~ aRtiKaL ~ ::_HaNeyYa & DweiK,ManGsa TerBaRu ZioNiS_::
Nama Koperal Gilad Shalit mungkin lebih dikenali ramai berbanding nama Huda Ghaliah. Siapakah Gilad Shalit?, tidak lain dan tidak bukan tentera rejim Zionis yang telah ditawan (dan bukannya diculik!) oleh para pjuang Palestin lewat operasi "al-Wahm al-Mubaddad" pada 25 Jun 2006.
Demi membebaskan tentera yang juga merupakan warganegara Perachis ini, pihak Zionis telah mengorbankan ratusan rakyat Palestin, menculik tujuh orang menteri kabinet kerajaan Palestin, menculik 26 orang ahli parlimen mereka, dan juga memenjarakan tanpa bicara lebih 64 orang pegawai kerajaan di seluruh Gaza dan Tebing Barat.
Di atas alasan untuk membebaskan Gilad juga, bangunan kementerian luar Palestin telah dibedil sebanyak dua kali, Universiti Islam Gaza telah diserang dan juga ratusan rumah telah dirobohkan.Tawaran para pejuang amat mudah, jika rejim Zionis mahukan Gilad, hanya bebaskan para tahanan wanita dan kanak-kanak Palestin di dalam penjara-penjara Zionis yang telah menculik lebih 10,000 rakyat Palestin. Malangnya, rejim Zionis tidak mengenal etika peperangan dan juga urusan diplomasi yang bertamadun. Hanya bahasa peluru sahaja yang mereka fahami.
Huda Ghaliah
Siapakah pula Huda Ghaliah?, beliau merupakan mangsa kekejaman Zionis pada 9 Jun 2006. Di kala penduduk dunia dilekakan seleka-lekanya dengan Piala Dunia di Jerman, tentera Zionis telah membedil keluarga Palestin yang sedang berkelah di Pantai Gaza. Keluarga Huda (10 tahun) seramai lapan orang telah terkorban semuanya akibat bedilan roket tersebut. Beliau tinggal keseorangan terselamat menangisi kematian ibu, ayah, dan juga adik beradiknya yang lain.
Tangisan Huda tidak didengari oleh dunia yang pada waktu itu dikhayalkan dengan gelecekan bola pasukan-pasukan yang bertanding untuk merebut sebuah piala emas. Tangisan Huda juga tidak didengari oleh para pemimpin negara-negara OIC. Ratapan beliau terus sepi dan diikuti oleh tangisan anak-anak Palestin yang lainnya.
Perkara inilah yang telah disuarakan oleh Perdana Menteri Turki, Tayyip Recip Erdogan. Beliau telah menyalahkan rejim Zionis di dalam isu peperangan ke atas Lubnan. Bagi beliau, tarikh 9 Jun inilah yang menyebabkan peperangan tersebut. Ketegasan beliau telah disambut baik oleh parlimen Turki dengan terbubarkan kumpulan pro-kedamaian dengan "Israel" (Turkey-Israel Inter-parliamentary Friendship Group ) di parlimen Turki. Vahit Kirisci, pengerusi Kumpulan pro-kedamaian dengan "Israel" itu telah mengumumkan pembubaran kumpulan tersebut lewat serangan Zionis ke atas Qana pada 30 Julai 2006.
Malangnya, di persada antarabangsa, lobi Zionis lebih berjaya mewarnai media-media eletronik. Mereka telah berjaya menghebohkan kepada dunia nasib Gilad, dan menjadikannya alasan utama untuk mengganas di Gaza. Rakyat Palestin yang tidak berdosa sekali lagi menjadi mangsa.
Malang lagi, masyarakat dunia tidak pula melihat kepada mengapa Gilad ditawan. Beliau telah ditawan oleh para pejuang Palestin di dalam operasi "al-Wahm al-Mubaddad" yang telah dilancarkan ke atas pengkalan tentera Zionis di Kufr Abu Shalem. Ianya dilancarkan sebagai balasan kepada keganasan Zionis membunuh orang awam Palestin. Ianya juga dilancarkan untuk mengajar rejim Zionis bahawa rakyat Palestin masih lagi mampu untuk bangkit mempertahankan diri dan berjuang.
Operasi yang telah menyaksikan dua buah kereta kebal "Merkava" milik rejim telah berjaya diletupkan, tiga komando mereka telah berjaya dibunuh, manakala belasan yang lain pula telah cedera. Malangnya, operasi ini dan juga Huda tidak mendapat tempat di dalam media-media antarabangsa. Gilad pula yang menjadi "superstar"!
Di dalam percubaan untuk membunuh Perdana Menteri Palestin, Ismail Haneyya, pihak rejim Zionis telah menggunakan surat beracun yang dihantarkan kepada beliau melalui surat berdaftar dari Tel Aviv.
Kini pihak Zionis semakin mengganas. Setelah gagal untuk menemukan tentera mereka yang ditawan, mereka telah melakukan taktik-taktik kotor. Rumah-rumah dirobohkan, rakyat awam menjadi mangsa, sekolah-sekolah, pejabat-pejabat, malah jalan-jalan raya juga turut menjadi sasaran para tentera rejim yang ganas ini. Terkini, perdana menteri Palestin, Ismail Haniyyeh dan juga Speaker Majlis Legaslatif mereka, Dr Abdul Aziz Dweik juga turut menjadi mangsa.
Nasib Haneyya
Di dalam percubaan untuk membunuh Perdana Menteri Palestin, Ismail Haneyya, pihak rejim Zionis telah menggunakan surat beracun yang dihantarkan kepada beliau melalui surat berdaftar dari Tel Aviv, menurut satu sumber dari pejabat Perdana Menteri (PM).
Menurut para pegawai di pejabat Haneyya, Kebiasaannya, petugas-petugas pejabat Perdana Menteri di Ramallah akan menghantar surat Perdana Menteri Haneyya ke pejabat beliau di Gaza, namun disebabkan keadaan keselamatan yang menyukarkan perjalanan, seorang petugas membuka surat berkenaan untuk dihantar melalui faks. Tambahnya lagi, setelah surat tersebut dibuka, hanya sehelai kertas tisu yang mencurigakan dijumpai lalu menimbulkan rasa syak kepada petugas yang kemudiannya menyerahkan surat tersebut kepada petugas keselamatan untuk tindakan selanjutnya.
Namun, setelah helaian tisu tersebut dibuka, sejenis bau yang kurang menyenangkan timbul lalu mengakibatkan mereka yang berhampiran jatuh dan pengsan. Kesemua pegawai terlibat segera dikejarkan hospital untuk mendapatkan rawatan.
Pejabat PM menyifatkan insiden ini sebagai cubaan bunuh terang-terangan oleh pihak Zionis yang jelas melanggar norma politik dan bersikap biadap terhadap Perdana Menteri yang sah. Kini, Kementerian Dalam Negeri Palestin sedang melakukan penyiasatan terperinci terhadap insiden berkenaan. Pelbagai pihak telah mengutuk tindakan berkenaan kecuali para pemimpin OIC.
Agak menghairankan, mengapakah para pemimpin negara-negara Arab dan negara-negara Islam tidak membuat apa-apa kenyataan. Bukankah Haneyya adalah perdana menteri sebuah kerajaan yang sah. Bukankah Palestin juga merupakan negara anggota OIC?.
Bukankah apa yang dilakukan oleh Rejim Zionis ini bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan juga segala norma diplomatik. Bayangkan jika perkara yang sama dilakukan ke atas George W. Bush ataupun Ehud Olmert, ataupun Tony Blair. Pastinya para pemimpin negara-negara OIC akan segera membuat kenyataan mengutuk tindakan tersebut dan dengan segera menunding jari ke atas umat Islam sendiri. Apakah maknyanya kegilaan ini?
Apa yang kita pasti, nasib Haneyya tidak ubah seperti nasib Huda Ghaliah!, mengapa?, kerana mereka adalah rakyat Palestin!
Dweik dan nasibnya
Abdul Aziz Dweik sering menerima julukan sebagai Rantissi Tebing Barat. Berasal dari Khalil, Tebing Barat, seorang yang fasih berbahasa Inggeris dan juga merupakan para pengasas HAMAS di Tebing Barat. Lewat pilihanraya Majlis Legaslatif kerajaan Palestin pada 25 Januari 2006 yang dimenangi oleh HAMAS, beliau telah dilantik menjadi Speaker Majlis Legaslatif yang berpusat di Ramallah.
Di dalam sesi-sesi parlimen, beliau dananggota-anggota parlimen yang berpusat di Ramallah, Tebing Barat akan bersidang dengan para perwakilan lain di Gaza menerusi persidangan video (video conferencing). Seorang yang tegas dan konsisten dengan keputusan-keputusan yang dibuat, Dweik amat digeruni dan dihormati oleh kawan dan lawan. Sepertimana Dr. Abdul Aziz al-Rantisi yang terkenal dengan ketegasannya, Dweik juga mempunyai banyak persamaan dengan al-Rantissi. Kedua-duanya merupakan professional di dalam HAMAS dan juga fasih berbahasa Inggeris dan sering menjadi keminatan media-media barat untuk diwawancara.
Dweik telah ditempatkan di Penjara Ofer milik tentera rejim, di dalam kurungan bersendirian dan terasing daripada para tahanan lain.
Pada 6 Ogos 2006, beliau telah diculik dan dipenjarakan oleh tentera Zionis. Isteri beliau menceritakan bagaimana rumahnya telah dikepung oleh lebih 20 kereta perisai dan jip tentera Zionis pada hari penangkapan. Berpuluh-puluh tentera Zionis telah turut serta di dalam penangkapan tersebut. Pihak kerajaan Palestin telah mengutuk penculikan tersebut dan mensabitkan kegiatan penculikan itu sebagai "act of piracy" (kerja lanun) dan bertentangan dengan konvensyen Geneva yang ke-4. Beliau yang tidak berapa sihat telah dipenjarakan kemudiannya tanpa sebarang bicara.
Di dalam perbualan terkahir wakil pihak berkuasa Palestin dengan Dweik, beliau telah menceritakan bagaimana beliau telah disiksa dan dikurung di dalam sel yang kotor. Pihak Zionis sengaja melakukan demikian untuk menyeksa beliau dan lebih 600 rakyat Palestin yang telah ditahan di dalam operasi rejim untuk membebaskan Gilad Shalit. Sehingga kini juga, lebih 117 rakyat awam Palestin telah terkorban dengan alasan yang sama.
Dweik telah ditempatkan di Penjara Ofer milik tentera rejim, di dalam kurungan bersendirian dan terasing daripada para tahanan lain. Beliau juga tidak menafikan kemungkinan beliau akan dipindahkan ke penjara Ayalon di Ramlah yang jauh lebih teruk keadaannya dan juga layanannya.
Di Ayalon, pihak rejim telah menempatkan ramai lagi ahli parlimen-ahli parlimen Palestin yang lain. Menurut laporan sesetengah tahanan, Dweik telah diserbu oleh para pegawai penjara dan disiksa kerana beliau telah melakukan wawancara dengan pihak luar melalui telefon bimbit yang telah berjaya beliau seludup masuk ke dalam penjara.
Perkembangan terkini, Dweik dilaporkan sedang sakit kuat di dalam penjara yang diasingkan daripada para tahanan yang lain. Beliau juga tidak diberikan rawatan seperti yang sepatutnya diberikan kepada mana-mana tahanan perang menurut undang-undang antarabangsa berkaitan dengan tahanan perang.
Apa yang sebenarnya berlaku kini?Jawapannya mudah sahaja...Rejim Zionis bebas menggunakan segala kekuasaan mereka untuk mengganas di Palestin. Tiada siapa pun yang memperdulikan isu Palestin. Tiada pihak pun yang sudi untuk peka terhadap isu Palestin. Bagi para diktator-diktator Arab, walaupun mereka berjiran dengan Palestin, namun apa yang menimpa Palestin dan rakyat Palestin tidak sedikit pun merisaukan mereka. Mereka lebih merisaukan tentang kedudukan dan juga kekuasaan yang dimiliki tanpa menghiraukan saudara seagama ataupun sebangsa mereka.
Lebih mengeruhkan suasana lagi, terdapat di kalangan pemimpin Arab dan umat Islam sendiri yang menjadi agen Amerika ataupun Zionis. Jasa AS dan rejim Zionis mengangkat dan mengekalkan mereka di atas singgahsana masing-masing telah membisukan mulut-mulut para pemimpin tersebut.
Bagi para pemimpin-pemimpin Arab dan Islam yang penakut pula, mereka tidak akan berani mengeluarkan apa-apa kenyataan, apatah lagi tindakan. Bagi mereka, ancaman AS itu lebih mereka takutkan daripada kemurkaan Allah. Bagi para rakyat yang sedar dan ingin melakukan sesuatu, mereka tidak mampu melakukan apa-apa kerana kekangan dari pihak pemerintah.
Lebih malang lagi, ramai juga dari kalangan rakyat yang masih tidak lagi sedar dan enak dibuai mimpi-mimpi yang indah dan dilekakan oleh fatamorgana dunia yang menipu."

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: