~ aRtiKaL ~ ::_KeUtaMaAn MusYawaRaH_::
Ada beberapa unsur penting yang perlu untuk menentukan kejayaan pengurusan dan pentadbiran sesebuah pertubuhan. Unsur itu berkait rapat dan dengan pelaksanaannya sesebuah pertubuhan mampu menempa kejayaan.
Pertama, sikap, kemampuan dan kewibawaan pemimpin dalam sesebuah pertubuhan. Pemimpin seharusnya menganggap peluang untuk memimpin pertubuhan sebagai amanah menerajui pertubuhan itu bagi mencapai ke tahap cemerlang.
Justeru, pemimpin harus memiliki wawasan jauh, bersikap dinamik dan sentiasa berusaha memajukan pertubuhan. Kejujuran dan keikhlasan pemimpin dengan amanah adalah asas yang sangat penting. Pemimpin jujur akan mengorbankan tenaganya untuk mempertingkatkan prestasi pertubuhan secara berterusan. Ia bukan sekadar menjaga kedudukan prestasi pertubuhan semasa tetapi di sebaliknya berjihad untuk membuat pembaharuan ke arah kebaikan.
Kegagalan sesebuah pertubuhan itu kebanyakan disebabkan oleh pemimpin yang tidak jujur, mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan pertubuhan. Sikap hina itu banyak menimbulkan gejala dalam prestasi pertubuhan dalam sesebuah negara. Sikap hina tidak boleh dibendung jika masyarakat dan negara mahu mencapai kemajuan. Bahkan usaha mempertahankan ketidakjujuran pemimpin satu kesalahan yang besar.
Pemimpin juga harus mempunyai anggapan mutu prestasi kerja adalah sebagai nilai penting yang perlu sentiasa dimajukan. Pandangan itu memerlukan kepada usaha mewujudkan satu budaya - iaitu aliran pemikiran, perasaan dan cara bekerja dalam sesebuah pertubuhan itu semoga mempertingkatkan mutu bekerja adalah usaha yang berterusan terhadap ke semua lapisan pekerja.
Untuk mewujudkan budaya berkenaan tidak memadai pemimpin mempunyai sikap memberi keutamaan kepada mutu pekerjaan tetapi, sekali gus memerlukan kemampuan memimpin dengan fikiran terbuka dan berkebolehan menterjemahkan wawasannya menjadi satu budaya sihat dalam pertubuhan itu.Pemimpin juga seharusnya memiliki sikap memberi keutamaan kepada keperluan dan kebajikan semua pekerja. Mementingkan kebajikan pekerja adalah ciri yang akan membawa kepada kejayaan dalam pertubuhan.
Pekerja adalah pelaksana rancangan pertubuhan. Jika semangat bekerja di kalangan pekerja menurun sudah pasti prestasi yang bermutu sukar dapat dihasilkan oleh pekerja. Unsur kemanusiaan mesti mendapat pembinaan yang baik kerana kejayaan pertubuhan mampu dicapai melalui kejayaan menghayati ciri kemanusiaan dan bukan unsur kemajuan teknologi saja. Bahkan tidak akan wujud kemajuan teknologi tanpa penyelesaian persoalan kemanusiaan pekerja.
Islam melihat golongan pekerja sebagai saudara dan rakan kongsi kepada majikan dan barisan kepemimpinan. Oleh itu gabungan padu perlu dipereratkan dengan memberi penekanan kepada kebajikan kepada golongan pekerja dan pimpinan pertubuhan.
Kedua, sikap pekerja dalam sesebuah pertubuhan. Pekerja sebagai pelaksana tugas mesti mempunyai sikap maju terhadap tugas diamanahkan. Mereka perlu mencintai kerja dan sentiasa ingin berusaha meningkat prestasi. Dalam Islam mutu kerja adalah tuntutan agama. Islam meletakkan kedudukan yang penting kepada kerja. Melaksana kerja dengan baik dan bermutu adalah ibadat. Bahkan sumber pendapatan dari hasil pekerjaan yang halal dan bermutu, adalah sumber rezeki yang mulia.
Pekerja perlu meyakini mutu prestasi pekerjaan mereka sentiasa dan mampu dipertingkatkan dari masa ke masa. Sikap mulia terhadap mutu pekerjaan ini perlu dibentuk semoga usaha mempertingkatkan mutu menjadi satu budaya kerja. Pekerja perlu memiliki daya usaha dan daya kepandaian yang tinggi ke arah pencapaian matlamat itu. Usaha pekerja dalam menghasilkan mutu penghasilan yang tinggi dalam tugas mereka akan dapat dijayakan dengan memberi penekanan yang penting kepada wujudnya semangat dan suasana kerja secara muafakat. Kejayaan menghasilkan kerja yang bermutu lazimnya akan diperoleh melalui usaha itu. Setiap pekerja mempunyai kelebihan masing-masing. Semua tenaga pekerja dengan baik adalah sangat penting.
Ketiga, corak penyusunan sesebuah pertubuhan. Rata-rata pertubuhan dapat mempertingkat mutu kerja jika ia dapat disusun dengan baik. Kemampuan pemimpin pertubuhan menyusun struktur pertubuhan dengan baik memerlukan kepakaran tertentu. Corak penyusunan pertubuhan tidak kekal. Ia boleh sentiasa diubah suai mengikut matlamat pertubuhan yang mungkin berubah dan juga unsur dalaman yang ada dalam sesebuah pertubuhan itu.
Dalam usaha menyusun gerak kerja pertubuhan, pertubuhan perlu memiliki matlamat yang jelas yang mudah difahami dan dihayati oleh semua lapisan dan golongan pimpinan dan golongan pekerja. Program dan bentuk kerja perlu digubal menepati matlamat pertubuhan. Kadang kala sesebuah pertubuhan dapat menyenaraikan matlamat yang baik, tetapi pencapaian matlamat itu gagal dicapai kerana pemimpin pertubuhan tidak berkemampuan menterjemah dalam bentuk kerja yang baik. Kelemahan itu rata-rata membentuk kemajuan sesebuah pertubuhan.
Di samping berhasil mewujudkan matlamat dan disertai dengan corak kerja pertubuhan, sesebuah pertubuhan perlu mampu menyusun pembahagian tugas semoga setiap ahli pekerja dalam pertubuhan dapat berperanan secara berkesan untuk menjayakan matlamat pertubuhan. Menepati semangat kerja secara muafakat perlu dibentuk, penyusunan kerja perlu mengarah kepada matlamat berkenaan. Setiap pekerja mesti menerima bidang tugas dengan jelas semoga harapan majikan terhadapnya secara khusus dapat dijayakan.
Corak pengurusan pertubuhan juga perlu memiliki cara membuat keputusan berasaskan semangat musyawarah (mewujudkan suasana perbincangan dalam membuat keputusan). Semangat musyawarah memerlukan kepada corak membuat keputusan diagihkan kepada beberapa bahagian pertubuhan.
Membuat keputusan tidak dipusatkan hanya kepada ketua pertubuhan bahkan diberi juga kuasa dan peluang kepada pegawai dan pekerja bawahan. Susunan itu mewujudkan kelicinan dan kecekapan perjalanan kegiatan pertubuhan. Di samping itu sistem untuk mengawal dan menyeragamkan keputusan perlu dibangun bersama dengan semangat itu.
Pada akhirnya, menepati semangat kepada pencapaian mutu yang pada hakikat berciri maju, sesebuah pertubuhan mesti mampu menyediakan sistem untuk menilai mutu kerja yang dihasilkan oleh pekerja. Corak pengukuran mutu kerja perlu dibentuk semoga mutu penghasilan barang dan perkhidmatan dapat ditingkat dari masa ke semasa. Sebarang kekeliruan perlu dikurangkan dalam membentuk sistem mengukur mutu hasil pekerja.
Penjelasan di atas dengan jelas memperakukan mutu penghasilan barang dan perkhidmatan adalah menjadi alat ke arah peningkatan mutu kehidupan masyarakat. Oleh itu setiap pertubuhan Muslim perlu memberi keutamaan kepada keunggulan pengurusan pertubuhan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: