~ aRtiKaL ~ ::_HaSsan NaSruLLah, PeJuaNg seJaTi_::
Jika ditanyakan kepada masyarakat Islam di seluruh dunia, siapakah hero di dalam peperangan Zionis-Lubnan 2006, pastinya lebih 90% akan menjawab: "Syed Hassan Nasrullah dan Hizbullah". Kemunculan pemimpin Hizbullah yang berwajah muda ini telah menjadi tumpuan dan penantian sepanjang sebulan terletusnya peperangan di bumi Lubnan. Kemunculan beliau dengan ucapan yang penuh tenang, pandangan yang kritis dan juga mesej yang tegas amat dinanti-nantikan.
Beliau menjanjikan rakyat Lubnan dan Palestin dengan kejutan-kejutan. Sesiapa pun tidak boleh melupakan ketika beliau muncul di stesyen TV al-Manar dengan gambar Hizbullah melepaskan roket ke arah kapal perang milik tentera Zionis di perairan Lubnan. Serangan tersebut telah memusnahkan kapal perang berkenaan. Gambar tersebut telah mendapat sorakan, tepukan dan juga teriakan takbir dari seluruh dunia. Siapakah Syed Hassan Nasrullah yang begitu karismatik ini?, siapakah ulama muda Syiah Lubnan yang telah berjaya menggegarkan bumi "Israel" dan para pemimpin mereka ini?
Kehidupan awal Nasrullah
Hassan Nasrullah dilahirkan di kawasan perkampungan Syiah di Selatan Lubnan pada tahun 1960. Bapanya, seperti kebanyakan rakyat Syiah Lubnan yang lain telah berhijrah ke Beirut untuk mendapatkan masa depan yang lebih baik. Sebagai seorang pengusaha kedai runcit yang miskin, beliau telah berhijrah ke kawasan Karantina di Beirut untuk mencuba nasib di pinggir kota yang dikenali sebagai "Paris timur tengah".
Hijrah ini telah membuka ruang pengalaman baru kepada Nasrullah. Beliau telah mendapat pendedahan hidup di kampung dan juga kehidupan di pinggir bandar. Di kawasan yang terpinggir dari kepesatan Beirut, Nasrullah dan juga penduduk Syiah yang lain tidak dicemarkan oleh kotoran materialistik kota Beirut.
Sewaktu meletusnya peperangan saudara di Lubnan, Nasrullah sepertimana para pemuda Syiah yang lain telah menyertai AMAL. Beliau amat mengkagumi Musa Sadr yang menjadi ikon dan juga pemimpin spiritual bagi para penduduk Syiah di Lubnan. Gaya pemikiran ulama Syiah yang karismatik dan berpengaruh ini banyak mempengaruhi Nasrullah.
Tidak hairanlah, di dalam ucapan-ucapan beliau, nama Sadr sering disebut. Kecerdikan dan kesungguhan beliau telah berjaya dihidu oleh para pemimpin AMAL. Salah seorang pemimpin AMAL kemudiannya telah menghantar Nasrullah untuk menuntut ilmu di Najf. Najf merupakan kota ilmu bagi kaum Syiah di Iraq. Di sana beliau telah berguru dengan Muhammad Baqir al-Sadr, ulama besar Syiah kurun ke-20. Walau bagaimanapun, guru beliau yang paling rapat dan yang paling banyak membentuk pemikiran dan gaya kepimpinannya ialah Syed Abbas Musawwi. Musawwi merupakan pemimpin tertinggi Hizbullah yang pertama. Beliau jugalah yang telah membawa Nasrullah ke kedudukan beliau hari ini.
Karismatik beliau telah membuatkan beliau berjaya meluaskan pengaruh di kalangan para anggota Hizbullah.
Selepas terletusnya revolusi Islam Iran pada tahun 1979, puak Syiah mula menerima tekanan dari kerajaan Iraq. Keadaan lebih memburuk apabila terletusnya peperangan di antara Iran dan Iraq. Nasrullah yang dikenali sebagai ulama muda di Najf pada waktu itu telah diminta untuk pulang ke Lubnan.
Di Lubnan, pada awalnya beliau hanya terlibat dengan usaha penyebaran ilmu di kalangan rakyat Syiah Lubnan. Selepas berlakunya penjajahan Zionis ke atas Lubnan, Nasrullah mula menyertai kumpulan jihad menentang Zionis.
Beliau telah bergabung dengan AMAL Islamiy yang merupakan pecahan daripada AMAL yang telah bertukar menjadi sebuah parti politik sekular Syiah. Beliau juga telah terlibat dengan pasukan "Pengawal Revolusi" yang telah dihantar oleh kerajaan Iran untuk melatih rakyat Syiah Lubnan untuk berjihad. Pada waktu itu, Nasrullah telah diangkat menjadi antara pimpinan AMAL Islamiy. Beliau telah menjadi duta mereka ke Iran. Apabila tertubuhnya Hizbullah, beliau telah menjadi antara pimpinan mereka. Selepas kematian Musawwi pada tahun 1992, beliau telah dilantik untuk menggantikannya. Pada waktu itu umurnya hanyalah 31 tahun.
Nasrullah dan Hizbullah
Karismatik beliau telah membuatkan beliau berjaya meluaskan pengaruh di kalangan para anggota Hizbullah. Beliau juga kemudiannya telah menjadi ikon kepada rakyat Syiah di Selatan Lubnan. Di zaman beliau jugalah jihad Hizbullah semakin rancak dan semakin tersusun. Kemunculan beliau dengan ucapan-ucapan yang penuh bersemangat telah berjaya menaikkan semangat para pejuang Hizbullah.
Di era kepimpinan beliau juga bilangan pejuang dan penyokong Hizbullah semakin bertambah. Khidmat-khidmat sosial, pelajaran dan juga kebajikan Hizbullah kepada rakyat Syiah Lubnan juga semakin rancak pada waktu ini. Hizbullah telah menjadi harapan dan juga sinonim kepada masyarakat Syiah Lubnan. Mereka juga telah berjaya membina jaringan ekonomi kendiri di zaman Nasrullah.
Kesedaran terhadap kemampuan Hizbullah telah membawa Nasrullah mempelopori daerah baru. Beliau telah memeranjatkan ramai ahli Hizbullah apabila membuat keputusan untuk menceburkan Hizbullah ke dalam lapangan politik Lubnan. Rakyat Syiah Lubnan yang sebelum itu hanya bersandarkan parti AMAL kini telah mempunyai alternatif yang baru.
Walaupun terdapat tentangan dari kalangan anggota veteran yang takutkan Hizbullah akan meninggalkan lapangan jihad, akhirnya mereka terpaksa akur dengan keputusan Nasrullah. Mereka akhirnya menjadi penyokong kepada projek Nasrullah apabila Nasrullah menjamin bahawa jihad adalah tonggak Hizbullah dan mereka tidak akan sekali-kali meninggalkannya.
Lewat kejayaan Hizbullah menghalau rejim Zionis pada Mei 2000, nama Nasrullah dan Hizbullah menjadi semakin harum di Lubnan.
Lewat kejayaan Hizbullah menghalau rejim Zionis pada Mei 2000, nama Nasrullah dan Hizbullah menjadi semakin harum di Lubnan. Jika dahulu beliau merupakan tokoh yang popular di kalangan masyarakat Syiah, kin beliau menjadi bahan bualan rakyat Lubnan. Penglibatan Hizbullah di dalam lapangan politik Lubnan juga telah membuka lembaran baru di dalam lanskap politik Lubnan.
Berbekalkan media milik mereka, samada stesen televisyen al-Manar mahupun majalah dan akhbar milik mereka, akhirnya Hizbullah mula menjadi semakin popular. Sebelum pilihanraya 2005, Hizbullah telah pun mempunyai 14 orang ahli parlimen, dua orang menteri kabinet dan beberapa orang wakil di majlis-majlis perbandaran. Kekuatan Hizbullah in telah menyebabkan ramai penganalisis politik menyifatkan kewujudan Hizbullah di dalam politik Lubnan sebagai "negara di dalam negara".
Nasrullah & Sikap Keterbukaannya
Tindakan Nasrullah melibatkan Hizbullah di dalam lapangan politik membuahkan hasil. Penglibatan tersebut telah menjadikan Hizbullah sebahagian daripada entiti masyarakat Lubnan yang plural. Penglibatan Hizbullah ke dalam lapangan politik juga telah menjadikan mereka mendapat legitimasi untuk bergerak secara lebih pro-aktif di dalam masyarakat. Sebagai seorang pemimpin yang mempunyai pembacaan politik yang tajam, Nasrullah amat berhati-hati di dalam segala kenyataannya berkaitan dengan isu Lubnan.
Beliau mula menggunakan nada nasionalis dan bersikap patriotik. Beliau amat memahami peristiwa pahit perang saudara Lubnan dan sentiasa berusaha mengelakkannya. Nasrullah juga berusaha mengurangkan musuh dan cuba meleburkan Hizbullah di dalam masyarakat Lubnan.
Pendekatan beliau ini jelas dapat dilihat apabila beliau membukakan keahlian Hizbullah kepada masyarakat Lubnan yang bukan Syiah.
Pendekatan beliau ini jelas dapat dilihat apabila beliau membukakan keahlian Hizbullah kepada masyarakat Lubnan yang bukan Syiah. Bukan sekadar itu sahaja, malah jawatan-jawatan tertinggi di dalam organisasi dan juga di dalam pasukan ketenteraan pun dibukakan kepada mereka yang bukan Syiah. Keadaan ini sebenarnya merupakan strategi politik Nasrullah yang bijak membaca keadaan.
Selepas kematian isteri dan anaknya yang menjadi mangsa bedilan roket Zionis ke atas rumahnya pada 13 September 1997, beliau berjaya meraih simpati rakyat Lubnan. Beliau yang muncul beberapa jam di kaca televisyen selepas peristiwa tersebut langsung tidak membicarakan perkara tersebut. Malah peluang tersebut digunakan untuk mengajak rakyat Lubnan untuk bersatu menentang penjajahan Zionis. Kesannya, bukan hanya sekadar kaum muslimin Lubnan, malah di kalangan kaum Kristian pun, ramai yang mula mengkagumi Nasrullah. Beliau telah mula menjadi ikon perjuangan rakyat Lubnan menentang penjajahan Zionis selepas itu.
Kesan daripada sikap terbuka Nasrullah ini, akhirnya Hizbullah mula menjana dan menggandakan kekuatan mereka. Antara hasil yang paling nyata bagi kekuatan Hizbullah ialah kejayaan mereka menghalau penjajah Zionis dari selatan Lubnan pada 25 Mei 2000. Tentera-tentera Zionis yang tidak tahan menanggung serangan-serangan dari para pejuang Hizbullah hampir setiap hari di selatan Lubnan akhirnya lari meninggalkan bumi tersebut.
Populariti Hizbullah dan Nasrullah bertambah tinggi selepas peristiwa itu. Hizbullah telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa politik, khidmat sosial, jihad dan pelajaran boleh berjalan seiring. Hizbullah juga telah menjadi pelindung kepada para pemimpin HAMAS yang berada di bumi Lubnan. Hal ini telah diketahui oleh dunia, terutamanya pihak Zionis yang sentiasa mengintai-ngintai peluang untuk membunuh mereka.
Apa yang menarik mengenai Nasrullah juga ialah ucapan-ucapan beliau. Walaupun beliau seorang yang kuat berfahaman Syiah, namun di dalam ucapan-ucapan beliau di media, ianya tidak menonjol. Jika beliau muncul untuk berbicara tentang jihad dan juga perjuangan, ucapannya bernada neutral. Beliau seolah-olah mewakili seluruh umat Islam. Apabila beliau membicarakan tentang penentangan ke atas rejim Zionis, ucapan-ucapannya seolah-olah menunjukkan dia seorang rakyat Palestin.
Beliau juga tidak kedekut untuk memuji para pemimpin dan kumpulan yang sama-sama berjuang menentang Zionis, terutamanya HAMAS. Lewat peperangan Zionis ke atas Lubnan pada tahun 2006, beliau berucap mewakili rakyat Lubnan. Setiap kali kemunculannya di kaca-kaca televisyen, sikap patriotik pro-Lubnan jelas kelihatan. Bagi mereka yang naif tentang politik Lubnan pasti akan menyangkakan bahawa beliau adalah ketua negara Lubnan dan bukan hanya pemimpin Hizbullah.
Nasrullah Pasca 2006
Tiada siapa yang dapat menafikan kejayaan Hizbullah di dalam peperangan Zionis-Lubnan 2006. Hanya George W Bush sahaja yang telah mengisytiharkan kekalahan Hizbullah. Olmert, Emir Perez dan seluruh Knesset rejim Zionis pun mengakui bahawa mereka tidak berjaya di dalam peperangan tersebut dan terpaksa akur dengan resolusi 1701 PBB. Netanyahu merupakan di antara orang yang paling bersetuju untuk mengatakan operasi tentera Zionis si Lubnan adalah gagal.
Bagaimana tidak, dengan kematian 123 tenteranya, kecederaan lebih 400 orang, kemusnahan sebuah jet pejuang F16, empat helikopter Apache, tiga buah kapal perang laut, dan lebih 100 kereta kebal Merkava di dalam tempoh sebulan, sudah cukup untuk meletakkan rejim Zionis di pihak yang kalah. Objektif utama kempen peperangan mereka ke atas Lubnan juga tidak berjaya. Mereka gagal untuk membebaskan dua tentera mereka yang telah ditawan oleh Hizbullah.
Hanya George W Bush sahaja yang telah mengisytiharkan kekalahan Hizbullah.
Kegagalan rejim Zionis bermakna kemenangan Hizbullah. Hakikat inilah yang diterima dan dibanggakan oleh rakyat Lubnan. Bagi mereka, Hizbullah telah memenangi peperangan tersebut.
Apabila masyarakat Lubnan dari selatan Lubnan mula kembali ke rumah masing-masing, Hizbullah menjadi pihak yang pertama menghulurkan dana untuk mereka kembali memulakan hidup. Khidmat inilah yang menyebabkan rakyat selatan Lubnan tidak berbelah bagi untuk menyokong Hizbullah. Hal ini telah meningkatkan lagi populariti Hizbullah dan juga Nasrullah.
Jika dahulu, hanya rumah penyokong-penyokong Hizbullah dari golongan Syiah sahaja yang mengangkat gambar Nasrullah, kini semuanya telah berubah. Rakyat Lubnan, tidak kira samada mereka itu Syiah, atau Suni, mahupun Kristian, kini mula menggantungkan gambar Nasrullah di rumah masing-masing.
Mesej Nasrullah kepada pemimpin umat Islam dan pemimpin Arab di seluruh dunia amat mudah. Ayuh bersama kami untuk menentang penjajahan Zionis. Kita mampu mengalahkan mereka, kerana Allah akan sentiasa bersama kita!....Dan beliau telah membuktikannya"

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: