Pelanggan Ramai,Nape muka Masam!
KENAPALAH melayu susah hendak maju?
"Bukan hendak kaya pun, saja-saja berniaga sekadar hobi. Saya tutup kedai pun ikut suka. Rasa malas tutup, kalau rajin buka!"
Singgah di sebuah gerai yang menghidangkan nasi campur di pinggir Kuala Lumpur. Memang biasa ke situ, walau lauk pauknya ringkas tetapi lengkap sayur, sambal belacan, ulam dan ikan bakar. Enam buah payung berwarna-warni rapat-rapat di bawah rimbunan pokok yang rendang meredupkan.
Hari itu 'meriahnya' lain macam. Semua meja penuh. Tidak seperti hari-hari biasa. Rupa-rupanya ada sebuah bas universiti tempatan yang singgah makan. Mereka mungkin dalam perjalanan ke utara. Petugas restoran yang empat orang kelam kelibut ke sana ke mari. Muka masam mencuka.
"Kenapa masam sangat ni?" Tegur penulis selepas selesai memesan minuman. (minuman itu hanya sampai ke meja setengah jam kemudian).
"Orang ramailah. Penat betul!" Mukanya tambah masam. Dia cepat-cepat berlalu. Langkahnya turut dihentak-hentak. Macam marah saja. Aikkk...
Isunya di sini, kenapa pula marah? Sepatutnya mereka gembira sebab hari itu rezeki berganda, orang ramai datang bukannya makan percuma. Sepatutnya mereka tidak masam mencuka begitu sebalik senyum meleret hingga ke telinga memandang RM sudah penuh di laci kaunter cashier.
Hairankan, rezeki yang melimpah tidak disambut dengan kesyukuran atau kegembiraan sebaliknya seperti tidak ikhlas dan perkhidmatan pada pelanggan bagai melepaskan batuk di tangga. Acuh tak acuh, endah tak endah. Menghidang air, gelas dihentak hingga terpercik ke muka pelanggan.
Mungkin kerana itu bukan gerai mereka dan mereka sekadar pekerja, kata hati saya menyedapkan rasa. Namun jika kita makan gaji pun bukankah elok jika tempat kerja kita maju dan dilimpahi rezeki. Insya-Allah, kita juga dapat merasa bonusnya.
Maka, esoknya kerana ada tugas berdekatan, sekali lagi penulis singgah di gerai sama. Kali ini pekerja-pekerjanya tidak begitu masam dan kelibut kerana pelanggan hanya lima orang waktu itu. Bertanyalah pada 'pekerja' semalam yang masam, yang kemudiannya mengaku dia taukeh gerai itu.
"Orang ramai baguslah, lagi untung macam semalam tu?""Oh... semalam tu? Saya tak suka sangat ramai-ramai macam tu, penatlah.""Laaa... ramai tu 'duit' kak!""Alah... cukuplah macam gini saja. Saya buka kedai ni bukan nak kaya pun. Saja minat. Buat tambah-tambah duit. Itu sebab buka tutupnya pun tak tentu. Kalau malas saya tutup, rasa hendak duit saya buka."
Begitulah kata kakak taukeh gerai itu. Dia memang tidak ambitous atau tiada perancangan untuk maju walau ramai yang kecewa apabila dalam seminggu, empat hari tutup. Kalau musim raya, sepanjang Syawal.
Adakah sindrom sebegini hanya menyerang Melayu?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: