~ ArTiKaL ~ :- ANDARTU, Bila Mawar Kering Dipupuk Angin -:
“Wahai manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu, yang menjadikan kamu dari diri yang satu (jenis) dan menjadikan isterinya dari jenisnya (bangsanya) sendiri, dan kemuadian Tuhan memperkembang-biakkan dari keduanya, laki-laki dan perempuan-perempuan yang banyak”.
Apabila seseorang perempuan mengandung janim dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah S.W.T mencatatkan baginya setiap hari dengan 1000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1000 kejahatan.
Andartu atau Andalusia ibarat bunga kering di hujung ranting. Cantik perawannya bertempoh. Kalau duri terlalu banyak dan tajam, ia tidak memungkinkan di petik. Dan apabila tiada jemari yang sudi menyunting ketika ia mekar berkembang, kelopaknya akan layu. Merahnya akan pudar lalu kuntum pun berguguran. Cantiknya hanya akan tinggal sejarah. Sejarah yang tidak mungkin berulang. History won’t repeat itself.
Pepatah inggeris ada menyebut, Houses are but walls and beams; homes are buit of love and dream. Itulah hakikat harganya cinta dalam kehidupan manusia. Tiada yang bernama manusia kecuali terselit di benak hatinya keinginan untuk membina keluarga serta hidup bahagia bersama pasangan dan anak-anak anugerah Allah S.W.T.
Bagaimanapun, tidak semua yang berjaya mendaki ke puncak, dan tidak semua yang diberikan kesempatan mengecap kebahagian. Ada yang tersungkur di tengah jalan lalu mengharap simpati dan belas ihsan. Dalam kehidupan berumahtangga di Negara kita, insan yang gagal mendapatkan jodoh biasanya akan terpinggir dari arus kehidupan berkeluarga.
Di mana silapnya ummah ini hingga memungkinkan wujud golongan yang gagal memperolehi pasangan? Salah mereka yang tidak mendapat jodoh atau salah masyarakat yang melulu meletakkan label? Saya ingin mengajak kita semua menerobos ruang hakikat sebenar yang berlegar di dalam masyarakat.
Ada yang menyatakan faktor utama kepada wujudnya andartu ialah soal wajah dan kecantikan. Pandangan ini walaupun ada kebenaran namun tidaklah seratus peratus benar. Buktinya, tidak semua yang berumahtangga dan mempunyai keluarga yang bahagia mempunyai rupa paras yang cantik. Begitu juga tidak semua yang lambat berkahwin dan sukar mempunyai jodoh mempunyai rupa paras yang kurang cantik.
Hakikatnya, faktor utama yang mewujudkan andartu ialah anggapan umum masyarakat terhadap proses perkahwinan yang di anggap sebagai sukar dan memayahkan. Ia juga adalah satu amplikasi yang wujud secara tidak langsung apabila harga mas kahwin dijadikan kayu ukur bagi menilai prestij anak gadis dan keluarganya. Wujudnya keluarga atau masyarakat yang melihat bahawa bahawa perkahwinan ialah satu institusi yang berharga memberikan tekanan kepada anak gadis dan keluarganya sendiri. Masakan tidak, untuk diletakkan harga mas kahwin yang murah dan “berkat akan mengundang malu andainya ia menjadi buah mulut masyarakat. Bahkan, ada yang menganggap bahawa jika anak gadis diletakkan mas kahwin yang lebih rendah daripada 2,000, maka lebih baik “menjual lembu daripada menjual anak dara”!! Di sinilah sebenarnya ramai di antara ahli masyarakat yang lupa (atau buat-buat lupa) terhadap pesanan Rasullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A : “Wanita yang paling berkat ialah yang paling murah mas kahwinnya” hadis riwayat Iman Ahmad, Kitab Baqi’ Musnad Ansor, no 23966.

Hakikat sebenar yang berlaku di dalam masyarakat ialah kadang-kadang mas kahwin yang dibayar oleh pengantin lelaki bukannya diberikan sepenuhnya kepada pengantin perempuan, tetapi ia digunakan untuk menampung perbelanjaan majlis perkahwinan yang tentunya diadakan secara besar-besaran. Sikap ahli keluarga yang sanggup berhabis demi menjaga maruah dan prestij adalah satu paradigma yang salah dan menyeleweng.
Andartu juga wujud apabila poligami diboikot. Bukan menjadi rahsia sikap wanita yang seboleh-bolehnya tidak mahu berkongsi kasih. Sekalipun poligami dibenarkan dalam Islam, namun semanis-manis madu, ia tetap pahit bagi wanita. Bagaimanapun, di dalam keadaan yang tertentu, seharusnya pihak isteri tidak terlalu memusuhi malah memboikot poligami. Apabila diyakini suami mampu berlaku adil di dalam masalah pemberian nafkah kepada isteri, maka suami perlu diberikan lampu hijau untuk beristeri lagi. Benar, bercakap tidak semudah melaksanakannya. Hanya yang bergelar isteri sahaja yang tahu betapa peritnya jiwa yang terpaksa bermadu, namun andainya ia dilakukan demi untuk menyelamatkan jiwa serta maruah gadis lain yang bergelar andartu sekaligus mengelakkannya dari terjebak di dalam lembah kehancuran, adakah ia tidak berbaloi?
Andartu juga wujud apabila terdapat golongan muslimat yang langsung tidak mengambil sebarang langkah untuk mencari jodoh mereka sendiri. Benar, baik bagi muslimat jika menyerahkan soal jodoh mereka kepada keluarga sahaja. Namun, hakikat yang berlaku pada zaman sekarang tidak lagi demikian. Percampuran yang boleh dikatakan tidak dapat dielakkan secara seratus peratus di antara lelaki dan wanita yang berlaku sejak dari sekolah rendah lagi memberikan peluang secara tidak langsung untuk mereka sendiri mencari jodoh sesama sendiri. Dari konteks mahasiswa, siapakah yang dapat menafikan bahawa pergaulan di sebalik tabir sekalipun tidak di jadikan batu loncatan untuk mencari jodoh? Siapakah yang dapat menafikan kebersamaan di dalam menganjurkan program kadangkala bertukar menjadi jalinan cinta dan berakhir di jinjang pelamin? Namun, langkah pertama biasanya bermula dari pihak lelaki. Kenapa tidak, andainya pihak perempuan memulakan langkah, maka akan kedengaranlah suara-suara sumbang yang meberikan label
Perigi mencari timba”.
Soalnya, salahkah perigi mencari timba? Jika diperhatikan di dalam al-Quran, dinyatakan kisah seorang ayah yang menawarkan anaknya kepada Nabi Musa untuk di kahwini. Kisah ini disebut di dalam surah Al-Qashash, ayat 27. seorang ulama masakini, Dr Wahbah Az-Zuhaili semasa mentafsirkan ayat ini juga turut membawakan contoh-contoh lain di dalam sejarah Islam yang menunjukkan wakil pihak wanita mengemukakan tawaran untuk dijodohkan dengan mana-mana lelaki. Contohnya, Ummul Mukminin Khadijah yang meminang Rasulullah S.A.W. begitu juga dengan Saidina Umar yang menawarkan anaknya Hafsah setelah kematian suaminya untuk dijodohkan dengan Abu Bakar dan Usman. Kedua-dua sahabat itu hanya mendiamkan diri tanda menolak. Rupa-rupanya kelewatan Hafsah mendapat jodoh ada hikmahnya. Dia kemudiannya di kahwinkan dengan Rasulullah S.A.W, insan yang terbaik di kalangan yang baik. Sebab itu, golongan yang lambat mendapat jodoh tidak wajar berputus asa. Mungkin mereka senasib dengan Hafsah, belum tentu tidak! Apa yang penting, kesanggupan pihak perempuan untuk turut mencari jodoh, bukan hanya berteleku di tepi dinding menuggu pinangan orang. Apa salahnya kalau sekali sekala muslimah mengambil langkah merisik dan meminang?
Sebab lain yang mewujudkan andartu ialah apabila seseorang wanita terlalu mementingkan kerjaya hingga menganggap perkahwinan sebagai satu konkongan dalam hidupnya. Mereka memandang perkahwinan sebagai satu bebanan yang menyekat kebebasan. Bila berkahwin, kuasa mutlak dalam menentukan hidup mula berubah dan terpikul pula dengan kerja-kerja mengurus rumahtangga dan anak-anak. Golongan seperti ini kebanyakkannya wujud di bandar-bandar besar di mana terdapat wanita yang menjawat jawatan tinggi di dalam sektor perkhidmatan awam atau swasta lalu masa yang sama mengabaikan tuntutan fitrah mereka sendiri. Mereka sepatutnya menyedari bahawa perkahwinan akan memberikan ketenangan dan kebahagian kepada jiwa. Walaupun nampak seolah-olah kerjaya yang ada sudah mencukupi buat mereka, namun hidup seorang diri tanpa sebarang pergantungan adalah bertentangan sama sekali dengan fitrah seorang wanita.
Di Malaysia, walaupun golongan ini sudahpun wujud namun dalam jumlah yang terkawal. Apa yang kita bimbang, andainya senario ini tidak dikawal, masyarakat Malaysia khususnya umat Islam akan berubah sedikit demi sedikit menjadi seperti masyarakat Barat yang menganggap proses perkahwinan sebagai bahan mainan. Bukan menjadi rahsia dan keaiban lagi di kalangan mereka yang baru berkahwin sekalipun sudah bersama berpuluh tahun dan beranak pinak berdozen-dozen.
Revolusi pendidikan juga kdang kala menyumbangkan kepada wujudnya gejala andartu. Golongan wanita mula menerobos alam pendidikan hingga meraih kejayaan yang kadang-kadang mengatasi kehebatan kaum lelaki. Ekoran itu, hampir tiada lagi perbezaan di antara lelaki dan wanita dalam menggariskan cita-cita dalam hidup. Kalau dulu, kebanyakkan wanita meletakkan perkahwinan sebagai matlamat terakhir dalam hidup. Menumpukan tugas kepada “menjaga dapur” dan mengasuh anak merupakan dunia paling global bagi wanita. Bagaimanapun, senario itu hampir pupus pada hari ini. Sebagaimana kaum lelaki mengejar kejayaan dalam pelajaran hingga ke peringkat PhD, begitu juga kaum wanita. Malah, di institusi-institusi pengajian tinggi, kaum wanita melebihi kaum lelaki berkali-kali ganda. Salah satunya di Universiti Utara Malaysia, satu perangkaan yang disiarkan di dalam Utusan Malaysia, 6 Julai 2003 dulu menunjukkan jumlah siswi ialah 71% manakala siswa 29%! Lalu, setakat manakah peluang kaum wanita untuk mencari jodoh yang sekufu dengan mereka?
Kadang-kadang mencari calon suami yang terlalu ideal juga merupakan masalah bagi kaum wanita. Muslimat khususnya selalu beranggapan, sukar lagi dicari suami yang bertanggungjawab, soleh dan mampu menyayangi sepanjang hayat. Apatah lagi, jika mahu di tambah pula dengan wajah yang kacak seperti hero filem-filem Hindi. Sebagaimana kaum lelaki perlu menerima hakikat bahawa sukar mencari wanita yang mempunyai segala-galanya; kecantikan, kecerdikan, kekayaan, berketurunan baik dan solehah, begitu jugalah kaum wanita perlu menerima hakikat bahawa terlalu sukar untuk mencari lelaki yang sempurna dan mempunyai segala-galanya. Janganlah kerana terlalu memilih calon suami yang terlalu ideal menyebabkan kita terlepas segala-galanya. Berpadalah dengan agama, faktor lain pula sebagai pelengkap.

ANDARTU & KESANNYA
Psikologi & Tekanan Emosi
Secara umumnya gadis-gadis yang di label andartu akan mengalami tekanan dan depresi dari segi mental dan emosi. Mereka dianggap memberi malu dan aib kepada keluarga lantas dicemuh oleh masyarakat serta dilempar dengan pelbagai tuduhan.
Hasilnya, inferiority complex mula membasah di sanubari. Rasa malu yang menguasai akan menghalang mereka daripada berhadapan dengan masyarakat. Perlahan-lahan mereka terpinggir dan terasing daripada persekitaran. Mereka yang lemah imannya akan mula menyalahkan takdir. Merasakan paras yang diberi belum cukup menarik lalu mempersoal ketentuan Tuhan, kenapa tidak dianugerahkan raut wajah semanis Siti Nurhaliza, seramping Haifa atau secantik Britney Spears? Tuntas ramai yang berkorban supaya tampak cantik dan menarik pada pandangan lelaki. Anorexia dan Bulimia adalah natijah yang biasa. Lebih menggerunkan apabila ada yang sanggup menjadi mangsa teknologi, rela kulit mereka disiat-siat dan dikelar sinar laser.
Cinta & Tuntutan Naluri
Perempuan yang normal tidak dapat lari daripada perasaan ingin menyintai dan dicintai. Cinta adalah suatu anugerah yang tidak terhitung nilainya. Women are so lovely, full of love and should be loved. Masing-masing mengimpikan kehidupan yang dilimpahi kasih sayang disamping suami dan anak-anak tercinta, lalu mereka mencari-cari perhentian yang dinanti selama ini. Apabila yang ditunggu-tunggu tidak muncul, jiwa akan lebih menyesak. Tekanan makin mendesak. Ini menyebabkan syaitan-syaitan berwajah kacak lebih mudah mengambil kesempatan. Pengakhirannya ialah penipuan, perkosaan, penderaan, pelacuran dan seribu satu macam lagi tragedi.
Mereka yang tidak menjadi mangsa manusia akan menjadi mangsa nafsu sendiri. Orgasm, Masturbate dan entah apa lagi yang mana semuanya merupakan punca laknat Allah Taala. Namun, awas! Jangan sesekali menghukum semuanya begitu, kerana iman yang berpasak di dada adalah benteng segalanya.
Kesuburan & Kehamilan
Tahap kesuburan perempuan akan semakin menurun apabila memasuki usia 40 an. Jadi, mereka yang berkahwin pada usia ini mempunyai peluang yang tipis untuk mendapatkan anak dan sekiranya dia mengandung, kandungan tersebut akan membahayakan nyawanya. Selain itu, kelahiran anak terpaksa juga dihadkan.
Menurut pakar obstetrik dan ginekologi, Dato’ Dr Hamid Arshat, bagi yang berkahwin dalam usia lewat, risiko pada kesihatan meningkat kerana apabila mengandung, jantung dipaksa mengepam 40 peratus lebih daripada biasa di samping kandungan air dalam badan meningkat, sendi-sendi longgar, berlaku perubahan pada usus, sakit buah pinggang dan sakit tulang belakang.

Kesimpulannya, beberapa faktor yang di gariskan ialah antara faktor-faktor utama yang mewujudnya andartu. Tanpa menafikan faktor-faktor yang lain, andainya faktor-faktor yang digariskan dapat di atasi, insyaAllah gejala kahwin lambat hingga mewujudkan andartu ini tentu dapat disifarkan. Apa yang penting, doa dan tawakkal perlulah diiringi dengan usaha khususnya dari pihak wanita itu sendiri. Kita wajar menentukan hidup kita sendiri. Saranan buat lelaki; kikislah sifat pilih umur dalam diri. Jadilah seperti Rasulullah S.A.W yang pada pertama kalinya memilih seorang wanita yang berbudi pekerti mulia dan berusia walaupun baginda masih teruna. Siapa lagi yang boleh diletakkan harapan untuk membela nasib andartu dan yang bakal bergelar andartu kecuali lelaki yang benar-benar berperibadi serta mempunyai rasa keperimanusiaan yang tinggi? Benar, Siti Khadijah tiada pengganti. Namun, Siti Aisyah juga sukar dicari! Juga saranan buat wanita; letakkan perasaan redha dalam diri jika di takdirkan bermadu, buangkan sifat boikot terhadap poligami dan jangan takut kepada adat yang terpesong. Lamarlah pihak lelaki, jangan mengharapkan kaum lelaki sahaja yang memulakan rentak. Ayuh izzahkan untuk kebahagian bersama selagi mana tidak melanggari nas-nas syariat Islam.
Sabda Rasulullah S.A.W :Wanita adalah tiang Negara, bila ia baik, baiklah Negara. Dan bila ia rosak, maka rosak pula Negara”. Jesteru itu, penyelesaian yang paling utama untuk menyelesaikan masalah andartu ini ialah dengan mengatur perkahwinan mengikut syariat tanpa menyusahkan mana-mana pihak.

~~~@ BuNgA LaYu SeBeLum BeRkeMbaNg @~~~
::- KeKaiZeNan MiNda KeIzZahAn BerSaMa -::

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

1 comments:

Omni said...

Hello from America!! :-)

Omni