~ UnDaNg2 ~ ::_Masyarakat kucar kacir jika tolak undang-undang moral_::
Mahkamah Persekutuan pada 4 April lalu, menolak permohonan dua remaja untuk mengisytiharkan tuduhan terhadap mereka yang didakwa berkelakuan tidak senonoh kerana berpeluk dan bercumbuan di tempat awam sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan. Alhamdulillah mahkamah tertinggi di Malaysia memutuskan Datuk Bandar Kuala Lumpur mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang dan peraturan berkaitan moral dan menolak hujah bahawa ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Persepsi bahawa undang-undang tidak boleh mengawal moral seseorang berdasarkan pandangan sarjana Barat. Pandangan ini berkembang kerana Barat meletakkan kebebasan asasi manusia itu tanpa batasan. Mereka mengatakan terletak pada individu itu sendiri untuk menjaga moral mereka dan kerajaan tidak mempunyai hak mencampuri urusan peribadi mereka. Sebenarnya, tidak semua yang berlaku di Barat benar dan sesuai digunakan di Malaysia.
Masyarakat Malaysia berbeza dengan masyarakat Barat kerana nilai moral amat dititikberatkan di sini. Malah, semua agama yang dianuti oleh rakyat Malaysia menganjurkan moral yang tinggi. Dengan adanya moral yang tinggi, disiplin dan jati diri akan dapat ditingkatkan.Janganlah kita alpa bahawa kesopanan dan kesusilaan adalah salah satu daripada prinsip Rukun Negara.
Adakah berpelukan dan bercumbu-cumbuan di khalayak ramai secara terbuka selaras dengan prinsip Rukun Negara? Budi pekerti serta moral yang mulia adalah perkara asas paling kuat untuk melahirkan masyarakat yang ikhlas dan amanah di dunia ini. Seseorang yang mempunyai moral tinggi berupaya menjadi teladan kepada orang lain.
Tiada agama di dunia ini yang berkompromi dalam isu moral berkaitan keruntuhan akhlak umatnya. Contohnya, sami Buddha di Thailand pernah berdemonstrasi membantah penjualan arak di negara itu kerana menyebabkan keruntuhan moral golongan remaja. Ini membuktikan agama lain juga mementingkan moral.Undang-undang sebenarnya bersandarkan kepada moral, manakala moral pula bersandarkan kepada agama. Unsur ini sebenarnya tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain.
Keruntuhan akhlak adalah masalah serius di negara ini. Dalam membuat sesuatu keputusan, orang ramai sepatutnya merujuk kembali kepada Islam. Jika undang-undang moral melanggar Perlembagaan Persekutuan dan hendak dihapuskan, maka prinsip Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan juga perlu dihapuskan.Hujah yang digunakan bagi mempertahankan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam kerana ia adalah hak asasi yang tidak boleh diganggu gugat oleh undang-undang.
Persoalannya di manakah hak bercumbuan dan berpelukan di khalayak ramai itu diiktiraf sebagai hak asasi. Tiada sebarang undang-undang mengiktiraf perbuatan tidak senonoh itu sebagai hak asasi. Kita mesti lebih bertanggungjawab kepada masyarakat di dalam perbuatan kita supaya ia tidak memberi pengaruh negatif kepada orang awam, terutama kanak-kanak. Bagaimana pula hak orang yang lalu lalang di situ untuk melihat perkara tidak senonoh di hadapan mata mereka?
Bagaimana pula hak keluarga yang ingin bersiar-siar dengan anak kecil mereka dengan aman damai, tiba-tiba terlihat perlakuan tidak senonoh di hadapan mata? Apakah keluarga ini tidak mempunyai hak untuk tidak melihat perbuatan tidak senonoh itu? Kita perlu membezakan suasana masyarakat Malaysia yang penuh dengan adat ketimuran, budi bahasa dan kesopanan yang berpaksikan kepada agama dengan kemelut masyarakat Barat yang tidak menitikberatkan nilai budaya dan agama.
Sebenarnya banyak undang-undang yang digubal mempunyai hubung kait dengan moral. Umpamanya, kesalahan merogol, sebelum rogol dikanunkan menjadi kesalahan ia sebenarnya suatu perbuatan yang tidak bermoral. Perbuatan merogol akan mendatangkan mudarat kepada mangsanya.Begitu juga ahli keluarga dan masyarakat. Anak gadis akan takut keluar rumah dan tidak mempunyai jaminan hak mereka akan dibela.
Jika kita menolak undang-undang mengawal moral, kita juga terpaksa menolak undang-undang sebegini. Hasilnya masyarakat akan menjadi kucar kacir dan tiada jaminan keselamatan kepada masyarakat. Jika pun seseorang itu ingin melakukan perbuatan yang tidak bermoral, perlakuan itu hendaklah dilakukan secara tertutup supaya tidak mengganggu orang lain – walaupun hakikatnya ia juga tidak patut dilakukan dalam keadaan begitu.
Bagi umat Islam, perbuatan tidak bermoral atau tidak berakhlak ini tidak boleh dilakukan walaupun di tempat sunyi, apatah lagi di tempat yang terbuka.Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang bijak dan betul di dalam kes ini.
Bagi menangani gejala sosial sekarang, apakah kita hanya boleh melihat tanpa mengambil sebarang inisiatif bagi mengekang penularan budaya yang tidak senonoh ini? Dengan penguatkuasaan undang-undang mengawal moral yang terlalu longgar sekarang ini telah menghasilkan masyarakat yang kucar kacir dan diulit dengan kebimbangan akan keselamatan mereka. Tiba masanya pihak berkuasa tempatan mempertahan dan memperkasa undang-undang berkaitan moral ini.
Mereka tidak perlu gusar kerana tindakan mereka tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Laksanakan pengawalan moral ini dengan berhemah seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang. Namun, kita agak kecewa dengan beberapa perkara dalam draf garis panduan yang akan dimasukkan dalam Undang-undang Kecil Taman PBT sebagai panduan kepada penguat kuasa ketika menjalankan tugas. Draf itu antara lain hanya membenarkan PBT mengambil tindakan terhadap individu atau pasangan yang berbogel atau membuka pakaian untuk melakukan sesuatu yang menjurus kepada perlakuan seksual di tempat awam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, semalam dipetik sebagai berkata, pihaknya tidak mahu PBT bertindak sebagai polis akhlak kerana ia akan menjejaskan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2007. Adakah kita mahu menunggu keadaan yang begitu memalukan saja barulah kita ingin mengambil tindakan. Di manakah fungsi undang-undang sebagai pencegah perbuatan salah hendak diletakkan.
Ibaratnya seperti kesalahan membunuh. Jika kita hanya mengkanunkan kesalahan membunuh tanpa melarang kesalahan lain seperti membawa senjata di tempat awam dan mencederakan orang lain – adakah larangan membunuh ini akan mencapai objektifnya?
Kerajaan juga jangan mementingkan sektor pelancongan saja sehingga sanggup menggadaikan budaya bangsa. Rakyat Malaysia tentunya tidak selesa melihat pelancong yang datang bercumbuan dan berpelukan di tempat awam. Pelancong asing datang ke Malaysia kerana ingin menyaksikan keindahan budaya kita, tetapi jika kita sendiri yang mencemar budaya bangsa, apakah pelancong ini akan datang ke Malaysia?
Peraturan menangani masalah moral ini tidak harus dilihat sebagai mengimplementasikan undang-undang Islam terhadap bukan Islam kerana semua agama mahukan umatnya hidup dalam keadaan berakhlak mulia serta menganjurkan budi pekerti dan moral yang tinggi.
INTI PATI
  • Persepsi bahawa undang-undang tidak boleh mengawal moral seseorang berdasarkan pandangan sarjana Barat kerana Barat meletakkan kebebasan asasi manusia itu tanpa batasan.
  • Budi pekerti serta moral yang mulia adalah perkara asas paling kuat untuk melahirkan masyarakat yang ikhlas dan amanah di dunia ini.
  • Undang-undang sebenarnya bersandarkan kepada moral, manakala moral pula bersandarkan kepada agama. Unsur ini sebenarnya tidak dapat dipisahkan di antara satu sama lain.
  • Kita mesti lebih bertanggungjawab kepada masyarakat dalam perbuatan kita supaya ia tidak memberi pengaruh negatif kepada orang awam, terutama kanak-kanak.
  • Peraturan menangani masalah moral tidak harus dilihat sebagai mengimplementasikan undang-undang Islam terhadap bukan Islam kerana semua agama mahukan umatnya hidup dalam keadaan berakhlak mulia serta menganjurkan budi pekerti dan moral yang tinggi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: