:-Mengapa Menutup Aurat-:
Dr Danial. Wanita Islam perlu menutup aurat. Saya tidak faham apa kelebihannya. Tetapi pernahkah orang bukan Islam memberi komen positif tentang cara pemakaian ini? Terima kasih doktor.
Dari Jeffrey

Terima kasih Jeff. Wanita Islam memakai tudung dan menutup aurat hanyalah ketika berdepan dengan lelaki yang harus berkahwin dengan mereka. Ia bukanlah kerana wanita ini hina, rendah, primitif, terkongkong, perangsang nafsu dan seumpamanya. Sebaliknya ia disebabkan oleh perintah Allah. Dalam era yang sudah terbabas ukurannya, sehinggakan setiap penjuru tubuh wanita pun mahu diukurnya, dan penilaian terhadap wanita diberikan berdasarkan ukuran itu, perintah Allah ini mendatangkan kemuliaan kepada kaum wanita.
Sebenarnya, beberapa golongan di Barat mula mengagumi ajaran Islam berhubung dengan wanitanya. Saya nukilkan di sini apa yang telah saya tulis dalam buku saya Empayar Minda Muslim terbitan PTS Publication......
"R. Stevenson telah menulis di dalam Toronto Star bertarikh 23 Januari, 2002 berhubung dengan etika pemakaian wanita Islam. Beliau berkata: 'Ketika saya dan rakan-rakan sedang makan malam di sebuah restoran, kami duduk bersebelahan dengan tiga orang wanita muda. Tiba-tiba masuklah dua orang wanita Islam dengan pakaian yang agak konservatif dan duduk bersebelahan dengan mereka. Kami dapat mendengar ketiga-tiga wanita tadi berbisik-bisik sesama sendiri berhubung kedua-dua wanita Islam itu: ‘Mengapa mereka berpakaian seperti itu...? Saya bersimpati dengan mereka......!’ Ketiga-tiga wanita (Barat) itu akhirnya membayar bil dan terus beredar. Mereka memakai seluar yang ketat, skirt yang singkat, kasut bertumit tinggi, gincu yang tebal dan bahagian dada mereka didedahkan secara yang mengghairahkan. Kami alihkan pandangan kami kepada kedua-dua wanita Islam tadi. Tudung mereka yang hitam menzahirkan peribadi mereka yang bersopan santun. Gaya mereka nampak asli. Pakaian mereka, walaupun konservatif, menampakkan sifat kewanitaan yang indah. Berpakaian secara sopan menakutkan wanita Barat. Kenapa? Adakah kerana mereka tidak mahu kehilangan hak untuk menunjuk-nunjuk......? Selepas kami berbincang tentang isu ini, kami dapati, wanita-wanita Islam berjaya membebaskan diri mereka dari perangkap fesyen tanpa perlu menunjuk-nunjuk, bersaing, berbelanja lebih dan berdiet untuk menarik perhatian kaum lelaki atau wanita. Kami dapati kedua-dua wanita Islam itu lebih menarik jika dibandingkan dengan ketiga-tiga wanita Barat tadi. Penonjolan seks di dalam masyarakat kita sudah menjadi suatu budaya arus perdana sehingga kita menganggap adab dan sopan santun suatu kemunduran. Dalam konteks jangka panjang, apabila kaum lelaki melihat secara lebih jauh, mengatasi seluar ketat dan tumit tinggi, mereka akan mendapati bukan keyakinan diri sebaliknya perasaan terdesak untuk mendapat perhatian (yang menyebabkan wanita-wanita Barat begitu ghairah dengan fesyen). Wanita yang mementingkan adab dan kesopanan tidak akan terperangkap dengan suasana yang memperdayakan ini. Mereka berbangga dengan apa yang mereka miliki.... Ingatlah ini apabila anda bersimpati dengan wanita-wanita Islam'." (Dari Empayar Minda Muslim oleh Dr Danial bin Zainal Abidin)
Amatilah artikel ini dengan mendalam, Jeff, kerana ia ditulis oleh seorang wartawan Barat yang mula insaf. Semoga bermanfaat.

Dari Laman Web:
http://formulacemerlang.com

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: