~ ArTiKal ~ ::_Maulid ar-Rasul_::
Insan teragung, rasul terulung, qudwah hakiki yang telah diutuskan oleh Allah s.w.t kepada seluruh umat manusia. Baginda merupakan semulia-mulia Nabi utusan Allah. Kedatangannya sebagai rahmat, mengeluarkan manusia dari gaung kejahilan lantas memandu mereka ke arah sinar hidayah di dalam kehidupan dunia dan akhirat. Ar rasulul amin, Nabi Muhammad s.a.w., anak yatim yang dibesarkan dengan tarbiah yang cukup hebat oleh Allah Ta'ala. Bagindalah insan yang diraikan pada setiap tanggal 12 Rabiul Awal, sebagai tanda cinta yang mendalam terhadap penghulu umat akhir zaman ini.
Seluruh umat Islam, di timur dan juga di barat dunia, berlumba-lumba meraikan hari yang penuh keberkatan bersempena sambutan hari kelahiran Baginda. Dakwaan yang menyebut bahawa sambutan Maulidur rasul sebagai bid'ah tertangkis sama sekali. Bagaimanakah ini boleh ditimbulkan hanya dengan alasan Rasulullah s.a.w. tidak pernah meraikan hari kelahiran Baginda? Imam Muslim dalam Sahih Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah telah ditanya tentang puasa Baginda pada hari Isnin. Baginda menjawab: "Itulah hari aku dilahirkan padanya." Sambutan yang bukan sahaja tahunan dan bulanan, bahkan mingguan itu menggambarkan betapa bersyukurnya Rasulullah dengan anugerah tersebut. Lantas, kita selaku umat Baginda lebih-lebih lagilah dalam meraikan hari bersejarah insan yang kita cintai ini.
Firman Allah Ta'ala :
"Dan Kami tinggikan (yakni muliakan) namamu".
Bagaimanakah Allah meninggikan nama Rasulullah s.a.w? Tidak lain dan tidak bukan dengan menyebut nama Baginda seiring dengan sebutan Lafzul Jalalah. Bukankah setiap kali kita melafazkan syahadah, kita pasti akan menyebut :
Begitu juga dengan azan, setiap kali dikumandangkan, pastinya nama khatimul anbiyaa’ tidak ditinggalkan. Begitulah kasihnya Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w, penghulu seluruh umat manusia.
Kedudukan Baginda selaku qudwah terulung telah dinobatkan oleh Allah s.w.t di dalam firmanNya:
"Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang mulia."
Sekalipun dihimpunkan seluruh manusia semenjak awal penciptaan manusia sehinggalah berakhirnya alam dunia, tetap tidak dapat menjelmakan seorang insan yang berakhlak dan berkeperibadian seumpama rasul tercinta. Firman Allah Ta'ala lagi:
"Sesungguhnya pada Rasulullah (Nabi Muhammad) ada ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang mengharapkan (pahala) Allah dan hari yang kemudian, serta banyak mengingati Allah.
"
Lantas, bagaimanakah kita dalam menyatakan rasa cinta yang tulus dan mendalam kepada Penghulu umat Islam ini? Adakah dengan mengadakan jamuan besar–besaran pada hari sambutan kelahiran Baginda? Atau cukup hanya dengan menzahirkannya dengan ucapan lisan kita? Ulamak menyebut, umat Islam berhak untuk bergembira pada hari ulang tahun kelahiran Rasulullah s.a.w. dan sepatutnya umat Islam berlumba–lumba untuk menghidupkan malam tersebut dengan amal ibadat serta melipatgandakan selawat ke atas junjungan Baginda s.a.w.
Digalakkan juga untuk meneliti dan menghayati kembali sirah kehidupan insan termulia ini dengan lebih terperinci. Ini adalah agar kita dapat menanam kecintaan yang lebih mendalam terhadap Baginda dan mampu mehidupkan sunah– sunnah Rasulullah s.a.w dalam kehidupan seharian kita. Alangkah bertuahnya kita kerana dijadikan sebagai umat Nabi Muhammad, satu–satunya Rasul yang layak memberikan syafaat untuk umat Baginda. Suburkanlah rasa kasih dan cinta kepada Rasulullah di sepanjang masa, bukan sahaja di tarikh ulangtahun kelahiran Baginda.
Ingatkah kita bila mana Ibrahim bin Edaham berkumpul bersama penduduk Basrah, lantas beliau ditanya, “Kenapakah apabila kami berdoa, doa kami tidak dimakbulkan oleh Allah s.w.t? Lantas beliau menjawab: “Kerana hati–hati kamu telah mati disebabkan sepuluh perkara.” Perkara ke dua yang disebut oleh Ibrahim bin Edaham ialah : “Kamu mendakwa kamu menyintai Rasulullah s.a.w, tetapi kamu tinggalkan sunnah–sunnah Baginda.”

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: