~ UfUk MiNda ~:-IsLaMiSaSi iLmU peRteGuh keGeMiLaNgaN uMaT-:
Proses Islamisasi bukanlah sesuatu yang baru dalam usaha jihad orang Islam kerana sejak zaman Rasulullah SAW di awal Makkah lagi , Islamisasi aqidah dan agama sudah berlaku dengan bijaksana.
Pada zaman tamadun Islam berkembang, Islamisasi ilmu juga berlaku dengan pesatnya dan kini selepas pengaruh Barat dalam ilmu dan pendidikan semakin mencengkam, penting untuk pengembangan ilmu dilakukan dengan sistematik serta bijaksana.
Ada tiga asas penting Islamisasi ilmu membantu perubahan kepada sistem secara jangka panjangnya iaitu bagaimana ilmuwan Islam kini menghasilkan epistemologi Islam (teori ilmu Islam) yang merentasi pelbagai disiplin ilmu.
Kedua, bagaimana epistemologi ini dapat berkembang dalam institusi dan ketiga, bagaimana epistemologi yang mantap dan jelas dapat membangunkan modal insan yang mampu mengubah sistem.
Islamisasi ilmu tidak bermakna kita menyingkirkan ilmu konvensional bermanfaat dan memiliki faedah berbanding yang tinggi tetapi bagaimana mengintegrasikan nilai fitrah agar ilmu dan ketrampilan tidak disalah guna.Islamisasi ilmu menuntut suatu perancangan kerja atau 'work-plan' yang terarah supaya aspek operasi dan metodologi juga berkembang sebagai sebahagian usaha membangunkan asas-asas falsafah serta konsep.
Sekiranya Islamisasi ilmu dapat berkembang, 'world-view' atau tasawwur kita akan berubah, persepsi mengenai ilmu dan pendidikan mempengaruhi sistem supaya wujudnya pendekatan bersepadu yang bijaksana.Ia bakal melahirkan kualiti modal insan yang bukan saja memiliki kekuatan peribadi tetapi pada masa sama menguasai ilmu alat yang sifatnya menyumbang ke arah pembangunan tamadun baru berasaskan acuan kita sendiri.
Dalam tradisi ilmu wahyu, asas nilai yang fitrah dijadikan landasan membentuk akal, hati dan amalan manakala nilai teras seperti jujur, ikhlas, amanah, bijaksana, adil dan benar menjadi tunjang membangunkan ilmu.Ilmu yang terbentuk dengan nilai teras akan berkembang membentuk watak manusia menjadi baik iaitu apabila diberikan amanah, melaksanakan amanah itu dengan baik dan apabila membina rumah tangga, menjadi contoh kepada anak-anaknya.
Watak baik juga apabila diberi peranan sebagai pemimpin, akan jadi pemimpin yang baik dan bertanggungjawab kerana amanah atau taklif kepimpinan tidak hanya pada jawatan atau status tetapi terhadap Allah SWT.Kemunduran umat Islam hari ini antara lain berpunca daripada kegersangan ilmu yang tidak ditautkan dengan nilai murni yang fitrah sifatnya.
Islamisasi ilmu dan pendidikan bermaksud bagaimana ilmu yang tidak ditautkan dengan nilai fitrah mengalami penerapan nilai murni yang berguna untuk kepentingan duniawi serta terkandung kualiti ukhrawi.Contohnya, Islam tidak menghalang perkembangan ilmu sains dan teknologi tetapi jika tidak diterapkan nilai murni boleh menyebabkan ilmu itu disalah guna.Ilmu sains yang dibentuk dengan nilai al-Quran umpamanya mendekatkan manusia dengan faktor Penciptaan daripada Allah SWT.
Memahami sains dengan berpandukan kepada al-Quran dan Islam bukan saja menggalakkan usaha penyelidikan serta penerokaan tetapi natijah daripada kajian dan dapatan itu membantu saintis merasakan kebesaran dan mengakui hakikat kewujudan Allah.Di sinilah pentingnya proses Islamisasi berlaku kerana kekuatan tamadun ilmu di zaman Islam pada masa lalu tidak menyebabkan saintis kufur kepada nikmat Allah, malah ilmu diperoleh berkembang dari asas petunjuk al-Quran dan sunnah Nabi.
Terdapat kira-kira 200 ayat berkaitan bidang sains dalam al-Quran yang memberikan isyarat, maklumat dan pedoman kepada saintis Islam menghasilkan teori sains yang mampu membangunkan tradisi ilmu dan menjadi penyumbang kegemilangan umat.Pembangunan modal insan berkualiti tidak semestinya menolak faktor ilmu yang bermanfaat sama ada yang datang dari Barat mahupun Timur.
Tetapi kemampuan memilih dan daya penyaringan yang dipandu nilai fitrah boleh membentuk asas epistemologi yang bersepadu sifatnya agar modal insan yang dibangunkan teguh dengan nilai baik dan pada masa sama menguasai ilmu Barat dan Timur.Proses Islamisasi bakal membentuk pandangan semesta atau tasawwur yang memungkinkan ilmu berkembang dalam acuan yang fitrah dan ketrampilan berpandu kepada nilai teras.
Proses itu bukan saja menyumbang kepada keperluan umat manusia tetapi juga terhadap kegemilangan umat Islam.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: