~ ArTiKaL ~ :- Pahala Berkorban di Aidiladha -:

SAMBUTAN Aidiladha selalunya berkait rapat dengan perlaksanaan ibadat korban. Dalam hal ini melalui sebuah hadis daripada Aisyah r.a. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: Tidakkah ada amalan yang dilakukan oleh seorang hamba pada hari Nahar yang lebih disukai oleh Allah daripada amalan menyembelih binatang ternakan, kerana sesungguhnya ia merupakan hak kita pada hari kiamat dengan tunduk, kuku dan bulunya. Sesungguhnya darah itu ditumpahkan pada satu tempat yang diketahui oleh Allah sebelum ia tumpah di atas bumi maka dengannya dibersihkan jiwa manusia tersebut. (Riwayat At-Tirmizi)
Daripada Aisyah r.a. juga Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: Tiada hari dibebaskan ahli neraka dengan jumlah yang ramai sekali kecuali hari Arafah kerana sesungguhnya Allah amat hampir dengan mereka.

Aidiladha atau Hari Raya Korban mempunyai banyak manfaat dengan gandaan pahala yang berlipat kali ganda kepada seluruh umat Islam. Bukan sekadar merayakannya dengan keinsafan dan kebahagiaan melalui kunjung mengunjung di antara sahabat handai dan saudara mara, bahkan Aidiladha turut menyediakan lebih peluang kepada seluruh umat Muhammad mengerjakan ibadat korban semata-mata kerana ingin mendapat pahala dan keberkatan hidup dari Allah Taala.
Binatang yang akan dijadikan korban semestinya terhindar daripada sebarang bentuk kecacatan. Ini kerana pada hari kiamat kelak, binatang-binatang yang dijadikan korban akan hadir dalam keadaan yang asalnya.
Di antara jenis-jenis binatang yang boleh dijadikan korban ialah kambing, unta, biri-biri dan kerbau atau lembu dengan mengikut syarat-syarat korban yang telah ditetapkan oleh syarak. Antaranya biri-biri hendaklah berumur lebih dari setahun. Bagi kambing, lembu atau kerbau ialah lebih dari dua tahun, manakala unta hendaklah berumur lebih dari lima tahun.

Anas r.a. melalui sebuah riwayat oleh Bukhari dan Muslim katanya: “Rasulullah telah mengorbankan dua ekor kambing yang berbulu hitam dan putih. Aku melihat baginda meletakkan kedua-dua kakinya di atas leher kedua kambing tersebut lalu membaca Basmalah dan bertakbir. Kemudian baginda menyembelih keduanya dengan tangan baginda sendiri.”
Terdapat beberapa gambaran dan tamsil yang dilakukan oleh Rasulullah melalui perbuatan Baginda tersebut. Tindakan Baginda meletakkan kedua kaki kambing di kedua-dua tengkuknya adalah bagi mengelakkan kambing tersebut meronta-ronta. Begitu juga lebih afdal sekiranya orang yang melakukan ibadat korban itu menyembelih sendiri binatang yang akan dikorbankan.
Sayugia diingatkan juga, selain menumpukan perhatian terhadap ibadat korban pada Hari Raya Aidiladha, sebagai umat Islam kita turut disunatkan memperbanyakkan amalan bertakbir pada malam hari raya. Lebih afdal bermula dari Subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) hingga waktu Asar hari Tasyrik (13 Zulhijjah).
Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan dari Abu Saad katanya: “Rasulullah telah keluar pada pagi Aidilfitri dan Aidiladha ke tempat sembahyang. Perkara pertama yang dilakukan baginda ialah sembahyang, kemudian menghadap orang ramai lalu memberi nasihat dan menyuruh mereka melakukan kebajikan.”
Pada Aidiladha, disunatkan tidak makan hingga selesai mengerjakan solat sunat Aidiladha. Makanlah daging korban jika seseorang itu telah melakukan ibadat korban.
Sebenarnya Aidiladha juga menyimpan pelbagai gambaran yang berbentuk pengajaran dan teladan yang harus diterjemahkan sendiri oleh setiap umat Islam. Dalam melakukan ibadat korban umpamanya, dilarang sama sekali seseorang itu bersifat riak, sama ada sebelum atau sesudah melakukan ibadat tersebut.

Melakukan korban semata-mata ingin menunjukkan bahawa seseorang individu itu berada atau mempunyai wang yang banyak adalah ditegah oleh agama. Sesudah binatang yang dijadikan korban itu disembelih dan disempurnakan dagingnya, maka adalah disunatkan ia disedekahkan kepada fakir miskin dan jiran tetangga yang tidak melakukan korban dan juga yang kurang berada. Sesungguhnya Allah akan memberikan satu lagi ganjaran pahala kepada orang yang telah melakukan korban tersebut.
Di samping itu, melakukan korban juga adalah sebagai mengenang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim terhadap anak kesayangan Baginda iaitu Nabi Ismail. Sesungguhnya walaupun sebesar mana jumlah korban yang dilakukan oleh umat Islam, namun masih tidak setimpal dengan apa yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim yang melakukan pengorbanan yang paling agong dalam hidup baginda.
Nabi Ibrahim bukan saja berkorban hati dan perasaannya, bahkan terpaksa melakukan sebesar-besar pengorbanan dengan menyembelih anaknya sendiri kerana taatkan perintah Allah, kerana sesungguhnya apa-apa jua yang datang dari Allah itu adalah benar.
Nabi Ismail sendiri sebagai anak yang patuh kepada Allah dan bapanya dengan reda dan rela membenarkan dirinya dijadikan korban kerana mimpi bapanya itu benar-benar dari Allah dan ia wajib dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur tanda keakuran yang tidak berbelah bagi.
Namun Allah bukanlah bersifat kejam dan zalim kerana menitahkan hal tersebut kepada Nabi Ibrahim, tetapi sekadar menuntut ketaatan dan kepatuhan Ibrahim terhadap apa jua perintah-Nya. Maka dengan demikianlah apa yang berlaku adalah sebaliknya. Nabi Ismail telah digantikan oleh Allah dengan seekor kibas sewaktu upacara pengorbanan dilakukan oleh Nabi Ibrahim.

Daripada peristiwa inilah maka setiap umat Islam perlulah mengambil iktibar dengan sebaik mungkin untuk memikir dan merenungi mengapa kita perlu berkorban dalam hidup ini. Bukan saja setakat melakukan pengorbanan pada Hari Raya Aidiladha, tetapi sanggup berkorban dalam melakukan apa saja tindakan dan perbuatan seharian selagi ia tidak tergelincir daripada landasan agama.
Umum mengakui bahawa setiap apa juga yang dilakukan dalam kehidupan seharian, semuanya akan menuntut kekuatan dan pengorbanan yang tinggi oleh setiap individu insan. Dalam proses mematuhi tuntutan nurani itulah, maka ramai pula di kalangan umat Islam hari ini yang sekadar mampu untuk mengucapkan kata-kata ingin berkorban di lidah saja, sedangkan apabila tiba saat dan waktunya untuk menunjukkan pengorbanan yang sebenar ramai yang tidak mengotakan segala janji.
Untuk mencapai apa saja bentuk kejayaan dan kecemerlangan dalam hidup, kita mesti sanggup berkorban. Bukan setakat wang ringgit, tetapi juga jiwa dan raga andai kata itulah yang sebenarnya yang diperlukan.
Namun begitu, sebagai umat Islam juga kita perlulah juga berhati-hati dalam melakukan apa-apa bentuk pengorbanan yang melibatkan rohani dan jasmani kerana Islam telah mengehadkan batas-batas pengorbanan yang harus dilakukan oleh setiap umat Islam. Sekiranya pengorbanan yang dituntut oleh diri sendiri atau pihak-pihak yang lain itu bersifat untuk kufur dan derhaka kepada Allah, maka ia mestilah dijauhi. Jika sebaliknya, teruskanlah melakukan pengorbanan kerana sesungguhnya jika perkara itu benar di sisi Allah, maka Allah akan bersama-sama dengan setiap individu yang melakukannya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: