~ ArTiKaL ~ ::_IsLaM iKtiRaF NiLai KeMerDekaAn IndiViDu_::
Perlu diinsafi bahawa nilai kemerdekaan yang diperoleh ini sebenarnya hasil perjuangan yang sangat panjang. Semuanya itu adalah kerana tidak lain tidak bukan demi meraih sebuah harapan, cita-cita dan hala tuju yang lebih baik pada masa akan datang. Justeru, nilai kemerdekaan pada dasarnya amat mahal harganya bagi setiap individu dan juga setiap bangsa yang bermaruah. Bahkan kemerdekaan adalah hak asasi yang paling penting dimiliki setiap manusia dalam kehidupan ini.
Oleh itu, jika kemerdekaan seseorang manusia itu tergugat dan dirampas, nescaya dia akan berusaha untuk mendapatkannya kembali. Islam pada dasarnya mengiktiraf dan menghormati nilai kemerdekaan setiap individu dan bangsa yang menghuni alam semesta ini. Jadi, Islam menegaskan bahawa manusia adalah makhluk Allah yang diciptakan dalam keadaan fitrah dan merdeka.
Oleh itu, Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan dan eksploitasi terhadap kemerdekaan setiap individu manusia dan bangsa. Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa tidak ada sebarang diskriminasi kemerdekaan setiap manusia yang lahir ke dunia ini biarpun memiliki perbezaan latar belakang, suku kaum, kekayaan, kedudukan, status sosial dan sebagainya.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Kamu semua sebenarnya berasal daripada Adam, dan Adam pula diciptakan daripada tanah. Tidaklah orang Arab lebih mulia daripada orang bukan Arab, tidak pula orang berkulit putih lebih baik daripada orang berkulit hitam, melainkan kerana ketakwaannya.”(Hadis riwayat Ahmad)
Kemerdekaan itu pada hakikatnya bukanlah semata-mata membebaskan diri atau kebebasan daripada belenggu penjajahan asing. Tetapi, sebenarnya lebih daripada itu, kemerdekaan yang hakiki ialah kebebasan manusia untuk dapat mengisi kehidupannya sesuai dengan fitrahnya yang juga sifat asasi manusia yang selaras dengan hikmah penciptaannya. Firman Allah bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Surah adz-Dzariyat , ayat 56)
Manusia yang merdeka dapat hidup dalam fitrahnya yang asal, hidup dalam ketentuan dan panduan Penciptanya. Manusia yang menjalani hidup ini sesuai dengan hak asasinya sebagai seorang manusia sekali gus sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya di muka bumi ini. Dalam konteks ini, manusia yang merdeka ialah insan yang mampu membebaskan diri daripada pelbagai bentuk perhambaan kepada selain Allah. Begitu juga, dia berupaya untuk meloloskan diri daripada perangkap hawa nafsu dan seterusnya memusatkan seluruh kehidupannya hanya kerana Allah.
Dalam erti kata lain, seorang Muslim yang merdeka ialah seorang yang menginsafi dirinya adalah hamba Allah yang ditaklifkan dengan pelbagai kewajipan dan tuntutan sesuai dengan kedudukan fitrahnya. Oleh itu, seorang Muslim yang bertakwa akan menjunjung segala titah dan perintah Ilahi ketika menjalani kehidupan ini demi meraih kesejahteraan hidup dan keredaan Allah.
Pada masa sama, dia akan berusaha membebaskan diri daripada sebarang bentuk kesyirikan, amalan khurafat, bidaah, segala penyakit hati dan amalan yang keji. Seorang pemimpin yang merdeka mampu membebaskan diri daripada cita-cita politik murahannya, kepentingan dirinya dan keluarganya, sebaliknya dia hanya memikirkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat yang berada dakam kepemimpinannya. Dia memandang kepemimpinannya itu sebenarnya adalah satu amanah yang cukup berat lagi getir yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah pada hari akhirat kelak.
Seorang ulama yang merdeka hanya takut kepada Allah seperti termaktub dalam firman Allah bermaksud: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu (ulama).” (Surah Fatir, ayat 28).
Kerana ketakwaannya itu, seorang ulama berani untuk menyuarakan kebenaran dan menentang segala bentuk kemungkaran yang berleluasa dalam masyarakatnya. Seorang ulama yang sejati tidak akan memutarbelitkan dalil, apatah lagi mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan di dalam masyarakatnya.
Sebaliknya, dia akan sentiasa menyeru ke arah kebenaran dan ketaatan kepada Allah, di samping menyelamatnya masyarakat daripada kesesatan dan kebatilan yang terlarang. Seorang pegawai atau pekerja yang merdeka pula berusaha memaksimumkan potensi dirinya untuk menghasilkan produktiviti yang terbaik dan bermanfaat kepada agama, masyarakat dan negara.
Seorang pegawai yang beriman akan bekerja dengan penuh ikhlas dan jujur atas landasan ibadat kepada Allah dan mencari rezeki yang halal untuk keluarganya. Rakyat dan bangsa yang merdeka adalah yang benar-benar bertanggungjawab dan peka terhadap suasana persekitarannya dari segi keselamatan, kesejahteraan, keharmonian dan kepentingan bangsanya.
Oleh itu, setiap rakyat akan berusaha untuk melindungi masyarakat dan negaranya daripada diprovokasi unsur yang tidak bertanggungjawab, di samping menjunjung hukum-hakam Allah sebagai teras utama yang mendasari setiap sendi kehidupan ummah sejagat.
INTI PATI
  • Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan dan eksploitasi terhadap kemerdekaan setiap individu manusia dan bangsa.
  • Kemerdekaan yang hakiki ialah kebebasan manusia untuk dapat mengisi kehidupannya sesuai dengan fitrah.
  • Seorang Muslim yang merdeka ialah seorang yang menginsafi dirinya adalah hamba Allah yang ditaklifkan dengan pelbagai kewajipan dan tuntutan sesuai dengan kedudukan fitrahnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: