~ PeRsoaLaN ~ ::_PaLeStiN & LubNaN,BaGaiMaNaKah Kita MeMbaNtu???_::
Soalan: Assalamualaikum. Saya ingin menyertai kamu semua bagi memberikan bantuan kepada Lubnan dan Palestin, tetapi saya tidak tahu bagaimana. Bolehkah anda membantu saya tentang apakah perkara yang boleh saya lakukan?Kamil,Yaman.
Jawapan:Waalaikumussalam. Saya mengalu-alukan semangat saudara yang tinggi, keprihatinan saudara serta bagaimana saudara merasai penderitaan dan kesakitan yang dialami oleh saudara-saudara kita di Lubnan dan Palestin serta usaha positif saudara untuk turut serta bagi memberikan bantuan kepada mereka.
Saya bertambah gembira apabila saya membaca profail saudara dan saya dapati saudara belum lagi menamatkan pengajian pada peringkat menengah tinggi. Demikian keadaan generasi pemuda yang kita harapkan agar kemenangan Islam berlaku di tangan mereka. Mereka adalah anak cucu Ali bin Abi Talib, Usamah bin Zaid dan Ammar bin Yasir.
Saudaraku! Sesungguhnya Allah swt menjadikan umat ini sebagai umat yang istimewa kerana wanitanya dapat melahirkan anak yang ramai. Jika suatu generasi dari kalangan mereka telah menempuh umur tua dan berusia lanjut, nescaya pasti akan lahir generasi baru dan membesar daripada hidangan al-Quran.
Generasi tersebut akan bangkit memikul panji kebenaran dan mempertahankan umat ini dan isu yang melingkungi mereka. Ini antara faktor yang menentukan kelangsungan umat Islam dan kemuliaan mereka sehingga tiba hari kiamat.
Soalan saudara mengingatkan saya kepada firman Allah swt dalam surah al-Taubah, ayat 91-92 yang bermaksud:
Orang-orang yang lemah dan orang-orang yang sakit, dan juga orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan RasulNya. Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya; dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: “Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu”, mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan airmata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah).
Firman Allah swt lagi dalam surah al-Taubah, ayat 93 yang bermaksud:
Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan dan mengenakan seksa) hanyalah terhadap orang-orang yang meminta izin kepadamu sedang mereka kaya dan mampu. Mereka suka tinggal bersama-sama orang yang ditinggalkan (kerana uzur) dan (dengan sebab itu) Allah meteraikan atas hati mereka, sehingga mereka tidak dapat mengetahui (perkara yang baik).
Soalan saudara juga mengingatkan saya kepada sabda Rasulullah saw ketika dalam perjalanan pulang daripada Perang Tabuk:“Sesungguhnya kamu meninggalkan di Madinah beberapa kaum yang tidaklah kamu berjalan sesuatu perjalanan, tidaklah kamu menafkahkan suatu nafkah dan tidaklah kamu merentasi sesuatu lembah melainkan mereka sentiasa bersama-sama kamu.” Para sahabat bertanya: “Bagaimana mereka boleh bersama-sama kami sedangkan mereka berada di Madinah?” Rasulullah saw menjawab: “Mereka terhalang oleh sebab keuzuran.” (Dikeluarkan oleh al-Bukhari)
Sentiasa bersedia dari sudut keimanan dan tubuh badan, sehingga apabila panggilan jihad dikumandangkan, maka saudara adalah orang pertama menyahutnya.
Maka bergembiralah wahai saudara kerana dengan niat saudara yang benar dan kesungguhan saudara yang tinggi, saudara akan memperoleh ganjaran sama seperti para mujahidin dan pejuang di medan.
Soalan saudara juga mengingatkan saya kepada Samurah bin Jundub dan Rafi’ bin Khudaij pada Perang Badar. Kedua-duanya yang masih remaja ketika itu datang kepada Rasulullah saw dan memohon untuk turut menyertai gerombolan tentera Islam. Tetapi Rasulullah menolak permohonan mereka kerana mereka masih kecil. Lalu Samurah berkata: “Wahai Rasulullah! Saya adalah seorang pemanah yang tepat.” Lalu dia memanah dan tepat mengena sasaran. Rasulullah saw pun membenarkan dia turut serta. Rafi’ pula berkata: “Wahai Rasulullah! Jika saya bertarung dengan Samurah saya pasti mengalahkannya.” Lalu kedua-duanya pun bertarung di hadapan Rasulullah dan Rafi’ berjaya mengalahkan Samurah, maka Rasulullah saw juga membenarkan Rafi’ turut serta dalam peperangan tersebut.
Kedua-dua remaja tersebut amat berkeinginan untuk keluar berperang dan berjihad meskipun mereka mempunyai alasan untuk tidak turut serta kerana umur mereka yang masih muda, oleh itu umat mereka mendapat kejayaan dan kemenangan.
Dan dengan para remaja seumpama saudara, umat kita hari ini akan beroleh kejayaan dan kemenangan insya Allah. Oleh itu, perkuatkanlah semangat saudara dan pertingkatkanlah kemahuan saudara sehingga Allah menentukan kejayaan buat saudara di dunia dan di akhirat.Tetapi segala penjelasan yang saya berikan di atas tidaklah bermakna kita yang tinggal jauh daripada kawasan konflik tersebut terlepas daripada sebarang kewajipan.
Bahkan kita sebenarnya menanggung tugas amat berat dan bebanan besar yang tidak kurang pentingnya berbanding dengan saudara-saudara kita yang sedang berjuang di medan perang. Sekarang marilah kita melihat apakah tanggungjawab terpenting yang sepatutnya kita pikul dalam menghadapi masalah ini:
Pertama: Kewajipan terhadap diri sendiri
Antaranya:
1. Berusaha agar mendapat bantuan Allah bagi menghadapi diri sendiri, sebagai melaksanakan firman Allah dalam surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” Bantuan Allah bagi menghadapi diri sendiri ialah dengan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.
Kadang-kadang seseorang individu itu menjadi salah satu benteng bagi umatnya dan menjadi sebab yang melambatkan pertolongan Allah kepada mereka dengan sebab dia melakukan maksiat dan tidak menjaga ketaatan kepada Allah swt.
2. Sentiasa mentarbiah jiwa agar bersemangat jihad dan cintakan mati syahid. Sentiasa bersedia dari sudut keimanan dan tubuh badan, sehingga apabila panggilan jihad dikumandangkan, maka saudara adalah orang pertama menyahutnya. Dengan keadaan ini, saudara akan beroleh ganjaran berjihad, meskipun saudara tidak pernah berperang atau keluar dari rumah saudara.
3. Sentiasa mengingati saudara-saudara kita yang sedang berjuang dan tertindas serta turut serta merasa kesakitan dan penderitaan yang mereka alami, dan mengambil berat berita-berita terkini tentang mereka, agar kita tergolong dalam kalangan sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah saw yang bermaksud:
“Perumpamaan orang-orang yang beriman dari sudut kasih sayang dan cinta mencintai adalah seumpama satu jasad. Jika satu anggota merasa sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit dan berjaga malam.” (Dikeluarkan oleh al-Bukhari)
4. Berdoa dan bermohon kepada Allah swt agar menghilangkan segala kesakitan yang sedang melingkungi umat Islam, menyelamatkan mereka daripada musuh yang memerangi mereka dengan serangan yang tidak mengenal kanak-kanak, orang tua, manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Berdoalah agar Allah menghilangkan bala bencana ini serta mengurangkan kesan-kesannya.
5. Meningkatkan kepercayaan dan keimanan kepada Allah swt bahawa Allah pasti akan membantu agamaNya, dan kebatilan pasti akan hilang dan mengalami kekalahan walau bagaimana tinggi dan kuat kedudukannya sekarang. Janganlah peperangan yang sedang berlaku kini menjadi sebab kekalahan jiwa atau menggoncangkan keimanan kepada Allah swt. Rasulullah saw telah bersumpah dan menegaskan kepada kita dengan berkata:
“Demi Allah! Allah pasti akan menyempurnakan agamaNya ini sehingga seorang penunggang boleh menunggang kenderaannya dari San’aa dan Hadramaut tanpa merasa takut kecuali kepada Allah dan terhadap serigala yang mungkin menerkam kambing-kambing peliharaannya. Tetapi kamu adalah kaum yang gopoh.” (Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim)
Pendakwah hendaklah keluar ke dunia realiti dengan menangani isu-isu yang sedang dihadapi oleh umat Islam dan memainkan peranan mereka yang sebenar iaitu menyedarkan umat Islam dan memberikan petunjuk kepada mereka.
6. Menggunakan internet dan semua alat perhubungan moden untuk menyebarkan isu yang sedang berlaku dan menyedarkan orang ramai tentangnya dengan menyebarkan berita-berita penting berhubung dengannya.
Kedua: Kewajipan terhadap masyarakat
Antara keistimewaan penting masa perang dan bencana sekalipun ia adalah amat pahit untuk dihadapi, tetapi ia berjaya menyatukan umat Islam dan menghilangkan permusuhan sesama mereka. Kenderaan hanya sebuah dan bahaya akan menimpa semua orang. Oleh itu, kita mestilah saling membantu dan menolong di antara satu sama lain sehingga kita boleh menolak bahaya yang mendatang daripada menimpa kita semua. Berikut adalah beberapa cadangan yang boleh dilakukan oleh seseorang individu terhadap masyarakatnya dalam suasana yang sedang kita lalui kini:
1. Menyebarkan isu ini kepada anggota masyarakat dan menyedarkan mereka tentang apa yang sedang berlaku. Di sini, para pendakwah berperanan besar untuk keluar dari bilik sempit mereka sama ada mereka sendiri meletakkan diri mereka di dalam bilik tersebut atau diletakkan oleh pihak pemerintah agar hanya membataskan perhatian mereka terhadap beberapa isu yang jauh daripada realiti yang sedang dihadapi oleh umat Islam dan keperluan mereka. Mereka hendaklah keluar ke dunia realiti dengan menangani isu-isu yang sedang dihadapi oleh umat Islam dan memainkan peranan mereka yang sebenar iaitu menyedarkan umat Islam dan memberikan petunjuk kepada mereka.
2. Menyedarkan masyarakat tentang hakikat peperangan yang sedang berlaku. Ia sebenarnya bukanlah perang terhadap Lubnan, Palestin dan Iraq sahaja, tetapi ia adalah penjajahan baru. Jika umat Islam dan bangsa Arab tidak sedar, akhirnya mereka akan dapati diri mereka akhirnya terperosok di dalam penjajahan pihak musuh. Oleh itu, para pendakwah hendaklah memalu gendang dan meniupkan wisel kecemasan agar semua orang yang sedang alpa sedar, orang yang tidur bangkit dan orang yang malas menjadi cergas. Apa yang berlaku kepada saudara-saudara kita di sana pada hari ini, mungkin akan berlaku pula kepada kita pada hari esok.
3. Mengaktifkan tindakan boikot terhadap negara-negara yang memberikan bantuan di dalam memerangi saudara-saudara kita. Jika kita tidak mampu membantu saudara-saudara kita, maka tiada tindakan paling minimum yang boleh kita lakukan melainkan janganlah kita menghulurkan bantuan kepada musuh-musuh mereka.
4. Menyebarkan ruh pengharapan dan kepercayaan di kalangan orang ramai dengan tidak memusatkan kepada berita-berita tentang kekalahan saudara-saudara kita sahaja, tetapi berusaha untuk menampilkan kemenangan-kemenangan yang diperolehi oleh para pejuang, tanpa membesar-besarkan berita tersebut atau meremehkannya.
5. Berusaha mengadakan aktiviti-aktiviti umum bagi memperlihatkan sokongan kita terhadap perjuangan saudara-saudara kita seperti mengadakan seminar, forum dan demonstrasi, dengan mengajak orang ramai menyertainya dan meninggikan semangat mereka.
6. Memberi amaran kepada masyarakat terhadap dakwaan-dakwaan berbentuk fitnah untuk memecah belahkan di kalangan umat Islam seperti fitnah perkauman sempit yang bertujuan memecah belahkan umat Islam dan melemahkan mereka, sebagaimana berlaku akhir-akhir ini melalui fitnah-fitnah yang sebarkan di antara golongan Syiah dan Sunnah.
7. Menyeru agar umat Islam bersiap sedia untuk berjihad sebagai merealisasikan firman Allah swt dalam surah al-Anfal ayat 60 yang bermaksud:
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya.”
Sejarah orang Yahudi menunjukkan bahawa mereka tidak pernah gerun dan takut kepada sesiapa melainkan kepada orang yang mempunyai kekuatan dan kegagahan.
8. Berusaha membebas dan memerdekakan tanah air daripada penajahan pemikiran, politik dan kebudayaan. Antara fenomenanya yang paling nyata ialah apa yang disiarkan di dalam media-media massa, budaya dan taklid buta terhadap barat sebagaimana ditunjukkan oleh para pemuda kita hari ini.
9. Mengajak orang ramai agar memberikan sumbangan untuk saudara-saudara mereka yang mendapat kecelakaan. Carilah mana-mana pertubuhan atau institusi yang dipercayai yang boleh membantu menyampaikan sumbangan saudara kepada mereka. Janganlah saudara merasakan jumlah yang saudara sumbangkan adalah terlalu kecil, kerana saudara-saudara kita tetap memerlukannya, tidak kira berapa jumlahnya. Ambillah peluang daripada situasi yang sedang berlaku ini untuk mentarbiah ahli masyarakat supaya mereka menghulurkan sumbangan dan menganggapnya sebagai suatu ibadat yang boleh mendekatkan seseorang hamba kepada tuhannya. Firman Allah swt (al-Baqarah: 270) yang bermaksud:
“Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja yang kamu nazarkan maka sesungguhnya Allah mengetahuiNya.”
Jiwa golongan muda hendalah sentiasa di tanam dengan roh Al-Quran agar isu Palestin sentiasa di hati mereka
10. Menanam sikap positif di dalam jiwa umat Islam dan tidak terlalu bergantung kepada kerajaan mereka. Jika pihak kerajaan tidak menghulurkan bantuan, maka keadaan tersebut tidaklah melepaskan rakyat daripada tanggungjawab mereka.
Kerajaan-kerajaan yang ada ini pasti akan tiada suatu hari nanti. Jika rakyat tidak bersedia untuk melaksanakan tanggungjawabnya, maka mereka akan mengalami keaiban besar sebagaimana sedang dihadapi oleh para pemerintah mereka pada hari ini.
Saudaraku! Inilah beberapa cadangan yang menjadikan setiap individu yang tidak dapat menyertai saudara-saudaranya berperang sebarang keuzuran untuk tidak melakukan apa-apa. Kesemua cadangan ini adalah berada dalam kemampuan setiap individu untuk melaksanakannya.
Akhirnya saya berdoa kepada Allah swt agar memberkati saudara, agar Allah memperbanyakkan bilangan mereka yang mempunyai sikap yang sama dengan saudara dan agar Allah menjadikan saudara terdiri dari kalangan para pemuda yang beriman lalu ditambahi petunjuk oleh tuhan mereka. Saya juga berdoa agar Allah swt memelihara darah umat Islam daripada terus tertumpah dan menggagalkan segala tipu daya pihak musuh.
Note: Sumber: Islam Online ,http://www.islamonline.net Jawapan oleh : Ustaz Ramadan Fawzi Badini "

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: