~Imam Abu Hassan Asyaari RH dan Sifat 20~



Imam Abu Hassan Asyaari RH dan Sifat 20


Kebelakangan ini, pengajian tauhid berasaskan sifat 20 yang diperkenalkan oleh Imam Abu Hassan Ashaari menimbulkan banyak kontroversi.
Ada pihak yang tidak bersetuju dengan pengajian tauhidberasaskan sifat 20 ini. Mereka kata sifat Tuhan bukan 20 sahaja. Pada mereka penyusunan sifat Tuhan seperti sifat 20 ini adalah satu perkara bidaah. Rasul pun tidak pernah mengajar tauhid seperti itu.Mereka kata segala sifat Tuhan terkandung di dalam Al Quran.


Untuk mengetahui sifat-sifat Tuhan, ayat-ayat yang memperkatakan tentang sifat-sifat Tuhan itu patut dibaca dan dijadikan panduan. Ianya adalah lebih dari 20. Ada pula pihak yang berpendapat bahawa mempelajari tauhid melalui sifat 20 ini, paling baik pun hanya boleh membuatkan seseorang itu tahu tentang sifat-sifat yang wajib bagi Tuhan. Mungkin kalau didalami lagi dapat juga tahu 20 sifat yang mustahil bagi Tuhan dan satusifat yang harus bagi-Nya. Namun ianya hanya setakat tahu. Setakat boleh menjadi orang yang a’alim billah iaitu orang yang alim atau yang ada ilmu tentang Allah dan tidak lebih daripada itu.
Mereka berkata bahawa sifat 20 ini tidak mampu membawa kepada kefahaman, lebih-lebih lagi kepada penghayatan dan penjiwaan. Oleh itu sifat-sifat Tuhan itu tidak dapat dihayati atau dijiwai dan tidak dapat dirasakan di hati. Mereka mengatakan sifat 20 ini tidak mampu membawa manusia supaya merasa bertauhid atau membuatkan manusia berjiwa tauhid. Ia hanya mampu setakat membuatkan manusia itu berfikiran tauhid.


Orang yang berfikiran tauhid ini mungkin tauhidnya sah disisi agama. Tapi tauhidnya hanya di fikiran, belum dihati. Dia hanya tahu Tuhan tetapi tidak kenal dan tidak dapat perasaan berTuhan. Justeru itu dia tidak ada kekuatan untuk bermujahadah memperbaiki diri dan membersihkan hati. Dia selalu lupa dan alpa tentang Tuhan.
Berbeza dengan orang yang sudah menghayati tauhid atau orang yang berjiwa tauhid. Mereka ini sentiasa merasa berTuhan. Mereka sentiasa merasakan Allah itu wujud, melihat, mendengar dan mengetahui tentang hal mereka zahir dan batin. Mereka sentiasa merasakan kehebatan, kekuasaan, keagungan dan perkasanya Tuhan. Allah tidak lekang dari hati-hati mereka. Mereka ini digelar orang yang ‘aarif billah iaitu orang-orang yang betul-betul kenal Allah dengan hati dan perasaan mereka.


Sebenarnya kalau kita teliti apa yang diperkatakan oleh kedua-dua pihak ini, memang ada kebenarannya. Namun kita tidak boleh mebuat pertimbangan tentang betul atau salah, berkesan atau tidak berkesannya pengajian tauhid melalui sifat 20 ini tanpa kita melihat dan mengambil kira tentang keadaan yang wujud di zaman Imam Abu Hassan Ashaari yang mengasaskan pengajian sifat 20 ini. Bukan Imam Abu Hassan Ashaari tidak mampu mengenengahkan bentuk ilmu tauhid yang lebih berkesan dan mendalam dari sifat 20 itu tetapi dia tertakluk kepada suasana dan keadaan di zamannya dan dia perlu menyesuaikan pendekatannya dengan suasana dan keadaan yang wujud di zamannya itu.
Imam Abu Hassan Ashaari adalah seorang mujaddid (orang yang memperbaharui agama atau reformis). Masalah utama yang dihadapi di zamannya ialah masalah kerosakan akidah umat Islam. Aqidah umat Islam ketika itu rata-rata telah dilanda kesesatan, dirosakkan dan diselewengkan oleh berbagai-bagai unsur dan fahaman yang wujud di waktu itu termasuklah fahaman Jabariah, Qadariah dan berbagai-bagai lagi fahaman yang dibawa oleh puak Muktazilah yang banyak bersandarkan kepada hujah akal. Ia sudah sampai ke tahap krisis yang sangat besar dan umat Islam ketika itu berhadapan dengan wabak kerosakan dan penyelewengan aqidah yang berleluasa.


Di waktu itu, soal penghayatan aqidah sudah menjadi perkara kecil dan orang yang mahu terlibat dengan usaha penghayatan aqidah ini tidaklah ramai. Soal utama ketika itu ialah untuk memelihara dan menyelamatkan aqidah orang ramai dan masyarakat umum supaya tidak tergelincir dan tidak dipengaruhi oleh fahaman-fahaman Muktazilah yang sesat. Inilah yang menjadi soal pokok dan soal utama di waktu itu yang mengatasi segala soal dan masalah yang lain. Inilah senario yang menjadi sebab munculnya sifat 20 ini.
Justeru itu kita lihat, sifat 20 ini, susunannya sungguh rapi, ringkas, mudah difahami, mantap dan walaupun hanya 20 sifat Tuhan yang diketengahkan, ia sudah mampu dan memadai untuk menangkis segala fahaman karut marut dan khurafat yang dibawa oleh fahaman-fahaman Jabariah, Qadariah dan Muktazilah. Kita dapat lihat bahawa sifat 20 ini mempunyai suatu kuasa keramat yang mampu memelihara aqidah umat Islam dan dapat memberi kekuatan kepada umat Islam untuk menangkis segala serangan-serangan syaitan dan konco-konconya untuk merosakkan aqidah, meragukan dan menanam perasaan was-was dalam hati-hati umat.

Di sinilah letaknya kekuatan sifat 20 yang diajar oleh Imam Abu Hassan Ashaari ini. Ia sangat berkesan untuk menanam aqidah dalam fikiran manusia secara mudah dan ia sangat berkesan untuk mempertahankan aqidah manusia itu dari serangan-serangan yang boleh merosakkannya. Sifat 20 ini sebenarnya telah berjaya mencapai maksud yang dikehendaki oleh Imam Abu Hassan Ashaari dengan cemerlang dan jayanya. Umat Islam keseluruhannya harus bersyukur dan berterima kasih atas usaha Imam Abu Hassan Ashaari ini.
Soal mendalami, menghayati dan menjiwai ketauhidan itu adalah satu perkara yang lain. Sifat 20 adalah asas. Ia bukan untuk penghayatan dan penjiwaan ketauhidan ini, Allah akan menghantar mujaddid yang lain pula kepada kita. Kita hanya perlu mencarinya.

PERCIKAN MINDAMejar [R] Abu Dzaren TaharemPenerbitan Minda Ikhwan, BCH - Disember 2004

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS