk melonggokkkan fakta-fakta yang maha panjang itu kerana tujuan penceritaan sejarah oleh Al-Quran itu berbeza. Sheikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi di dalam penulisannya Al-Qasas Al-Qurani: ‘Ardh Waqaa’ie wa Tahleel Ahdath [Dar al-Qalam, Damascus, 1998 / 1419] telah menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga matlamat sejarah berdasarkan al-Quran.

i.Supaya Manusia Berfikir
Allah SWT menyebut di dalam surah al-A’raaf ayat 176:
“Dan ceritakanlah kisah-kisah tersebut, mudah-mudahan mereka berfikir”
Ini adalah tujuan pertama mempelajari sejarah berdasarkan disiplin al-Quran. Manusia diseru supaya menjadikan sejarah dan pengiktibarannya sebagai bahan berfikir. Mudah-mudahan melalui pengamatan yang dibuat oleh manusia yang memanfaatkan gabungan sejarah dan akal fikirannya itu, akan terserlahlah panduan hidup bagi mereka. Berfikir ini jugalah yang boleh membantu menyelamatkan manusia daripada tuli telinga, mati hati dan buta dalam celik.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah Al-Hajj ayat 45 – 46:
“Maka bukan sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar dan istana yang tersergam (telah kosong ditinggalkan). Oleh itu bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan tersebut mereka menjadi orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami. Atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu adalah mata hati yang ada di dalam dada.”

Sesungguhnya berfikir itu adalah kewajipan umat Islam yang diperintahkan berulang kali oleh Al-Quran. Kelalaian seseorang daripada menjadi manusia yang berfikir, adalah petanda bahawa dirinya jauh dari Al-Quran, seterusnya terpinggir dari hidayah
.

ii.Ibrah (Pengajaran) Bagi Mereka Yang Sempurna Akal Fikiran
Allah SWT menyebut di dalam surah Yusuf ayat 111:
“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat ‘ibrah (pengajaran) bagi mereka yang sempurna akan fikirannya. Ia bukanlah bicara yang direka-reka bahkan suatu kenyataan yang mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab yang terdahulu daripadanya. Serta sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman”

Sesungguhnya sejarah itu penuh iktibar dan ia hanya dapat dikesan oleh mereka yang memanfaatkan akal fikiran kurniaan Allah. Ayat di atas merupakan kesimpulan yang Allah SWT letakkan selepas mengakhiri kisah Nabi Yusuf AS. Jelas sekali, kisah berkenaan bukanlah dibentangkan untuk menjadi ‘halwa telinga’ dan modal penglipurlara. Sejarah menurut Al-Quran, adalah bicara yang penuh iktibar.

Namun, di sana terdapat kehalusan Al-Quran memilih istilah. Pengajaran dari sejarah, diistilahkan oleh Al-Quran sebagai ‘IBRAH’. Ia adalah kalimah yang mempunyai seni tersendiri, berbeza dengan penggunaan kalimah Duroos atau Mau’idhah yang boleh membawa makna literal yang hampir sama.

Menurut Al-Imam Ar-Raghib di dalam kitabnya Al-Mufradaat, kalimah Ibrah ini berasal dari kata akar ‘aa-baa-raa’ yang bermaksud peralihan atau penghubung di antara sesuatu dengan sesuatu yang lain. Kerana itulah perbuatan menyeberang sungai disebut sebagai ‘aa-baa-raa kerana ia menghubungkan satu tebing dengan tebing jalan yang satu lagi. Malah jarum juga diisitilahkan oleh Al-Quran dengan kata akar ‘aa-baa-raa kerana perbuatan jarum adalah mencantumkan sehelai kain dengan sehelai kain yang lain supaya ia menjadi pakaian yang boleh diguna pakai.

Maka teladan atau Ibrah dari sejarah menurut Al-Quran bukan sebarang teladan. Ia adalah teladan yang bersifat mencantumkan sesuatu dengan sesuatu. Sesungguhnya manusia yang sempurna akal fikirannya, apabila mereka membaca kisah-kisah Al-Quran, dengan pantas kisah tersebut akan dihubungkan dengan diri mereka, suasana mereka berada dan kehidupan yang mereka alami pada masa itu.

Kisah Al-Quran bukan kisah ‘mereka’. Sebaliknya ia adalah bicara tentang diri kita semua, tetapi diperkatakan oleh Allah SWT dengan bahasa watak dan peristiwa yang silam. Dalam erti kata yang lain, sejarah itu adalah cermin. Dengan disiplin pembacaan seperti itu, barulah sempurna proses meneladani sejarah kerana matlamat kisah di dalam Al-Quran adalah untuk menjadi cermin kepada generasi manusia agar melihat diri mereka di dalam kerangka Sunnatullah.

iii. Menguatkan Hati Orang-orang Yang Beriman
Allah SWT berfirman di dalam surah Hud ayat 120:
“Dan tiap-tiap berita dari perkhabaran para Rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) untuk menguatkan hati kamu dengannya. Dan telah datang kepadamu di dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.”

Sesungguhnya ayat di atas menjelaskan kepada kita bahawa Allah SWT menghendaki daripada pembentangan kisah-kisah Al-Quran itu, kekuatan hati bagi Nabi SAW serta hati sahabat, pengikut dan sekalian umatnya di setiap tempat dan zaman.

Ayat ini terletak di penghujung Surah Hud iaitu selepas Allah SWT membentangkan himpunan kisah para Rasul seperti Nuh, Hud, Saleh, Ibrahim, Lut, Syuaib dan Musa Alayhim As-Solaah wa As-Salaam. Kisah-kisah ini mengukuhkan hati Nabi Muhammad SAW kerana ia menyedarkan Baginda bahawa dirinya tidak bersendirian di jalan dakwah yang penuh cabaran itu. Bahkan para Rasul itu telah diuji sebagaimana Baginda diuji, mereka ditentang sebagaimana Baginda ditentang, mereka bersabar sebagaimana Baginda bersabar dan mereka dibantu dan dimenangkan oleh Allah sebagaimana Allah memenangkan Nabi Muhammad SAW. Teladan ini juga menguatkan hati para sahabat dan sekalian umat Baginda SAW kerana kita semua menyusuri jalan yang sama, dengan tabiat jalan dan kesudahan yang pasti sama.

HAJAT UMAT ISLAM KEPADA SEJARAH
Demikianlah Al-Quran mengutarakan nilai sejarah berasaskan kepada manhajnya yang Rabbani. Bagi umat Islam yang peka kepada sejarah itu, mereka sentiasa berada di tahap kesedaran yang maksima tentang realiti hidup. Mereka yakin dengan petunjuk yang ada dan mereka pasti dengan kesudahan yang dijanjikan.

Bahkan dari aspek dakwah, menjadikan sejarah sebagai sandaran hujah adalah suatu keperluan yang nyata. Sejarah adalah dalil yang universal dan pembuktiannya menundukkan perbalahan. Untuk berhujah semata-mata dengan nas naqli, ada kalanya kita berhadapan dengan golongan yang menolak kepercayaan kepada Al-Quran dan Sunnah. Sudah tentu apa yang benar dan pasti pada kita, tidak ‘dibeli’ oleh golongan seperti itu. Namun, jika fakta yang sama dapat dibuktikan oleh sejarah, maka ia menjadi suatu kebenaran yang universal.

Sebagai contoh, untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat non-Muslim tentang hak-hak mereka di dalam sebuah pemerintahan Islam, gabungan dalil naqli dan sejarah mesti diusahakan. Mereka perlu melihat bagaimana nas naqli itu dipraktikkan oleh sebuah pemerintahan Islam. Oleh yang demikian, perincian terhadap polisi pemerintahan Nabi Muhammad SAW, era Khulafa’ sehinggalah membawa kepada era pemerintahan Islam terdekat iaitu pemerintahan Othmaniyyah di Turki, boleh berfungsi sebagai bukti amali tentang jaminan Islam ke atas hak-hak non-Muslim.

Inilah yang perlu kita terokai bersama. Berbekalkan manhaj Al-Quran di dalam membuat penilaian sejarah, catatan-catatan silam ini perlu dibongkar bersama. Semoga dengan akal dan hati yang celik sejarah, kita akan mampu menjana perancangan yang realistik, praktikal dan terpimpin di jalan hidayah. Sesungguhnya masyarakat yang buta sejarah, akan buta menuju masa depan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: