~ aRtIkaL ~ ::_KaEdAh PeMbeNtAnGan SeJaRah oLeh aL-QuRan_::
Al-Quran mempunyai maksudnya yang tersendiri di dalam mempersembahkan sejarah. Kisah-kisah al-Quran dibentangkan dengan corak, ciri dan disiplin yang tersusun. Ia adalah untuk mendidik mereka yang mengkaji, bahawa kaedah-kaedah tersebut mesti dipelihara demi untuk memastikan maksud pengisahan sejarah di dalam al-Quran itu tercapai.
Al-Quran tidak bermaksud mahu membentangkan segala perincian berhubung dengan satu-satu peristiwa. Ia bukan sebuah rekod sejarah, namun bahan-bahan yang dikemukakan itu adalah cukup komprehensif, tidak berlebih-lebihan, bahkan jauh sekali daripada bersifat kurang dan tempang.
1. KAEDAH MENGAJAK MANUSIA BERFIKIR
Salah satu maksud sejarah di dalam al-Quran adalah untuk mengajak manusia berfikir. Mereka yang mengkaji kisah-kisah di dalam al-Quran diajak menggunakan keupayaan minda mereka membongkar rahsia Sunnatullah yang teraplikasi dalam kisah-kisah tersebut. Untuk mencapai maksud ini, kisah-kisah di dalam al-Quran dibentangkan dalam bentuk yang mempunyai ciri-ciri berikut:
1.1 Mesra Akal Dan Logik.
Pemberitahuan Allah SWT terhadap sejarah dibentangkan di dalam al-Quran dalam bentuk yang difahami oleh akal. Ia tidak membelit fikiran manusia untuk tenggelam di dalam misteri yang tidak terungkai, atau keajaiban yang membuntukan fikiran. Bahkan, seandainya ada unsur-unsur yang berkaitan dengan mukjizat atau sesuatu yang menyalahi kebiasaan (خارق للعادة), maka sifat luar biasa itu akan terus disandarkan kepada kekuasaan Allah SWT yang Maha boleh menghasilkan sesuatu yang menyalahi asbab. Misalnya, Maryam, bonda Isa alayhi as-Salaam beroleh buah-buahan di luar musimnya. Ia dirasionalkan dengan kaitan Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Memberi Rezeki kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya (Ali Imran: 37)
Malah kisah-kisah al-Quran dibentangkan di dalam bentuk yang membolehkan kita mengeluarkan konsep-konsep yang penting di dalam aplikasi semasa. Akal akan dengan mudah meneroka kehebatan al-Quran menggariskan kaedah yang matang dan tepat di dalam menangani satu-satu urusan. Misalnya di dalam surah Al-Qasas ayat 26, kisah Nabi Musa Alayhi as-Salaam menggariskan bahawa penilaian kelayakan seseorang untuk diupah bekerja atau diberi amanah dan tanggungjawab adalah berasaskan kepada dua unsur utama Sunnatullah dan Syariatullah. Dua unsur tersebut adalah memiliki kekuatan (القوي) iaitu kemahiran yang bersesuaian dengan tugas berkenaan, dan amanah (الأمين) yakni teguh berpegang kepada hukum Allah di dalam memikul tanggungjawab tersebut.
1.2 Menonjolkan Aspek Praktikaliti
Di dalam membentangkan aspek sejarah di dalam al-Quran, karakter praktikaliti sering menjadi fokus kepada mereka yang bertadabbur. Sunnatullah yang menetapkan natijah yang tertentu bagi perbuatan yang tertentu, memperlihatkan bagaimana contoh-contoh yang baik dalam sejarah, adalah praktikal dan boleh diamalkan oleh generasi yang mendatang. Sebagai contoh, kisah Nabi Yusuf ‘alayhi as-Salaam yang dilantik memegang perbendaharaan Mesir. Kaedah berjimat cermat dan membuat perancangan yang teliti terhadap simpanan kecemasan negara, adalah teknik yang universal dan masih praktikal untuk dijadikan asas pentadbiran bagi sebuah negara yang berwawasan.
1.3 Membuat Kesimpulan Tentang Ibrah (Teladan) Kisah
Selepas membentangkan kisah-kisah perjuangan para Anbiya’, menerusi pelbagai tribulasi dan kejayaan, akhirnya al-Quran akan membuat kesimpulan yang komprehensif tentang teladan yang diperolehi menerusi kisah tersebut. Pembaca al-Quran akan kembali mengingati tujuan kisah tersebut dikemukakan. Selepas kisah Nabi Yusuf ‘alayhi as-Salaam dibentangkan dengan panjang lebar (Yusuf: 111), Allah SWT membuat penegasan bahawa:
1.3.1 kisah ini adalah teladan bagi golongan yang sempurna akal fikiran
1.3.2 ia menjadi bukti yang jelas tentang kebenaran al-Quran, kerana kisah itu hanya diketahui dengan pemberitahuan al-Quran. Ia bukan kisah yang direka-reka.
1.3.3 kisah ini menjadi petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.

2. KAEDAH MENGUATKAN HATI ORANG-ORANG MUKMIN
Salah satu daripada matlamat pengisahan sejarah di dalam al-Quran, adalah untuk membina dan menetapkan hati orang-orang mukmin (Hud: 120). Mengkaji sejarah para Rasul dan umat yang terdahulu, menyuntikkan nilai kesabaran, optimis dan sentiasa segar di dalam mengharungi kehidupan. Untuk memenuhi maksud ini, al-Quran memberikan penekanan kepada aspek-aspek berikut:
2.1 Menggunakan Teknik Bahasa Yang Berkesan
Hati manusia yang beriman, dibawa ke lubuk penghayatan kisah-kisah yang meniup inspirasi perjuangan melalui lenggok dan keindahan gaya bahasa al-Quran yang tersendiri. Khususnya kisah-kisah al-Quran di era Makki (pra-Hijrah) yang banyak memberi penekanan kepada aspek pembinaan Aqidah, mengiramakan ayat-ayatnya dengan alunan yang amat luar biasa. Hal ini dapat dilihat menerusi kisah Ashab al-Ukhdood di dalam surah al-Burooj. Setiap ayat 1 hingga 7 berakhir dengan irama yang menyentak perhatian mereka yang mendengarnya. Akan tetapi, pengulangan yang keterlaluan boleh mendatangkan kejemuan lantas sebaik sahaja mencapai klimaks, ayat 8 diubah kepada bunyi yang berbeza. Sememangnya irama Rabbani dari al-Quran ini amat berkesan di dalam ‘menggerakkan’ hati manusia untuk terbuka dan menerima suntikan ibrah al-Quran.
Di dalam konteks semasa, pengolahan sejarah perlulah memberikan penekanan kepada gaya bahasa yang kaya dan hidup. Teknik penyampaian, pemilihan terma dan bilah perkataan memainkan peranan di dalam efisyensi pembentangan sejarah sebagai bahan tarbiyah dan pembentukan budaya.
2.2 Jujur dan Terbuka Terhadap Realiti
Hati manusia menjadi tenteram, teguh dan konsisten apabila ia melihat persekitaran secara sedar, dan dengan penilaian yang betul. Al-Quran menyuluh hati orang-orang yang beriman dengan realiti dakwah. Misalnya di dalam kisah Luqman (Luqman: 17), ketika Luqman menasihati anaknya supaya melaksanakan tugas amar maaruf dan nahi munkar, beliau secara jujur menerangkan tentang hakikat tugas itu yang berhajatkan kepada sifat sabar dan keazaman yang tinggi di atas ‘musibah yang bakal menimpa’.
Begitu juga di dalam surah at-Taubah ayat 42, semasa menerangkan tentang peristiwa Hijrah Rasulullah SAW, Allah SWT menyatakan tentang realiti perjuangan, bahawa ia merupakan jalan yang panjang, dengan destinasi yang jauh, sehingga tidak ramai yang sanggup mengikutnya. Hal ini membina kesediaan emosi orang mukmin dan keteguhan hatinya tatkala berhadapan dengan pelbagai rintangan di dalam usaha menegakkan Islam sebagai cara hidup, khususnya di akhir zaman ini.
Malah al-Quran membuka mata orang mukmin terhadap realiti yang sebenar, bahawa jalan itu bukanlah hakikatnya panjang dan jauh, namun ia dirasakan sedemikian rupa semata-mata disebabkan oleh kepayahan yang berada di sepanjang jalan itu (و لكن بعدت عليهم الشقة). Ini ditegaskan lagi oleh ayat lain yang memberi jaminan bahawa pertolongan Allah itu sebenarnya hampir (Al-Baqarah: 214). Oleh yang demikian, apa yang perlu diberikan perhatian adalah menguruskan halangan dan rintangan di sepanjang jalan dakwah dan bukannya lemas atau sesak nafas kerana tergapai-gapai menunggu kemenangan. Sedangkan yang dituntut adalah mengemaskinikan wasilah dan daya tahan diri menempuh ranjau di sepanjang jalan itu. Perhitungan Allah adalah atas daya usaha itu, dan bukannya pada ‘kemenangan’ yang disasar.
2.3 Menjanjikan Kemenangan Yang Pasti Bagi Mereka Yang Patuh
Di akhir satu-satu kisah al-Quran, Allah SWT menyertakan kesimpulan kisah tersebut bersama-sama dengan janjiNya bahawa kesudahan yang baik (sama ada di dunia mahu pun pada kehidupan di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. Lafaz (و العاقبة للمتقين) diulang sebanyak tiga kali di dalam al-Quran iaitu Surah al-A’raaf ayat 128, Hud ayat 49 dan al-Qasas ayat 83. Penceritaan tragedi Perang Uhud, ditegaskan oleh Allah SWT bahawa ia hanyalah penggiliran yang menjadi Sunnatullah, agar kesakitan yang dirasa semasa kekalahan di dalam peperangan Uhud, menjadi proses penyucian dan asbab untuk memberi ganjaran syahid bagi mereka yang terpilih (Surah Ali Imran ayat 139 – 142).
Malah masa depan Palestin juga dijamin oleh Allah SWT, dengan syarat umat Islam masuk semula ke bumi Palestin dengan ciri-ciri yang sama seperti generasi Sahabat masuk ke Tanah Suci itu pada pusingan pertama. Pusingan pertama itu ditafsirkan oleh Sheikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi sebagai kejayaan umat Islam membebaskan Palestin di zaman Umar Radhiyallahu ‘anhu. (Surah al-Israa’: 4-8). “Jika kamu kembali, maka Kami juga akan kembali”. Jika Bani Israel kembali melakukan kerosakan, maka Allah akan kembali menghinakan mereka. Jika umat Islam kembali menghayati ajaran Islam yang sebenar, nescaya Allah akan kembali memuliakan mereka. Begitulah janji Allah pada sejarah di dalam al-Quran. Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janji.

3. KAEDAH MENJADIKAN SEJARAH SEBAGAI ‘IBRAH
Matlamat utama yang seterusnya bagi sejarah di dalam al-Quran adalah untuk dijadikan ‘ibrah bagi orang-orang yang sempurna akal fikirannya. Sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum ini, teladan dari sejarah di dalam al-Quran itu diistilahkan sebagai ‘ibrah kerana ia mendatangkan maksud perlunya teladan itu dikaitkan dengan kita pada hari ini. Al-Quran menuntut kita supaya membuat imbasan kepada diri, semasa membaca ayat-ayat Allah yang mengungkapkan peri laku umat terdahulu serta natijahnya.
Untuk membolehkan proses ini berjalan dengan efisyen dan efektif, Al-Quran meletakkan ciri-ciri khusus yang mesti dipelihara oleh pengkaji dan ‘penghurai’ kisah-kisah al-Quran. Ciri-ciri tersebut ialah:
3.1 Membiarkan ‘Mubhamat’ Al-Quran Tanpa Perincian
Mubhamat al-Quran adalah ruang-ruang tanpa maklumat yang mengiringi kisah-kisah yang diceritakan. Hanya 25 orang Rasul yang dikemukakan oleh al-Quran; kebanyakannya adalah yang diutuskan di sekitar Syam, Iraq, Mesir, dan Hijaz. Sedangkan kita sedia maklum bahawa Nabi dan Rasul diutuskan ke seluruh alam pada jumlah yang jauh lebih ramai. Maka maklumat mengenai mereka yang didiamkan oleh al-Quran, kita tidak mengetahuinya. Ia adalah salah satu mubhamat al-Quran. Begitu juga dengan maklumat berkaitan dengan nama watak, lokasi, identiti pemerintah, jenis matawang dan lain-lain yang seumpama dengannya, kebanyakannya tidak diperincikan oleh al-Quran.
Kesemuanya ini, berlaku dengan hikmah yang besar. Sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini, matlamat Sejarah di dalam al-Quran bukanlah pada menyatakan gambaran menyeluruh terhadap semua aspek dan suasana peristiwa, tetapi lebih tertumpu kepada teladannya. Untuk membolehlah proses imbasan diri berlaku menerusi kisah-kisah al-Quran, wallahu a’lam, maklumat-maklumat itu tadi tidak disertakan supaya cerita tersebut lebih universal dan tidak terlalu domestik dan terikat dengan zaman tertentu, kaum tertentu dan latar belakang tertentu. Maka lebih mudahlah kita melihat diri kita di dalam kisah al-Quran itu dan bukannya menganggap bahawa kisah tersebut adalah kisah kaum ‘tersebut’, tiada kena mengena dengan diri kita.
Nama Qabil dan Habil di dalam peristiwa pembunuhan anak Nabi Adam, Miksalmina dan Tamlikha di dalam kisah Ashab al-Kahf, dan lain-lain yang seumpama dengannya, adalah maklumat yang bukan datang dari al-Quran dan tidak diperlukan oleh al-Quran, malah lambakan maklumat seperti itu (yang disengajakan diamnya oleh al-Quran) akan hanya menjadi benteng yang menghalang proses melihat diri melalui cermin kisah-kisah al-Quran.
3.2 Menolak Sumber Yang ‘Majhul’ dan ‘Khayalan’
Lanjutan daripada itu, Al-Quran juga membuat penegasan bahawa kisah para Rasul dan generasi yang lalu, adalah perkara ghaib, yang tidak diketahui melainkan dengan pemberitahuan daripada Allah SWT. Sebagai contoh, di dalam surah Ibrahim ayat 9, Allah SWT menyebut:
“Apakah tidak datang kepada kamu perkhabaran tentang golongan sebelum kamu, dari kalangan kaum Nuh, ‘Aad, Tsamood dan generasi selepas itu? Tiada sesiapa yang mengetahui tentang mereka kecuali Allah.”
Begitu juga selepas kisah Maryam di dalam surah Ali Imran ayat 44, Allah SWT menyebut:
“Demikian itulah sebahagian daripada perkhabaran-perkhabaran yang ghaib, yang Kami wahyukan kepadamu, sedangkan tidaklah kamu (hidup) bersama mereka (di zaman itu)...”
Oleh yang demikian, wajarlah kita semua meneliti dan menginsafi bahawa tidak mungkin kita boleh menceritakan apa-apa tentang kisah para Nabi dan Rasul, serta umat-umat yang terdahulu, melainkan dengan maklumat yang bersumber dari al-Quran atau hadith-hadith Nabi SAW yang sahih sahaja. Manakala maklumat-maklumat penyedap halwa telinga yang lain, wajar menimbulkan suatu soalan yang besar sebagaimana yang pernah ditanya oleh Omar al-Khattab RA:
من أين لك هذا؟
“Dari manakah kamu dapat (maklumat) ini?”
3.3 Menolak Israiliyyat
Seterusnya, Al-Quran menolak maklumat yang datang dari sumber Ahli Kitab iaitu apa yang diistilahkan sebagai Israiliyyat. Ia dinamakan demikian kerana sumber Bani Israel mengatasi sumber Nasrani. Pengislaman beberapa orang Yahudi dan Nasrani di zaman Rasulullah SAW, membawa bersama pengetahuan pra Islam mereka ke dalam masyarakat Sahabat. Namun Rasulullah SAW telah menggariskan kaedah yang tegas berkaitan pengambilan maklumat dari Tsaqafah Ahli Kitab.
Semasa membahaskan tentang perbalahan Ahli Kitab berkenaan bilangan Ashab al-Kahfi, Allah SWT membuat penegasan:
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit’. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapa pun mengenai mereka melainkan dengan perbahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorang pun dari golongan (yang membincangkannya)”. (Al-Kahfi: 22)
Lihat juga penegasan yang sama di dalam al-Baqarah: 101-102 dan 139-140.
Manakala di dalam as-Sunnah, Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata: Ahli Kitab itu membaca Taurat di dalam Bahasa Ibrani dan kemudian menafsirkanya di dalam Bahasa Arab untuk Ahli Islam. Maka Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu mempercayai Ahli Kitab dan janganlah pula kamu mendustakan mereka. Akan tetapi katakanlah: Kami hanya beriman dengan Allah dan apa yang diturunkan kepada kami” (Al-Bukhari: 4485)
Kebanyakan maklumat yang bersumberkan Israiliyyat, adalah maklumat yang tidak perlu, dan tidak membawa kepada apa-apa yang bersifat praktikal. Ia lebih kepada sekadar menyedapkan cerita sedangkan tanpa disedari, perbuatan memasukkan anasir Israiliyyat ke dalam kisah-kisah al-Quran adalah jenayah menafsirkan kalam Allah di dalam al-Quran dengan bahan-bahan yang tidak diketahui asal usul mahu pun kesahihannya.
Malah lebih dari itu, kemasukan bahan yang tergolong di dalam Mubhamat al-Quran hanya melarikan fokus kita daripada faktor terpenting di dalam kisah-kisah al-Quran, serta membudayakan kisah tersebut dengan ciri-ciri zaman dan kaum yang telah pun dengan sengaja diketepikan oleh al-Quran. Kesannya, orang ramai akan terpesona dengan kehebatan cerita tersebut serta penceritanya yang kelihatan ‘arif lagi informatif’ tetapi tanpa disedari, lupa kepada ‘ibrah dan gagal mengambil sebarang manfaat yang tulen daripada cerita tersebut. Dalam ertikata yang lain, mencampuradukkan Israiliyyat di dalam penafsiran kisah-kisah al-Quran bukan sahaja menyalahi arahan al-Quran dan as-Sunnah, malah ia menghalang proses kisah tersebut sampai kepada matlamat Rabbaninya.

4. KESIMPULAN
Al-Quran telah membina asas yang kukuh kepada disiplin ilmu Sejarah Islam. Ia telah menggariskan matlamat yang besar terhadap sejarah. Al-Quran juga telah membentangkan kaedah yang unik lagi berkesan ke arah mencapai matlamat itu. Sesungguhnya mereka yang melazimkan diri dengan al-Quran, akan dekat kepada erti sejarah. Manakala mereka yang celik sejarah, akan melihat Sunnatullah di alam ini dengan mata hati yang terpimpin. Demikian itu, adalah sifat-sifat yang mulia lagi terpuji, bagi hamba Allah yang sempurna akal fikiran, bagi mereka yang bergelar, si Ulil Albab. Wallahu A’lam bi as-Sawaab.

"Dan ada di antara manusia yang membantah perkara-perkara yang berhubung dengan Allah SWT dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang keterangan atau Kitab ALlah yang menerangi kebenaran. Ia membantah sambil memalingkan sebelah badannya dengan sombong angkuh sehingga menghalang dirinya dan orang lain dari jalan agama Allah; ia akan beroleh kehinaan di dunia dan Kami akan merasakannya azab membakar pada hari kiamat kelak" (Al-Hajj 22 : 8-9)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: