~ ArTiKaL ~ ::_InSpiRaSi HiDaYah DaRi KiSah YuSoFf_::
Kisah-kisah di dalam al-Quran adalah merupakan sebahagian daripada khazanah yang Allah gunakan sebagai satu aproach untuk menggamit mereka mendekati al-Quran. Secara umum ia boleh dibahagikan kepada dua bahagian:-
1- kisah umat dahulu kala
2- kisah para Anbiya’
Kisah-kisah yang dibentangkan di dalam al-Quran di samping meringankan bebanan pendengar ia juga menghiburkan para pembaca . Ia bukanlah kisah yang berupa cerita penglipurlara. Ia bukan cerita dogeng bahkan merupakan kisah benar. Ia dipersembahkan melalui gaya bahasa yang berbeza meraikan selera dan keupayaan pembaca. Sekalipun gaya dan pendekatan berbeza, namun matlamatnya adalah satu iaitu memberikan taufiq dan hidayah kepada manusia.
Al-Quran Kitab Hidayah
Allah menurunkan al-Quran kepada ummat manusia adalah dengan tujuan memberikan petunjuk dan hidayah kepada mereka. Perkara ini disebut oleh Allah di dalam banyak tempat di dalam al-Quran. Salah satu darinya ialah firman-Nya di dalam Surah al-Baqarah ayat yang kedua ; "Itulah Kitab, tanpa syak dan ragu, memberikan petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa".
Manusia beroleh petunjuk dari al-Quran melalui kaedah dan pendekatan yang tersendiri. Allah Maha Mengetahui mengapa suatu kaedah berkesan kepada seseorang tetapi tidak terjadi kepada semua orang. Dari itu Dia mempelbagaikan kaedah dalam memberikan petunjuk ini supaya manusia boleh membuat pilihan. Nantinya manusia tidak mempunyai hujjah menafikan mengapa mereka tidak bertemu dengan hidayah tersebut.
Kadang-kadang seseorang itu beroleh petunjuk dengan mudah. Tanpa bercerita panjang dia beriman dengan isi kandungan al-Quran dan beramal dengannya. Kadang-kadang terdapat di kalangan manusia, mereka yang bersikap ‘tengok la dulu' ‘ atau tunggu dan lihat' . Setelah dia berpuas hati dengan dalil dan hujjah yang dikemukakan, maka akhirnya dia beriman dengan isi kandungan al-Quran. Tidak kurang pula ada orang yang beroleh petunjuk setelah mereka berhempas pulas menolak al-Quran, namun kerana usahanya gagal maka mereka beriman pula dengannya.
Al-Quran mengemukakan beberapa pendekatan dalam mengolah persoalan petunjuk ini. Salah satu dari pendekatan itu ialah menerusi kisah-kisah al-Quran seperti yang disebutkan sebentar tadi. Pendekatan ini merupakan antara pendekatan yang menarik untuk diperhatikan. Dikesempatan ini kita akan memilih kisah Nabi Yusoff untuk didiskusikan. Kisah ini dibentangkan dengan panjang lebar di dalam Surah Yusoff. Kertas ini hanya akan membuat imbasan beberapa sudut daripadanya sahaja. Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan penjelasan yang terperinci, seharusnya merujuk kepada Tafsir al-Quran.

Selayang Pandang Kisah Nabi Yusoff
Hidup ini tidak sunyi daripada ujian. Tidak ada orang di atas dunia ini yang tidak pemah diuji. Itulah sunnah kehidupan. Dalam mengharungi ujian itu ada orang tersungkur di pertengahan jalan dan ada pula yang terjatuh di tepi jalan lalu mereka tidak kesampaian ke penghujung titian. Tidak kurang pula mereka yang berjaya dalam mengharungi ujian lalu mencapai maqam orang-orang Muhsinin.
Ujian itu tidak memilih bulu dan tidak mengenal orang. Asal sahaja mereka bergelar makhluk manusia mereka akan melalui proses ujian. Boleh jadi ia sebagai orang awam dan boleh jadi juga mereka sebagai seorang Nabi seperti yang diterima oleh seorang anak muda yang bernama Yusoff putera Nabi Yaakub as.
Perhubungan rapat antara beliau dengan ayahnya kesan daripada mimpinya telah menimbulkan rasa cemburu kalangan adik beradiknya sendiri.Mereka merancangkan suatu tipu muslihat ke atas Yusoff. Semasa bermain rehlah mereka menjatuhkannya ke dalam perigi.(Perhatikan ayat 4-15)
Selepas dia terselamat dari menemui kematian di dalam perigi kerana dibuang oleh adik beradiknya sendiri dia telah dijual pula oleh para pedagang yang menemuinya. Dia telah dibeli oleh al-Aziz sebagai hadiah kepada isterinya bagi membantu beliau dalam kerja-kerja rumah samada sewaktu al-Aziz berada di dalam negeri mahupun di luar negeri.Yusoff lalu menjadi anak angkat kepada al-Aziz dan Zulaikha isteri al-Aziz pula sebagai ibu angkatnya.(Perhatikan ayat-ayat 19-21 dari Surah Yusoff).
Oleh kerana dia dibeli oleh al-Aziz bagi membantu kerja-kerja isterinya, maka Yusoff dibenarkan bergerak bebas di dalam rumah keluarga angkatnya. Tanpa disedari rupanya ada sepasang mata nakal sedang memerhatikan gerak rentak beliau. Pergerakan beliau rupanya di minati dari jauh lubuk hati ibu angkatnya tanpa Yusoff merasa sebarang syak wasangka terhadap khidmat dan pergaulan beliau.
Boleh dikatakan jasa ibu angkatnya itu terhadap beliau tidak kurang banyaknya. Setelah dia diselamatkan oleh suami Zulaikha , beliau hidup dan membesar di dalam rumah al-Aziz iaitu salah seorang dan pembesar Negeri Mesir waktu itu.
Nabi Yusoff Menjalani Ujian.
Pertumbuhan badan dari kecil menjadi remaja dan terus mernbesar sebagai anak muda tampan amat dicemburui oleh ibu angkatnya sendiri. Hati mana tidak tergoda melihat seorang pemuda tampan yang bergerak bebas memberi khidmat dalam rumahnya sendiri. Yusoff yang tidak menaruh apa-apa rasa sangsi terhadap perubahan kelakuan ibu angkatnya terus memberi khidmat seperti biasa kerana ia adalah sebahagian dan tugas yang telah diminta oleh bapa angkatnya itu.
Rupanya dalam diam-diam ibu angkatnya itu menaruh cinta kepadanya. Sudah tentu setiap saat hatinya berdebar-debar mencari jalan bagaimana cara dapat beliau sampaikan hasrat cintanya itu kepada Yusoff. Jantungnya berdegup kencang bagaimana mahu menjelaskan minatnya yang memuncak kepada anak angkatnya itu. Sudah tentu beliau berfikir ; apakah beliau bertepuk sebelah tangan, ataukah juga anak angkatnya berminat kepadanya tetapi sengaja mahu menyembunyikan minat itu lantaran malu kepadanya ? Kalau begitu apakah patut beliau memulakan luahan itu terlebih dahulu?
Berbagai-bagai persoalan dan tanda-tanya meracau bertalu-talu dalam kotak fikirannya. Dia berperang dengan perasaan setiap kali bersemuka dengan Yusoff. Sedang Yusoff yang tidak mengetahui cinta yang tersembunyi melayaninya seperti biasa tanpa apa-apa niat buruk di sebaliknya. Yusoff sama sekali tidak mempunyai niat mahu memikat ibu angkatnya itu , apatah lagi memukaunya. Zulaikha pula tidak berpendapat begitu. Dia beranggapan , layanan Yusoff itu adalah balasan positif dari cinta yang tersembunyi.
Lantaran itu beliaulah yang perlu mencari helah dan merancang satu permainan supaya mereka berdua sama-sama dapat meluahkan perasaan yang terbuku dan melepaskan rindu dendam masing-masing. Pada perkiraannya , sekalipun Yusoff turut berminat kepadanya namun kerana rumah itu adalah rumah beliau sedang Yusoff adalah orang baru dalam keluarganya , maka tidak mungkin beliau yang lebih dahulu membuka mulut mengungkap kata sayang. Kalau begitu selaku puan kepada rumah beliaulah yang harus memulakannya terlebih dahulu. Padanya, mungkin juga Yusoff malu untuk meminta atau meluahkan rasa cintanya yang bergelora sebab beliau lebih matang darinya.
Dia jatuh perasan. Sebagaimana setiap kali bila bersemuka dengan Yusoff jantungnya bergetar berdebar-debar, begitulah juga beliau menganggap naluri kecintaan Yusoff sebagai anak muda turut membara terhadap wanita berhias sepertinya. Setelah nekad, beliau mula menyusun strategi . Bara kecintaannya terhadap Yusoff telah tidak boleh dibendung lagi. Dia harus berbuat sesuatu. Di sini bermulalah satu episod yang mencabar dalam diari seorang lelaki tampan seperti Nabi Yusoff As.
Saat yang dicari oleh Zulaikha datang bergolek apabila suatu hari suaminya tidak ada di rumah. Al-Aziz keluar menjalankan tugas seperti biasa . Yusoff pula tidak membuat kerja luar pada hari itu. Zulaikha yang telah lama berperang dengan perasaan cinta yang penuh membara terhadap Yusoff benar-benar mahu menggunakan peluang itu. Persoalan moral, yang kalau orang tahu bahawa seorang ibu angkat menggoda anak angkat sendiri dilitupi oleh keinginan yang memuncak. Persoalan ini bagaikan terlupa kerana nafsu telah meremang dan mendesak kebutuhannya dipenuhi. Seluruh urat nadi dan saluran sarafnya tertumpu kepada Yusoff.
Pada Peringkat awal perancangan semua agenda berjalan lancar. Pintu rumah dimangga rapat-rapat.(Ayat 23) Tidak sesiapa pun yang menaruh prasangka bahawa dua insan yang berlainan jenis berada di dalamnya.
Zulaikha meneruskan perancangan. Dia memperhiaskan dirinya dengan segala solekan yang mengairahkan. Ini disulami dengan berbagai wangian yang mengodakan.. Dia begitu yakin permainannya akan berkesan. Hajat yang dimimpikan berganti siang dan malam akan tertunai sebentar lagi Tuntutannya akan dipenuhi oleh anak muda yang tampan itu. Setelah yakin dengan persiapan yang merangsangkan, dia memanggil Yusoff memasuki kamar seperti biasa.
Yusoff yang tidak ditamu oleh sebarang lintasan jahat , apa lagi oleh nafsu buas menyahut panggilan ibu angkatnya itu tanpa sebarang wasangka.Dia memberi jawapan terhadap panggilan memasuki kamar untuk memberikan apa-apa bantuan yang diminta seperti biasa. Yusoff mendekati kamar ibu angkatnya tanpa sebarang syak lalu memasukinya. Sebaik sahaja Yusoff memasuki kamar itu, Zulaikha menerkam ke arah pintu kamar lalu menguncinya. Yusoff terkejut dan terpinga kebingungan dengan insiden yang tidak pernah berlaku seperti itu ke atas dirinya.
Tanpa berlengah Zulaikha terus memainkan peranannya menaikkan semangat kelelakian Yusoff. Dia menampakkan keindahan-keindahan dirinya yang mempesonakan. Dia cuba memukau Yusoff dan merangsangkannya dengan wangian yang memikat.
Yusoff terkejut.Tidak disangka ibu angkatnya akan berbuat begitu terhadapnya. Dia tidak percaya ibu angkatnya sanggup menawarkan tubuhnya kepada Yusoff. Tidak cukup dengan perhiasan dan wangian yang ada ia menyusuli dengan unggapan-unggapan yang menggetarkan jiwa Allah menukilkan sebahagian daripadanya di dalam ayat ke 23 Surah Yusoff : “ marilah kemari.....kemarilah......”
Rupanya apa yang dijangka oleh Zulaikah sebelum ini meleset. Sekalipun Yusoff seorang anak muda yang berdarah panas, tetapi kepanasan itu tidak mudah ditundukkan oleh nafsu seorang wanita. Sekalipun wanita itu menyatakan dia telah bersedia untuk Yusoff dan apa sahaja yang ada pada dirinya adalah untuk dikongsi bersama dengan nafsu berahi, namun tidak semudah itu Yusoff menjual agamanya. Apakah anak-anak muda sekarang begitu sifatnya atau terus meratah daging teman wanitanya tanpa ihsan dan sebarang ikatan perkahwinan yang sah? Apakah anak-anak muda kita sekarang sama seperti orang-orang barat tanpa segan pada dosa dan pahala? Masih berupaya lagikah kita pada hari ini melahirkan insan seperti Yusoff ini?
Nabi Yusoff Terselamat
Cubaan kali pertama gagal. Dia memujuk Yusoff bermain api cinta. Tetapi nafsu Yusoff tidak semudah itu ditundukkan. Dia tidak sanggup menjual agamanya dengan harga yang murah. Dengan ungkapan Yusoff berkata kepada wanita itu. " Suamimu telah memuliakan aku, ia adalah tuan kepadaku. Setelah dia berbudi kepadaku, tidak patut aku mengkhianati budinya itu.” Ertinya, kebaikan tidak mungkin dibalas dengan kejahatan.
Namun kata-kata Yusoff itu tidak mengurangkan keberahian Zulaikha . Sekalipun dia telah berdepan dengan kenyataan bahawa tanggapannya selama ini adalah meleset tetapi dia tetap mahu meneruskan permainan itu sehingga selesai.

Yusoff tetap menolak. Mengapa beliau menolak sedang segala persiapan telah diatur rapi ? Apakah dia menolak tuah yang datang bergolek di depan matanya. Lazimnya sebagai anak muda berdarah remaja seseorang itu tentu mempunyai keinginan. Mengapa dia tidak mengambil peluang yang pada anggapan nafsu begitu berharga? Mungkin peluang seperti itu tidak akan datang lagi pada masa yang lain! Tidak lain , tidak bukan imanlah yang menjadi benteng memperteguhkan pendirian. Tanpa iman dia mungkin rebah . Boleh jadi dia akan tersungkur. Belum dipujuk pun mungkin sudah terlingkup inikan pula kalau telah dirayu mendayu-dayu.
Pada perkiraan nafsu apa salahnya jika Yusoff meneruskan sahaja kemahuan ibu angkatnya itu. Lagipun Zulaikha yang membuat tawaran, bukan dia yang meminta! Atau lepaskan dahulu kemahuan jantina , soal bagaimana cara nak cover kalau perkara itu tersebar, kita runding-rundingkan kemudian. Atau apa salahnya penuhi sahaj permintaan ibu angkatnya, kerana pintu telah dimangga rapat dan tiada wartawan yang dapat masuk membuat liputan. Atau lebih dahsyat lagi kalau ada yang berkata; kita buat dulu dan taubat kemudian.
Semua andaian yang disebutkan itu adalah andaian nafsu . Andaian iman tidak begitu. Andaian iman bukan kerana takut kepada manusia, atau pada penglihatan orang , tetapi ketakutan pada Allah yang sering memerhatikan pergerakan kita sepanjang 24 jam. Keistimewaan yang ada pada anak muda yang tampan tetapi tidak mudah digoyah oleh nafsu yang rakus, mengandungi pengajaran dan pelajaran yang paling berharga untuk diamati. Ini adalah sebahagian daripada inspirasi hidayah daripada kisah ini.
Usaha Zulaikha memerangkap Yusoff as. menemui kegagalan.Yusoff masih cekal dengan pendiriannnya . Keimanannya dapat mengelakkan dirinya dari tercebak ke kancah perzinaan dengan perempuan yang menjadi ibu angkat kepadanya.Sekalipun berbagai cara di lakukan, namun Zulaikha tidak berdaya memperdaya Yusoff dengan helah-helahnya itu.Tindakan yang sungguh diluar dugaan seperti mengunci pintu kamar merupakan ikhtiar terakhir dari wanita kenamaan itu tadi.Namun Yusoff teguh berdiri mempertahankan imannya.Demikianlah hebatnya iman dan pegangan anak muda yang bernama Yusoff itu tadi. Allah telah menunaikan janjiNya kepada orang-orang Muhsinin dan Mukhlisin seperti Yusoff as dengan memberinya sebaik-baik penjagaan.(Lihat maksud ayat 22 dan 24 Surah Yusoff).
Sebaik sahaja Yusoff berkejar ke arah pintu dan menendangnya sehingga terkuak,tiba-tiba dia terserempak dengan suami wanita tersebut.Sisuami terkejut besar melihat apa yang sedang berlaku di depan matanya.Yusoff kaget dan wanita itu tercengang kerana tidak menduga ia akan terserempak dengan suaminya.Bagi mengelakkan malu dan menyembunyikan hakikat sebenar, ia segera melakarkan satu helah baru dengan menuduh Yusoff sebagai perancang kerja terkutuk dan mengajaknya berlaku curang. Zulaikha bertidak membaling batu sembunyi tangan.Yusoff menafikan tuduhan yang dilemparkan keatasnya itu.(Perhatikan ayat 26)
Kalaulah bukan kerana persaksian yang diberikan oleh salah seorang dari ahli keluarga wanita itu, nescaya Yusoff akan dianggap bersalah.Sudah tentu al-Aziz akan percaya kepada isterinya berbanding dengan Yusoff . Di dalam ayat 26-27, Allah menjelaskan seorang saksi dari keluarga wanita itu memberikan kesaksiannya.Katanya: “ Jika baju gamis Yusoff koyak di sebelah depan, maka wanita itu adalah benar dan Yusoff pula termasuk dalam kalangan orang-orang yang berdusta . Jika baju gamisnya koyak di sebelah belakang , maka wanita itulah yang dusta dan Yusoff pula yang benar.....” (maksud Surah Yusoff:26-27).
Yusoff bernasib baik.Bajunya terkoyak dari sebelah belakang sewaktu dia mengelak dari dipeluk oleh Zulaikha yang mengejarnya . Zulaikha sempat menangkap baju gamis Yusoff namun ia tidak dapat memeluk Yusoff yang bergegas ke pintu telah mengakibatkan baju yang direntap kuat itu tadi terkoyak.Al-Aziz adalah seorang yang pintar.Ia tidak mudah ditipu oleh tipu helah isterinya sendirinya. Tembelang isterinya pecah.Beliau menasihatkan isterinya yang tergoda dengan Yusoff tadi agar segera bertaubat.Al-Aziz juga menasihatkan Yusoff agar menyembunyikan peristiwa yang berlaku .(Perhatikan ayat 29)
Namun mulut tempayan boleh ditutup.Mulut manusia bukan mudah untuk ditutup.Tanpa diketahui dari sumber mana, tiba-tiba berita Zulaikha memerangkap Yusoff bertiup kencang . Ia berpindah dari satu mulut ke satu mulut yang lain.Dengan ditokok tambah oleh asam garam fitnah , akhirnya ia tidak dapat dibendung lagi.(Perhatikan ayat 30) Zulaikha selaku orang ternama tidak membenarkan orang ramai mempersendakan kehormatannya.Ia harus berbuat sesuatu bagi menjamin namanya dan nama suaminya tidak terus tercemar.Sekali lagi ia merangka helah.Kali ini ia mahu mempersendakan pula wanita-wanita yang bermulut murai yang menuduh dan menokok tambah cerita dengan asam garam sesedap rasa.
Sebagai usaha menyelamatkan maruah, pada suatu hari Zulaikha pun menjemput wanita-wanita tadi bertamu ke rumahnya dan menghadiri majlis makan. Setiap seorang dari mereka diberi sebilah pisau yang tajam untuk mengupas buah-buahan dan makanan yang dihidangkan.Para tetamu tidak menduga sebenarnya mereka sedang berada di dalam perangkap isteri al-Aziz.Sewaktu tetamu sedang asyik mengupas buah-buahan dan berkata-kata sesama mereka dan mungkin juga mulut-mulut mereka memuncung panjang mengumpat perihal ibu angkat yang tergoda kepada anak angkatnya sendiri , Zulaikha menjemput Yusoff keluar ke medan jamuan.Apa yang diduga oleh Zulaikha benar-benar berlaku.Perancangannya benar-benar terjadi.(Perhatikan ayat 31)
Demi terpandang sahaja kepada wajah Nabi Yusoff yang bersih berseri , menawan lagi tampan , para wanita yang tidak pernah mengenalinya sebelum ini boleh jatuh cinta kepadanya.Cinta pandang pertama itu telah meragut seluruh perasaan masing-masing terhadapnya.Dalam berangan itu tanpa disedari jari-jari mereka dikupas oleh pisau yang tajam itu tadi.Tangan masing-masing yang dibekalkan dengan pisau bertujuan mengupas buah telah tidak lagi mengupas buah sebaliknya jari jemari mereka yang dilukakan.
Helahnya untuk memperdayakan para tetamunya yang bermulut murai tadi berjaya dilakukannya.Hasratnya untuk membuat pembersihan diri akibat peristiwa yang menimpa ke atas dirinya benar-benar berhasil.Dia tersenyum sendirian.Dengan penuh sinis dan menyindir beliau menegur para tetamunya itu. “ Apakah yang telah kalian lakukan.....Mengapa kalian mengupas tangan tidak mengupas buah?....Apa yang telah berlaku hinggakan puan-puan semua mengupas tangan masing-masing...” Teguran begini merupakan bentuk-bentuk pertanyaan sinis. Para wanita bermulut murai tadi tunduk malu tidak terkata.Apa yang telah menimpa ke atas mereka merupakan perkara yang tidak mereka dugakan sama sekali boleh berlaku. (Lebih kurang maksud awal ayat 32)
Zulaikha meneruskan leterannya terhadap mereka “ Anda yang baru sekali terpandang wajahnya sudah jatuh asyik, bayangkan aku yang setiap masa dan ketika bertemu serta bergaul dengannya, tentu lebih parah lagi.....Ertinya kalian semua lebih lemah iman dari aku. Jika kalian semua diberi peluang berada di tempat yang aku sedang berada sekarang tentu kalian semua lebih dahulu lingkup dari aku....Dari itu kamu tentu tidak lagi merasa hairan bagaimana daku boleh jatuh cinta kepadanya....Di sini aku ingin maklumkan, bahawa aku yang sebenarnya berniat jahat terhadapnya.Dia memang seorang pemuda yang baik.Tetapi oleh kerana dia menolak permintaanku untuk berseronok-seronok dengannya , aku tidak akan membiarkannya begitu sahaja.Aku akan memastikan agar beliau dimasukkan ke dalam penjara.Anda akan melihat Yusoff menjadi orang yang hina.....(Maksud ayat 32 secara umum).
Setelah berjaya membebaskan kehormatannya, Zulaikha merancang tindakan selanjutnya iaitu memastikan Yusoff dimasukkan ke dalam penjara.Yusoff yang mendengar perbualan beliau dengan para tetamu wanita tadi merasa lega dengan cadangan itu.Bagi beliau penjara adalah lebih baik dari tinggal di dalam rumah yang penuh dengan fitnah dan persekitarannya pula menggoda keimanan.(Perhatikan ayat 33)Tetapi bagi Zulaikha , beliau berpandangan penjara adalah untuk mengajar Yusoff yang enggan mengikut perintahnya melakukan perzinaan dengannya.Pada masa yang sama Zulaikha bertujuan membersihkan dirinya dari tuduhan berlaku curang . Apabila Yusoff yang dipenjarakan, ia seakan-akan bermaksud bahawa Yusoff adalah orang yang bersalah dalam hal ini.Kalau dia tidak bersalah, masakan ia dipenjarakan.Orang yang tidak bersalah akan dibebaskan. Begitulah yang menjadi amalan dalam kehidupan. Dengan cara ini sahaja namanya dan suaminya kembali bersih di mata masyarakat.
Oleh kerana beliau adalah orang kenamaan dan mempunyai kedudukan, helah untuk memenjarakan Yusoff amat senang sekali.Dengan menggunakan pengaruh suaminya, amat senang sekali untuk memenjarakan Yusoff.Itulah tindakan paling baik yang mereka temui bagi memulihkan nama mereka di mata masyarakat.Akhirnya, Yusoff dipenjarakan.Sekalipun banyak saksi dan bukti menyebelahi kebenaran Yusoff, namun Zulaikha berjaya juga memenjarakan Yusoff.
Yusoff menerima ketentuan itu dengan penuh rela . Dia juga memohon kepada Allah agar menjadikan penjara itu satu perlepasan yang baik untuknya bagi menghindari kegiatan keji yang mungkin berlaku sekiranya beliau berterusan berada di rumah ibu angkatnya.Demikianlah Allah memaparkan suasana ini di dalam firman-Nya bermula dari ayat 33 - 35 dari Surah Yusoff.

Penutup
Demikian berakhirnya dua step ujian dalam kehidupan seorang yang bernama Yusoff. Dengan kemasukannya ke dalam penjara dia kini menjalani step ketiga dari diari kehidupannya.
Suasana penjara memberikan kekentalan semangat yang keseterusnya kepada Yusoff yang bakal menjadi orang terkenal.Sudah menjadi lumrah kehidupan, orang-orang terkenal membina asas kehidupan mereka bukan di atas permaidani kesenangan, sebaliknya membesar di antara siri-siri onak dan duri.
Terima kasih.Wassalam.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: