~ ArTiKal ~ ::_HiJrah.... SaTu SoRoTaN_::
Setelah membuat penilaian daripada pelbagai sudut, akhirnya Sayyidina Umar ibn al-Khattab telah memilih peristiwa Hijrah sebagai permulaan tahun baru bagi umat Islam dan ternobat sudah ia sebagai hari pertama dalam takwim Islam yang penuh bersejarah. Pemilihan ini tentulah memanifestasikan kepentingan peristiwa Hijrah baginda Rasulullah s.a.w. yang berlaku pada bulan Jun tahun 622 Masihi, yang mana peristiwa ini mempunyai keistimewaannya tersendiri jika dibandingkan dengan peristiwa-peristiwa lain yang dialami oleh Rasulullah s.a.w. semasa hayat Baginda.
Peristiwa Hijrah memberi pengajaran yang cukup besar dan cukup bermakna kepada kita dalam mengenal erti sebenar tentang pengorbanan, penderitaan, cabaran, ujian, konsep persaudaraan, kekuatan fizikal dan mental. Malah ia juga mengajar kita mengenal erti pembangunan, perpaduan sesama Islam, permuafakatan dengan golongan bukan Islam, pembangunan ekonomi dan sosial, kematangan berpolitik, termasuklah perhubungan antarabangsa, kedaulatan undang-undang dan juga kepentingan martabat agama, negara dan umatnya.

Renungkanlah bersama wahai sahabat…
Betapa mantapnya iman dan teguhnya pendirian serta sikap baginda Rasulullah s.a.w. ketika mana baginda menghadapi saat-saat genting yang penuh kekerasan dan cabaran hebat. Betapa pula musuh– musuh yang menentangnya berhabis-habisan pada masa-masa terakhir sebelum penghijrahan baginda ke Madinah. Baginda menghadapi peristiwa getir itu dengan tenang dan penuh kesabaran. Baginda tidak menentang kekerasan dengan kekerasan, apatah lagi mengambil sikap menyerang atau memerangi mereka, kerana mereka masih berpegang teguh dengan saluran-saluran hikmah dan diplomasi serta tasamuh, dalam menghadapi cabaran-cabaran musuh sepertimana yang telah digariskan di dalam Islam.
Manakala di dalam satu peristiwa bersejarah lain yang amat dirasai tekanannya oleh baginda Rasulullah s.a.w. sebelum peristiwa Hijrah ialah, pemboikotan ekonomi yang dilakukan terhadap baginda dan para sahabatnya oleh kaum musyrikin Mekah pada ketika itu. Terasa sekali perit dan payahnya dalam mendapatkan bekalan makanan dan keperluan asasi. Keadaan ini menyebabkan orang Islam terpaksa berhadapan dengan ujian penderitaan fizikal dan mental yang cukup hebat. Malah bagi baginda sendiri, kewafatan orang-orang yang terdekat seperti Saiyidatina Khadijah isteri kesayangan baginda selaku sayap kiri perjuangan dan Abu Talib, bapa saudara baginda cukup memeritkan. Ke dua– dua mereka telah memainkan peranan yang besar selama hayat mereka dan sentiasa memberikan dorongan dan kekuatan semangat kepada baginda dalam meneruskan perjuangannya.
Hal ini mengajar kita akan erti kepayahan hidup, tekanan mental dan emosi yang seharusnya dialami oleh manusia dalam proses untuk berjaya dalam perjuangan hidupnya. Perjuangan inilah yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w. dan untuk menjayakan misinya itu maka baginda berhijrah dengan diiringi pengorbanan yang cukup besar dan tidak terhingga nilainya.
Firman Allah SWT :
“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah s.w.t. Mereka itulah yang mendapat kemenangan. Allah menggembirakan mereka dengan memberikan rahmat daripada-Nya, keredhaan dan syurga. Di dalamnya mereka memperolehi kesenangan yang abadi. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya di sisi Allah pahala yang besar.” (Surah at-Taubah : 20-22)

Sahabat-sahabat yang dikasihi fillah…
Sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita, tika genap melangkah 1 Januari, sudah pasti ia akan disambut dengan suasana yang penuh gemilang sebagai tahun baru serta detik menyemai azam baru. Maka 1 Muharam amat wajar sekali kiranya ketibaan tahun baru Hijrah ini disambut dengan penuh pengertian dan penghayatan seterusnya ia dapat dijadikan satu titik permulaan bagi kita dalam membina satu fasa kehidupan baru, azam dan agenda baru terhadap diri sendiri, agama, keluarga, masyarakat dan negara. Maka sewajarnyalah kita melihat kembali diri kita sedalam-dalamnya dengan beberapa lontaran persoalan sempena Hijrah 1427 kali ini.
Nilaikan kembali dirimu...
  • Sejauh manakah perubahan atau penghijrahan yang telah berjaya dilakukan di dalam diri sehingga ke saat ini?
  • Sejauh manakah pengorbanan yang telah kita lakukan pada diri, keluarga, agama, masyarakat dan negara?
  • Sebanyak manakah sumbangan yang telah kita laburkan kepada Islam “ad-Dinul-Khalis” ?
  • Adakah ianya sejajar dan setimpal dengan usaha dan pengorbanan baginda Rasulullah s.a.w. yang memuliakan kita dengan kehadiran Islam?
  • Setakat manakah langkah dan usaha yang telah kita garapkan dalam mencapai cita-cita seiring dengan usaha kita mencapai mardhatillah?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: