~ ArTiKaL ~ ::_al-QuDs: DaTaRan PeNyeMbeLiHan BeRteRuSan_::
Sudah menjadi sunnah kejadian alam bahawa setiap yang bernama makhluk pasti menuruti kehendak khaliqnya. Samada qada’ dan qadar yang diberikan itu berbentuk kebaikan atau sebaliknya, namun sudah menjadi sifat hamba mesti menerimanya dengan redha. Tragedi ngeri yang menimpa Mohamad Durrah sedikit masa lalu, seolah-olah sebagai pembuka tirai baru untuk menyatakan kepada seluruh peribumi dataran fana’ ini bahawa kekejaman dan kejahatan fahaman jahiliah dan mazhab Firauniyyah sudah mula menular dan dihidup suburkan kembali, melatari liku-liku sebuah kehidupan dan arena perjuangan anak-anak yang baru ingin mengenali erti sebuah pengorbanan, erti sebuah kemanisan dalam perjuangan.
Dataran Syam yang subur menghijau dulu, kegahan Baitul Maqdis sebagai simbol kehebatan ummah kini mula dicalar dan tercalar, dataran subur itu, kini bertukar wajah sebagai gelanggang permusuhan dan pembantaian ummah secara besar-besaran. Denai-denai dan lurah curam yang dilalui oleh tentera Salehuddin dulu, kini ibarat cerun yang landai, diselaputi kerikil-kerikil tajam yang mengerikan, menjadi kandang pembunuhan bermusim dan pembasmian ummat Islam beramai-ramai di abad ini. Ternyata Bumi Palestin menagih kasih dan simpati, mengharap secangkir pengorbanan dan pertolongan dari sahabat seaqidah bagi melepaskan anak-anak watan daripada belenggu-belenggu fatamorgana ngeri dan menakutkan dari terus perpanjangan.
Sahabat seaqidah !!
Apa yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w. bahawa akan terjadi di akhir zaman ini, golongan Yahudi berkompromi sesama mereka untuk membuat kerosakan di muka bumi ini dan membunuh umat Islam tanpa perikemanusiaan sehinggalah tibanya kemenangan dan nusrah daripada Allah s.w.t, memberi khabar gembira dan keyakinan yang padu kepada setiap jundi fisabilillah bahawa kemenangan akan berulang, panji Islam akan dijulang dan raayatul Islam akan terus dikibar dan terkibar dengan gahnya, di saat mana Nabi s.a.w menyatakan dalam nas-nas hadith:"Berkata pokok-pokok dan batu-batu: Wahai muslimin! Ini Yahudi di belakangku, datanglah dan bunuhlah mereka.” Di saat itu Islam akan terus cemerlang dan gemilang menanti saat-saat kemenangan dan kepastian janji daripada Rabbul jalil.
Sahabat seperjuangan !!
Sekelumit masa dan waktu yang berbaki ini, marilah sama-sama kita bertafakur dan merenung sejenak dengan hati nurani yang tulus ikhlas, dengan titisan air mata keinsafan, akan nasib dan musibah yang melakari dan melatari setiap detik perjalanan dan derapan langkah yang lemah longlai anak-anak yang tidak berdosa, yang hidup dalam teka-teki dan tanda tanya yang berpanjangan, antara realiti kemenangan atau fantasi kesyahidan. Betapa bumi ini sekali lagi menjadi medan pertaruhan aqidah dan pembantaian ke akar umbi bebenih as-syahadah dan tauhidiyyah generasi baru kepada keesaan Allah Azza wa Jalla. Bebunga kepanasan musim saifi yang baru di awalnya ini, betapa memberi pengajaran dan pengiktibaran yang besar kepada umat, bahawa siri-siri penyembelihan bermusim sudah mula dan sedang dilaksanakan di Asia Barat. Bumi Palestin sekali lagi menjadi gelanggang yang parah dan berdarah setelah sekian lama diuji dan teruji tanpa pembelaan.
Moga-moga ketabahan dan keistiqomahan akan terus bersemadi dengan roh-roh jihad mereka, moga-moga kerikil-kerikil dan bebatu tajam di jalanan mampu menjadi pertahanan terbaik buat mereka demi kelangsungan perjuangan dan kesucian aqidah.
Sahabat !! Biarlah senario pilu yang menyelimuti dataran al- Quds itu sebagai sumber inspirasi dan motivasi terbaik buat hati-hati yang cintakan kedamaian dan kemenangan. Marilah kita sama-sama merasai keperitan dan ratapan sendu mereka di sebalik jejaring besi dan rangkaian dawai-dawai keluli itu dengan simbahan wudhuk dan doa istighathah di pertiga malam dan solat hajat yang berterusan. Semoga ianya menjadi saham dan pelaburan yang terbaik daripada kita buat rakan-rakan seaqidah dan semoga darah-darah yang terhambur dari jasad-jasad mereka menjadi bauan kasturi yang cukup harum sebagai al-jaza’ terbaik daripada Rabbul Jalil sesuai dengan perniagaan mereka. Amin.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: